Tatacara Solat Nabi ﷺ
Melalui Buku Tatacara Solat Nabi SAW ini, ShaykhʿAbd al-ʿAzīz bin Bāz RH menjelaskan serba ringkas bagaimana tatacara solat Nabi SAW, dengan gaya bahasa yang mudah tetapi teliti, bersandarkan kepada nas-nas yang sahih. Mudah-mudahan buku menjadi panduan bagi setiap Muslim dalam menyempurnakan solatnya. Penulis juga menjelaskan rukun-rukun solat, sunat-sunatnya dan sifat-sifatnya, bermula daripada wuduk hingga salam, lengkap dengan dalil dan penjelasan. Penulis mengajak agar kita mencontohi Nabi SAW langkah demi langkah, dalam melaksanakan ibadah teragung ini.
Tatacara Solat Nabi
Samahat al-Shaykh
ʿAbdul ʿAzīz bin ʿAbdullāh bin Bāz
Dengan nama Allah yang Maha Penyayang, lagi Maha Mengasihani
Segala puji hanya bagi Allah, selawat dan salam ke atas hamba-Nya dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad, serta keluarga dan sahabatnya.
Ini merupakan ringkasan yang menjelaskan tentang tata cara solat Nabi ﷺ yang saya ingin sampaikan kepada setiap Muslim dan Muslimah agar mereka berusaha untuk meneladani baginda dalam hal tersebut, sebagaimana sabdanya ﷺ: "Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat." [1] Berikut adalah penjelasan buat para pembaca: Riwayat al-Bukhari (605)
1- Mengerjakan wuduk dengan sempurna, iaitu berwuduk sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, berlandaskan firman-Nya SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berdiri untuk solat, maka basuhlah muka kamu, tangan kamu hingga ke siku, sapulah kepala kamu dan basuhlah kaki kamu hingga ke buku lali." [2] [al-Māʾidah: 6] ayat.
Juga berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak diterima solat tanpa bersuci." [3] Riwayat Muslim (224)
Juga berdasarkan sabda Nabi ﷺ kepada lelaki yang tidak memperelokkan solatnya: "Jika kamu hendak mendirikan solat, maka sempurnakanlah wuduk." [4] Riwayat al-Bukhari (5782)
2- Seorang yang menunaikan solat hendaklah menghadap ke kiblat, iaitu Kaabah, dengan seluruh tubuhnya dan meniatkan dalam hatinya untuk melaksanakan solat yang dimaksudkan, sama ada solat fardu atau sunnah. Tidak perlu melafazkan niat dengan lisan kerana melafazkan niat bukanlah amalan yang diajarkan, malah ia merupakan bidaah kerana Nabi ﷺ tidak pernah melafazkan niat, begitu juga para sahabatnya radhiallahu anhum. Selain itu, dia hendaklah menyediakan sutrah (sesuatu yang dijadikan penghalang) di hadapannya jika dia menjadi imam atau solat sendirian. Menghadap ke kiblat adalah syarat dalam solat, kecuali dalam hal-hal yang dikecualikan yang telah dijelaskan dalam buku-buku para ulama.
3- Mengucapkan takbiratul ihram dengan mengatakan: "Allahu Akbar," sambil memandang ke arah tempat sujudnya.
4- Mengangkat tangan ketika takbir sejajar dengan bahu atau setinggi telinga.
5- Meletakkan tangan di atas dada, tangan kanan di atas telapak tangan kiri, pergelangan tangan dan lengan kiri, berdasarkan petunjuk daripada Nabi ﷺ.
Disunatkan untuk membaca doa iftitah iaitu: "Ya Allah, jauhkanlah di antara aku dan kesalahanku sebagaimana Engkau menjauhkan di antara timur dan barat. Ya Allah, bersihkanlah aku daripada kesalahanku sebagaimana pakaian putih dibersihkan daripada kotoran. Ya Allah, basuhlah aku daripada kesalahanku dengan air, salji dan air batu." [5] [4] Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. (744) dan Muslim, no. (598).
Selain itu, boleh juga dia mengucapkan: "Subḥānaka allāhumma wa biḥamdik, wa tabāraka ismuk, wa taʿālā jadduk, wa lā ilāha ghayruk." (Maha suci-Mu, wahai Allah, dengan memuji-Mu, maha berkat nama-Mu, maha tinggi kemuliaan-Mu, tiada yang berhak disembah selain-Mu.) [6] Sekiranya dia mengucapkan selain daripada doa-doa tersebut yang juga terdapat dalam hadis-hadis yang sahih tentang permulaan solat, maka tidak ada masalah. Sebaiknya dia mengamalkan doa-doa ini secara bergilir-gilir kerana itu adalah yang lebih sempurna dalam mengikuti sunnah. Kemudian dia mengucapkan:"Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam, Bismillah dan membaca Surah al-Fatihah," berdasarkan sabda Nabi ﷺ: "Tidak sah solat bagi orang yang tidak membaca Surah al-Fatihah." [7] Kemudian setelah itu, dia mengucapkan 'Amin' dengan suara yang keras dalam solat yang dikerjakan dengan suara keras (seperti solat Maghrib, Isyak dan Subuh) dan dengan suara perlahan dalam solat yang dikerjakan dengan suara perlahan (seperti solat Zohor dan Asar). Setelah itu, dia membaca apa yang mudah baginya dari ayat-ayat al-Quran. Sebaiknya, setelah membaca Al-Fatihah, dia membaca daripada bahagian akhir surah al-Mufassal dalam solat Zohor, Asar, dan Isyak, manakala dalam solat Subuh, disunnahkan membaca daripada surah yang panjang dan dalam solat Maghrib, dia boleh membaca daripada surah yang panjang atau pendek, sesuai dengan hadis-hadis yang berkaitan dengan hal ini. Riwayat Muslim (399) Riwayat al-Bukhari (756)
7- Mengucapkan takbir ketika rukuk dengan mengangkat kedua-dua tangan hingga sejajar dengan bahu atau telinga, meletakkan kepala sejajar dengan punggung dan meletakkan kedua-dua tangan di atas lutut dengan jari-jari yang terbuka lebar. Kemudian dia tenang dalam rukuknya dan mengucapkan: "Subhana Rabbiyal Azim" (Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung). Sebaiknya dia mengulanginya sebanyak tiga kali atau lebih. Selain itu, disunnahkan untuk mengucapkan doa tambahan seperti: "Subhanak Allahumma wa bihamdika, Allahumma ighfir li" (Maha Suci Engkau, ya Allah, dengan segala pujian kepada-Mu, ya Allah, ampunilah aku.) [8] Riwayat al-Bukhari (817) & Muslim (484)
8- Mengangkat kepalanya daripada rukuk dengan mengangkat kedua-dua tangan hingga sejajar dengan bahu atau telinga, sambil mengucapkan: "Sami' Allahu liman hamidah." (Allah menerima sesiapa yang memuji-Nya.) Jika dia seorang imam atau sedang solat secara sendirian, maka dia mengucapkan ketika berdiri setelah rukuk: Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian, pujian yang banyak, baik, dan penuh keberkatan, memenuhi langit dan bumi serta memenuhi segala sesuatu yang Engkau kehendaki selepas itu. [9] Riwayat al-Bukhari (711) dan Muslim (598)
Adapun sekiranya seseorang menjadi makmum, maka ketika bangkit daripada rukuk, dia mengucapkan: "Rabbana wa laka al-hamd" hingga akhir seperti yang telah disebutkan sebelum ini. Sekiranya mereka — sama ada imam, makmum atau pun orang yang solat sendirian — menambah bacaan doa berikut, (Ahlus-tsanaa'i wal-majd, ahaqqu maa qalal-'abd, wa kullunaa laka 'abd. Allahumma laa maani'a limaa a'thaita wa laa mu'thiya limaa mana'ta wa laa yanfa'u dzal-jaddi minka al-jaddu) Terjemahan: "Wahai Tuhan yang layak menerima pujian dan kemuliaan, perkataan terbaik yang diucapkan seorang hamba adalah pengagungan kepada-Mu. Kami semua adalah hamba-Mu. Ya Allah, tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Engkau berikan, dan tidak ada yang dapat memberi apa yang Engkau halang. Kekayaan dan kemuliaan tidak akan bermanfaat bagi pemiliknya di sisi-Mu." [10] Ia juga baik kerana sabit daripada Nabi. Riwayat Muslim (477)
Disunatkan bagi setiap orang – sama ada imam, makmum, atau individu yang solat bersendirian – meletakkan tangannya di atas dada seperti yang dilakukan ketika berdiri sebelum rukuk. Ini berdasarkan dalil yang sahih daripada Nabi ﷺ dalam hadis yang diriwayatkan oleh Wa'il bin Hujr dan Sahl bin Saad RA.
Seseorang turun untuk sujud sambil mengucapkan "Allahu Akbar." Ketika sujud, dia meletakkan lututnya sebelum tangannya sekiranya mampu. Namun, jika perkara tersebut sukar, dia boleh meletakkan tangannya sebelum lutut. Menghadap kiblat dengan jari-jari kakinya dan tangannya, jari-jari dirapatkan dan diluruskan. Menyentuhkan tujuh anggota tubuh ke tanah iaitu: Dahi beserta hidung. Kedua-dua telapak tangan. Kedua-dua lutut. Hujung jari-jari kedua kaki. Ketika dalam posisi sujud, jari-jari kaki menghadap kiblat dan tangan diletakkan di sisi kepala sejajar dengan bahu atau telinga. Zikir ketika sujud: "Subhana Rabbiya Al-A'la" (Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi) diucapkan sebanyak tiga kali atau lebih. Disunnahkan membaca doa tambahan seperti: "Subhanaka Allahumma Rabbana wa bihamdika, Allahummaghfirli" (Maha Suci Engkau, ya Allah, Tuhan kami, dan segala puji bagi-Mu. Ya Allah, ampunilah aku). "Subḥānaka allāhumma rabbanā wa biḥamdik, allāhumma ighfir lī." (Maha Suci Engkau, ya Allah, Tuhan kami, dan segala puji bagi-Mu. Ya Allah, ampunilah aku) Kemudian memperbanyakkan doa berdasarkan sabda Nabi ﷺ: "Ketika rukuk, agungkanlah Tuhanmu, adapun ketika sujud, bersungguh-sungguhlah dalam berdoa kerana ia sangat mungkin untuk dikabulkan buatmu." [11] Riwayat Muslim (479)
dan memohon Rabbnya kebaikan dunia dan akhirat. Sama ada solat itu fardu atau sunat, seseorang hendaklah menjarakkan kedua-dua sikunya dari sisi badannya, perutnya dari pehanya, dan pehanya dari betisnya serta mengangkat kedua-dua lengannya dari tanah. Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ: "Perbetulkan keadaan kamu dalam sujud dan janganlah salah seorang dalam kalangan kalian membaringkan lengannya di tanah seperti anjing." [12] Riwayat al-Bukhari (788) dan Muslim (493)
10- Mengangkat kepalanya sambil mengucapkan takbir dan meletakkan kaki kirinya dengan meletakkan badan di atasnya, kemudian menegakkan kaki kanannya dan meletakkan tangan di atas peha dan lututnya, lalu mengucapkan: "Rabbighfir li warhamni wahdini warzuqni wa 'aafini wajburni." (Ya Tuhan, ampunilah aku, kasihanilah aku, berilah petunjuk kepadaku, berikanlah aku rezeki, berikanlah kesihatan kepadaku dan perbaikilah keadaan aku.) [13] Bertenang ketika sedang posisi duduk ini. Riwayat al-Tirmidhi (284), Abu Dawud (850) dan Ibn Majah (898)
11- Sujud Kedua: Mengucapkan takbir (Allah Akbar) dan melakukan sujud seperti sujud pertama.
Mengangkat kepala sambil mengucapkan takbir dan duduk sejenak seperti duduk antara dua sujud, yang disebut sebagai "Jilsah al-Istirahah" (duduk istirehat). Ini merupakan sunnah, namun jika ditinggalkan tidak mengapa. Ketika berada di posisi ini tidak ada doa atau zikir tertentu. Kemudian, dia bangkit untuk berdiri menuju ke rakaat kedua menggunakan lutut jika mampu. Namun sekiranya sukar, dia boleh bertumpu pada tanah. Setelah itu, dia membaca al-Fatihah dan apa yang mudah baginya daripada bacaan al-Quran selepas al-Fatihah, dan melaksanakan seperti yang dilakukan dalam rakaat pertama.
13- Sekiranya solat itu dua rakaat, seperti solat Subuh, Jumaat, dan Hari Raya, maka setelah bangkit dari sujud kedua, seseorang hendaklah duduk dengan kaki kanan dalam keadaan tegak dan jari-jari kaki menghadap kiblat. Kaki kiri didudukkan dan diletakkan di bawah tubuh, dengan posisi ini disebut "Iftirasy." Letakkan tangan kanan di atas peha kanan, sambil memegang semua jari melainkan jari telunjuk yang diangkat dan ditujukan ke arah kiblat sebagai simbol kesaksian terhadap keesaan Allah. Boleh juga, sekiranya lebih disukai, memegang jari kelingking dan jari manis tangan kanan, sementara ibu jari dan jari tengah rapat dan telunjuk diangkat untuk menunjukkan keesaan Allah. Kedua-dua cara ini dibenarkan berdasarkan hadis yang sahih. Letakkan tangan kiri di atas peha kiri dan lutut kiri. Dalam posisi duduk tahiyyat ini, bacalah Tasyahhud (Tahiyyat), iaitu bacaan: “At-taḥiyyātu lillāh, waṣ-ṣalawātu waṭ-ṭayyibāt, as-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu wa raḥmatullāhi wa barakātuh, as-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhiṣ-ṣāliḥīn. Ashhadu allā ilāha illallāh, wa ashhadu anna Muḥammadan ‘abduhu wa rasūluh.” (Segala penghormatan, pujian, dan kebaikan adalah milik Allah. Salam sejahtera bagimu, wahai Nabi, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.) Kemudian mengucapkan: "Allāhumma ṣalli ʿalā Muḥammad wa ʿalā āli Muḥammad, kamā ṣallayta ʿalā Ibrāhīm wa ʿalā āli Ibrāhīm; innaka ḥamīdun majīd. Wa bārik ʿalā Muḥammad wa ʿalā āli Muḥammad, kamā bārakta ʿalā Ibrāhīm wa ʿalā āli Ibrāhīm; innaka ḥamīdun majīd." (Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Nabi Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah melimpahkan selawat kepada Nabi Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Limpahkanlah keberkatan kepada Nabi Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah melimpahkan keberkatan kepada Nabi Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.) [14] Riwayat al-Bukhari (797) dan Muslim (402)
Memohon perlindungan kepada Allah daripada empat perkara iaitu: "Allāhumma innī aʿūdhu bika min ʿadhābi Jahannam, wa min ʿadhābil-qabr, wa min fitnatil-maḥyā wal-mamāt, wa min sharri fitnatil-Masīḥid-Dajjāl." (Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab Jahannam, dan daripada azab kubur, dan daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta daripada fitnah Dajjal.) [15] Riwayat al-Bukhari (1311) dan Muslim (588)
Kemudian, hendaklah dia berdoa dengan apa sahaja kebaikan untuk dunia dan akhirat. Jika dia berdoa untuk kedua ibu bapanya atau orang lain dalam kalangan Muslim, maka tidak mengapa, sama ada dalam solat fardu atau sunat. Ini berdasarkan keumuman sabda Nabi ﷺ dalam hadis Ibn Mas‘ud RA ketika Baginda mengajarkan tasyahhud. “Kemudian, hendaklah dia memilih doa yang paling disukainya, lalu berdoa.” [16] Lafaz lain: “Kemudian, hendaklah dia memilih permintaan (doa) yang dia kehendaki.” [17] Riwayat al-Nasaie (1298). Riwayat Muslim (402)
Ini merangkumi segala yang diminta oleh hamba untuk kebaikan dunia dan akhirat. Kemudian hendaklah dia memberi salam ke kanan dan ke kiri dengan mengucapkan: "Assalamu ‘alaikum wa rahmatullah, Assalamu ‘alaikum wa rahmatullah."
Sekiranya solat itu tiga rakaat seperti solat Maghrib atau empat rakaat seperti solat Zohor, Asar dan Isyak, maka setelah membaca tasyahhud yang telah disebutkan sebelumnya bersama dengan selawat ke atas Nabi ﷺ, hendaklah dia bangkit berdiri dengan bertumpu pada kedua lututnya, mengangkat kedua tangannya setinggi bahu atau telinga sambil mengucapkan "Allahu Akbar". Setelah itu, dia meletakkan tangannya di atas dada seperti yang telah diterangkan dan hanya membaca surah Al-Fatihah. Sekiranya dalam rakaat ketiga dan keempat solat Zohor dia menambah bacaan selain Al-Fatihah, maka itu tidak mengapa, kerana ada hadis yang menunjukkan perkara tersebut yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id radhiallahu ‘anhu. Jika dia meninggalkan selawat ke atas Nabi ﷺ selepas tasyahhud pertama, tidak mengapa kerana ia adalah perkara sunat dan bukan wajib dalam tasyahhud pertama. Setelah rakaat ketiga dalam solat Maghrib dan keempat dalam solat Zohor, Asar dan Isyak, dia membaca tasyahhud akhir seperti yang dilakukan dalam solat dua rakaat, kemudian memberi salam ke kanan dan kiri. Setelah itu, dia beristighfar sebanyak tiga kali dan mengucapkan: "Allāhumma antas-salām, wa minkas-salām, tabārakta yā dhāl-jalāli wal-ikrām." (Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Sejahtera, dan daripada-Mu datangnya kesejahteraan. Maha Berkat Engkau, wahai Zat Yang Memiliki Keagungan dan Kemuliaan). [18] Sebelum beredar daripada orang ramai, sekiranya dia imam, dia menyebut: "Lā ilāha illā Allāh waḥdahu lā sharīka lah, lahul-mulku wa lahul-ḥamdu, wa huwa ʿalā kulli shayʾin qadīr. Lā ḥawla wa lā quwwata illā billāh. Allāhumma lā māniʿa limā aʿṭayt, wa lā muʿṭiya limā manaʿt, wa lā yanfaʿu dhal-jaddi minkal-jaddu. Lā ilāha illā Allāh, wa lā naʿbudu illā iyyāh, lahun-niʿmatu wa lahul-faḍlu, wa lahu al-thanāʾul-ḥasan. Lā ilāha illā Allāh mukhliṣīna lahul-dīna wa law karihal-kāfirūn." (Tiada yang berhak disembah selain Allah, Dia Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan segala pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, tiada yang dapat menghalang apa yang Engkau berikan, dan tiada yang dapat memberi apa yang Engkau halang, dan tiada manfaat bagi seseorang selain dengan ketentuan-Mu. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah. Tiada yang berhak disembah selain Allah, kami tidak menyembah selain Dia, bagi-Nya segala nikmat, segala kebaikan dan segala pujian yang baik. Tiada yang berhak disembah selain Allah, dengan ikhlas kami beragama hanya untuk-Nya, walaupun orang-orang kafir membenci.) [19] Riwayat Muslim (591) Riwayat Muslim (402)
Dan bertasbih kepada Allah sebanyak tiga puluh tiga kali, bertahmid dengan jumlah yang sama dan bertakbir dengan jumlah yang sama. Kemudian, mengucapkan setelah selesai seratus: "Tiada yang berhak disembah selain Allah, Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan segala pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu." Kemudian membaca Ayat Kursi, Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas setelah selesai solat. Disunnahkan untuk mengulang tiga surah ini tiga kali selepas solat Subuh dan Maghrib, berdasarkan hadis-hadis yang sahih daripada Nabi ﷺ. Semua zikir ini adalah sunnah, bukannya wajib.
Disunatkan bagi setiap Muslim dan Muslimah untuk menunaikan solat sunnah rawatib sebagai berikut: Sebelum solat zohor: 4 rakaat. Selepas solat zohor: 2 rakaat. Selepas solat maghrib: 2 rakaat. Selepas solat isyak: 2 rakaat. Sebelum solat subuh: 2 rakaat. Jumlah keseluruhan adalah 12 rakaat. Solat-solat ini dikenali sebagai solat rawatib kerana Nabi Muhammad ﷺ sering melakukannya ketika berada di rumah. Ketika dalam permusafiran, Nabi ﷺ meninggalkan solat rawatib melainkan solat sunat fajar dan solat witir. Nabi ﷺ tetap menjaga solat sunat fajar dan witir sama ketika berada di rumah atau dalam perjalanan. Lebih baik untuk menunaikan solat rawatib dan witir di rumah. Namun, jika solat tersebut dilakukan di masjid, tidak ada masalah, sesuai dengan sabda Nabi ﷺ. Solat terbaik bagi seseorang adalah di rumahnya, melainkan solat fardu. [20] Riwayat al-Bukhari (6860)
Menjaga solat-solat ini merupakan salah satu sebab masuk ke syurga, berdasarkan sabda Nabi ﷺ: "Sesiapa yang mengerjakan dua belas rakaat dalam sehari semalam, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." [21] Riwayat Muslim (728)
Sekiranya seseorang menunaikan empat rakaat sebelum Asar, dua rakaat sebelum Maghrib, dan dua rakaat sebelum Isyak, maka itu adalah sesuatu yang baik kerana terdapat dalil sahih daripada Nabi ﷺ yang menunjukkan hal tersebut. Sekiranya dia menunaikan empat rakaat selepas Zohor dan empat rakaat sebelumnya, maka itu juga sesuatu yang baik, berdasarkan sabda Nabi ﷺ: "Sesiapa yang menjaga empat rakaat sebelum Zohor dan empat rakaat selepasnya, Allah Ta‘ala akan mengharamkannya daripada api neraka." [22] Maksudnya ialah seseorang menambahkan dua rakaat selepas Zohor sebagai tambahan kepada sunat rawatib kerana solat sunat rawatib bagi Zohor adalah empat rakaat sebelum dan dua rakaat selepasnya. Jika dia menambah lagi dua rakaat selepas Zohor, maka dia akan mendapat keutamaan yang disebut dalam hadis Ummu Habibah radhiallahu ‘anha. Riwayat Ahmad (25547), al-Tirmidhi (393) dan Abu Dawud (1077).
Allah jua pemilik segala tawfiq. Selawat dan salam ke atas Nabi kita Muhammad bin Abdullah, serta ke atas keluarga, para sahabat dan para pengikutnya dengan kebaikan sehingga hari kiamat.