Skip to content
Nota Padat Fardu Ain

Nota Padat Fardu Ain

Buku ini menyentuh bab-bab Usuluddin dengan susunan yang ringkas, tetapi lengkap. Dalam buku ini, pembaca akan mempelajari asas-asas ibadah yang sahih, makna-makna keimanan kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, hari Akhirat dan takdir. Buku ini dimulakan dengan penjelasan berkenaan nikmat Islam, kepentingan mempelajari berkenaan Allah, sifat-sifat dan nama-nama-Nya yang terindah. Kemudian diikuti dengan perbahasan berkenaan Lima Rukun Islam dan Rukun-Rukun Iman. Buku ini juga menerangkan tentang konsep Ihsan dan kesannya kepada individu beriman. Buku ini dilengkapi…

Language: lang_ms
Prepared by:
Version: 1.0

Nota Padat Fardu Ain

Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Sekapur Sireh

Segala puji bagi Allah, Tuhan sarwa sekalian alam. Selawat dan salam dipohon buat Nabi Rasul termulia, iaitu Nabi kita, Muhammad, dan juga buat keluarga dan sahabat handai baginda kesemuanya.

*

Antara nikmat Allah yang teragung buat seseorang adalah Dia memuliakan hamba-Nya dengan nikmat Islam, keteguhan di atasnya dan beramal dengan hukum-hakam syariat-Nya. Menerusi buku ini, seorang Muslim dapat mempelajari selok-belok agamanya yang agung, dengan laras bahasa yang ringkas. Diharapkan semoga agar ilmunya berkaitan Allah, agama Islam, dan Nabi Muhammad akan bertambah dan kukuh, sekali gus menjadikan dia hamba yang menyembah Allah berdasarkan kesedaran dan ilmu.

Hikmah Kita Diciptakan

Allah SWT telah menciptakan kita untuk hikmah yang agung, iaitu supaya kita menyembah Allah SWT semata-mata, tanpa menyekutukan-Nya dengan apa-apa. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku." (Surah al-Dhariyat: 56). Maknanya, agar manusia mengesakan Allah SWT dalam ibadah, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesiapa. Inilah tujuan utama segala bagi setiap amalan, usaha, gerak geri kita di dunia ini. Allah SWT berfirman: "Apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu dengan sia-sia (tanpa ada tujuan), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maha Suci Allah, sang maharaja hakiki; tiada yang berhak disembah selain Dia, Empunya Singgahsana Mulia." (Surah al-Mu'minun: 115-116).

Tuhanku Adalah Allah

Allah SWT berfirman: "Wahai manusia! Sembahlah Tuhan kamu, yang telah menciptakan kamu, dan orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 21)

Allah SWT berfirman lagi: "Dialah Allah, yang tidak ada apa-apa yang berhak disembah, selain Dia." (Surah al-Hasyr: 22).

Firman Allah juga: "Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya, dan Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.” (Surah al-Syura: 11)

Allah adalah Tuhanku dan Tuhan segala sesuatu; Dia Pemilik, Pencipta, Pemberi rezeki, dan Pengatur segala urusan.

Hanya Dia yang layak disembah. Tiada Tuhan selain Dia, dan tiada yang berhak disembah selain Dia.

Dia memiliki nama-nama yang paling indah dan sifat-sifat yang sempurna, sebagaimana yang Dia tetapkan untuk diri-Nya dan sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW. Nama-nama dan sifat-sifat-Nya mencapai kesempurnaan yang tertinggi, tiada yang seumpama Dia; Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.

Antara nama-nama-Nya yang terindah:

al-Razzaq, al-Rahman, al-Qadir, al-Malik, al-Sami', al-Salam, al-Basir, al-Wakil, al-Khaliq, al-Latif, al-Kafi, al-Ghafur.

al-Razzāq: Pemberi rezeki yang menjamin keperluan mental dan fizikal hamba-hamba-Nya.

al-Rahmān: Pemilik rahmat yang luas meliputi segala sesuatu.

al-Qadīr: Maha Berkuasa dengan kekuasaan sempurna tanpa kelemahan.

al-Malik: Raja yang memiliki segala keagungan, kekuasaan, dan hak mengatur bagi segala sesuatu.

al-Samī‘: Maha Mendengar segala yang tersembunyi mahupun nyata, Dia mendengar setiap doa dan keluh-kesah hamba-Nya.

al-Salām: Yang bebas daripada sebarang kekurangan, kecacatan dan kelemahan.

al-Baṣīr: Maha Melihat segala sesuatu, sekecil mana pun ia. Dia memiliki kebijaksanaan, melihat segala sesuatu sehingga ke dalamnya.

al-Wakīl: Pemelihara urusan makhluk-Nya dan penjamin keperluan mereka; Dia membela para wali-Nya, membantu dan memberi kecukupan kepada mereka.

al-Khāliq: Pencipta segala sesuatu tanpa contoh sebelumnya.

al-Laṭīf: Maha Lembut kepada hamba-hamba-Nya, mengurniakan rahmat dan memenuhi permintaan mereka.

al-Kāfī: Yang mencukupkan keperluan hamba-Nya tanpa memerlukan bantuan makhluk lain.

al-Ghafūr: Yang mengampuni dosa hamba-hamba-Nya dan tidak menghukum mereka atasnya.

Nabiku Adalah Muhammad ﷺ

Allah SWT berfirman: "Sungguh, telah datang kepadamu seorang Rasul dari kalanganmu sendiri. Berat terasa olehnya penderitaanmu, dia sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyayang dan penyantun terhadap orang-orang mukmin." (Surah al-Tawbah: 128)

Allah SWT juga berfirman: "Kami tidak mengutusmu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbiya': 107).

Nabi Muhammad SAW adalah rahmat yang diutuskan kepada seluruh alam.

Baginda ialah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim, daripada keturunan Arab Quraisy.

Ibu baginda ialah Aminah binti Wahb, dan ibu susuan baginda ialah Halimah al-Sa‘diyyah. Baginda SAW berkahwin dengan sebelas isteri dan meninggal dunia dalam keadaan sembilan orang masih hidup.

Nabi SAW mempunyai tujuh orang anak, tiga lelaki, iaitu al-Qasim, Abdullah, dan Ibrahim, serta empat perempuan, iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu Kulthum dan Fatimah.

Kita wajib mentaati perintah baginda, membenarkan segala berita yang baginda sampaikan, menjauhi larangan baginda, dan menyembah Allah hanya dengan syariat yang baginda ajarkan.

Mesej utama baginda dan juga mesej para nabi yang lain sebelum baginda, adalah untuk menyeru manusia agar menyembah Allah semata-mata. Allah SWT berfirman: “Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu (Muhammad), melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa tiada tuhan selain Aku; maka sembahlah Aku.” (Surah al-Anbiyaʾ: 25)

Baginda SAW adalah penutup segala nabi dan rasul. Allah SWT berfirman: "Muhammad bukanlah bapa kepada salah seorang lelaki kalian, tetapi baginda adalah utusan Allah dan penutup para nabi. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu" (Surah al-Ahzab: 40).

Allah SWT mengutuskan Rasul-Nya untuk menyampaikan agama Islam kepada seluruh manusia, sebagaimana firman-Nya: "Dan Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi amaran kepada seluruh manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah Saba': 28).

Baginda SAW memiliki hak-hak yang besar ke atas setiap Muslim, antaranya:

1. Beriman kepada kenabian, kebenaran, dan kemaksuman baginda dalam menyampaikan syariat, serta mentaati dan mengikuti baginda. Allah SWT berfirman: "Dan tidaklah dia (Muhammad) berbicara menurut hawa nafsunya. Dia tidak bertutur melainkan berdasarkan wahyu yang diturunkan kepadanya." (Surah al-Najm: 3-4).

2. Mencintai baginda SAW dan meletakkan kecintaan itu melebihi cinta kepada diri sendiri, anak-anak dan seluruh makhluk. Tanda kecintaan ini adalah dengan mengikuti petunjuk baginda SAW, mentaati perintahnya dan menjauhi larangannya.

3. Memuliakan, menolong dan menghormati baginda SAW dengan penuh penghormatan.

4. Berselawat ke atas baginda SAW, iaitu memuji dan memohon kepada Allah agar meninggikan kedudukan serta memuliakan baginda. Baginda bersabda: "Sesiapa yang selawat ke atasku sekali, Allah akan selawat ke atasnya sepuluh kali." Riwayat Muslim.

5. Dilarang melampaui batas terhadap baginda SAW dengan mengangkatnya melebihi kedudukan yang diberikan Allah kepadanya. Rasulullah SAW memberi amaran keras tentang hal ini dengan bersabda: "Janganlah kamu melebih-lebihkanku sebagaimana kaum Nasrani melebih-lebihkan Nabi Isa anak Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah: Hamba Allah dan Rasul-Nya." Riwayat al-Bukhari.

Sifat-Sifat Baginda ﷺ

Baginda SAW adalah seorang yang: Jujur Penyayang Sabar Berlemah lembut Berani Pemurah Berakhlak mulia Adil Rendah hati Pemaaf

Al-Quran adalah Kalam Tuhanku

Allah SWT berfirman: "Wahai manusia! Sungguh telah datang kepada kamu bukti kebenaran daripada Tuhan kamu, dan telah Kami turunkan kepada kamu cahaya yang jelas." (Surah al-Nisa': 174).

Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang hakiki, ia diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk membawa manusia keluar dari kegelapan menuju cahaya dan membimbing mereka ke jalan yang lurus. Sesiapa yang membacanya akan memperoleh ganjaran yang besar, dan sesiapa yang mengamalkan petunjuknya akan berada di atas jalan yang benar. Daripada ʿAbdullah bin Masʿūd RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan setiap kebaikan itu dilipatgandakan sepuluh kali ganda. Sahaya tidak mengatakan bahawa الم itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf." Riwayat al-Tirmidhi.

Allah SWT menjaga Al-Quran daripada perubahan dan penyelewengan, serta menjadikannya sebagai mukjizat kekal hingga hari kiamat. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan peringatan (Al-Quran), dan Kamilah yang akan menjaganya." (Surah al-Hijr: 9). Maka sesiapa yang mendakwa bahawa Al-Quran itu kurang atau telah diselewengkan, dia telah mendustakan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, serta keluar daripada agama Islam.

Al-Quran juga mengandungi apa yang terkandung dalam kitab-kitab terdahulu, ditambah pula dengan tuntutan-tuntutan ilahi dan akhlak yang luhur, serta membenarkan apa yang benar daripada kitab-kitab tersebut. Tiada kitab daripada Allah SWT pada zaman ini yang wajib diikuti, dimuliakan, dibaca sebagai ibadah, dan diamalkan kecuali al-Quran al-Karim.

Agamaku Islam

Agama terdiri daripada tiga tingkatan: Tingkatan Islam, Tingkatan Iman, dan Tingkatan Ihsan.

Tingkatan Pertama: Islam

Islam ialah: Menyerahkan diri kepada Allah dengan tauhid, tunduk kepada-Nya dengan ketaatan dan berlepas diri daripada syirik dan para pelakunya.

Rukun-rukun Islam

Nabi SAW bersabda: "Islam dibangun di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, dan menunaikan haji ke Baitullah." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Rukun Islam adalah ibadah-ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim. Islam seseorang tidak sah kecuali dengan meyakini kewajipan rukun-rukun ini serta melaksanakannya kerana Islam dibangunkan di atas asas tersebut. Oleh itu, rukun-rukun ini dinamakan sebagai Rukun Islam.

Rukun-rukun tersebut ialah:

Rukun Pertama: Syahadah (Kesaksian) bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah

Allah SWT berfirman: "Maka ketahuilah bahawa tiada yang berhak disembah melainkan Allah." (Surah Muhammad: 19).

Allah SWT juga berfirman: "Sungguh telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan kamu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagi kamu, penyayang dan belas kasihan terhadap orang-orang yang beriman." (Surah al-Tawbah: 128).

Maksud syahadah 'La ilaha illallah': Tiada yang berhak disembah kecuali Allah.

Maksud syahadah 'Muhammad Rasulullah': Mentaati Baginda ﷺ dalam segala perintahnya, membenarkan semua yang dikhabarkannya, menjauhi segala yang dilarangnya, serta tidak menyembah Allah kecuali dengan syariat yang dibawanya.

Rukun Kedua: Mendirikan Solat

Allah SWT berfirman: "Dan dirikanlah solat." (Surah al-Baqarah: 110).

Mendirikan solat ialah melaksanakannya sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT dan diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Rukun Ketiga: Menunaikan Zakat

Allah SWT berfirman: "Dan tunaikanlah zakat." (Surah al-Baqarah: 110).

Allah SWT mewajibkan zakat sebagai ujian terhadap keimanan seorang Muslim, sebagai tanda syukur atas nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah dan sebagai bantuan kepada golongan fakir dan yang memerlukan.

Menunaikan zakat dilakukan dengan menyerahkannya kepada mereka yang layak menerima.

Ia adalah hak yang wajib diambil daripada harta seseorang apabila mencapai kadar tertentu. Zakat diberikan kepada lapan golongan yang disebut dalam al-Quran, antaranya fakir dan miskin.

Menunaikan zakat menunjukkan sifat rahmah dan belas kasih, menyucikan akhlak serta harta seorang Muslim, memberikan kepuasan kepada golongan fakir dan miskin, serta menguatkan hubungan kasih sayang dan persaudaraan dalam masyarakat Muslim. Oleh sebab itu, seorang Muslim yang soleh mengeluarkan zakat dengan hati yang rela dan merasa gembira melakukannya kerana ia membawa kebahagiaan kepada orang lain.

Kadar zakat harta ialah 2.5% daripada harta simpanan berupa emas, perak, wang tunai, atau barang dagangan yang disediakan untuk jual beli dengan tujuan mendapat keuntungan, apabila nilai harta tersebut mencapai kadar tertentu dan genap setahun.

Zakat juga diwajibkan bagi mereka yang memiliki sejumlah tertentu daripada binatang ternakan seperti unta, lembu dan kambing sekiranya binatang itu dibiarkan makan rumput di padang sepanjang tahun tanpa diberi makan oleh pemiliknya.

Selain itu, zakat diwajibkan pada hasil bumi seperti rikaz (harta terpendam peninggalan zaman jahiliah), serta hasil tanaman, buah-buahan dan mineral apabila mencapai kadar tertentu.

Rukun Keempat: Puasa Pada Bulan Ramadan

Allah SWT berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 183).

Ramadan ialah bulan kesembilan dalam kalendar Hijrah. Ia adalah bulan yang dimuliakan dalam Islam dan memiliki kedudukan istimewa berbanding bulan-bulan lain. Berpuasa sepanjang bulan Ramadan merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang lima.

Puasa Ramadan ialah ibadah kepada Allah SWT dengan menahan diri daripada makan, minum, hubungan suami isteri, dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari sepanjang bulan Ramadan yang mulia.

Rukun Kelima: Menunaikan Haji ke Baitullah

Allah SWT berfirman: "Dan kewajipan manusia terhadap Allah ialah melaksanakan haji ke Baitullah, iaitu bagi orang yang mampu melakukan perjalanan ke sana." (Surah Ali 'Imran: 97).

Haji diwajibkan ke atas mereka yang mampu melakukannya sekali seumur hidup. Haji ialah perjalanan menuju Baitullah dan tempat-tempat suci di Mekah untuk melaksanakan ibadah tertentu pada waktu tertentu. Nabi Muhammad SAW telah menunaikan haji, sebagaimana para nabi sebelumnya. Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim AS untuk menyeru manusia supaya menunaikan haji, seperti yang disebut dalam firman-Nya: "Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki atau menunggang unta yang kurus, mereka datang dari segenap penjuru yang jauh." (Surah al-Hajj: 27).

Tingkatan Kedua: Iman

Iman ialah pengakuan, kepercayaan yang kukuh dan penerimaan sepenuhnya terhadap semua perkara yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya untuk dipercayai. Ia melibatkan kepatuhan zahir dan batin, iaitu keyakinan hati yang disertai dengan amalan hati dan anggota badan. Iman meliputi seluruh agama, bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan.

Rukun-Rukun Iman

Nabi Muhammad SAW pernah ditanya tentang iman, lalu baginda menjawab: "Ia adalah keimanan kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya, hari akhirat dan takdir sama ada baik atau buruk."

Rukun iman adalah ibadah hati yang wajib diimani oleh setiap Muslim. Tanpa kepercayaan terhadap rukun ini, Islam seseorang tidak sah. Oleh sebab itu, dinamakan sebagai rukun iman. Perbezaan antara Rukun Iman dan Rukun Islam: Rukun Islam adalah amalan zahir yang dilakukan dengan anggota badan, seperti mengucapkan syahadah, solat dan menunaikan zakat. Manakala Rukun Iman adalah kepercayaan hati, seperti beriman kepada Allah, malaikat dan kitab-Nya.

Rukun Pertama: Beriman kepada Allah

Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya orang-orang beriman itu ialah mereka yang beriman kepada Allah." (Surah al-Nur: 62).

Kita mengimani Allah itu wujud, esa lagi tunggal pada ciri ketuhanan-Nya, hak penyembahan-Nya, dan pada nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Disimpulkan, beriman kepada Allah merangkumi:

1. Percaya kepada kewujudan-Nya.

2. Percaya kepada rububiyyah-Nya, iaitu bahawa Dia adalah Pemilik, Pencipta, Pemberi rezeki dan Pengatur segala urusan.

3. Percaya kepada uluhiyyah-Nya, iaitu bahawa Dia sahaja yang berhak disembah tanpa sekutu, seperti dalam ibadah solat, doa, nazar, penyembelihan, permohonan pertolongan, dan perlindungan.

4. Percaya kepada nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang mulia, seperti yang disebutkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Kita juga menafikan nama-nama dan sifat-sifat yang Allah dan Rasul-Nya nafikan. Nama dan sifat Allah mencapai kesempurnaan mutlak. Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Rukun Kedua: Beriman kepada Malaikat

Allah SWT berfirman: "Segala puji bagi Allah, Pencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat sebagai utusan dengan sayap dua, tiga, atau empat; Dia menambah pada ciptaan-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Surah Fatir: 1)

Kita beriman bahawa malaikat adalah makhluk ghaib yang dicipta Allah daripada cahaya, mereka patuh dan tunduk kepada Allah.

Mereka adalah ciptaan yang agung, tiada siapa yang mengetahui kekuatan dan bilangan mereka selain Allah. Setiap malaikat mempunyai tugas tertentu yang ditentukan oleh Allah, seperti Jibril AS yang bertugas menyampaikan wahyu kepada para rasul.

Rukun Ketiga: Beriman kepada Kitab-Kitab Allah

Allah SWT berfirman: "Katakanlah: Kami beriman kepada Allah, kepada apa yang diturunkan kepada kami, kepada apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya'qub, dan keturunan mereka, kepada apa yang diberikan kepada Musa dan Isa, serta kepada apa yang diberikan kepada para nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membezakan antara seorang pun dari mereka dan kami hanya tunduk kepada-Nya." (Surah al-Baqarah: 136).

Kita beriman bahawa Allah SWT menurunkan beberapa buah kitab kepada beberapa orang utusan-Nya, sebagai hujah buat manusia dan panduan buat orang yang mahu beramal.

Berdasarkan kitab-kitab ini, para rasul mengajarkan al-Hikmah kepada umat manusia dan menyemai keimanan dalam hati mereka.

Kita juga beriman bahawa Allah SWT mengutuskan Nabi SAW kepada seluruh umat manusia, baginda memansuhkan syariat-syariat sebelumnya. Allah SWT menjadikan al-Quran sebagai autoriti yang menghukum kitab-kitab samawi yang lain, sekali gus memansuhkan autoriti kitab-kitab tersebut. Allah SWT telah menjamin untuk memelihara al-Quran daripada sebarang pengubahsuaian atau penyelewengan. Allah berfirman: "Sungguh, Kamilah yang menurunkan ingatan (al-Quran dan al-Sunnah), dan Kamilah akan menjaganya." (Surah al-Hijr: 9). Hal ini kerana al-Quran adalah kitab terakhir yang diturunkan kepada umat manusia, dan Nabi Muhammad adalah utusan terakhir yang dihantar, dan Islam sudah ditetapkan menjadi satu-satunya agama yang Allah redai buat manusia sehingga hari Kiamat. Allah SWT berfirman: "Sungguh, agama yang sah di sisi Allah hanyalah Islam." (Surah Ali 'Imran: 19).

Kitab-kitab yang disebut dalam al-Quran ialah:

Al-Quran: Diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Taurat: Diturunkan kepada Nabi Musa AS.

Injil: Diturunkan kepada Nabi Isa AS.

Zabur: Diturunkan kepada Nabi Dawud AS.

Suhuf Ibrahim: Diturunkan kepada Nabi Ibrahim AS.

Rukun Keempat: Beriman kepada Rasul

Allah SWT berfirman: "Dan sungguh, Kami telah mengutus seorang rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan), 'Sembahlah Allah dan jauhilah thaghut.'” (Surah al-Nahl: 36).

Beriman kepada rasul bermakna percaya bahawa Allah telah mengutus para rasul kepada manusia untuk menyeru kepada ibadah kepada-Nya semata-mata, tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, serta menolak segala bentuk sembahan selain-Nya.

Kami juga percaya bahawa: - Para rasul adalah manusia biasa yang diangkat menjadi hamba Allah. - Mereka adalah orang yang benar, dipercayai dan mulia. - Mereka diberikan mukjizat sebagai bukti kebenaran risalah mereka. - Mereka menyampaikan sepenuhnya segala yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka.

Misi utama mereka adalah menyeru kepada tauhid (mengesakan Allah) dalam ibadah dan menolak segala bentuk syirik.

Rukun Kelima: Beriman kepada Hari Akhirat

Allah SWT berfirman: "Allah, tidak ada yang berhak disembah selain Dia. Sungguh, Dia akan mengumpulkan kamu pada Hari Kiamat, yang tidak diragukan lagi. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?" (Surah al-Nisa': 87).

Beriman kepada hari akhirat bermaksud percaya kepada semua perkara yang berkaitan dengannya, seperti yang disebut dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, termasuk: - Kematian dan kehidupan selepas mati. - Hari kebangkitan dan perhimpunan. - Syafaat, mizan (penimbangan amal), hisab (perhitungan amal), syurga dan neraka.

Rukun Keenam: Beriman kepada Qada’ dan Qadar

Allah SWT berfirman: "Sungguh, Kami menciptakan segala sesuatu menurut takdir (yang telah ditetapkan).” (Surah al-Qamar: 49).

Kami beriman kepada qada’ dan qadar, sama ada yang baik mahupun yang buruk. Ia adalah ketetapan Allah SWT terhadap segala kejadian dalam makhluk berdasarkan ilmu-Nya yang mendalam dan hikmah-Nya yang sempurna. Segala yang berlaku di alam ini adalah di bawah pengetahuan dan ketentuan Allah SWT, serta pengaturan-Nya yang tiada tandingan. Ketentuan tersebut telah ditulis oleh Allah sebelum penciptaan manusia. Dalam masa yang sama, manusia diberikan kehendak dan kemampuan untuk melakukan perbuatan. Walaupun begitu, segala kehendak dan perbuatan manusia tidak keluar daripada ilmu, kehendak dan ketentuan Allah SWT. Keimanan kepada qada’ dan qadar ini membawa kita kepada keyakinan penuh terhadap keadilan dan hikmah Allah, serta mendorong kita untuk terus berusaha sambil berserah kepada-Nya.

Beriman dengan takdir melalui beberapa peringkat:

Pertama: Beriman dengan ilmu Allah yang meliputi segala sesuatu.

Kedua: Beriman kepada Allah terhadap semua ketentuan yang akan berlaku hingga Hari Kiamat.

Ketiga: Beriman kepada kehendak Allah yang pasti berlaku dan kekuasaan-Nya yang sempurna. Segala yang Dia kehendaki berlaku, segala yang Dia tidak kehendaki tidak akan berlaku.

Keempat: Beriman bahawa Allah adalah Pencipta segala sesuatu, tiada sekutu bagi-Nya dalam penciptaan.

Tingkatan Ketiga: Ihsan

Ihsan ialah: "Kamu menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya; jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu." Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa dan mereka yang berbuat ihsan." (Surah al-Nahl: 128).

Taharah (Bersuci)

Allah SWT berfirman: "Sungguh, Allah mencintai orang-orang yang sering bertaubat dan yang sentiasa membersihkan diri." (Surah al-Baqarah: 22).

Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian solat dua rakaat tanpa memikirkan perkara lain, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu." Riwayat al-Bukhari.

Solat begitu mulia sehingga Allah mewajibkan taharah (kesucian) sebelum mengerjakannya, menjadikannya syarat sah solat. Taharah adalah kunci solat. Memahami keutamaannya menjadikan hati bersemangat untuk menunaikan ibadah. Nabi SAW bersabda: "Kesucian adalah separuh iman. Ucapan 'Alhamdulillah' memenuhi timbangan dan ucapan 'Subhanallah walhamdulillah' memenuhi (atau hampir memenuhi) apa yang ada antara langit dan bumi. Solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti, sabar adalah sinar dan al-Quran adalah hujah sama ada untukmu atau terhadapmu. Setiap manusia keluar (di waktu pagi), lalu menjual dirinya; sama ada membebaskan dirinya (dengan amal soleh) atau membinasakannya (dengan dosa)." Riwayat Muslim.

Baginda SAW juga bersabda: "Sesiapa yang berwuduk dan melakukannya dengan sempurna, dosa-dosanya akan keluar dari tubuhnya sehingga keluar dari bawah kukunya." Riwayat Muslim.

Seorang hamba mendekati Tuhannya dalam keadaan bersih, baik secara fizikal dengan wuduk mahupun secara rohani dengan ikhlas dalam ibadahnya, mencontohi sunnah Nabi SAW.

Amalan yang Memerlukan Wuduk:

1. Solat, baik fardu mahu pun sunat.

2. Tawaf di Kaabah.

3. Menyentuh mashaf al-Quran.

Wuduk dan Mandi dengan Air yang Suci:

Air yang suci ialah setiap air yang turun dari langit atau keluar dari bumi, kekal dalam sifat asal penciptaannya, tanpa perubahan pada salah satu daripada tiga cirinya (warna, rasa, dan bau) oleh sesuatu yang menghilangkan kesuciannya.

Wuduk

Langkah 1: Niat. Ia dilakukan di dalam hati. Niat adalah azam hati untuk melaksanakan ibadah sebagai tanda mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Langkah 2: Menyebut: Bismillah.

Langkah 3: Membasuh kedua-dua tangan sehingga pergelangan tangan sebanyak tiga kali.

Langkah 4: Berkumur tiga kali.

Berkumur adalah memasukkan air ke dalam mulut, menggerakkannya, dan meludahkannya semula.

Langkah 5: Intinsyaq kemudian istinthar, sebanyak tiga kali. Istinsyaq adalah menyedut air dengan nafas ke dalam hidung.

Istinthar adalah menghembuskan air dan hingus daripada hidung.

Langkah 6: Membasuh muka, tiga kali.

Definisi muka:

Muka adalah bahagian yang tampak ketika saling duduk berdepan.

Batasan lebar muka dari telinga ke telinga.

Batasan panjang muka dari tempat normal tumbuh rambut, sehingga bawah dagu.

Basuhan wajah juga meliputi rambut yang nipis, kulit wajah, serta bahagian lain seperti kawasan putih sebelah telinga, dan rambut tepi telinga (sideburn).

Bahagian putih adalah kawasan di antara pelipis dan cuping telinga.

Al-'Izar merupakan rambut yang tumbuh di atas tulang yang menonjol selari dengan lubang telinga yang memanjang dalam kepala dan bahagian yang ke bawah darinya sehingga ke dasar telinga.

Begitu juga wajib membasuh semua bahagian luar janggut yang tebal dan memanjang.

Langkah 7: Membasuh kedua-dua tangan, bermula hujung jari sehingga hujung siku, sebanyak tiga kali.

Siku juga termasuk dalam kawasan yang wajib dibasuh.

Langkah 8: Menyapu air ke seluruh kepala dengan kedua-dua tangan, termasuk kedua-dua telinga, sekali sahaja.

Mulakan dari hadapan kepala hingga belakang (tengkuk), kemudian kembalikan tangan ke hadapan.

Masukkan jari telunjuk ke dalam telinga untuk membersihkan bahagian dalam, dan sapu bahagian luar telinga dengan ibu jari.

Langkah 9: Membasuh kedua-dua kaki, daripada hujung jari, sehingga buku lali, sebanyak 3 kali. Buku lali juga termasuk bahagian yang wajib dibasuh.

Buku lali adalah tulang yang timbul di bahagian bawah betis.

Langkah 10: Disunatkan selepas berwuduk untuk mengucapkan: "Ashhadu an la ilaha illa Allah, wahdahu la syarika lah, wa ashhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluh. Allahumma aj‘alni min al-tawwabina wa aj‘alni min al-mutatahirin." "Saya bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah, tiada sekutu bagi-Nya. Dan saya bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan Allah. Wahai Allah, golongkanlah diriku dalam kalangan orang yang bertaubat dan menyucikan diri." Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna, kemudian membaca doa ini, akan dibukakan untuknya lapan pintu syurga; dia boleh masuk melalui mana-mana pintu yang dia kehendaki." Riwayat al-Tirmidhi.

Perkara yang membatalkan wuduk:

1. Keluar sesuatu daripada salah satu kemaluan, seperti kencing, najis, angin, mani dan mazi.

2. Hilang akal, sama ada disebabkan tidur lena, pengsan, mabuk atau gila.

3. Berlaku perkara yang mewajibkan mandi wajib, seperti berjunub, haid dan nifas.

Jika seseorang selesai membuang hajat, dia wajib membersihkan najis menggunakan air mutlak, ini pilihan terbaik. Boleh juga dengan bahan lain seperti batu, kertas, kain, atau seumpamanya, dengan syarat sekurang-kurangnya tiga sapuan bersih menggunakan sesuatu yang suci dan dibenarkan.

Menyapu Air atas Khuf dan Stoking

Seseorang yang memakai khuf atau stoking boleh hanya mengusap di atasnya tanpa perlu membasuh kaki, dengan syarat:

1. Dia memakainya selepas bersuci secara sempurna dari hadas kecil dan besar.

2. Khuf dan stoking tersebut dibuat daripada bahan yang suci, bukan najis.

3. Tempoh sapuan tersebut dilakukan dalam tempoh yang telah ditentukan.

4. Khuf atau stoking tersebut hendaklah halal, tidak boleh menyapu di atas hasil curian atau rampasan.

Khuf adalah sarung kaki yang diperbuat dari kulit nipis atau seumpamanya. Hukum kasut yang menutup keseluruhan kaki juga sama sepertinya. Stoking pula adalah sarung kaki yang diperbuat dari kain atau seumpanya.

Hikmah Menyapu Atas Khuf: Hikmah daripada amalan ini adalah bagi memudahkan dan meringankan kaum Muslimin yang sukar menanggalkan khuf atau stoking untuk membasuh kaki, terutama ketika sejuk yang melampau, atau ketika bermusafir.

Tempoh Sapuan: Sehari semalam (24 jam) bagi orang yang tidak bermusafir. Bagi yang bermusafir, tiga hari tiga malam (72 jam).

Tempoh sapuan bermula dengan sapuan pertama ketika berwuduk selepas berhadas.

Tatacara Menyapu Atas Sarung Kaki:

1. Basahkan kedua-dua tangan.

2. Usap bahagian atas kaki, dari jari sehingga hujung bawah betis.

3. Kaki kanan disapu dengan tangan kanan, dan kaki kiri disapu dengan tangan kiri.

Menyapu atas sarung kaki terbatal dengan setiap perkara yang mewajibkan mandi wajib, dan apabila tamatnya tempoh sapuan.

Mandi Wajib

Apabila berlaku persetubuhan, walaupun tidak keluar mani, atau keluar mani dengan syahwat, sama ada ketika sedar atau tidur, maka wajib untuk mandi wajib, agar halal untuknya mendirikan solat dan beberapa perkara lain. Begitu wanita apabila suci daripada haid dan nifas, wajib baginya mandi wajib sebelum halal untuk solat atau beberapa lain.

Tatacara Mandi Wajib:

Apabila orang berhadas besar meratakan air ke seluruh badannya dengan apa-apa cara sekali pun, termasuklah berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung, terangkatlah hadasnya dan sempurnalah mandi wajibnya.

Tetapi terdapat tatacara mandi wajib yang lebih sempurna, iaitu yang dilakukan oleh Nabi SAW, sebagaimana yang berikut:

1. Berniat mahu angkat hadas.

2. Menyebut "Bismillah," membasuh tangan tiga kali, membasuh kemaluan.

3. Berwuduk sempurna seperti mahu solat.

4. Mencurahkan air ke atas kepala tiga kali, membasahkan semua kawasan kulit kepalanya.

5. Meratakan air ke seluruh tubuh badan, dimulakan dengan bahagian kanan dahulu, kemudian bahagian kiri. Gosok seluruh badan dengan tangan bagi memastikan air sampai ke setiap inci tubuh.

Beberapa Perkara yang Diharamkan Bagi Orang yang Berhadas Besar:

1. Solat.

2. Tawaf di Kaabah.

3. Duduk di dalam masjid. Tetapi dibenarkan untuk melintas tanpa berhenti di dalam masjid.

4. Menyentuh mashaf al-Quran.

5. Membaca al-Quran.

Tayamum

Sekiranya seseorang tidak menemui air untuk bersuci, atau tidak mampu menggunakan air kerana sakit, maka dia dibenarkan untuk bertayamum dengan tanah.

Tatacaranya adalah dengan menepuk kedua-dua tangannya ke tanah sekali, kemudian dia menyapu wajah dan telapak tangannya sahaja. Disyaratkan agar tanah tersebut suci.

Tayammum terbatal dengan beberapa perkara:

1. Berlaku perkara yang membatalkan wuduk.

2. Muncul air sebelum memulakan ibadah.

Solat

Allah SWT mewajibkan seorang Muslim untuk solat 5 waktu, sehari semalam. Iaitu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak.

Bersiap Untuk Solat

Apabila waktu solat telah masuk, seorang Muslim perlulah bersegera bersuci dari hadas kecil dan besar.

Hadas besar adalah situasi yang mewajibkan mandi wajib.

Hadas kecil adalah situasi yang mewajibkan berwuduk.

Seorang Muslim hendaklah solat dengan pakaian yang suci, di tempat yang suci, dalam keadaan menutup aurat.

Orang yang mahu solat sewajarnya berhias dengan pakaian yang bersesuaian untuk solat. Bagi lelaki, tidak dibenarkan menampakkan apa-apa bahagian antara pusat dan lutut.

Bagi perempuan pula, wajib menutup seluruh tubuhnya ketika solat, kecuali wajah dan tapak tangan.

Seorang Muslim tidak dibenarkan bercakap-cakap dalam solat, selain bacaan khusus ketika solat. Dia hendaklah mendiamkan diri ketika mendengar bacaan imam. Dia tidak boleh memalingkan wajah ketika solat. Jika dia tidak mampu mengingati bacaan khusus ketika solat, dia dibenarkan untuk berzikir dan menyucikan Allah sepanjang solat. Tetapi dia wajib untuk segera mempelajari tatacara dan bacaan khusus solat.

Langkah-langkah Solat yang Benar:

Langkah 1: Berniat untuk melaksanakan fardu solat yang ingin ditunaikan, dengan niat di dalam hati sahaja.

Setelah berwuduk, hadapkan diri ke arah kiblat dan berdiri jika mampu.

Langkah 2: Angkat kedua-dua tangan sejajar dengan bahu sambil mengucapkan: "Allahu Akbar", dengan niat memulakan solat.

Langkah 3: Baca doa iftitah sebagaimana yang diriwayatkan, contohnya: Subḥānaka Allāhumma wa biḥamdika, wa tabāraka asmuka, wa taʿālā jadduka, wa lā ilāha ghayruk. "Maha suci-Mu, wahai Allah, dengan memuji-Mu, maha berkat nama-Mu, maha tinggi kemuliaan-Mu, tiada yang berhak disembah selain-Mu."

Langkah 4: Mohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk dengan membaca: Aʿūdhu billāhi mina al-shayṭāni al-rajīm. "Saya berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terlaknat."

Langkah 5: Baca Surah al-Fatihah pada setiap rakaat, seperti berikut: Alḥamdulillāhi Rabbil ‘Ālamīn. "Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam." Ar-Raḥmānir-Raḥīm. "Yang maha pengasih, lagi maha menyayangi." Māliki Yawm al-Dīn. "Yang menguasai hari pembalasan." Iyyāka na'bdu, wa iyyaāka nasta'īn. "Hanya kepada-Mu kami menyembah, dan hanya kepada-Mu kami mohon pertolongan." Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. "Bimbinglah kami di atas jalan yang lurus." Ṣirāṭal-lladhīna an'amta 'alayhim, ghayril Maghḍūbi 'alayhim, walaḍḍallīn. "Iaitu jalan orang-orang yang Kau kurniakan nikmat, bukan jalan orang-orang dimurkai, atau orang-orang sesat."

Kemudian ucapkan: "Amin", yang bermaksud: "Ya Allah, perkenankanlah."

Selepas bacaan al-Fatihah, dibaca surah-surah yang mudah pada rakaat pertama dan kedua. Ia bukanlah sesuatu yang wajib, tetapi ganjarannya besar.

Langkah 6: Menyebut ;Allahu Akbar' sambil rukuk, sehingga bahagian belakang menjadi lurus mendatar, dalam keadaan tangan menggenggam lutut dengan jari-jari direnggangkan. Dibaca ketika rukuk: ‘Subḥāna Rabbiyal-‘Aẓīm’ (Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agung) sebanyak tiga kali.

Langkah 7: Berdiri dari rukuk sambil membaca: ‘Samiʿallāhu liman ḥamidah’ (Allah menerima orang yang memuji-Nya), sambil mengangkat kedua tangan sejajar dengan bahu. Apabila badan tegak berdiri, dibaca: ‘Rabbanā wa laka al-ḥamd’ (Wahai Tuhan kami, segala puji bagi-Mu).

Langkah 8: Menyebut 'Allahu Akbar' sambil turun, untuk sujud di atas dua tangan, dua lutut, dua tapak kaki, dahi dan hidung. Dalam sujud dibacakan: ‘Subḥāna Rabbiyal-Aʿlā’ (Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi) sebanyak tiga kali.

Langkah 9: Menyebut 'Allahu Akbar' sambil bangun dari sujud, sehingga duduk tegak lurus sambil duduk di atas kaki kiri dan menegakkan kaki kanan. Ketika duduk diucapkan: ‘Rabbighfir lī’ (Wahai Tuhanku, ampuni aku) sebanyak tiga kali.

Langkah 10: Menyebut 'Allahu Akbar' dan sujud sekali lagi seperti sujud pertama.

Langkah 11: Bangun dari sujud sambil menyebut 'Allahu Akbar' sehingga tegak berdiri semula. Itulah satu rakaat. Langkah-langkah dalam rakaat pertama tadi akan diulang semula dalam rakaat yang lain.

Selepas rakaat kedua dalam solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak, hendaklah duduk sebentar bagi membaca tahiyat awal, iaitu: “At-taḥiyyātu lillāh, waṣ-ṣalawātu waṭ-ṭayyibāt, as-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu wa raḥmatullāhi wa barakātuh, as-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhiṣ-ṣāliḥīn. Ashhadu allā ilāha illallāh, wa ashhadu anna Muḥammadan ‘abduhu wa rasūluh.” "Segala penghormatan, pujian, dan kebaikan adalah milik Allah. Salam sejahtera bagimu, wahai Nabi, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya." Kemudian bangkit untuk rakaat ketiga pula.

Pada rakaat terakhir setiap solat, saya akan duduk sebentar untuk membaca tahiyat akhir, iaitu: "At-taḥiyyātu lillāh, waṣ-ṣalawātu waṭ-ṭayyibāt, as-salāmu ʿalaika ayyuhan-nabiyyu wa raḥmatullāhi wa barakātuh, as-salāmu ʿalainā wa ʿalā ʿibādillāhi aṣ-ṣāliḥīn. Ash-hadu an lā ilāha illa-llāh, wa ash-hadu anna Muḥammadan ʿabduhu wa rasūluh. Allāhumma ṣalli ʿalā Muḥammad wa ʿalā āli Muḥammad, kamā ṣallayta ʿalā Ibrāhīm wa ʿalā āli Ibrāhīm, innaka ḥamīdun majīd. Allāhumma bārik ʿalā Muḥammad wa ʿalā āli Muḥammad, kamā bārakta ʿalā Ibrāhīm wa ʿalā āli Ibrāhīm, innaka ḥamīdun majīd." "Segala penghormatan, keberkatan, pujian, dan kebaikan hanya untuk Allah. Salam sejahtera ke atasmu, wahai Nabi, dan rahmat Allah serta keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Ya Allah, berikanlah selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau berselawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Berkatilah Nabi Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau memberkati Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia."

Langkah 12: Selepas itu, memberi salam ke arah kanan, sambil menyebut: ‘As-salāmu ʿalaikum wa raḥmatullāh,’ kemudian ke arah kiri begitu juga, sambil berniat untuk keluar dari solat. Dengan ini, telah selesailah solat.

Hijab Wanita Muslimah

Allah SWT berfirman: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan wanita-wanita mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah dikenali sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Ahzab: 59).

Allah telah mewajibkan wanita Muslimah memakai hijab dan menutup aurat serta seluruh tubuhnya daripada pandangan lelaki bukan mahram, dengan menggunakan pakaian yang biasa dipakai di negaranya. Tidak dibenarkan bagi seorang wanita membuka hijabnya kecuali di hadapan suaminya atau mahramnya, iaitu mereka yang diharamkan berkahwin dengannya secara kekal. Mereka adalah: - Ayah dan datuk ke atas, - Anak lelaki dan cucu ke bawah, - Pakcik sebelah ibu dan bapa, - Saudara lelaki, - Anak lelaki saudara lelaki, - Anak lelaki saudara perempuan, - Suami ibu (bapa tiri), - Bapa suami (bapa mertua) dan datuk sebelah suami, - Anak lelaki suami (anak tiri), - Saudara lelaki sesusuan, dan suami ibu susuan. Nota: Apa-apa yang diharamkan melalui hubungan darah juga diharamkan melalui susuan.

Wanita Muslimah perlu mematuhi beberapa garis panduan dalam berpakaian:

1. Menutup seluruh tubuh.

2. Tidak memakai pakaian yang digunakan untuk berhias di hadapan lelaki bukan mahram.

3. Tidak memakai pakaian yang tipis sehingga menampakkan tubuh.

4. Pakaian mesti longgar dan tidak ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh.

5. Tidak memakai wangian apabila berada dalam kawasan yang ada lelaki bukan mahram yang boleh mencium baunya.

6. Tidak menyerupai pakaian lelaki.

7. Tidak menyerupai pakaian wanita bukan Muslim dalam upacara agama atau perayaan mereka.

8. Tidak memakai pakaian yang menjolok mata atau terlalu menonjol kerana aneh.

Antara Sifat Orang Beriman

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, hati mereka menjadi gementar, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, iman mereka bertambah, dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.” (Surah al-Anfal: 2)

- Jujur dalam percakapan dan tidak berdusta.

- Menepati janji.

- Tidak melampau dalam berselisih.

- Menunaikan amanah.

- Mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.

- Dermawan.

- Berbuat baik kepada orang lain.

- Menjalin hubungan silaturrahim.

- Reda dengan takdir ketika senang dan sukar.

- Memiliki sifat malu.

- Mengasihi makhluk.

- Hatinya suci daripada dendam, anggota badannya tidak menyakiti orang lain.

- Memaafkan orang lain.

- Tidak makan riba, tidak melakukan transaksi riba.

- Tidak berzina.

- Tidak minum arak.

- Berbuat baik kepada jiran.

- Tidak menzalimi, tidak mengkhianati.

- Tidak mencuri, tidak menipu.

- Berbakti kepada ibu bapa walaupun bukan Muslim, mentaati mereka dalam perkara baik.

- Mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni, mengarahkan mereka melaksanakan kewajipan agama, menjauhkan mereka daripada sifat buruk dan perkara haram.

- Tidak meniru perbuatan orang kafir, terutamanya dalam perayaan agama mereka, atau adat khusus buat mereka.

- Bertaubat dan beristighfar kepada Allah atas kelemahan dan dosa.

Prinsip-Pensip Penting dalam Akidah Muslim

1. Allah adalah Tuhan kita, tiada yang berhak disembah selain Dia, tiada Tuhan selain Dia, tiada sesuatu pun yang menyerupai-Nya, dan tiada sesuatu pun yang dapat melemahkan-Nya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

2. Allah SWT berada di atas langit, tinggi di atas semua makhluk-Nya, terpisah daripada mereka. Ketinggian-Nya adalah mutlak dalam segala aspek: ketinggian zat, ketinggian kedudukan, dan ketinggian kekuasaan. Allah SWT meliputi segala sesuatu.

3. Kita menetapkan bagi Allah segala yang Allah tetapkan untuk diri-Nya atau yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad SAW, berupa nama-nama dan sifat-sifat-Nya, serta kita menafikan apa yang Allah nafikan dari diri-Nya atau yang dinafikan oleh Nabi SAW.

4. Allah SWT mengabulkan doa, memenuhi keperluan, memiliki segala sesuatu, dan hanya Dia yang dapat memberi mudarat atau manfaat. Tidak boleh seorang Muslim berpaling kepada selain Allah dalam apa jua bentuk ibadah seperti doa, solat, nazar, sembelihan, rasa takut, harapan, tawakal, dan lain-lain ibadah zahir atau batin. Sesiapa yang mempersembahkan ibadah kepada selain Allah adalah musyrik.

5. Dosa paling besar adalah syirik kepada Allah. Sesiapa yang mati dalam keadaan syirik, maka Allah mengharamkan syurga baginya dan tempat tinggalnya adalah neraka. Syirik adalah dosa yang tidak diampuni jika seseorang mati tanpa bertaubat daripadanya.

6. Apa yang tidak ditakdirkan untuk seseorang tidak akan menimpanya, dan apa yang menimpanya tidak mungkin tersasar daripadanya. Seorang Muslim wajib beriman kepada takdir Allah dan reda dengan ketentuan-Nya, serta memuji dan bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan.

7. Nabi Muhammad SAW adalah nabi kita, sebaik-baik manusia dan penutup para nabi. Baginda adalah pemberi syafaat pada hari kiamat, dan Allah menjadikannya kekasih sebagaimana Ibrahim AS juga menjadi kekasih-Nya.

8. Kitab kita adalah Al-Quran yang merupakan mukjizat, kebenarannya pasti dan membacanya adalah ibadah. Al-Quran diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS, malaikat yang terbaik. Allah memeliharanya daripada sebarang penyelewengan atau perubahan, sebagaimana firman-Nya: "Sungguh, Kamilah yang menurunkan ingatan (al-Quran dan al-Sunnah), dan Kamilah akan menjaganya." (Surah al-Hijr: 9).

9. Orang yang paling dekat kepada Allah ialah mereka yang paling taat kepada-Nya dan paling banyak mengikuti syariat-Nya. Tiada kelebihan seorang Arab ke atas bukan Arab, atau sebaliknya, tiada kelebihan seorang putih ke atas hitam, atau sebaliknya, melainkan dengan ketakwaan. Semua manusia berasal dari Adam, dan Adam berasal dari tanah, sebagaimana firman Allah: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa." (Surah al-Hujurat: 13)

10. Seorang Muslim beriman kepada malaikat-malaikat yang mulia, bahawa mereka adalah hamba yang dicipta daripada cahaya, dan mereka melaksanakan tugas-tugas tertentu yang ditetapkan oleh Allah: Jibril (menyampaikan wahyu), Mikail (mengurus hujan), Israfil (meniup sangkakala), dan Malaikat Maut (mencabut nyawa).

11. Seorang Muslim percaya kepada tanda-tanda kiamat, kemunculan Dajjal, turunnya Nabi Isa AS dari langit pada akhir zaman dan terbitnya matahari dari sebelah barat.

12. Seorang Muslim meyakini adanya azab kubur bagi yang layak menerimanya, nikmat kubur bagi yang layak mendapatkannya, serta soalan Malaikat Munkar dan Nakir tentang Tuhannya, agamanya dan nabinya. Kubur adalah sama ada taman daripada taman-taman syurga atau lubang daripada lubang-lubang neraka.

13. Seorang Muslim beriman kepada kebangkitan semula dan pembalasan terhadap amal pada hari kiamat. Syurga dan neraka adalah makhluk yang kekal dan tidak akan lenyap.

14. Sihir adalah kekufuran kepada Allah. Tidak boleh mempelajarinya, pergi kepada tukang sihir atau peramal, atau mempercayai mereka. Sesiapa yang mempercayai mereka telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

15. Seorang Muslim mencintai para sahabat Nabi SAW, mencintai orang yang mencintai mereka dan membenci orang yang membenci mereka. Mencintai mereka adalah sebahagian daripada iman dan ihsan, sementara membenci mereka adalah kekufuran dan nifak. Nabi SAW bersabda: "Janganlah kalian mencela sahabat-sahabatku." (Riwayat Muslim).

16. Seorang Muslim menetapkan kekhalifahan selepas Rasulullah SAW: pertama kepada Abu Bakar As-Siddiq RA sebagai yang paling utama, diikuti Umar bin Al-Khattab RA, kemudian Uthman RA, dan akhirnya Ali bin Abi Talib RA. Mereka adalah khalifah yang lurus dan pemimpin yang diberi petunjuk.

17. Ibadah adalah bersifat tauqifi (berdasarkan dalil). Tidak boleh beribadah kepada Allah kecuali dengan sesuatu yang disyariatkan dalam Al-Quran atau Sunnah. Segala ibadah yang diada-adakan selepas kewafatan Nabi SAW tanpa petunjuknya adalah bidaah yang ditolak. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami ini sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia tertolak." (Riwayat al-Bukhari).

18. Diterimanya ibadah bergantung kepada dua rukun utama: keikhlasan kepada Allah dalam ibadah dan mengikuti sunnah Nabi SAW. Ibadah tidak diterima jika tidak ikhlas kepada Allah atau tidak sesuai dengan petunjuk Rasulullah SAW.

Kebahagiaanku dalam Agamaku, Islam

Allah SWT berfirman: "Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, pasti Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik, dan Kami akan memberi balasan kepada mereka dengan ganjaran yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (Surah al-Nahl: 97)

Salah satu hal teragung yang membawa kebahagiaan, kelapangan dan ketenangan kepada hati seorang Muslim adalah hubungan langsung dengan Allah SWT tanpa perantara—baik dari yang hidup, yang telah meninggal dunia, mahupun berhala. Allah SWT menyebut dalam kitab-Nya yang mulia bahawa Dia sentiasa dekat dengan hamba-Nya, mendengar mereka, dan mengabulkan doa mereka. Sebagaimana firman-Nya: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka memperoleh kebenaran." (Surah al-Baqarah: 186). Allah SWT memerintahkan kita untuk berdoa kepada-Nya, dan menjadikan doa sebagai salah satu ibadah terbaik untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Firman Allah SWT: "Dan Tuhanmu berfirman: ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.’" (Surah Ghafir: 60). Seorang Muslim yang soleh sentiasa memerlukan Allah SWT, senantiasa berdoa dan mendekatkan diri kepada-Nya dengan ibadah-ibadah yang soleh.

Allah SWT menciptakan kita di alam ini dengan hikmah yang agung, bukan dengan sia-sia. Tujuan penciptaan kita adalah untuk menyembah-Nya semata-mata tanpa sekutu bagi-Nya. Allah telah mensyariatkan agama yang komprehensif dan adil yang mengatur semua aspek kehidupan, baik secara peribadi mahupun umum. Syariat ini memelihara lima perkara utama dalam kehidupan: agama, jiwa, kehormatan, akal, dan harta. Sesiapa yang mengikuti perintah syariat dan menjauhi larangan-Nya akan hidup bahagia dan tenang.

Hubungan Muslim dengan Tuhannya sangat mendalam, membawa ketenangan dan kebahagiaan jiwa. Ia memberikan rasa aman dan kelapangan hati, serta menjadikan Muslim merasa kehadiran dan pertolongan Allah SWT. Firman-Nya: "Allah adalah pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya." (Surah al-Baqarah: 257)

Hubungan yang mulia ini membawa Muslim merasakan keindahan beribadah kepada Allah, kerinduan untuk bertemu-Nya, dan menikmati manisnya iman.

Kemanisan itu tidak mampu untuk diungkapkan kelazatannya, tiada yang mengerti melainkan sesiapa yang merasainya dengan melaksanakan ketaatan, menjauhi maksiat. Kerana itulah Nabi SAW bersabda: "Telah merasakan manisnya iman, orang yang reda Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya, dan Muhammad sebagai Rasulnya." Riwayat Muslim.

Ya, apabila seorang hamba sentiasa menghadirkan rasa bahawa dia di hadapan Tuhannya, dia mengenali nama-nama dan sifat-sifat-Nya, dia menyembah-Nya seperti dia melihat-Nya, dia tulus ikhlas dalam ibadahnya, dia tidak ingin melainkan reda Allah - pasti dia hidup penuh indah dan bahagia di dunia, selamat di akhirat.

Hatta musibah-musibah yang menimpa orang beriman di dunia, ia disejukkan dengan salji keyakinan dan reda dengan takdir Allah. Dia memuji Allah pada setiap ketentuan-Nya, yang manis mahupun pahit, dan reda sepenuhnya kepada Dia.

Antara amalan yang membantu seorang Muslim meningkatkan kebahagiaan dan ketenangannya adalah memperbanyakkan zikir dan membaca al-Quran. Allah SWT berfirman: "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram." (Surah al-Ra’d: 28). Semakin banyak zikir dan tilawah al-Quran, semakin erat hubungan seorang Muslim dengan Allah, semakin suci jiwanya, semakin kuat keimanannya.

Seorang Muslim juga sewajarnya berusaha untuk mempelajari agamanya dari sumber yang sahih, supaya dia menyembah Allah atas ilmu yang jelas. Nabi SAW bersabda: "Menuntut ilmu adalah kewajipan setiap Muslim." Riwayat Ibn Majah. Seorang Muslim harus mengalah dan tunduk kepada setiap perintah Allah yang telah menciptakannya, sama ada dia mengetahui hikmah di sebaliknya atau tidak. Allah SWT berfirman: "Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan lain bagi mereka tentang urusan mereka. Sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguh dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata." (Surah al-Ahzab: 36)

Semoga selawat dan salam tercurah kepada Nabi kita Muhammad SAW, keluarga dan seluruh sahabatnya.