الإسلام - نبذة موجزة عن الإسلام (مشتملة على الأدلة)
Islam Latar Belakang Ringkas Berkenaan Islam Menurut al-Quran dan al-Sunnah Buku penting ini memuatkan pengenalan ringkas berkenaan agama Islam, menyerlahkan secara ringkas prinsip, ajaran dan keindahan agama ini, berdasarkan sumber utama, iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi ﷺ. Buku ini ditujukan kepada setiap individu, sama ada beragama Islam atau tidak, dengan bahasa masing-masing, pada setiap masa, di setiap tempat, tanpa mengira keadaan. (Edisi Disertakan Dengan Perincian Dalil Daripada al-Quran dan al-Sunnah.) 1. Islam adalah mesej Allah kepada semua manusia, yang kekal merentasi masa dan…
This PDF is generated automatically from the book's text; its layout may differ from the printed edition.
Islam
Latar Belakang Ringkas Berkenaan Islam Menurut al-Quran dan al-Sunnah
Buku penting ini memuatkan pengenalan ringkas berkenaan agama Islam, menyerlahkan secara ringkas prinsip, ajaran dan keindahan agama ini, berdasarkan sumber utama, iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi ﷺ. Buku ini ditujukan kepada setiap individu, sama ada beragama Islam atau tidak, dengan bahasa masing-masing, pada setiap masa, di setiap tempat, tanpa mengira keadaan.
(Edisi Disertakan Dengan Perincian Dalil Daripada al-Quran dan al-Sunnah.)
1. Islam adalah mesej Allah kepada semua manusia, yang kekal merentasi masa dan merupakan yang terakhir daripada segala mesej Ilahi.
Islam adalah mesej Allah kepada semua manusia. Allah SWT berfirman: Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). [Surah Saba': 28]. Firman Allah SWT: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semuanya, (Surah al-Aʿrāf: 158) Firman Allah SWT: Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Allah (Muhammad ﷺ) dengan membawa kebenaran daripada Tuhan kamu, maka berimanlah kamu (kerana yang demikian itu) amatlah baiknya bagi kamu. Dan jika kamu kufur ingkar (maka kekufuran kamu itu tidak mendatangkan kerugian apa-apa kepada Allah), kerana sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan di bumi; dan Allah sentiasa Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Nisa': 170).
Islam adalah mesej Allah yang kekal merentasi masa, dan merupakan penutup bagi semua mesej daripada Allah. Firman Allah: Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dalam kalangan orang lelaki kamu, tetapi baginda ialah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Aḥzāb: 40)
2. Islam tidak hanya terhad kepada golongan, atau kaum tertentu. Sebaliknya ia adalah agama Allah buat seluruh manusia.
Islam tidak hanya terhad kepada golongan, atau kaum tertentu. Sebaliknya ia adalah agama Allah buat seluruh manusia. Dan perintah pertama dalam al-Quran yang agung ialah firman-Nya: Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 21) Firman Allah SWT: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. (Surah al-Nisa': 1). Daripada Ibn Umar رضي الله عنهما bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah kepada orang ramai pada hari Pembukaan Kota Mekah lalu baginda bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menghapuskan daripada kamu kesombongan Jahiliah dan bermegah-megah dengan keturunan. Maka manusia terbahagi kepada dua golongan: Seorang yang berbuat baik lagi bertakwa, mulia di sisi Allah dan seorang yang fasik lagi celaka, hina di sisi Allah. Manusia semuanya adalah anak-anak Adam, sedangkan Allah menciptakan Adam daripada tanah. Allah berfirman: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Mendalam Pengetahuan-Nya." (Surah al-Hujurat: 13) (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi: 3270). Tiada dalam perintah al-Quran yang agung mahupun perintah Nabi Muhammad ﷺ sebarang pensyariatan yang dikhususkan kepada sesuatu bangsa atau golongan semata-mata kerana mempertimbangkan keturunan, perkauman atau jantina mereka.
3. Islam adalah mesej daripada Tuhan yang menyempurnakan mesej-mesej yang dibawa nabi dan rasul yang terdahulu kepada para umat mereka.
Islam adalah mesej daripada Tuhan yang menyempurnakan mesej-mesej yang dibawa para nabi dan rasul yang terdahulu kepada umat mereka. Firman Allah: Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Dawud. (Surah al-Nisa': 163). Agama inilah yang Allah wahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ia merupakan agama yang Allah syariatkan kepada para nabi terdahulu dan Dia mewasiatkannya kepada mereka. Firman Allah: Allah telah menerangkan kepada kamu - antara perkara-perkara agama yang Dia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang kembali kepada-Nya (dengan ketaatan). (Surah al-Syura: 13) Apa yang diwahyukan Allah SWT kepada Rasul-Nya, Muhammad ﷺ, merupakan pembenar bagi kitab-kitab samawi yang terdahulu, seperti Taurat dan Injil sebelum diubahsuai. Allah berfirman: Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hambaNya, lagi Maha Melihat dan memerhatikan. (Surah Fāṭir: 31)
4- Para nabi - 'alayhimussalam - agama mereka satu, meskipun syariat mereka berbeza-beza:
Agama para nabi - 'alayhimussalam - adalah satu, namun syariat mereka berbeza-beza. Firman Allah Ta‘ala: Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) daripada kebenaran yang telah datang kepadamu. Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (Surah al-Māʾidah: 48) Nabi ﷺ juga bersabda: Aku lebih berhak terhadap Isa bin Maryam di dunia dan di akhirat; para nabi itu bersaudara seayah, ibu-ibu mereka berbeza-beza, sedangkan agama mereka satu. Riwayat al-Bukhari (3443).
5. Ajaran Islam sama dengan ajaran setiap nabi terdahulu, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Sulayman, Nabi Dawud, Nabi 'Isa, mereka mengajar untuk beriman bahawa Tuhan adalah Allah, Dia yang menciptakan alam ini, membahagikan rezeki, menghidupkan, mematikan, Raja sekalian alam, Dia yang mentadbir segala urusan, Dia Maha Baik lagi Maha Mengasihani.
Ajaran Islam sama dengan ajaran setiap nabi terdahulu, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Sulayman, Nabi Dawud, Nabi 'Isa, mereka mengajar untuk beriman bahawa Tuhan adalah Allah, Dia yang menciptakan alam ini, membahagikan rezeki, menghidupkan, mematikan, Raja sekalian alam, Dia yang mentadbir segala urusan, Dia Maha Baik lagi Maha Mengasihani. Firman Allah Ta'ala: Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (daripada menyembahnya)? (Surah Fāṭir: 3). Firman Allah SWT: Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa? (Surah Yūnus: 31). Firman Allah SWT: Atau siapakah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian dia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya). dan siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Surah al-Naml: 64).
Semua nabi dan rasul (moga selawat dan salam dipanjatkan buat mereka semua) diutus dengan seruan agar manusia menyembah Allah semata-mata tanpa sekutu. Allah SWT berfirman: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu, mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan para rasulnya. (Surah al-Naḥl: 36) Firman Allah SWT: Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu”. (Surah al-Anbiyāʾ: 25) Maka Allah Taʿala memberitakan tentang Nabi Nuh ʿalayhi al-salām bahawa beliau berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat) (Surah al-Aʿrāf: 59) Khalilullah, Nabi Ibrahim AS — sebagaimana Allah SWT mengkhabarkan tentangnya — berkata: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ibrahim, ketika dia berkata kepada kaumnya: “Sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya; yang demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu tahu (membezakan yang baik daripada yang buruk).” (Surah al-ʿAnkabūt: 16) Juga kata Nabi Saleh AS—sebagaimana yang Allah beritakan tentang beliau: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti yang nyata dari Tuhan kamu. Ini ialah unta betina Allah sebagai tanda untuk kamu. Oleh itu, biarkanlah ia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan kejahatan, (kalau tidak) kamu akan ditimpa azab yang pedih.” (Surah al-Aʿrāf: 73) Nabi Syu‘aib AS juga berkata, sebagaimana yang Allah SWT khabarkan tentangnya: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Maka sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu mengurangi hak-hak manusia, dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika betul kamu orang-orang yang beriman. (Surah al-Aʿrāf: 85)
Pada kali pertama Allah Ta'ala berfirman kepada Musa AS, Allah ﷻ berfirman kepadanya: Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul, maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.” (Surah Taha: 13-14) Allah Ta'ala berfirman ketika mengkhabarkan tentang Musa AS bahawa baginda berlindung kepada Allah, lalu baginda berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu - daripada (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal! (Surah Ghāfir: 27) Allah SWT berfirman ketika mengkhabarkan mengenai al-Masih AS bahawa baginda berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus”. (Surah Ali `Imran: 51). Allah SWT juga berfirman mengenai al-Masih AS bahawa baginda berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka. Tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim. (Surah al-Māʾidah: 72)
Malah, Taurat dan Injil turut menegaskan agar menyembah Allah semata-mata, sebagaimana yang disebut dalam Kitab Ulangan, kata-kata Nabi Musa: Dengarkanlah wahai Israel, Tuhan pencipta iaitu tuhan sembahan kita itu adalah tuhan yang esa. Penegasan tentang keesaan Allah turut dinyatakan dalam Injil Markus, ketika Nabi 'Isa berkata: (Sungguh, perintah yang pertama ialah: Dengarkanlah wahai Israel, Tuhan pencipta iaitu tuhan sembahan kita itu adalah tuhan yang esa.)
Allah ﷻ menjelaskan bahawa semua nabi diutus dengan misi agung ini, iaitu seruan kepada penyembahan Allah sahaja tanpa sekutu. Firman Allah ﷻ: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. (Surah al-Naḥl: 36) Allah juga berfirman: Katakanlah: "Bagaimanakah pendapat kamu tentang apa yang kamu seru selain Allah? Tunjukkanlah kepadaku apa yang telah mereka ciptakan dari bumi, atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian di langit? Datangkanlah kepadaku sebuah kitab sebelum ini atau sebarang keterangan daripada ilmu, jika kamu benar." (Surah al-Aḥqāf: 4) Al-Shaykh al-Si'di rahimahullah berkata: Maka jelaslah bahawa perdebatan orang-orang musyrik tentang syirik mereka tidak bersandarkan sebarang hujah dan tidak pula dalil. Sebaliknya mereka tertumpu pada sangkaan-sangkaan yang dusta, pendapat-pendapat yang rosak, dan akal yang menyimpang. Kerosakan ini terbukti melalui pengamatan terhadap keadaan mereka, pengkajian terhadap ilmu-ilmu dan amalan-amalan mereka, serta meneliti keadaan orang-orang yang menghabiskan umur mereka dengan mengabdikan diri kepadanya—adakah (yakni sembahan-sembahan selain Allah ﷻ) memberikan manfaat kepada mereka walau sedikit di dunia atau di akhirat? Taysīr al-Karīm al-Mannān: 779.
6. Allah ﷻ adalah Maha Pencipta; hanya Dia sahaja yang berhak untuk disembah dan tidak boleh ada sembahan lain selain Allah.
Allah ﷻ Dialah yang berhak disembah semata-mata, dan tidak ada yang berhak disembah bersama-Nya. Firman Allah SWT: Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkan air hujan dari langit, lalu dikeluarkan dengan air itu pelbagai jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu. Maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). (Surah al-Baqarah: 21-22). Maka Allah SWT, Dialah yang menciptakan kita dan generasi-generasi sebelum kita, menjadikan bumi sebagai hamparan, dan menurunkan air dari langit lalu mengeluarkan dengan air itu pelbagai buah-buahan sebagai rezeki untuk kita. Dialah sahaja yang berhak disembah. Seperti firman-Nya SWT: Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada kamu. Tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah, Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (daripada menyembahnya)? (Surah Fāṭir: 3). Maka Dia yang mencipta dan memberi rezeki, Dialah yang berhak disembah semata-mata. Firman Allah SWT: Yang demikian (sifat-sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepada-Nya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya. (Surah al-Anʿām: 102)
Segala sesuatu yang disembah selain Allah ﷻ tidak berhak untuk disembah, kerana ia tidak memiliki walau seberat zarah pun di langit mahupun di bumi, dan bukan sekutu bagi-Nya dalam sesuatu pun, bukan penolong dan bukan penyokong bagi Allah. Maka bagaimana mungkin dia diseru bersama Allah atau dijadikan sekutu bagi-Nya? Firman Allah SWT: Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): “Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu dakwakan sebagai tuhan selain daripada Allah. Mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi, dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan daripada mereka”. (Surah Saba': 22).
Dialah Allah ﷻ yang menciptakan makhluk-makhluk ini dan mewujudkannya dari ketiadaan. Kewujudan makhluk-makhluk ini menjadi dalil atas wujud-Nya, Rububiyyah-Nya, dan Uluhiyyah-Nya. Allah Ta'ala berfirman: Antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya (menghidupkan kamu semula), bahawa Dia menciptakan kamu daripada tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi. Antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. Antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan. Antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran). Antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaran-Nya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya. Antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmu-Nya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan penentuan takdir-Nya; akhirnya apabila Dia menyeru kamu dengan satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta merta keluar (dari kubur masing-masing). Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaan-Nya, masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturan-Nya. Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang pelaksanaan yang demikian amatlah mudah bagi-Nya. (Surah al-Rūm: 20 - 27)
Namrud menafikan kewujudan Tuhannya, maka Nabi Ibrahim AS berkata kepadanya sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah SWT tentangnya: Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (Surah al-Baqarah: 258) Demikian juga, Nabi Ibrahim AS berhujah kepada kaumnya bahawa Allah-lah yang telah memberinya petunjuk, yang memberinya makan dan minum; dan apabila beliau sakit, Dialah yang menyembuhkannya; dan Dialah yang mematikannya dan menghidupkannya. Lalu beliau berkata sebagaimana Allah SWT mengkhabarkan tentangnya: Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; Dan Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum, (79) Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku; (80) Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Dia menghidupkan daku; (81) (Surah al-Syu`ara': 78-81) Allah Ta'ala memberitakan tentang Musa AS bahawa beliau berhujah dengan Firʿaun, lalu berkata kepadanya: Sesungguhnya Tuhannya ialah: Yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya (Surah Taha: 50).
Allah menjadikan segala yang ada di langit dan di bumi bermanfaat untuk manusia, serta melimpahkan kepadanya pelbagai nikmat, agar manusia menyembah Allah dan tidak kufur kepada-Nya. Firman Allah Ta'ala: Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran. (Surah Luqman: 20) Sebagaimana Allah telah menjadikan segala yang ada di langit dan di bumi bermanfaat untuk manusia, maka Dia telah menciptakannya dan melengkapinya dengan segala yang diperlukannya berupa kemampuan mendengar, melihat dan berfikir, agar dia mempelajari ilmu yang bermanfaat baginya dan membimbingnya mengenal Tuhannya dan Penciptanya. Allah SWT berfirman: Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Surah al-Naḥl: 78)
Maka Allah, Dialah yang mencipta sekalian alam, mencipta manusia, lalu mempersiapkannya dengan segala anggota dan kekuatan yang diperlukannya; kemudian Dia membekalkannya dengan segala yang membantunya untuk melaksanakan ibadah kepada Allah dan memakmurkan bumi; kemudian Dia menyediakan baginya segala yang ada di langit dan di bumi.
Allah SWT menjadikan penciptaan-Nya terhadap makhluk-makhluk yang agung ini sebagai hujah atas ketuhanan-Nya sebagai Rabb, yang menuntut bahawa hanya Dialah yang berhak disembah. Firman Allah Ta'ala: Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa? (Surah Yūnus: 31). Dan Allah SWT berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik yang menentangmu): “Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk - makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah? Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) yang lain daripada Al-Quran ini, atau sebarang keterangan yang berdasarkan ilmu (peninggalan orang-orang yang telah lalu) kalau betul kamu orang-orang yang benar (tentang dakwaan kamu itu)!” (Surah al-Aḥqāf: 4) Firman Allah SWT: Dia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Dia membiakkan padanya pelbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi pelbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat. Inilah ciptaan Allah, maka tunjukkanlah kepadaku apa yang telah diciptakan oleh mereka yang selain daripada-Nya. Bahkan orang-orang yang zalim itu berada dalam kesesatan yang nyata. (Surah Luqman: 10-11) Allah SWT juga berfirman: (Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya). (36) Adakah pada tangan mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan segala-galanya? (Surah al-Ṭūr: 35-37). Al-Shaykh al-Si'di berkata: Ini merupakan hujah terhadap mereka dengan perkara yang tidak ada pilihan bagi mereka melainkan tunduk mengakui kebenaran atau keluar daripada tuntutan akal dan agama. Tafsīr Ibn Si‘dī, 816.
7. Allah adalah Pencipta, yang mewujudkan seisi alam yang kita saksikan dan alam semesta yang tidak mampu kita saksikan. Selain daripada Allah adalah makhluk ciptaan-Nya. Allah menciptakan setiap lapis langit dan bumi dalam tempoh enam masa.
Allah ﷻ adalah Pencipta segala yang ada di alam semesta, baik yang kita lihat mahupun yang kita tidak lihat. Segala sesuatu selain daripada-Nya adalah ciptaan-Nya. Allah berfirman: Bertanyalah (wahai Muhammad): “Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi?” Jawablah: “Allah”. Bertanyalah lagi: “Kalau demikian, patutkah kamu menjadikan benda-benda selain daripada Allah sebagai Pelindung dan Penolong, yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri, dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya?” Bertanyalah lagi: “Adakah sama, orang yang buta dengan orang yang celik? Atau adakah sama, gelap-gelita dengan terang? Atau adakah makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu bagi Allah itu telah mencipta sesuatu seperti ciptaan-Nya, sehingga ciptaan-ciptaan itu menjadi kesamaran kepada mereka?” Katakanlah: “Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa”. (Surah al-Ra'd: 16). Firman Allah SWT: dan Dia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Surah al-Nahl: 8).
Allah menciptakan langit dan bumi dalam enam hari. Firman Allah SWT: Dialah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar darinya dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Hadid: 4) Firman Allah SWT: Demi sesungguhnya! Kami telah menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, dan Kami tidak mengalami sebarang susah payah. (Surah Qāf: 38)
8. Allah tidak memiliki sebarang sekutu dalam Kerajaan-Nya, atau dalam proses penciptaan atau pentadbiran alam, maka tiada yang layak menjadi sekutu-Nya untuk disembah.
Allah SWT adalah Pemilik segala kerajaan; Dia tidak mempunyai sekutu dalam ciptaan-Nya, kerajaan-Nya, atau pentadbiran-Nya. Allah SWT berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik yang menentangmu): “Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk - makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain daripada Allah? Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (daripada Allah) yang lain dari Al-Quran ini, atau sebarang keterangan yang berdasarkan ilmu (peninggalan orang-orang yang telah lalu) kalau betul kamu orang-orang yang benar (tentang dakwaan kamu itu)!” (Surah al-Aḥqāf: 4). Al-Shaykh al-Si'di rahimahullah berkata: (Maksudnya: {Katakanlah} kepada mereka yang menyekutukan Allah dengan berhala-berhala dan tandingan-tandingan yang tidak memiliki manfaat dan mudarat, serta tidak memiliki kematian, kehidupan, atau kebangkitan semula. Katakanlah kepada mereka—dengan menjelaskan kelemahan berhala-berhala mereka dan bahawa dia tidak berhak mendapat sebarang bahagian daripada ibadah: {Tunjukkanlah kepadaku apa yang mereka ciptakan dari bumi, atau adakah bagi mereka sebarang perkongsian di langit}. Adakah mereka menciptakan sesuatu daripada langit dan bumi? Adakah mereka menciptakan gunung-gunung? Adakah mereka mengalirkan sungai-sungai? Adakah mereka menghidupkan makhluk bernyawa? Adakah mereka menumbuhkan pepohonan? Adakah mereka turut membantu pada penciptaan sesuatu daripada perkara-perkara itu? Tidak ada satu pun daripada semua itu—menurut pengakuan mereka sendiri, apatah lagi selain mereka. Maka ini merupakan dalil akli yang qati’ bahawa setiap yang selain Allah, maka menyembahnya adalah batil.)
Kemudian disebut tentang ketiadaan dalil naqli, lalu berfirman: {Bawakan kepadaku sebuah kitab sebelum ini} — yakni kitab yang menyeru kepada syirik — {atau peninggalan dari ilmu} yang diwarisi daripada para rasul yang memerintahkan demikian. Sudah maklum bahawa mereka sama sekali tidak mampu mendatangkan, daripada mana-mana rasul, satu dalil pun yang menunjukkan hal itu. Bahkan kami menegaskan dan meyakini bahawa semua rasul menyeru kepada tauhid terhadap Tuhan mereka dan melarang syirik kepada-Nya, dan itulah yang paling agung daripada apa yang dinukil daripada mereka berupa ilmu. Tafsīr Ibn Siʿdī, 779.
Allah SWT ialah Pemilik kerajaan; Dia tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya. Allah SWT berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Ali 'Imran: 26) Dan Allah SWT berfirman, menjelaskan bahawa kekuasaan sepenuhnya adalah milik-Nya pada hari kiamat: Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatupun dari hal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya! (Surah Ghāfir: 16).
Allah SWT tidak memiliki sebarang sekutu dalam Kerajaan-Nya, atau dalam penciptaan atau pentadbiran alam; maka tiada yang layak menjadi sekutu-Nya untuk disembah. Firman Allah SWT: Dan katakanlah: “Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagi-Nya sekutu dalam urusan kerajaan-Nya, dan tiada bagi-Nya penolong disebabkan sesuatu kelemahan, dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakan-Nya dengan bersungguh-sungguh!” (Surah al-Isrāʾ: 111). Firman Allah SWT: Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya; dan Dia lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna. (Surah al-Furqan: 2). Dialah pemilik, dan selain-Nya adalah di bawah kekuasaan-Nya. Dialah yang mencipta, dan segala yang selain-Nya adalah ciptaan-Nya. Dialah yang mentadbir segala urusan. Maka yang demikian sifat-Nya, wajiblah Dia disembah; dan menyembah selain-Nya adalah kekurangan akal serta syirik yang merosakkan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT: Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu penganut agama Yahudi atau penganut agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap atas dasar Tauhid, dan bukanlah dia dalam kalangan orang-orang musyrik”. (Surah al-Baqarah: 135) Firman Allah SWT: Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya. (Surah al-Nisa': 125). Allah telah menjelaskan bahawa sesiapa yang mengikuti selain agama Nabi Ibrahim al-Khalil, maka sesungguhnya dia telah memperbodohkan dirinya sendiri. Firman Allah SWT: Tiada yang berpaling daripada agama Ibrahim melainkan orang yang memperbodohkan dirinya. Dan sesungguhnya Kami telah memilihnya di dunia, dan sesungguhnya dia di akhirat kelak benar-benar termasuk dalam kalangan orang-orang yang soleh. (Surah al-Baqarah: 130).
9. Allah tidak mempunyai anak, tidak juga Dia dilahirkan, tiada yang setara atau seumpama dengan-Nya.
Allah tidak mempunyai anak, tidak juga Dia dilahirkan, tiada yang setara atau seumpama dengan-Nya. Allah SWT berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;” “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;” Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya. (Surah al-Ikhlas, 1-4) Firman Allah SWT: “Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya. Oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadaNya; adakah engkau mengetahui sesiapa yang sebanding denganNya?” (Surah Maryam: 65). Allah SWT juga berfirman: Dialah yang menciptakan langit dan bumi, Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. [Surah al-Shūrā: 11].
10- Allah tidak bersatu di dalam mana-mana makhluk-Nya, atau mengambil bentuk fizikal pada ciptaan-Nya.
Allah tidak bersatu di dalam mana-mana makhluk-Nya, tidak berjasad dalam sesuatu daripada makhluk-Nya, dan tidak bersatu dengan sesuatu pun. Demikian kerana Allah ialah Pencipta, manakala segala yang selain-Nya adalah makhluk; Dia Yang Kekal, sedangkan selain-Nya akan binasa. Segala sesuatu adalah milik-Nya, dan Dia-lah Pemiliknya. Maka Allah tidak bersatu di dalam sesuatu pun daripada makhluk-Nya, dan tiada sesuatu pun daripada makhluk-Nya berada dalam Zat-Nya. Allah lebih besar daripada segala sesuatu dan lebih agung daripada segala sesuatu. Firman Allah Taala, mengecam orang yang mendakwa bahawa Allah telah bersatu di dalam al-Masih (Isa): Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam) katakanlah (wahai Muhammad): “(Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) daripada Allah sedikit jua pun kalau Dia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya?” Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Dia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Māʾidah: 17) Firman Allah SWT: Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui. Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak”. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya. Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia. (Surah al-Baqarah: 115-117). Firman Allah SWT: Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.” Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, - (90) Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. (91) Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Dia mempunyai anak. Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba. Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu. Dan mereka masing-masing akan datang menghadap-Nya pada hari kiamat dengan seorang diri. (Surah Maryam: 88-95). Allah juga berfirman: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. (Surah al-Baqarah: 255). Maka Dia yang demikian sifat-Nya, sedangkan demikian pula keadaan makhluk-Nya; bagaimana mungkin Dia berada dalam salah seorang daripada mereka? Atau mengambil salah seorang daripada mereka sebagai anak? Atau menjadikannya sebagai tuhan di samping-Nya?
11. Allah itu Maha Baik, Maha mengasihani setiap hamba-Nya. Kerana sifat-Nya ini, Dia mengutuskan para rasul dan menurunkan Kitab-kitab.
Allah itu Maha Baik, Maha mengasihani setiap hamba-Nya. Maka daripada rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya, Dia mengutus para rasul dan menurunkan kepada mereka kitab-kitab, untuk mengeluarkan mereka daripada kegelapan kufur dan syirik kepada cahaya tauhid dan hidayah, sebagaimana firman-Nya: Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya (Nabi Muhammad) keterangan-keterangan al-Quran yang terang nyata, kerana Dia hendak mengeluarkan kamu daripada gelap-gelita (kekufuran) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Belas, lagi Maha Mengasihani, terhadap kamu. (Surah al-Ḥadīd: 9).
Firman Allah SWT: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Surah al-Anbiya': 107). Allah telah memerintahkan Nabi-Nya agar memberitahu hamba-hamba-Nya bahawa Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Firman Allah Ta'ala: Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). (Surah al-Hijr: 49). Dengan belas kasih dan rahmat-Nya, Dia menghilangkan kemudaratan dan mengurniakan kebaikan kepada hamba-hamba-Nya. Firman Allah SWT: Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia. Jika Dia menghendaki engkau mendapat sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya daripada hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Surah Yūnus: 107).
12. Allah Tuhan yang Mengasihani, Dia sahaja yang akan melakukan perhitungan ciptaan-Nya pada hari kiamat tatkala Dia membangkitkan mereka dari kubur, kemudian Dia akan memberi ganjaran atau balasan setimpal kepada mereka. Sesiapa yang melakukan kebaikan dan beriman dengan-Nya, dia akan mendapat nikmat yang berkekalan. Sesiapa mengingkari-Nya dan melakukan amalan buruk, dia berhak mendapat azab yang pedih di akhirat kelak.
Allah Tuhan yang Mengasihani, Dia sahaja yang akan melakukan perhitungan ke atas seluruh makhluk pada hari kiamat tatkala Dia membangkitkan mereka semuanya dari kubur, lalu Dia memberi ganjaran yang setimpal kepada setiap seorang menurut apa yang dikerjakannya, sama ada baik atau buruk. Sesiapa yang melakukan kebaikan dan dia beriman, maka baginya nikmat yang berkekalan. Sesiapa yang kufur serta melakukan amalan buruk, maka baginya azab yang pedih pada hari kiamat. Maka daripada kesempurnaan keadilan Allah, hikmah-Nya dan rahmat-Nya terhadap makhluk-Nya, Dia menjadikan dunia ini sebagai medan amal, dan menjadikan negeri yang kedua, iaitulah akhirat, sebagai tempat berlangsungnya balasan, perhitungan dan pahala agar orang yang berbuat baik memperoleh pahala atas kebaikannya, dan orang yang berbuat buruk, zalim dan melampaui batas memperoleh hukuman atas perbuatannya yang melampaui batas dan kezaliman yang dilakukannya. Oleh sebab hal ini mungkin sukar diterima oleh sebahagian jiwa, maka Allah telah menegakkan banyak dalil yang menunjukkan bahawa kebangkitan itu benar, tidak syak lagi. Firman Allah Ta'ala: Antara tanda-tanda kekuasaanNya, engkau melihat bumi kosong sepi (dalam keadaan kering dan tandus), maka apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya serta suburlah tanamannya. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya sudah tentu berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Fuṣṣilat: 39) Firman Allah SWT: Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan pelbagai jenis tanaman yang indah permai. (Surah al-Hajj: 5). Allah SWT telah menyebutkan dalam ayat ini tiga dalil akal yang menunjukkan kebangkitan, iaitu:
1- Manusia diciptakan Allah kali pertama daripada tanah dan Dia yang menciptakannya daripada tanah mampu untuk mengembalikannya kepada kehidupan ketika ia telah menjadi tanah.
2- Sesungguhnya yang menciptakan manusia daripada setitis air mampu untuk menghidupkan kembali manusia yang telah mati.
3- Sesungguhnya Dia yang menghidupkan bumi dengan hujan setelah kematiannya pasti mampu menghidupkan kembali manusia yang telah mati. Dalam ayat ini terdapat dalil yang agung tentang kemukjizatan al-Quran. Bagaimana ayat ini—sedangkan ia tidak panjang—telah menghimpunkan tiga hujah akliah yang tuntas mengenai suatu perkara yang agung.
Firman Allah SWT: (Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catatan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya. (Surah al-Anbiyāʾ: 104) Firman Allah SWT: Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?” Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya); (Surah Yā Sīn: 78). Firman Allah SWT: (Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)! Dia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya, Dan Dia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang. Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya), - (30) Dia mengeluarkan dari bumi itu: airnya dan tumbuh-tumbuhannya; Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya); (Surah al-Nāzi‘āt: 27-32). Maka Allah SWT menjelaskan bahawa penciptaan manusia tidaklah lebih sukar daripada penciptaan langit dan bumi serta segala isinya; maka Dia yang mampu menciptakan langit dan bumi tidaklah sukar baginya untuk mengembalikan manusia kali kedua.
13. Allah menciptakan Adam daripada tanah, Dia menjadikan zuriat Adam berkembang-biak selepas itu. Justeru, asal-usul setiap manusia sama sahaja, tiada golongan yang lebih mulia daripada golongan lain, atau kaum yang lebih hebat daripada kaum lain melainkan pada sudut ketakwaan.
Allah menciptakan Adam daripada tanah, Dia menjadikan zuriat Adam berkembang-biak selepas itu. Justeru, asal-usul setiap manusia sama sahaja, tiada golongan yang lebih mulia daripada golongan lain, atau kaum yang lebih hebat daripada kaum lain melainkan pada sudut ketakwaan. Sebagaimana firman Allah: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13) Firman Allah SWT: Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Dan tiada mengandung seseorang perempuan (juga seekor betina), dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah. Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah. (Surah Fāṭir: 11). Firman Allah SWT: Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan). (Surah Ghāfir: 67) Allah SWT berfirman ketika menjelaskan bahawa Dia menciptakan al-Masih dengan perintah kauni sebagaimana Dia menciptakan Adam daripada tanah dengan perintah kauni. Firman Allah SWT: Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia. (Surah Āli ʿImrān: 59) Telah disebutkan sebelum ini pada perenggan (2) bahawa Nabi ﷺ menjelaskan bahawa manusia adalah setara, dan tiada kelebihan seseorang terhadap yang lain melainkan dengan ketakwaan.
14. Setiap bayi yang lahir, dia dilahirkan suci dengan fitrahnya.
Setiap bayi yang lahir, dia dilahirkan suci dengan fitrahnya. Firman Allah Ta'ala: (Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu. Itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Surah al-Rūm: 30). Dan al-Hanifiyah ialah Millah Nabi Ibrahim al-Khalil AS; Allah SWT berfirman: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tidaklah dia dalam golongan orang musyrik. (Surah al-Nahl: 123). Rasulullah ﷺ bersabda: “Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana binatang melahirkan anaknya dalam keadaan sempurna, lengkap anggotanya; adakah kamu dapati padanya sebarang kecacatan?” Kemudian Abu Hurayrah RA berkata: Inilah agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya. Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu. Itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Surah al-Rūm: 30) Sahih al-Bukhari, no. 4775, Rasulullah ﷺ bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya Tuhanku memerintahkan aku agar mengajarkan kepada kamu apa yang kamu tidak ketahui daripada apa yang Dia ajarkan kepadaku pada hari ini: setiap harta yang Aku anugerahkan kepada seorang hamba adalah halal. Dan sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hamba-Ku semuanya dalam keadaan hanif; kemudian syaitan-syaitan datang kepada mereka, lalu memalingkan mereka daripada agama mereka, mengharamkan atas mereka apa yang telah Aku halalkan bagi mereka, dan memerintahkan mereka agar mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang Aku tidak menurunkan sebarang keterangan mengenainya. Riwayat Muslim, no. 2865.
15. Tiada manusia yang lahir dalam keadaan berdosa, atau mewarisi dosa orang lain.
Tiada manusia yang lahir dalam keadaan berdosa, atau mewarisi dosa orang lain. Allah telah memberitahu dalam al-Quran bahawa ketika Adam menyalahi perintah Ilahi dan dia serta isterinya, Hawa, makan daripada pokok itu, dia menyesal, bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah. Lalu Allah mengilhamkannya untuk mengucapkan beberapa kalimah yang baik; dia pun mengucapkannya, maka Allah menerima taubat mereka berdua. Allah berfirman: Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”. Setelah itu, Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”. Kemudian Nabi Adam menerima daripada Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani. Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu nescaya tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”. (Surah al-Baqarah: 35-38). Apabila Allah menerima taubat Adam ‘alaihissalam, maka beliau tidak lagi menanggung dosa. Oleh itu, zuriatnya tidak mewarisi dosa yang telah dihapuskan dengan taubat. Hukum asalnya, seseorang tidak menanggung dosa orang lain, sebagaimana firman-Nya: Tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Dia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya. (Surah al-Anʿām: 164)
Firman Allah SWT: Sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk, maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isrāʾ: 15). Firman Allah SWT: Dan (ketahuilah), seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika seseorang yang berat tanggungannya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu daripada kerabatnya sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan sembahyang. Sesiapa yang membersihkan dirinya (daripada segala yang dilarang) maka sesungguhnya dia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali. (Surah Fāṭir: 18).
16. Tujuan teragung Allah menciptakan manusia adalah untuk menyembah-Nya semata-mata.
Tujuan teragung Allah menciptakan manusia adalah untuk menyembah-Nya semata-mata. Firman Allah: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (Surah al-Dhāriyāt: 56).
17. Islam memuliakan setiap manusia, tanpa mengira jantina, dan menjamin setiap hak-hak mereka. Islam menggalaskan tanggungjawab untuk mereka tanggung semua pilihan dan tindakan mereka. Islam juga menggalaskan tanggungjawab terhadap apa-apa perbuatan yang memudaratkan diri sendiri atau orang lain.
Islam memuliakan manusia, tanpa mengira lelaki dan perempuan. Allah (ﷻ) menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di bumi. Allah (ﷻ) berfirman: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. (Surah al-Baqarah: 30)
Pemuliaan ini meliputi semua Bani Adam. Allah berfirman: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (Surah al-Isrāʾ: 70). Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (Surah al-Tin: 4).
Allah ﷻ melarang manusia daripada menjadikan dirinya sebagai pengikut yang hina bagi sembahan, pemimpin yang diikuti, atau pihak yang ditaati selain Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ: (Walaupun demikian), ada juga antara manusia yang mengambil selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu). Ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikuti mereka, dan mereka melihat azab, serta segala hubungan antara mereka terputus. (Surah al-Baqarah: 165-166) Allah SWT berfirman, menjelaskan keadaan para pengikut dan orang-orang yang diikuti dalam kebatilan pada hari kiamat: Orang-orang yang sombong takbur itu menjawab kepada orang-orang yang tertindas: Kamikah yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia datang kepada kamu? (Bukan kami yang menghalang) bahkan kamulah yang menyebabkan diri sendiri menjadi orang-orang yang berdosa”. Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu: “Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan. (Surah Saba': 32 - 33).
Sebahagian daripada kesempurnaan keadilan Allah ﷻ pada hari kiamat ialah bahawa para pendakwah dan imam-imam yang menyesatkan akan menanggung beban dosa mereka sendiri serta dosa orang-orang yang mereka sesatkan tanpa ilmu. Firman Allah ﷻ: (Mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar; sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu. (Surah al-Naḥl: 25).
Islam menjamin setiap hak-hak manusia di dunia dan di akhirat, dan hak yang teragung yang dijamin oleh Islam serta dijelaskan kepada manusia ialah: hak Allah atas manusia dan hak manusia di sisi Allah. Daripada Mu'az RA, beliau berkata: Aku membonceng di belakang Nabi SAW. Baginda bersabda: “Wahai Mu'az.” Aku menjawab: “Aku menyahut dan patuh.” Baginda mengulangi panggilan itu sebanyak tiga kali, lalu bersabda: “Tahukah engkau apa hak Allah ke atas hamba-Nya?” Aku berkata: “Tidak.” Baginda bersabda: “Hak Allah ke atas hamba-Nya adalah agar mereka menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.” Kemudian baginda meneruskan perjalanan seketika, lalu bersabda: “Wahai Mu'az.” Aku menjawab: “Aku menyahut dan patuh.” Baginda bersabda: “Tahukah engkau apa hak hamba ke atas Allah apabila mereka melakukan yang demikian? Iaitu bahawa Dia tidak akan mengazab mereka.” Sahih al-Bukhari (6840).
Islam menjamin bagi manusia agamanya yang benar, zuriatnya, hartanya dan maruahnya. Nabi ﷺ bersabda: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas kamu darah kamu, harta kamu, dan kehormatan kamu, seperti kesucian hari kamu ini, dalam bulan kamu ini, di negeri kamu ini. Sahih al-Bukhari (6501) Rasulullah ﷺ telah mengisytiharkan piagam yang agung ini dalam Haji Perpisahan yang dihadiri lebih 100 000 para sahabat, dan baginda mengulang-ulang maksud ini serta menegaskannya pada hari raya korban dalam Haji Perpisahan.
Islam menggalaskan tanggungjawab kepada manusia atas semua pilihan, tindakan dan perlakuannya. Allah ﷻ berfirman: Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalungkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk ditatapnya). Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai penghitung terhadapmu. (Surah al-Isrāʾ: 13). Yakni, apa sahaja amalan kebaikan atau kejahatan yang dilakukan oleh seseorang, Allah ﷻ menjadikannya melekat pada dirinya, tidak berpindah kepada orang lain; maka dia tidak akan dihisab atas amalan orang lain, dan orang lain tidak dihisab atas amalannya. Sebagaimana firman Allah ﷻ: Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya). (Surah al-Inshiqaq: 6) Allah juga berfirman: Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. (Surah Fussilat: 46)
Islam menggalaskan tanggungjawab kepada individu atas setiap perbuatan yang memudaratkan diri sendiri atau orang lain. Allah Taala berfirman: Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya dia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Nisa': 111) Firman Allah ﷻ: Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. (Surah al-Māʾidah: 32) Rasulullah ﷺ bersabda: Tiada suatu jiwa pun dibunuh secara zalim melainkan anak Adam yang pertama menanggung bahagian (dosa) daripada darahnya, kerana dialah orang pertama yang memulakan pembunuhan. Sahih Muslim (5150).
18. Islam memandang lelaki dan wanita sama rata dari sudut amalan, tanggungjawab, balasan dan ganjaran.
Islam menyamaratakan lelaki dan wanita dari sudut amalan, tanggungjawab, balasan dan ganjaran. Firman Allah (ﷻ): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, dalam keadaan dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun. (Surah al-Nisa': 124). Firman Allah SWT: Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, dalam keadaan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan. (Surah al-Nahl: 97) Firman Allah ﷻ: Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat, maka dia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh - daripada lelaki atau perempuan - dalam keadaan dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga; mereka beroleh rezeki di dalam syurga itu dengan tidak dihitung. (Surah Ghāfir: 40). Firman Allah ﷻ: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. (Surah al-Ahzab: 35)
19. Islam memuliakan wanita, menganggap wanita sebagai saudara kandung lelaki, bahkan mewajibkan lelaki untuk menanggung wanita semampunya. Bapa wajib menanggung anak perempuan, anak lelaki wajib menanggung ibunya selepas dia baligh dan mampu, suami wajib menanggung isterinya.
Islam menganggap wanita sebagai saudara kandung lelaki. Rasulullah ﷺ bersabda: Kaum wanita adalah saudari kaum lelaki. (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi: 113)
Antara cara Islam memuliakan wanita ialah Islam mewajibkan anak lelaki menanggung ibunya jika dia mampu. Rasulullah ﷺ bersabda: Tangan pemberi adalah tangan yang di atas; ibumu dan bapamu, saudara perempuanmu dan saudara lelakinmu, kemudian yang paling dekat denganmu, yang paling dekat. Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad Penjelasan tentang kedudukan ibu bapa, dengan izin Allah, akan menyusul pada perenggan nombor (29).
Antara bentuk pemuliaan Islam terhadap wanita ialah mewajibkan suami menanggung isterinya semampunya; firman Allah: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. (Surah al-Talaq: 7) Seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ: “Apakah hak isteri atas suami?” Baginda bersabda: “Engkau memberinya makan apabila engkau makan, dan engkau memberinya pakaian apabila engkau berpakaian. Jangan memukul wajah dan jangan mencelanya.” Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Rasulullah ﷺ bersabda dengan menjelaskan sebahagian hak isteri ke atas suami: “Dan menjadi kewajipan kamu memberi nafkah dan pakaian kepada isteri-isteri kamu dengan cara yang makruf.” Sahih Muslim. Nabi ﷺ juga bersabda: Cukuplah seseorang itu berdosa apabila dia mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya. Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dan al-Khattabi berkata: (Ucapannya: 'من يقوت') maksudnya: Mereka yang nafkahnya wajib ditanggung olehnya dan maknanya seakan-akan dia berkata kepada orang yang bersedekah: Janganlah engkau bersedekah dengan sesuatu yang tidak melebihi keperluan makan ahli keluargamu untuk mencari pahala kerana hal itu akan berubah menjadi dosa apabila engkau mengabaikan mereka).
Antara cara Islam memuliakan wanita ialah mewajibkan bapa menanggung anak perempuan; firman Allah: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. (Surah al-Baqarah: 233). Maka Allah telah menjelaskan bahawa menjadi kewajipan atas seorang bapa yang dikurniakan anak untuk memberi makan anaknya dan memberinya pakaian menurut yang ma'ruf. Dan firman Allah Ta'ala: kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; (Surah al-Talaq: 6). Allah mewajibkan upah penyusuan anak atas tanggungan bapa. Ini menunjukkan bahawa nafkah anak adalah tanggungan bapa, dan istilah ‘anak’ merangkumi lelaki dan perempuan. Dalam hadis berikut terdapat dalil tentang wajibnya nafkah isteri dan anak-anaknya atas bapa. Daripada Aisyah رضي الله عنها, bahawa Hind berkata kepada Nabi ﷺ: Sesungguhnya Abu Sufyan seorang yang bakhil, maka aku berhajat mengambil daripada hartanya. Maka baginda bersabda: “Ambillah apa yang mencukupi kamu dan anakmu dengan cara yang makruf.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari Dan Nabi yang mulia menjelaskan kelebihan memberi nafkah kepada anak-anak perempuan dan adik-beradik perempuan, maka Rasulullah ﷺ bersabda: "Sesiapa memelihara dua orang anak perempuan atau tiga orang anak perempuan, atau dua orang saudara perempuan atau tiga orang saudara perempuan, sehingga mereka berkahwin atau dia wafat meninggalkan mereka, maka saya dan dia seperti ini." Baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah. (Al-Silsilah al-Sahihah: 296)
20. Kematian bukanlah kebinasaan abadi. Sebaliknya ia adalah perpindahan daripada alam ujian, kepada alam pembalasan. Kematian merangkumi jasad dan roh, kematian berlaku apabila roh meninggalkan jasad, kemudian roh akan kembali kepada jasad pada hari kebangkitan. Selepas mati, roh tidak akan berpindah ke jasad yang lain, atau reinkarnasi ke tubuh lain.
Kematian bukanlah kebinasaan abadi. Firman Allah Ta'ala: Katakanlah (wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malak al-Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”. (Surah al-Sajdah: 11) Kematian merangkumi jasad dan roh. Kematian roh ialah perpisahannya daripada jasad, kemudian roh akan kembali kepadanya selepas kebangkitan pada hari kiamat. Allah ﷻ berfirman: Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya). (Surah al-Zumar: 42). Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya apabila nyawa dicabut, maka mata akan mengikutinya.” Riwayat Muslim [920], Selepas kematian, manusia berpindah dari alam beramal kepada alam pembalasan. Allah SWT berfirman: KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Dia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur. (Surah Yūnus: 4).
Selepas mati, roh tidak akan berpindah ke jasad yang lain, atau reinkarnasi ke tubuh lain. Maka dakwaan reinkarnasi tidak didukung oleh akal dan pancaindera, dan tidak terdapat sebarang riwayat daripada para nabi AS yang menyokong akidah ini.
21. Islam menyeru untuk beriman dengan prinsip-prinsip Iman terbesar, iaitu: 1. Beriman dengan Allah, 2. Beriman dengan malaikat-Nya, 3. Beriman dengan Kitab-Kitab Tuhan seperti Taurat, Injil, Zabur - sebelum diselewengkan, dan al-Quran, 4. Beriman dengan semua para nabi dan rasul, terutamanya Nabi Terakhir, Muhammad ﷺ, 5. Beriman dengan kehidupan selepas kematian. Kita yakini, sekiranya kehidupan dunia adalah pengakhiran, maka kewujudan kita hanya sia-sia. 6. Beriman dengan ketentuan dan ketetapan Ilahi.
Islam menyeru untuk beriman dengan prinsip-prinsip Iman terbesar yang telah diseru oleh semua para nabi dan rasul, iaitu:
Pertama: Beriman kepada Allah ﷻ sebagai Tuhan, Pencipta, Pemberi rezeki dan pentadbir alam semesta ini, serta bahawa hanya Dia yang berhak disembah. Penyembahan kepada apa-apa selain-Nya adalah palsu, dan setiap yang dijadikan sembahan selain-Nya adalah palsu. Maka ibadah tidak layak melainkan untuk-Nya, dan ibadah tidak sah melainkan untuk-Nya. Dalil-dalil bagi perkara ini telah dijelaskan sebelum ini pada perenggan nombor (8).
Allah ﷻ telah menyebutkan asas-asas utama ini dalam banyak ayat yang berselerak dalam al-Quran, antaranya firman-Nya: Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”. (Surah al-Baqarah: 285). Firman Allah ﷻ: Bukanlah perkara kebaikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebaikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang tersekat dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan seseorang menunaikan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebaikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 177) Allah Ta'ala menyeru agar beriman kepada asas-asas ini dan menjelaskan bahawa sesiapa yang kufur terhadapnya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jauh. Firman Allah Ta'ala: Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad ﷺ), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh. (Surah al-Nisa': 136). Dalam hadis, daripada 'Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata: Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah ﷺ pada suatu hari, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang berpakaian sangat putih dan berambut sangat hitam. Tidak kelihatan padanya tanda-tanda sebagai seorang musafir, dan tiada seorang pun daripada kami yang mengenalinya. Dia duduk di hadapan Nabi ﷺ, lalu menyandarkan lututnya ke lutut baginda dan meletakkan tapak tangannya di atas pehanya, kemudian berkata: 'Wahai Muhammad, terangkan kepadaku tentang Islam.' Rasulullah menjawab: 'Islam itu adalah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah jika mampu.' Lelaki itu berkata, 'Benar.' Kami merasa hairan kerana dia bertanya dan kemudian membenarkan jawapannya. Dia berkata lagi, 'Terangkan kepadaku tentang iman.' Rasulullah menjawab: 'Iman ialah kamu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat, dan takdir baik dan buruk.' Lelaki itu berkata, 'Benar.' Dia berkata lagi, 'Terangkan kepadaku tentang ihsan.' Rasulullah menjawab: 'Ihsan ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, maka Dia melihatmu.' Sahih Muslim 8. Dalam hadis ini, Jibril (AS) datang kepada Rasulullah ﷺ lalu bertanya tentang martabat agama, iaitu: Islam, iman dan ihsan. Rasulullah ﷺ pun menjawabnya. Kemudian Rasulullah ﷺ memberitahu para sahabatnya (RA): “Ini ialah Jibril; dia datang untuk mengajar kamu tentang agama kamu.” Maka inilah Islam: Satu risalah Ilahi yang dibawa oleh Jibril (AS), disampaikan kepada manusia oleh Rasulullah ﷺ, dan dipelihara oleh para sahabat baginda (RA) lalu mereka menyampaikannya kepada manusia selepas baginda.
Kedua: Beriman kepada Malaikat – mereka tergolong dalam alam ghaib; Allah menciptakan mereka, menjadikan mereka pada rupa tertentu, serta menugaskan mereka dengan tugas-tugas yang agung. Antara tugas mereka yang paling mulia ialah menyampaikan wahyu Ilahi kepada para rasul dan para nabi. Dan yang paling mulia dalam kalangan malaikat ialah Jibrīl. Antara dalil bahawa Jibrīl turun membawa wahyu kepada para rasul ialah firman-Nya: Dia menurunkan malaikat membawa wahyu dengan perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (yang layak menjadi Rasul); (lalu Ia berfirman kepada Rasul-rasul): “Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia bahawa tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepadaku”. (Surah al-Naḥl: 2) Firman Allah ﷻ: Dan sesungguhnya al-Quran (yang antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi salah seorang daripada pemberi amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata. (195) Dan sesungguhnya al-Quran (tersebut juga perihalnya dan sebahagian dari pengajaran-pengajarannya) di dalam kitab-kitab agama orang-orang yang telah lalu. (Surah al-Syu'ara': 192-196)
3. Beriman kepada kitab-kitab Allah, seperti Taurat, Injil dan Zabur (sebelum diubahsuai), serta al-Quran; sebagaimana firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad ﷺ), dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan malaikat-malaikatNya, dan kitab-kitabNya, dan rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh. (Surah al-Nisa': 136). Firman Allah ﷻ: Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci (al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil. Sebelum (al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Dia juga yang menurunkan al-Furqan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah). (Surah Ali `Imran: 3-4) Firman Allah SWT: Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”. (Surah al-Baqarah: 285) Allah juga berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)”. (Surah Ali `Imran: 84)
Keempat: Beriman kepada semua nabi dan rasul. Maka wajib beriman kepada semua nabi dan rasul, serta meyakini bahawa mereka semuanya adalah utusan dari sisi Allah SWT yang menyampaikan kepada umat mereka risalah-risalah Allah, agama-Nya dan syariat-Nya. Sebagaimana firman Allah ﷻ: Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi daripada Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang daripada mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”. (Surah al-Baqarah: 136). Firman Allah ﷻ: Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”. (Surah al-Baqarah: 285). Firman Allah ﷻ: Katakanlah (wahai Muhammad): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)”. (Surah Ali `Imran: 84).
Beriman dengan rasul terakhir mereka, iaitu Muhammad ﷺ, rasul Allah, penutup segala nabi dan rasul; selawat dan salam ke atas mereka. Allah ﷻ berfirman: Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada Nabi-nabi (dengan firmanNya): “Sesungguhnya apa jua kitab dan hikmah yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.” (Surah Ali `Imran: 81)
Maka Islam mewajibkan beriman kepada semua nabi dan rasul secara umum, dan mewajibkan beriman kepada rasul terakhir mereka, iaitu Muhammad ﷺ, sebagaimana firman Allah ﷻ: Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu agama sehingga kamu tegakkan ajaran kitab-kitab Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu” (Surah al-Māʾidah: 68) Firman Allah ﷻ: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”. (Surah Ali `Imran: 64)
Dan sesiapa yang kufur kepada seorang nabi, maka dia telah kufur kepada semua nabi dan rasul. Oleh itu, Allah ﷻ berfirman, mengkhabarkan tentang ketetapan-Nya terhadap kaum Nuh: (Demikian juga) kaum Nabi Nuh telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka.) (Surah al-Syu`ara': 105) Diketahui bahawa Nabi Nuh AS tidak didahului oleh seorang rasul pun; namun demikian, apabila kaumnya mendustakannya, pendustaan mereka terhadapnya itu merupakan pendustaan terhadap semua nabi dan rasul, kerana seruan mereka satu dan matlamat mereka juga satu.
Kelima: Beriman kepada hari akhirat, iaitu hari kiamat. Pada akhir kehidupan dunia ini, Allah ﷻ memerintahkan malaikat Israfil AS lalu dia meniup sangkakala dengan tiupan yang mematikan; maka tersungkur lalu mati semua yang Allah kehendaki. Allah ﷻ berfirman: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). (Surah al-Zumar: 68). Apabila binasalah semua makhluk yang di langit dan di bumi, kecuali siapa yang dikehendaki-Nya, maka sesungguhnya Allah ﷻ akan melipat langit dan bumi, sebagaimana firman-Nya: (Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catatan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya. (Surah al-Anbiya': 104). Firman Allah ﷻ: Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya, sedang bumi seluruhnya - pada hari kiamat - dalam genggaman-Nya, dan langit tergulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Sucilah Dia dan Tertinggi keadaanNya daripada apa yang mereka sekutukan. (Surah al-Zumar: 67). Rasulullah ﷺ bersabda: Allah ‘Azza wa Jalla menggulung langit pada hari kiamat, kemudian mengambilnya dengan tangan kanan-Nya, lalu berfirman: "Akulah Raja. Di manakah orang-orang yang gagah lagi zalim? Di manakah orang-orang yang takbur?" Kemudian Dia menggulung bumi-bumi dengan tangan kiri-Nya, lalu berfirman: "Akulah Raja. Di manakah orang-orang yang gagah lagi zalim? Di manakah orang-orang yang takbur? Riwayat Muslim.
Kemudian Allah memerintahkan malaikat, lalu dia meniup sangkakala itu sekali lagi; maka tiba-tiba mereka bangun berdiri sambil memandang. Firman Allah ﷻ: Kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). (Surah al-Zumar: 68). Maka apabila Allah ﷻ membangkitkan sekalian makhluk, dihimpunkan mereka untuk dihisab; Firman Allah ﷻ juga: Pada hari bumi terbelah-belah untuk mereka segera keluar (daripadanya). Perbuatan (menghidupkan dan) menghimpunkan mereka di Padang Mahsyar itu, mudah bagi Kami melaksanakannya. (Surah Qāf: 44) Firman Allah ﷻ: Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatupun hal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Maha Perkasa! (Surah Ghāfir: 16) Pada hari itu, Allah akan menghisab seluruh manusia, membela hak setiap yang dizalimi terhadap orang yang menzaliminya, dan membalas setiap insan menurut apa yang telah dikerjakannya. Allah berfirman: “Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisab-Nya. (Surah Ghāfir: 17) Firman Allah ﷻ: Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar. (Surah al-Nisa': 40). Allah ﷻ juga berfirman: “Sesiapa yang melakukan kebaikan seberat zarah, dia akan melihatnya.” (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Surah al-Zalzalah: 7-8). Firman Allah ﷻ: Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung. (Surah al-Anbiyāʾ: 47).
Setelah kebangkitan dan hisab, maka berlakulah balasan: Sesiapa yang beramal dengan kebaikan, maka buatnya kenikmatan yang berterusan yang tidak akan lenyap dan sesiapa yang melakukan kejahatan dan kekufuran, maka buatnya azab. Allah ﷻ berfirman: Kuasa pemerintahan pada hari kiamat itu hanya bagi Allah. Dia akan menghukum antara mereka. Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh ditempatkan di dalam syurga yang penuh dengan segala nikmat dan kesenangan; Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan kami, maka mereka beroleh azab seksa yang hina. (Surah al-Hajj: 56-57). Kita mengetahui bahawa jika kehidupan dunia ini merupakan pengakhiran, maka kehidupan dan kewujudan akan menjadi perbuatan yang sia-sia belaka. Allah ﷻ telah berfirman: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mu'minun: 115)
Keenam: Beriman kepada Qada’ dan Qadar (Takdir) – iaitu meyakini bahawa Allah ﷻ mengetahui segala sesuatu yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku di alam ini dan bahawa Allah telah menetapkan semuanya itu sebelum menciptakan langit dan bumi – sebagaimana firman-Nya: Di sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata. (Surah al-Anʿām: 59) Dan bahawa Allah benar-benar meliputi segala sesuatu dengan ilmu. Allah ﷻ berfirman: Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Ṭalāq: 12). Tiada sesuatu pun yang berlaku di alam semesta ini melainkan dengan izin dan kehendak-Nya; Dialah yang menciptakannya dan memudahkan sebab-sebabnya. Allah ﷻ berfirman: Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahan-Nya; dan Dia lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna. (Surah al-Furqan: 2). Dan pada hal itu Dia memiliki hikmah yang amat sempurna yang tidak mampu diselami oleh manusia. Firman Allah ﷻ juga: (Yang demikian ialah) pengajaran yang cukup sempurna; dalam pada itu, segala peringatan dan amaran tidak akan mendatangkan faedah (kepada mereka yang ingkar). (Surah al-Qamar: 5) Firman Allah ﷻ: Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Dia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang pelaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Rūm: 27). Allah Taʿala menyifatkan Diri-Nya dengan hikmah dan menamakan Diri-Nya al-Hakim. Firman Allah Taʿala: Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah Āli ʿImrān: 18) Allah ﷻ berfirman, mengkhabarkan mengenai Nabi Isa AS bahawa beliau akan berbicara kepada Allah pada hari kiamat seraya berkata: “Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Māʾidah: 118) Allah Ta'ala berfirman kepada Nabi Musa AS ketika Dia memanggilnya di sisi Bukit Thur: Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Naml: 9).
Al-Quran yang agung disifatkan dengan hikmah, maka Allah Ta'ala telah berfirman: Alif, Laam, Raa'. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya. (Surah Hūd: 1) Firman Allah ﷻ: Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmah yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (daripada rahmat Allah). (Surah al-Isrāʾ: 39).
22. Para nabi terpelihara daripada sebarang kesilapan berkenaan mesej yang mereka sampaikan daripada Allah, mereka terpelihara daripada sebarang perkara yang menyalahi logik, atau sikap yang ditolak moral yang sejahtera. Para nabi adalah orang-orang yang bertanggungjawab untuk menyampaikan perintah Allah kepada para hamba-Nya. Para nabi tidak memiliki apa-apa sifat ketuhanan atau penyembahan; sebaliknya mereka adalah manusia seperti manusia lain, hanya sahaja Allah memberikan wahyu kepada mereka.
Para nabi terpelihara daripada sebarang kesilapan berkenaan mesej yang mereka sampaikan daripada Allah; kerana Allah memilih yang terbaik daripada kalangan makhluk-Nya untuk menyampaikan risalah-risalah-Nya. Firman Allah Ta‘ala: Allah memilih utusan-utusanNya daripada malaikat dan manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Hajj: 75). Allah juga berfirman: Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing). (Surah Ali ʿImran: 33) Allah juga berfirman: Allah berfirman: “Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dalam kalangan orang-orang yang bersyukur”. (Surah al-Aʿrāf: 144) Para rasul—selawat dan salam ke atas mereka—mengetahui bahawa apa yang diturunkan kepada mereka ialah wahyu Ilahi, dan mereka menyaksikan para malaikat turun membawa wahyu. Allah Ta‘ala berfirman: Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, - Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). (Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Dia mengetahui bahawa sesungguhnya - (dengan jagaan mereka) - Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna); pada hal Dia memang mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Dia menghitung tiap-tiap sesuatu, satu persatu”. (Surah al-Jinn: 26-28). Allah ﷻ memerintahkan mereka menyampaikan risalah-risalah-Nya; Allah ﷻ berfirman: Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir. (Surah al-Māʾidah: 67). Allah juga berfirman: Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Nisāʾ: 165).
Para rasul —selawat dan salam ke atas mereka— takut kepada Allah dengan ketakutan yang paling mendalam dan benar-benar gerun kepada-Nya; maka mereka tidak menambah dan tidak mengurangkan dalam menyampaikan risalah-risalah-Nya. Allah ﷻ berfirman: Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta - sebarang kata-kata rekaan, - Sudah tentu Kami akan menyentapnya dengan kekuasaan Kami, - Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya dia mati dengan serta-merta); Maka tidak ada seorangpun antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya. (Surah al-Haqqah: 44-47). Ibn Kathir rahimahullah berkata: Allah ﷻ berfirman: “Dan sekiranya dia (Nabi ﷺ) merekayasa perkataan terhadap Kami yang tidak Kami katakan,” iaitu: sekiranya baginda, sebagaimana yang mereka dakwakan, mengada-adakan terhadap Kami; lalu menambah pada risalah atau menguranginya, atau mengatakan sesuatu daripada dirinya sendiri lalu dinisbahkannya kepada Kami — sedangkan hakikatnya bukan demikian — nescaya Kami segerakan baginya hukuman. Kerana itu Dia berfirman: “pasti Kami rentap dia dengan penuh kekuatan,”. Ada yang berpendapat: maksudnya, nescaya Kami membalasnya dengan (tangan) kanan, kerana ia lebih keras dalam cengkaman. Dan ada pula yang berpendapat: nescaya Kami mengambilnya pada tangan kanannya. Allah juga berfirman: Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: ‘Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain daripada Allah?’” Nabi ‘Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib. Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku, iaitu: ‘Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu’, dan aku menjadi saksi terhadap mereka selama aku berada dalam kalangan mereka. Maka apabila Engkau mengambilku, Engkaulah yang mengawasi mereka; dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Māʾidah: 116-117)
Antara kurnia Allah kepada para nabi dan rasul-Nya — semoga selawat dan salam tercurah ke atas mereka — ialah bahawa Allah meneguhkan mereka dalam tugas menyampaikan risalah-risalah-Nya. Firman Allah Ta‘ala: “Aku menyeru Allah menjadi saksi tentang kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih daripada dosa perbuatan syirik kamu - selain daripada Allah. Oleh itu, jalankanlah segala tipu daya kamu terhadapku, dan janganlah kamu bertangguh lagi.” “Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus. (Surah Hud: 54-56). Firman Allah ﷻ: Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) daripada apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) baharulah mereka menjadikan engkau sahabat karibnya. Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami. (Surah al-Isrāʾ: 75-73). Maka ayat-ayat ini dan yang sebelumnya menjadi saksi dan dalil bahawa al-Quran adalah wahyu daripada Tuhan semesta alam; kerana sekiranya ia berasal daripada Rasulullah ﷺ, nescaya baginda tidak akan memasukkan ke dalamnya kata-kata seperti ini yang ditujukan kepada baginda.
Allah ﷻ memelihara para rasul-Nya daripada manusia. Firman Allah Ta'ala: Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir. (Surah al-Māʾidah: 67). Firman Allah ﷻ: Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika dia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku; kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi (tetapi biarlah terbuka); sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi. (Surah Yūnus: 71). Allah ﷻ berfirman mengenai ucapan Nabi Musa AS: “Mereka berdua berkata: ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami takut dia (Firaun) akan bertindak melulu terhadap kami atau akan melampaui batas.’ Allah berfirman: ‘Janganlah kamu berdua takut; sesungguhnya Aku bersama kamu berdua; Aku mendengar dan melihat.’” (Surah Taha: 45-46) Maka Allah ﷻ menjelaskan bahawa Dia memelihara para rasul-Nya AS daripada musuh-musuh mereka sehingga mereka tidak mampu menimpakan sebarang keburukan kepada para rasul itu. Dan Allah Yang Maha Benar, Subhanahu wa Ta’ala, mengkhabarkan bahawa Dia memelihara wahyu-Nya; tidak berlaku padanya penambahan mahupun pengurangan. Firman Allah ﷻ: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (Surah al-Hijr: 9).
Para nabi terpelihara daripada segala perkara yang menyalahi akal atau ditolak oleh akhlak yang sejahtera; Allah ﷻ berfirman memuji dan mensucikan Nabi-Nya, Muhammad ﷺ: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. (Surah al-Qalam: 4) Dikatakan tentangnya juga: Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah dia seorang gila (seperti yang kamu tuduh); (Surah al-Takwīr: 22) Hal itu agar mereka menunaikan risalah dengan sebaik-baiknya. Para nabi adalah orang-orang yang bertanggungjawab untuk menyampaikan perintah Allah kepada para hamba-Nya; mereka tidak memiliki apa-apa sifat ketuhanan atau penyembahan, sebaliknya mereka adalah manusia seperti manusia lain, hanya sahaja Allah memberikan wahyu kepada mereka. Allah ﷻ berfirman: Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka: “Kami ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu sebarang bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Dan dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri. (Surah Ibrahim: 11). Allah ﷻ berfirman, memerintahkan Rasul-Nya Nabi Muhammad ﷺ agar berkata kepada umatnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (Surah al-Kahfi: 110).
23. Islam menyeru untuk menyembah Allah sahaja, dengan bentuk-bentuk ibadah yang teragung, iaitu: 1. Solat, yang terdiri daripada berdiri, rukuk, sujud, zikir, memuji Allah dan berdoa. Ia dilaksanakan 5 kali sehari. Tiada beza dalam kewajipan ini antara kaya dan miskin, pemimpin dan rakyat, semua solat di satu baris yang sama. 2. Zakat, iaitu sedikit harta yang ditentukan menurut ketetapan syariah Allah yang dibelanjakan dari harta orang-orang kaya untuk dibahagikan kepada orang-orang fakir dan lain-lain, setiap tahun sekali. 3. Puasa, iaitu menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa pada pagi bulan Ramadan. Amalan ini mendidik diri untuk menguruskan masa dan bersabar. 4. Haji, iaitu pergi ke Rumah Allah di Mekah, sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan. Dalam perhimpunan haji ini, setiap manusia menghadapkan jiwa mereka kepada Allah, mengabaikan sebarang perbezaan dan kecenderungan politik.
Islam menyeru untuk menyembah Allah dengan bentuk-bentuk ibadah yang teragung serta ibadah-ibadah yang lain. Ibadah-ibadah yang agung ini telah diwajibkan oleh Allah ke atas semua para nabi dan rasul, dan ibadah-ibadah yang teragung ialah:
Pertama: Allah mewajibkan solat ke atas umat Islam, sebagaimana Dia mewajibkannya ke atas semua nabi dan para rasul. Allah juga memerintahkan Nabi-Nya, Khalilullah Ibrahim, agar menyucikan Baitullah bagi orang-orang yang bertawaf dan yang menunaikan solat dan mereka yang rukuk dan sujud. Firman Allah Ta‘ala: Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haram daripada segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”. (Surah al-Baqarah: 125). Allah mewajibkannya ke atas Nabi Musa pada panggilan pertama kepada Musa AS; firman Allah Ta'ala: “Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci. “Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. (13)” “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.” (Surah Thaha: 12-14) Al-Masih 'Isa memberitahu bahawa Allah memerintahkan baginda mendirikan solat dan menunaikan zakat; lalu baginda berkata, sebagaimana firman-Nya: Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. (Surah Maryam: 31). Solat dalam Islam terdiri daripada berdiri, rukuk, sujud, zikir, memuji Allah dan berdoa. Ia dilaksanakan 5 kali sehari. Firman Allah ﷻ: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya solat wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk. (Surah al-Baqarah: 238). Firman Allah ﷻ: Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir hingga gelap malam, serta (dirikanlah) solat subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan. (Surah al-Isrāʾ: 78). Nabi ﷺ juga bersabda: Ketika rukuk, agungkanlah Tuhanmu, adapun ketika sujud, bersungguh-sungguhlah dalam berdoa kerana ia sangat mungkin untuk dikabulkan buatmu. Sahih Muslim.
Kedua: Zakat diwajibkan oleh Allah ﷻ ke atas umat Islam, sebagaimana Allah ﷻ mewajibkannya ke atas para nabi dan rasul terdahulu —alaihimussalam—. Ia merupakan kadar yang sedikit daripada harta —menurut syarat-syarat dan kadar yang telah ditetapkan oleh Allah— yang wajib diambil daripada harta orang kaya dan diberikan kepada golongan fakir dan yang memerlukan, sekali dalam setahun. Firman Allah ﷻ: Ambilah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Tawbah: 103) Apabila Nabi ﷺ mengutus Mu'az RA ke Yaman, baginda berkata kepadanya: Sesungguhnya kamu akan menemui sekelompok kaum Ahli Kitab; maka serulah mereka kepada syahadah tiada yang berhak disembah selain Allah dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah. Jika mereka mentaatimu dalam hal itu, maka beritahulah mereka bahawa Allah ﷻ telah mewajibkan atas mereka lima solat pada setiap hari dan malam. Jika mereka mentaatinya, maka beritahulah mereka bahawa Allah ﷻ telah mewajibkan atas mereka zakat pada harta-harta mereka; diambil daripada orang-orang kaya mereka dan dikembalikan kepada orang-orang fakir mereka. Jika mereka mentaatimu kerana hal itu, maka jauhilah mengambil yang terbaik daripada harta mereka, dan takutilah doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tiada penghalang antara doa itu dengan Allah ﷻ. Riwayat al-Tirmidhi (625)
Ketiga: Puasa telah diwajibkan oleh Allah Ta‘ala ke atas kaum Muslimin sebagaimana Allah Ta‘ala telah mewajibkannya ke atas para nabi dan rasul yang terdahulu, عليهم الصلاة والسلام. Allah Ta‘ala berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 183). Iaitu menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa pada siang hari bulan Ramadan, dan puasa mendidik dalam jiwa keazaman dan kesabaran. Nabi ﷺ bersabda: Allah ﷻ berfirman: “Puasa itu adalah untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Dia meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumannya kerana Aku. Dan puasa itu adalah perisai. Bagi orang yang berpuasa terdapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Rabbnya.” Sahih al-Bukhari 7492.
Keempat: Haji telah diwajibkan oleh Allah ke atas umat Islam, sebagaimana Allah telah mewajibkannya ke atas para nabi dan rasul terdahulu, dan Allah ﷺ memerintahkan Nabi Ibrahim AS untuk menyeru manusia supaya menunaikan haji, seperti yang disebut dalam firman-Nya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (Surah al-Hajj: 27). Dan Allah ﷻ memerintahkannya agar membersihkan Baitullah al-‘Atiq bagi para jemaah haji. Firman Allah ﷻ: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang). (Surah al-Hajj: 26).
Haji ialah perjalanan menuju Baitullah di Mekah untuk melakukan amalan-amalan tertentu, sekali seumur hidup, bagi mereka yang berkemampuan. Allah Taala berfirman: Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk. (Surah Ali `Imran: 97) Dalam ibadah haji, jemaah haji berkumpul di satu tempat dengan mengikhlaskan ibadah hanya kepada Allah Ta‘ala, dan seluruh jemaah haji menunaikan amalan-amalan haji dengan cara yang seragam sehingga lenyaplah perbezaan persekitaran, budaya dan taraf hidup.
24. Antara keistimewaan ibadah dalam Islam adalah tatacara, waktu dan syariatnya disusun oleh Allah sendiri, dan disampaikan oleh Rasul-Nya. Manusia tidak masuk campur menokok tambah ibadah tersebut, daripada dahulu sehingga kini. Kesemua bentuk ibadah-ibadah agung ini diajarkan oleh semua para nabi.
Antara keistimewaan ibadah dalam Islam adalah tatacara, waktu dan syariatnya disusun oleh Allah sendiri, dan disampaikan oleh Rasul-Nya. Manusia tidak masuk campur menokok tambah ibadah tersebut, daripada dahulu sehingga kini. Allah ﷻ berfirman: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Surah al-Māʾidah: 3) Firman Allah ﷻ: Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus. (Surah al-Zukhruf: 43) Firman Allah ﷻ juga tentang solat: Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (Surah al-Nisa': 103). Dan firman-Nya tentang jenis asnaf zakat: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Tawbah: 60) Mengenai puasa, Allah juga berfirman: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Surah al-Baqarah: 185) Dan Allah ﷻ berfirman tentang haji: (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Surah al-Baqarah: 197) Semua para nabi AS menyeru manusia kepada ibadah-ibadah agung ini.
25. Utusan Islam, iaitu Muhammad bin Abdullah, keturunan Ismail bin Ibrahim alayhimussalam. Baginda dilahirkan di Mekah pada tahun 571M, kemudian baginda berhijrah ke Madinah. Baginda tidak pernah menyertai sebarang upacara syirik kaumnya, tetapi baginda sering menyertai aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan bersama. Sejak belum menjadi nabi, baginda memiliki akhlak yang hebat sehingga digelar al-Amin (Yang Dipercayai). Allah melantik baginda sebagai nabi pada usia 40 tahun, memberikan petanda-petanda keajaiban buat baginda. Keajaiban baginda yang teragung adalah al-Quran, bahkan ia paling agung dalam sejarah para nabi. Ia adalah ayat-ayat yang kekal sehingga hari ini. Apabila Allah telah menyempurnakan agama-Nya, dan Rasul-Nya telah menyelesaikan tugasnya dengan sempurna, Allah mewafatkan baginda pada usia 63 tahun. Baginda dikebumikan di Madinah. Rasul Muhammad adalah penutup sekalian nabi dan rasul, Allah mengutus baginda membawa petunjuk (ilmu yang benar) dan agama yang benar (amal yang baik), untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan syirik, kufur dan kejahilan, kepada cahaya tauhid dan iman. Dan Allah menjadi saksi bahawa Dia telah mengutus baginda sebagai pendakwah yang menyeru kepada-Nya dengan izin-Nya.
Utusan Islam, iaitu Nabi Muhammad bin Abdullah ﷺ, daripada keturunan Ismail bin Ibrahim alayhimussalam. Baginda dilahirkan di Mekah pada tahun 571M, diutus di sana, kemudian baginda berhijrah ke Madinah. Baginda digelar al-Amin (Yang Dipercayai) oleh kaumnya. Baginda tidak pernah menyertai sebarang upacara syirik kaumnya, tetapi baginda sering menyertai aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan bersama. Sejak belum menjadi nabi, baginda memiliki akhlak yang hebat. Tuhan-Nya menyifatkan baginda dengan akhlak yang agung; Allah Taala berfirman tentang baginda: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. (Surah al-Qalam: 4) Allah mengutus baginda ketika berusia 40 tahun, dan Allah membantu baginda dengan ayat-ayat (mukjizat) yang agung, dan yang paling agung daripadanya ialah al-Quran al-Karim. Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada seorang nabi pun melainkan telah diberi mukjizat yang dengannya manusia beriman; adapun yang diberi kepadaku hanyalah wahyu yang Allah wahyukan kepadaku, maka aku berharap agar akulah yang mempunyai pengikut paling ramai pada hari kiamat.” Sahih al-Bukhari. Al-Quran yang agung ialah wahyu Allah kepada Rasul-Nya ﷺ. Allah berfirman tentangnya: Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa; (Surah al-Baqarah: 2) Dan Allah ﷻ berfirman mengenainya: Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya. (Surah al-Nisa': 82). Allah ﷻ mencabar golongan jin dan manusia agar mereka mendatangkan yang seumpamanya. Firman Allah ﷻ juga: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”. (Surah al-Isrāʾ: 88). Allah mencabar mereka untuk mendatangkan sepuluh surah yang serupa dengannya. Allah ﷻ berfirman: Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu!” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”. (Surah Hūd: 13) Bahkan Allah mencabar mereka untuk mendatangkan satu surah yang serupa dengannya. Allah ﷻ berfirman: Dan jika kamu meragui (kebenaran) apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka datangkanlah satu surah yang seumpamanya, dan panggillah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (Surah al-Baqarah: 23)
Al-Quran al-Karim ialah satu-satunya petanda yang masih kekal daripada petanda para nabi sehingga hari ini. Apabila Allah telah menyempurnakan agama ini, dan Nabi Muhammad ﷺ telah menyelesaikan tugas baginda dengan penuh sempurna, Allah mematikan baginda pada usia 63 tahun, dan baginda dikebumikan di Madinah al-Nabawiyyah.
Rasul Muhammad ﷺ adalah penutup segala nabi dan rasul. Allah ﷻ berfirman: Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Aḥzāb: 40) Daripada Abu Hurayrah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: Nabi ﷺ bersabda: "Sesungguhnya perumpamaan saya dan perumpamaan para nabi sebelum saya adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah lalu memperelok dan memperindahkannya, kecuali pada tempat seketul batu bata di salah satu sudut. Lalu orang ramai mengelilinginya, mengaguminya, dan berkata: 'Mengapa tidak diletakkan batu bata ini?' Maka sayalah batu bata itu, dan saya adalah penutup para nabi. Sahih al-Bukhari. Dalam Injil, al-Masih 'Isa AS berkata, memberi khabar gembira tentang kedatangan Rasulullah Muhammad ﷺ: “Batu yang ditolak oleh para pembina itu telah menjadi batu penjuru. Belumkah kamu pernah membaca di dalam Kitab Suci?” Nabi Isa AS berkata kepada mereka: “Daripada Tuhan hal ini terjadi, dan ia menakjubkan pada mata kita.” Dan dalam Kitab Taurat yang ada pada hari ini terdapat firman Allah kepada Nabi Musa AS: “Aku akan membangkitkan bagi mereka seorang nabi dari tengah-tengah saudara-saudara mereka, seperti engkau, dan Aku akan meletakkan firman-Ku di dalam mulutnya; maka dia akan berkata-kata kepada mereka segala yang Aku perintahkan kepadanya.”
Dan Nabi Muhammad ﷺ, Allah mengutus baginda dengan petunjuk dan agama yang benar, dan Allah menyatakan bahawa baginda berada di atas kebenaran, serta mengutusnya untuk menyeru kepada-Nya dengan izin-Nya. Firman Allah ﷻ: (Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran al-Quran yang telah diturunkan-Nya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmu-Nya, dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran al-Quran ini). (Surah al-Nisa': 166). Firman Allah ﷻ: (Allah yang menyatakan itu) Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad ﷺ) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh RasulNya itu). (Surah al-Fath: 28). Allah mengutuskan Rasul-Nya dengan petunjuk untuk menyelamatkan manusia daripada kegelapan paganisme, kekufuran dan kejahilan, ke arah cahaya tauhid dan keimanan. Allah Ta‘ala berfirman: Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (Surah al-Māʾidah: 16) Firman Allah ﷻ: Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji. (Surah Ibrahim: 1).
26. Syariat Islam yang dibawa Rasulullah ﷺ adalah syariat Ilahi yang terakhir, yang telah disempurnakan oleh Allah. Syariat ini memberi penekanan terhadap maslahat ukhrawi dan duniawi setiap insan, memelihara kemandirian agama, nyawa, harta, akal dan zuriat manusia. Syariat ini memansuhkan segala syariat terdahulu, sebagaimana syariat sebelum ini memansuhkan syariat yang lebih sebelum.
Syariat Islam yang dibawa Rasulullah ﷺ adalah penutup segala risalah Ilahi dan syariat Rabbani. Dengan risalah ini Allah telah menyempurnakan agama, dan dengan diutusnya Rasulullah ﷺ, nikmat-Nya telah disempurnakan atas manusia. Firman Allah: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Surah al-Māʾidah: 3)
Syariat Islam adalah syariat yang sempurna. Ia memelihara kemandirian agama dan dunia manusia, kerana ia menghimpunkan segala yang ada pada syariat-syariat terdahulu, lalu melengkapkan dan menyempurnakannya. Firman Allah Ta‘ala: Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. (Surah al-Isrāʾ: 9). Syariat Islam telah menggugurkan daripada manusia beban-beban yang berat yang pernah ada pada umat-umat terdahulu; Allah ﷻ berfirman: “Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad ﷺ) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan dia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-Aʿrāf: 157)
Syariat Islam memansuhkan segala syariat terdahulu. Allah berfirman: Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) daripada apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat, tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (Surah al-Māʾidah: 48) Al-Quran al-Karim yang mengandungi syariah datang sebagai saksi bagi kitab-kitab samawi yang terdahulu, menjadi penghukum mereka, dan sekali gus memansuhkan autoriti kitab-kitab tersebut.
27. Allah tidak menerima agama lain, selain Islam yang dibawa oleh Rasul Muhammad ﷺ. Sesiapa yang menganut agama selain agama Islam, Allah tidak akan menerimanya.
Selepas diutusnya Rasul Muhammad ﷺ, Allah tidak menerima agama lain, selain Islam yang dibawa oleh Rasul Muhammad ﷺ. Sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima daripadanya. Firman Allah ﷻ juga: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dalam kalangan orang-orang yang rugi. (Surah Ali ʿImran: 85) Firman Allah ﷻ: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya. (Surah Āl ʿImrān: 19) Agama Islam ini ialah agama Nabi Ibrahim AS, kekasih Allah. Firman Allah: Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah daripada orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya). (Surah al-Baqarah: 130). Firman Allah ﷻ: Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya. (Surah al-Nisa': 125). Allah ﷻ memerintahkan Rasulullah ﷺ supaya baginda berkata: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah dia dalam kalangan orang-orang musyrik”. (Surah al-Anʿām: 161)
28. Al-Quran yang wahyukan kepada Rasul Muhammad ﷺ adalah kata-kata Tuhan Semesta Alam. Allah telah mencabar jin dan manusia untuk mendatangkan satu surah seperti surah al-Quran. Cabaran ini masih belum disahut sehingga hari ini. Al-Quran menjawab banyak persoalan eksistensial yang penting, yang menjadi tanda tanya umat manusia. Al-Quran masih terpelihara sehingga hari ini dengan bahasa aslinya, bahasa Arab, tanpa berkurang satu huruf pun. Al-Quran telah diterbitkan dan diedar serata dunia. Ia Kitab yang agung, sangat patut dibaca, atau dibaca terjemahannya. Begitu juga sunnah Rasulullah ﷺ, ajaran dan perjalanan hidup baginda dipelihara rapi menerusi rantai perawi yang dipercayai. Ia telah diterbitkan dalam bahasa asal baginda, dan diterjemahkan ke banyak bahasa lain. Al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah ﷺ adalah satu-satunya sumber perundangan syariah Islam. Justeru agama Islam bukanlah pendapat peribadi umatnya, sebaliknya diambil daripada wahyu Ilahi yang berbentuk al-Quran dan Sunnah.
Al-Quran al-Karim adalah kitab yang Allah wahyukan kepada Rasul yang berbangsa Arab, Muhammad ﷺ, dalam bahasa Arab, dan ia adalah perkataan Tuhan Semesta Alam. Allah Taala berfirman: Dan sesungguhnya al-Quran (yang antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang daripada pemberi amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata. ﴿195﴾ (Surah al-Syu'ara': 192-195) Firman Allah ﷻ: Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) diberikan menyambut dan menerima Al-Quran daripada sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Naml: 6). Al-Quran ini diturunkan oleh Allah dan membenarkan kitab-kitab sebelumnya, sebagaimana firman Allah Ta'ala: Dan bukanlah al-Quran ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi al-Quran itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hakam syarak yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada al-Quran itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Yūnus: 37). Al-Quran yang agung memutuskan dalam kebanyakan perkara yang diperselisihkan oleh orang Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka. Allah ﷻ berfirman: Sesungguhnya Al-Quran ini menceritakan kepada Bani lsrail (perkara yang sebenar-benarnya) mengenai kebanyakan (hal-hal agama) yang mereka berselisihan padanya. (Surah al-Naml: 76). Al-Quran yang agung mengandungi banyak dalil dan bukti yang dengannya tegak hujah ke atas seluruh manusia dalam mengetahui hakikat-hakikat yang berkaitan dengan Allah ﷻ, agama-Nya dan balasan-Nya. Firman Allah ﷻ: Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia pelbagai misal perbandingan dalam al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran. (Surah al-Zumar: 27). Allah juga berfirman: Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam. (Surah al-Naḥl: 89)
Al-Quran al-Karim telah menjawab banyak persoalan-persoalan penting yang menjadi kekeliruan jutaan manusia, maka al-Quran al-Karim menjelaskan bagaimana Allah menciptakan langit dan bumi. Allah Ta'ala berfirman: Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (Surah al-Anbiyāʾ: 30) Dan bagaimana Allah menciptakan manusia? Firman Allah ﷻ: Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gemburlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai. [al-Hajj: 5]. Ke manakah kesudahannya, dan apakah balasan bagi orang yang berbuat baik dan orang yang berbuat buruk selepas kehidupan ini? Dalil-dalil mengenai persoalan ini telah disebutkan sebelum ini pada perenggan bernombor (20). Adakah kewujudan ini terjadi secara kebetulan, atau ia diwujudkan bagi suatu tujuan yang mulia? Firman Allah ﷻ juga: Patutkah mereka tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu beriman? (Surah al-Aʿrāf: 185) Allah juga berfirman: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mu'minun: 115)
Al-Quran yang agung kekal terpelihara sehingga hari ini dengan bahasa aslinya, bahasa Arab. Firman Allah ﷻ: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (Surah al-Ḥijr: 9). Tidak berkurang daripadanya walau satu huruf pun, dan mustahil berlaku padanya percanggahan, kekurangan atau perubahan. Firman Allah ﷻ juga: Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya. (Surah al-Nisa': 82). Al-Quran telah diterbitkan dan diedar serata dunia. Ia kitab yang agung, sangat patut dibaca, didengar, atau dibaca terjemahannya. Begitu juga Sunnah Rasulullah ﷺ, ajaran dan perjalanan hidup baginda dipelihara rapi menerusi rantai perawi yang dipercayai. Ia telah diterbitkan dalam bahasa asal baginda, dan diterjemahkan ke banyak bahasa lain. Al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah ﷺ adalah satu-satunya sumber perundangan syariah Islam. Justeru agama Islam bukanlah pendapat peribadi umatnya, sebaliknya diambil daripada wahyu Ilahi yang berbentuk al-Quran dan Sunnah. Firman Allah Ta‘ala mengenai al-Quran: Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedangkan al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah kitab suci yang tidak dapat ditandingi, tidak akan didatangi oleh kebatilan dari hadapan dan tidak juga dari belakangnya; diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji. (Surah Fussilat: 41-42). Allah ﷻ berfirman bahawa Sunnah Nabi ﷺ adalah wahyu daripada Allah: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya). (Surah al-Hasyr: 7).
29. Islam mengajarkan untuk berbuat baik kepada ibu bapa, meskipun mereka tidak menganut agama Islam, dan menekankan untuk mendidik anak dengan penuh kasih sayang.
Islam mengajarkan untuk berbuat baik kepada ibu bapa; Allah berfirman: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Surah al-Isrāʾ: 23) Firman Allah ﷻ: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Surah Luqmān: 14) Firman Allah ﷺ: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”. (Surah al-Aḥqāf: 15). Daripada Abu Hurayrah RA bahawa beliau berkata: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah ﷺ lalu berkata: "Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berhak mendapat layanan baikku?" Baginda bersabda: "Ibumu." Dia bertanya: "Kemudian siapa?" Baginda bersabda: "Kemudian ibumu." Dia bertanya: "Kemudian siapa?" Baginda bersabda: "Kemudian ibumu." Dia bertanya: "Kemudian siapa?" Baginda bersabda: "Kemudian ayahmu. Sahih Muslim.
Perintah ini agar berbuat baik kepada ibu bapa, sama ada mereka Muslim atau bukan Muslim. Daripada Asma' binti Abu Bakr RA, beliau berkata: "Ibuku datang menemuiku sedangkan dia masih musyrik, pada masa perjanjian damai Quraisy dengan Nabi ﷺ, bersama anaknya. Lalu aku meminta fatwa kepada Nabi ﷺ, aku berkata: 'Sesungguhnya ibuku telah datang dalam keadaan mengharap, apakah aku boleh menyambung silaturahim dengannya?' Baginda bersabda: 'Ya, sambunglah silaturahim dengan ibumu.' Sahih al-Bukhari. Bahkan jika kedua ibu bapa berusaha bersungguh-sungguh agar anak berpaling daripada Islam kepada kekufuran, maka Islam memerintahkannya — dalam keadaan seperti ini — agar tidak mentaati mereka, tetap beriman kepada Allah, berbuat baik kepada mereka dan mempergauli mereka dengan cara yang baik. Firman Allah Ta‘ala: Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (Surah Luqmān: 15)
Islam tidak menghalang seorang Muslim daripada berbuat baik kepada saudara-maranya yang musyrik, atau kepada orang lain yang bukan kerabatnya, selama mereka tidak memeranginya. Allah berfirman: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtaḥanah: 8)
Islam menekankan untuk mendidik anak dengan penuh kasih sayang, dan sebesar-besar perkara yang ditekankan oleh Islam kepada ibu bapa ialah mengajarkan kepada anak-anak hak-hak Tuhan mereka ke atas diri mereka, sebagaimana sabda Nabi ﷺ kepada sepupunya, Abdullah bin Abbas (radhiyallahu ‘anhuma): Wahai anak — atau wahai anak kecil — mahukah saya ajarkan kamu beberapa perkara yang Allah akan memberi manfaat kepadamu dengannya?" Aku berkata: "Ya." Maka baginda bersabda: "Jagalah hak Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah hak Allah, nescaya kamu akan mendapati-Nya di hadapanmu. Kenalilah Allah ketika lapang, nescaya Dia akan mengenalmu ketika kesukaran. Jika kamu meminta, maka mintalah kepada Allah, dan jika kamu memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan hanya kepada Allah. Riwayat Ahmad 4/287.
Allah memerintahkan kedua ibu bapa agar mengajarkan kepada anak-anak mereka perkara-perkara yang memberi manfaat kepada mereka dalam urusan agama dan dunia mereka. Firman Allah Ta‘ala: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah al-Taḥrīm: 6) Diriwayatkan daripada 'Ali bin Abu Talib RA tentang firman Allah Ta'ala: Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Dia mengucapkan: "Adabkan mereka, ajarkan mereka". Nabi ﷺ memerintahkan ibu bapa supaya mengajar anak-anak mereka solat agar mereka terbiasa melaksanakannya; maka Nabi ﷺ bersabda: Ajarlah anak-anak menunaikan solat pada usia tujuh tahun. Riwayat Abu Dawud. Nabi ﷺ juga bersabda: Kalian semua adalah pemimpin, dan kalian semua akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Imam adalah pemimpin, dan dia akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin atas ahli keluarganya, dan dia akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Seorang wanita adalah penjaga atas rumah suaminya, dan dia akan dipertanggungjawabkan atas mereka. Khadam adalah penjaga atas harta tuannya, dan dia akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dijaganya. Kalian semua adalah pemimpin, dan kalian semua akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Sahih Ibn Hibban 4490.
Islam mewajibkan bapa menanggung anak-anaknya dan ahli keluarganya, dan hal ini telah disebutkan sebahagiannya pada perenggan (18); Nabi ﷺ menjelaskan keutamaan memberi nafkah kepada anak-anak, lalu bersabda: Dinar yang paling utama yang dinafkahkan oleh seseorang ialah dinar yang dinafkahkan untuk ahli keluarganya, dan dinar yang dinafkahkan untuk tunggangannya di jalan Allah, dan dinar yang dinafkahkan untuk rakan-rakannya di jalan Allah." Abu Qilabah berkata: "Dan dimulakan dengan (menyebut) ahli keluarga." Kemudian Abu Qilabah berkata: "Siapakah lagi yang lebih besar pahalanya daripada seorang lelaki yang menafkahi anak-anak kecil di bawah tanggungannya, yang dengannya dia menjaga kehormatan mereka, atau Allah memberi manfaat kepada mereka melalui dirinya serta mencukupkan mereka." Sahih Muslim 994.
30. Islam mengajarkan untuk berlaku adil dalam memberi pendapat dan mengambil tindakan, sekalipun dengan musuh.
Allah ﷻ bersifat dengan keadilan dan kesaksamaan dalam perbuatan-Nya dan tadbiran-Nya terhadap hamba-hamba-Nya; dan Dia di atas jalan yang lurus dalam segala apa yang diperintahkan-Nya dan dilarang-Nya, serta dalam apa sahaja yang diciptakan-Nya dan ditakdirkan-Nya. Firman Allah ﷺ: Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah Āli ʿImrān: 18) Allah ﷻ memerintahkan berlaku adil. Firman Allah ﷻ juga: Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara) (Surah al-Aʿrāf: 29) Sekalian rasul dan nabi (moga selawat dan salam dipanjatkan buat mereka semua) datang membawa keadilan. Firman Allah: Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan. (Surah al-Ḥadīd: 25) al-Mizan ialah keadilan dalam ucapan dan tindakan.
Islam mengajarkan untuk berlaku adil dalam memberi pendapat dan mengambil tindakan, sekalipun dengan musuh. Allah ﷻ berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah al-Nisāʾ: 135). Firman Allah ﷻ: Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haram itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Surah al-Mā'idah: 2) Firman Allah ﷻ: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. (Surah al-Māʾidah: 8) Adakah engkau temui dalam perundangan negara-negara pada hari ini atau dalam agama-agama manusia suatu perintah seperti ini: memberi kesaksian yang benar dan berkata jujur, sekalipun terhadap diri sendiri, ibu bapa dan kaum kerabat; serta perintah untuk berlaku adil terhadap musuh dan sahabat?
Nabi ﷺ memerintahkan berlaku adil antara anak-anak. Daripada ‘Amir, beliau berkata: Saya mendengar Nu‘man bin Basyir RA, ketika beliau berada di atas mimbar, berkata: Ayahku telah memberikan kepadaku suatu pemberian. Lalu ‘Amrah binti Rawahah berkata: Aku tidak akan reda sehingga engkau menjadikan Rasulullah ﷺ sebagai saksi. Maka dia pun datang kepada Rasulullah ﷺ lalu berkata: Sesungguhnya aku telah memberikan kepada anakku daripada ‘Amrah binti Rawahah suatu pemberian, dan dia memerintahkanku agar aku menjadikanmu saksi, wahai Rasulullah ﷺ. Baginda bersabda: Adakah engkau memberikan kepada semua anak-anakmu seperti ini? Dia menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah antara anak-anak kamu. Maka dia pun kembali lalu menarik semula pemberiannya. Sahih al-Bukhari (2587).
Sesungguhnya urusan manusia dan negara tidak akan tegak melainkan dengan keadilan, dan manusia tidak akan berasa aman terhadap agama, darah, zuriat, maruah, harta dan tanah air mereka melainkan dengan keadilan. Oleh itu, ketika orang musyrik Mekah menekan kaum muslimin di Mekah, Nabi ﷺ memerintahkan mereka berhijrah ke Habsyah; kerana di sana terdapat seorang raja yang adil; tiada kezaliman di bawah pemerintahannya.
31. Islam mengajarkan untuk berbuat baik kepada setiap jenis makhluk, menyeru kepada akhlak yang sempurna dan amalan yang baik.
Islam mengajarkan untuk berbuat baik kepada setiap jenis makhluk. Allah ﷺ berfirman: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat (Surah al-Naḥl: 90). Firman Allah ﷻ: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; (Surah Āli 'Imrān: 134). Nabi Muhammad ﷺ juga bersabda: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan (berbuat baik) atas segala sesuatu. Maka apabila kamu membunuh, buatlah dengan ihsan dan apabila kamu menyembelih, buatlah dengan ihsan. Hendaklah salah seorang daripada kamu mengasah pisaunya dan menenangkan binatang yang akan disembelih. Sahih Muslim 1955.
Islam menyeru kepada akhlak yang sempurna dan amalan yang baik. Firman Allah ﷺ tentang sifat Nabi Muhammad ﷺ dalam kitab-kitab terdahulu: “Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad ﷺ) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan dia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-Aʿrāf: 157) Rasulullah ﷺ bersabda: Wahai ʿĀ’isyah رضي الله عنها, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia mencintai kelembutan, dan Dia memberi kerana kelembutan apa yang tidak Dia beri kerana kekerasan, dan apa yang tidak Dia beri kerana selain kelembutan. Sahih Muslim (2593). Rasulullah ﷺ bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu: Tidak menghormati para ibu, menanam hidup-hidup anak perempuan, serta enggan memberi dan meminta-minta. Dan Dia membenci bagi kamu percakapan yang tidak bermanfaat, banyak bertanya, dan menyia-nyiakan harta. Sahih al-Bukhari (no. 2408). Rasulullah ﷺ bersabda: Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang apabila kamu melakukannya kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam antara kamu. Sahih Muslim (54).
32. Islam mengajarkan akhlak-akhlak terpuji, seperti telus, amanah, menjaga maruah diri, malu, berani, berkorban, murah hati, ringan tulang membantu orang yang memerlukan, memberi makan kepada orang lapar, berbuat baik sesama tetangga, menyambung talian persaudaraan dan berbaik kepada haiwan.
Islam mengajarkan akhlak-akhlak terpuji; Nabi Muhammad ﷺ bersabda: Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik. Sahih al-Adab al-Mufrad 207, Rasulullah ﷺ bersabda: Sesungguhnya antara orang yang paling aku cintai dan paling dekat kedudukannya denganku pada hari kiamat ialah yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap, orang yang suka membesarkan kata-kata, dan al-mutafayhiqun." Mereka bertanya: "Kami telah mengetahui orang yang banyak bercakap dan orang yang suka membesarkan kata-kata; maka apakah itu al-mutafayhiqun?" Baginda bersabda: "Orang yang sombong." al-Silsilah al-Sahihah (791) Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr (semoga Allah meredai kedua-duanya) berkata: "Nabi ﷺ bukan yang berkata keji dan bukan yang berkata kotor." Baginda sering bersabda: "Sesungguhnya antara yang terbaik dalam kalangan kamu ialah mereka yang paling baik akhlaknya." Sahih al-Bukhari (3559), Selain itu, terdapat ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang menunjukkan bahawa Islam menyeru kepada akhlak yang sempurna dan amalan yang baik secara umum.
Antara yang diperintahkan oleh Islam ialah: kejujuran. Sabda Rasulullah ﷺ: Hendaklah kamu berpegang teguh kepada kejujuran, kerana sesungguhnya kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa ke syurga, dan seseorang akan terus berlaku jujur dan berusaha bersikap jujur hingga dicatat di sisi Allah sebagai orang yang sangat jujur (Siddiq). Sahih Muslim 2607.
Antara perkara yang diperintahkan oleh Islam: Menunaikan amanah. Firman Allah ﷻ: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) (Surah al-Nisāʾ: 58).
Antara perkara yang diperintahkan oleh Islam ialah al-‘iffah (menjaga kehormatan diri). Rasulullah ﷺ bersabda: “Tiga golongan yang berhak mendapat pertolongan Allah – antaranya: orang yang berkahwin kerana ingin menjaga kehormatan diri.” Sunan al-Tirmidhi: 1655. Antara doa Nabi ﷺ: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, kesucian diri dan kecukupan. Sahih Muslim (2721).
Antara perkara yang diperintahkan oleh Islam ialah sikap malu. Rasulullah ﷺ bersabda: Malu tidak mendatangkan melainkan kebaikan. Sahih al-Bukhari (6117), Rasulullah ﷺ bersabda: Bagi setiap agama ada akhlaknya, dan akhlak Islam ialah sikap malu. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dalam Syu'ab al-Iman (6/2619).
Antara perkara yang diperintahkan oleh Islam ialah keberanian. Daripada Anas RA, beliau berkata: Nabi ﷺ merupakan sebaik-baik manusia, paling berani dalam kalangan manusia, dan paling dermawan dalam kalangan manusia. Pernah penduduk Madinah dilanda kegemparan, maka Nabi ﷺ telah mendahului mereka dengan menunggang seekor kuda. Sahih al-Bukhari (2820). Rasulullah ﷺ sering berlindung dengan Allah daripada sikap bacul; lalu baginda berdoa: Wahai Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada sikap bacul. Sahih al-Bukhari (6374).
Antara yang diperintahkan oleh Islam ialah berkorban (harta, tenaga, masa) dan bermurah hati. Allah ﷻ berfirman: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (Surah al-Baqarah: 261) Akhlak Rasulullah ﷺ ialah kedermawanan. Daripada Ibnu 'Abbas RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ merupakan orang yang paling dermawan, dan baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan ketika bertemu dengan Jibril. Jibril menemui baginda setiap malam pada bulan Ramadan sehingga berakhirnya bulan itu, lalu Rasulullah ﷺ menelaah al-Quran bersama Jibril. Maka apabila Jibril bertemu dengan baginda, Rasulullah ﷺ lebih dermawan daripada angin yang berhembus. Sahih al-Bukhari: 1902.
Antara yang diajarkan Islam ialah ringan tulang membantu orang yang memerlukan, memberi makan kepada orang lapar, berbuat baik sesama tetangga, menyambung tali persaudaraan dan berbuat baik kepada haiwan. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru RA, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷻ: "Amalan Islam manakah yang terbaik?" Baginda menjawab: "Memberi makan (kepada orang yang memerlukan) dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan yang tidak engkau kenal." Sahih al-Bukhari 12. Rasulullah ﷺ bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di suatu jalan, dia ditimpa kehausan yang amat sangat. Dia pun menemui sebuah perigi, lalu turun ke dalamnya dan minum, kemudian keluar. Tiba-tiba seekor anjing terjelir lidahnya, menjilat tanah kerana kehausan. Lelaki itu berkata, "Sesungguhnya anjing ini ditimpa kehausan seperti yang menimpaku." Lalu dia turun semula ke perigi, mengisi kasutnya dengan air, kemudian memegangnya dengan mulutnya, lalu diberinya anjing itu minum. Maka Allah menghargai amalnya lalu mengampuninya." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah dapat pahala jika berbuat baik kepada binatang?" Baginda menjawab, "Setiap hati yang hidup (berbuat baik padanya) dapat pahala. Sahih Ibn Hibban 544. Rasulullah ﷺ bersabda: Orang yang berusaha membantu janda dan orang miskin adalah seperti mujahid di jalan Allah, atau seperti orang yang mendirikan solat malam dan berpuasa pada siang hari. Sahih al-Bukhari (5353).
Islam menegaskan hak-hak kaum kerabat serta mewajibkan bersilaturahim dengan mereka. Firman Allah ﷻ juga: Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak (mewarisi) akan setengahnya yang lain - menurut (hukum) Kitab Allah - daripada orang-orang yang beriman dan orang-orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya), kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada sahabat-sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis dalam Kitab Allah. (Surah al-Aḥzāb: 6) Allah memperingatkan daripada perbuatan memutuskan silaturahim serta menggandingkannya dengan perbuatan melakukan kerosakan di muka bumi. Firman Allah Ta'ala: (Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya (Surah Muḥammad: 22-23). Rasulullah ﷺ bersabda: "Tidak masuk syurga orang yang memutuskan tali persaudaraan." Sahih Muslim 2556. Saudara-mara yang wajib disambung hubungan silaturrahim ialah: - Ibu bapa, - Saudara lelaki dan saudara perempuan, - Bapa saudara sebelah bapa dan ibu saudara sebelah bapa, - Bapa saudara sebelah ibu dan ibu saudara sebelah ibu.
Islam menegaskan hak jiran sekalipun dia seorang kafir. Allah Ta'ala berfirman: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri. (Surah al-Nisā': 36). Rasulullah ﷺ bersabda: Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku tentang jiran sehingga aku menyangka bahawa dia akan menjadikannya sebagai waris. (Sahih Abu Dawud: 5152).
33. Islam menghalalkan makanan dan minuman yang baik, dan mendidik untuk menjaga kesucian hati, badan dan rumah. Oleh sebab konsep inilah Islam menggalakkan perkahwinan. Para nabi terdahulu juga mendidik umat mereka untuk memastikan kesucian dalam setiap perkara.
Islam menghalalkan makanan dan minuman yang baik. Rasulullah ﷺ bersabda: Wahai manusia, sungguh, Allah itu baik dan Dia tidak menerima melainkan yang baik-baik. Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman sebagaimana Dia memerintahkan para rasul. Allah berfirman: "Wahai para rasul, makanlah daripada yang baik-baik dan beramallah dengan amalan yang soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." Dan Allah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada yang baik-baik daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu benar menyembah-Nya." (ayat) Baginda bersabda: Kemudian baginda menyebut berkenaan seorang lelaki yang bermusafir panjang, rambutnya kusut masai, berdebu. Dia mengangkat tangan ke langit, menyeru Tuhannya. Tetapi makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, sumber gizinya haram; bagaimana diperkenankan semua itu? Sahih Muslim 1015. Firman Allah ﷻ: Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. (Surah al-Aʿrāf: 32)
Islam mendidik untuk menjaga kesucian hati, badan dan rumah. Oleh sebab konsep inilah Islam menggalakkan perkahwinan. Para nabi dan rasul juga mendidik umat mereka untuk memastikan kesucian dalam setiap perkara. Dan Allah ﷻ berfirman: Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah? (Surah al-Naḥl: 72) Firman Allah ﷻ: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. (Surah al-Muddaththir: 4-5). Rasulullah ﷺ bersabda: Tidak masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat ketakburan, meskipun seberat zarah." Seorang sahabat bertanya, "Jika seseorang suka mengenakan pakaian cantik, selipar cantik, adakah itu takbur?" Rasulullah ﷺ menjawab: "Allah itu indah, Dia mencintai keindahan. Takbur itu kamu menolak kebenaran, dan memperlecehkan manusia. Sahih Muslim (91).
34. Islam melarang keras beberapa dosa terbesar seperti mensyirikkan Allah, kufur, menyembah berhala, mendakwa tentang Allah tanpa dalil, membunuh anak, menumpahkan darah, melakukan kerosakan, sihir, melakukan perkara keji sama ada secara zahir , zina, homoseksual, faedah pinjaman, makan bangkai, makan korban kepada syirik, makan babi dan najis, makan harta anak yatim, menipu dalam sukatan dan timbangan, dan memutuskan hubungan silaturahim. Kesemua para nabi sepakat mengharamkan perkara ini kepada umat mereka.
Islam melarang keras beberapa dasar utama perkara haram seperti mensyirikkan Allah, kufur, menyembah berhala, mendakwa tentang Allah tanpa dalil, dan membunuh anak. Allah Ta'ala berfirman: Katakanlah: “Marilah aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) berbuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka. Janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil”. - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya - “dan apabila kamu mengatakan sesuatu, maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)”. (Surah al-Anʿām: 151-152) Firman Allah ﷻ: Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. (Surah al-Aʿrāf: 33)
Islam mengharamkan membunuh jiwa yang diharamkan Allah (untuk dibunuh). Allah Ta'ala berfirman: Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya dia mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syarak). (Surah al-Isrāʾ: 33). Firman Allah ﷻ: Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; (Surah al-Furqān: 68).
Islam telah mengharamkan perbuatan membuat kerosakan di muka bumi. Firman Allah ﷻ juga: Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. (Surah al-Aʿrāf: 56). Allah Ta’ala berfirman, memberitahu tentang Nabi Syu’aib ‘alaihissalam bahawa baginda berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Maka sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu mengurangi hak-hak manusia, dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika betul kamu orang-orang yang beriman. (Surah al-Aʿrāf: 85)
Islam telah mengharamkan sihir; firman Allah ﷻ: “Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedangkan ahli sihir itu tidak akan mendapat kejayaan, di mana sahaja dia berada”. (Surah Ṫaha: 69). Rasulullah ﷺ bersabda: Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan." Para sahabat bertanya: "Apakah itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan-perempuan baik yang beriman dan tidak berdosa." Sahih al-Bukhari 6857.
Islam mengharamkan perkara keji yang nyata atau tersembunyi, zina dan homoseksual. Telah disebut di awal perenggan ini ayat-ayat yang menunjukkan perkara tersebut. Islam mengharamkan riba. Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan daripada Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Surah al-Baqarah: 278-279) Allah tidak pernah mengancam pelaku maksiat dengan perang sebagaimana Allah mengancam pelaku riba kerana riba membawa kehancuran agama, negara, harta dan jiwa.
Islam mengharamkan makan bangkai dan makan korban kepada syirik, serta mengharamkan makan babi. Firman Allah Ta'ala: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. (Surah al-Māʾidah: 3)
Islam melarang keras minum arak serta segala najis dan perkara yang keji. Firman Allah ﷻ: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (Surah al-Māʾidah: 90-91) Telah disebut pada perenggan (31) bahawa Allah ﷻ telah memberitahu bahawa antara sifat-sifat Nabi Muhammad ﷺ yang disebut dalam Taurat ialah baginda mengharamkan ke atas mereka perkara-perkara yang keji; Allah ﷺ berfirman: “Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad ﷺ) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan dia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka.” (Surah al-Aʿrāf: 157)
Islam mengharamkan memakan harta anak yatim; maka Allah ﷻ berfirman: Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar. (Surah al-Nisā': 2). Firman Allah ﷻ: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. (Surah al-Nisā': 10).
Islam mengharamkan perbuatan curang dalam sukatan dan timbangan; Firman Allah ﷻ juga: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) daripada orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? (Surah al-Muṫaffifīn: 1-4)
Islam mengharamkan memutuskan hubungan silaturahim, dan telah disebut dalam perenggan nombor (31) ayat-ayat dan hadis-hadis yang menjadi dalilnya. Kesemua para nabi dan rasul sepakat mengharamkan perkara ini kepada umat mereka.
35. Islam melarang daripada akhlak yang tercela, seperti berdusta, menipu helah, tikam belakang, khianat, dengki, membuat rencana jahat, mencuri, merompak, menzalimi orang lain dan segala akhlak keji yang lain.
Secara umum, Islam melarang daripada akhlak yang tercela. Firman Allah ﷻ: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Surah Luqmān: 18) Rasulullah ﷺ bersabda: Sesungguhnya yang paling dicintai olehku dan paling dekat denganku kedudukannya pada hari kiamat dalam kalangan kamu ialah yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya yang paling aku benci dan paling jauh daripadaku kedudukannya pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap (berlebih-lebihan), orang yang berlagak dalam berbicara, dan orang yang melampau-lampau dalam bertutur." Mereka berkata: "Ya Rasulullah, kami telah mengetahui (maksud) orang yang banyak bercakap dan orang yang berlagak dalam berbicara; maka apakah yang dimaksud dengan al-mutafaihiqūn?" Baginda bersabda: "Orang yang takbur." al-Silsilah al-Sahihah (791)
Islam melarang berbohong. Firman Allah SWTﷻ: Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta. (Surah Ghāfir: 28) Rasulullah ﷺ bersabda: Jauhilah dusta, sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan membawa kepada neraka. Seorang lelaki akan terus berdusta dan sengaja mencari-cari dusta, sehingga tercatat namanya di sisi Allah sebagai kaki dusta. Sahih Muslim (2607). Rasulullah ﷺ bersabda: Tanda-tanda orang munafik ada tiga: Jika berbicara dia berdusta, jika berjanji dia mengingkari dan jika diberi amanah dia berkhianat. Sahih al-Bukhari (6095).
Islam melarang daripada penipuan. Dalam hadis disebut bahawa Rasulullah ﷺ pernah melalui sebuah timbunan makanan, lalu baginda memasukkan tangan ke dalamnya dan mendapati tangannya basah. Baginda bertanya: "Apakah ini, wahai pemilik makanan?" Dia menjawab: "Ia terkena hujan, wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Mengapa kamu tidak letakkannya di atas makanan supaya orang dapat melihatnya? Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku." Sahih Muslim 102.
Islam melarang daripada tikam belakang, khianat dan tipu daya. Firman Allah ﷻ: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Anfāl: 27). Allah juga berfirman: Orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu; (Surah al-Ra'd: 20). Nabi ﷺ berpesan kepada pasukan baginda ketika berangkat: Berperanglah, dan janganlah kalian menggelapkan harta rampasan perang (ghulul), janganlah berkhianat, janganlah mencacatkan mayat, dan janganlah membunuh anak kecil. Sahih Muslim (1731). Rasulullah ﷺ bersabda: Empat perkara: Sesiapa yang ada padanya keempat-empatnya, dia adalah munafik tulen dan sesiapa yang ada padanya salah satunya, maka pada dirinya terdapat satu sifat munafik hingga dia meninggalkannya: Apabila diberi amanah, dia berkhianat; apabila berkata-kata, dia berdusta; apabila berjanji, dia mengingkari dan apabila bersengketa, dia melampaui batas. Sahih al-Bukhari 34.
Islam melarang daripada hasad. Firman Allah ﷻ juga: Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka daripada limpah kurniaNya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: Kitab dan hikmah serta kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar. (Surah al-Nisā': 54). Firman Allah ﷻ: Banyak antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad ﷺ). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Baqarah: 109). Rasulullah ﷺ bersabda: Telah menular kepada kalian penyakit umat-umat sebelum kalian: Hasad dan kebencian. Ia adalah pencukur; bukan aku katakan ia mencukur rambut, tetapi ia mencukur agama. Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman, dan kalian tidak akan beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah aku khabarkan kepada kalian sesuatu yang meneguhkan hal itu bagi kalian? Sebarkanlah salam antara kalian. Sunan al-Tirmidhi (no. 2510).
Islam melarang daripada membuat rencana jahat. Firman Allah ﷻ: Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain daripada dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya. (Surah al-Anʿām: 123) Allah ﷻ memberitahu bahawa Yahudi telah berusaha membunuh Isa al-Masih, dan mereka melakukan tipu daya; namun Allah membalas tipu daya mereka. Dan Allah menjelaskan bahawa tipu daya yang jahat tidak akan menimpa melainkan pelakunya sendiri. Allah ﷻ berfirman: Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah?”. Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).” “Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu. Oleh itu, catatkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)” (53). Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya. (Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu daripada orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan”. (Surah Āli `Imrān: 52-55) Allah ﷻ menceritakan bahawa kaum Nabi Saleh AS berhasrat membunuhnya dengan tipu muslihat; maka mereka pun melakukan tipu daya, lalu Allah menggagalkan tipu daya mereka dan membinasakan mereka serta kaum mereka seluruhnya. Allah ﷻ berfirman: Mereka berkata (sesama sendiri): “Hendaklah kamu masing-masing bersumpah dengan nama Allah, bahawa sesungguhnya kita akan membunuh Soleh dan pengikut-pengikutnya secara mengejut pada waktu malam, kemudian kita akan berkata kepada warisnya: "Kami tidak hadir (di tempat) pembunuhan (Soleh apalagi membunuhnya atau membunuh) pengikut-pengikutnya, dan sesungguhnya kami berkata benar.” Dan (dengan demikian) mereka telah merancangkan rancangan jahat, dan Kami pula rancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya. Maka lihatlah bagaimana akibat rancangan jahat mereka, iaitu Kami telah hancurkan mereka dan kaum mereka semuanya. (Surah al-Naml: 49-51).
Islam menegah perbuatan mencuri. Rasulullah ﷺ bersabda: Seseorang tidak berzina ketika dia berzina itu dia dalam keadaan beriman, seseorang tidak mencuri ketika dia mencuri itu dia dalam keadaan beriman, dan seseorang tidak meminum (arak) ketika dia meminumnya itu dia dalam keadaa; dan pintu taubat masih terbuka selepas itu. Sahih al-Bukhari (6810).
Islam menegah daripada perbuatan zalim. Firman Allah ﷻ: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya. (Surah al-Naḥl: 90). Rasulullah ﷺ bersabda: Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku: Hendaklah kalian tawaduk, supaya tiada sesiapa yang melampaui batas dan berbangga kepada orang lain. Sahih Abū Dāwud, no. 4895.
Islam melarang daripada kezaliman. Firman Allah Ta'ala: Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (Surah Āli ʿImrān: 57) Allah juga berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya. (Surah al-Anʿām: 21) Allah juga berfirman: Orang-orang yang zalim itu, Allah menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Insān: 31). Rasulullah ﷺ bersabda: Tiga orang yang doanya tidak akan ditolak: Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka, dan doa orang yang dizalimi. Doa itu diangkat ke atas awan, dibukakan baginya pintu-pintu langit, dan Allah berfirman: "Demi kemuliaan-Ku, Aku pasti menolongmu walaupun selepas suatu ketika." Riwayat Muslim (2749) secara ringkas dengan sedikit perbezaan, al-Tirmidhi (2526) dengan sedikit perbezaan, dan Ahmad (8043), dan lafaznya milik Ahmad. Apabila Nabi ﷺ mengutus Mu'az ke Yaman, antara yang baginda katakan kepadanya ialah: Takutilah doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tiada antara doanya dengan Allah sebarang penghalang. Sahih al-Bukhari (1496). Rasulullah ﷺ bersabda: Ketahuilah, sesiapa yang menzalimi seorang yang berada di bawah perjanjian (ahli zimmah), atau mengurangkan haknya, atau membebaninya melebihi kemampuannya, atau mengambil daripadanya sesuatu tanpa kerelaan hatinya, maka Aku akan menjadi pembelanya pada hari kiamat. Sunan Abu Dawud 3052. Maka Islam, sebagaimana yang telah kamu lihat, melarang daripada setiap akhlak keji atau perlakuan yang zalim atau tidak adil.
36. Islam melarang daripada transaksi yang mengandungi unsur riba, mudarat, ketidakjelasan, kezaliman, penipuan, atau sebarang jenis urus niaga yang boleh memberi bahaya kepada masyarakat, bangsa atau individu.
Islam melarang daripada transaksi yang mengandungi unsur riba, mudarat, ketidakjelasan, kezaliman, penipuan, atau sebarang jenis urus niaga yang boleh memberi bahaya kepada masyarakat, bangsa atau individu. Dan telah disebutkan di awal perenggan ini ayat-ayat dan hadis-hadis yang mengharamkan riba, kezaliman, penipuan atau kerosakan di muka bumi. Firman Allah ﷻ: Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata. (Surah al-Aḥzāb: 58). Firman Allah ﷻ: Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. (Surah Fussilat: 46). Disebut dalam Sunnah Nabi ﷺ bahawa Rasulullah ﷺ telah menetapkan: “Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain.” Sunan Abu Dawud, Rasulullah ﷺ bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik, atau berdiam diri. Dan dalam riwayat yang lain: Maka hendaklah dia berbuat ihsan kepada jiran tetangga. Sahih Muslim (47) Rasulullah ﷺ bersabda: “Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati lalu dia masuk ke dalam neraka kerananya. Dia tidak memberinya makan dan minum ketika dia mengurungnya, dan dia juga tidak melepaskannya agar ia dapat makan daripada serangga-serangga di bumi.”” Sahih al-Bukhari (3482), Ini terhadap orang yang menyakiti seekor kucing, maka bagaimana pula dengan orang yang mudaratnya menimpa manusia? Daripada Ibn Umar RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ naik ke mimbar lalu berseru dengan suara yang lantang, kemudian bersabda: Wahai sekalian yang beragama Islam hanya pada lidah sedangkan iman belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kamu menyakiti kaum Muslimin, jangan kamu mencela mereka, dan jangan kamu mencari-cari aib mereka. Sesungguhnya sesiapa yang mencari-cari aib saudaranya yang Muslim, Allah akan membuka aibnya dan sesiapa yang Allah membuka aibnya, Dia akan memalukannya walaupun di dalam rumahnya sendiri. Pada suatu hari Ibnu ‘Umar memandang ke Baytullah atau ke Kaabah lalu berkata: "Alangkah agungnya engkau dan alangkah agung kehormatanmu namun seorang yang beriman lebih besar kehormatannya di sisi Allah daripadamu. Riwayat al-Tirmidhi (no. 2032) dan Ibn Hibban (no. 5763). Rasulullah ﷺ bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diamlah. Sahih al-Bukhari (6018) Daripada Abu Hurayrah RA, Rasulullah ﷺ bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Mereka menjawab: “Orang yang muflis dalam kalangan kami, wahai Rasulullah, ialah yang tidak mempunyai dirham dan tidak mempunyai harta.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis daripada umatku ialah yang datang pada hari kiamat dengan (amalan) puasa, solat dan zakat, namun dia telah mencerca kehormatan orang ini, menuduh (dengan tuduhan keji) orang itu, dan memakan harta orang ini. Maka dia akan didudukkan, lalu orang ini mengambil daripada kebaikan-kebaikannya, dan orang itu mengambil daripada kebaikan-kebaikannya. Jika kebaikan-kebaikannya habis sebelum dia menyelesaikan segala tuntutan terhadapnya kerana dosa-dosa itu, diambil pula daripada dosa-dosa mereka lalu dicampakkan ke atasnya, kemudian dia dicampakkan ke dalam neraka.” Riwayat Muslim (2581), al-Tirmidhi (2418) dan Ahmad (8029), dan lafaznya milik Ahmad.
Rasulullah ﷺ bersabda: Terdapat sebatang dahan pokok di jalan yang mengganggu orang ramai. Maka seorang lelaki menyingkirkannya, lalu dia dimasukkan ke dalam syurga. Diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 652 dengan maknanya, dan Muslim no. 1914 dengan yang serupa, serta Ibn Majah no. 3682, dan Ahmad no. 10432 — dan lafaznya milik keduanya. Maka jika mengalihkan gangguan dari jalan memasukkan ke dalam syurga, bagaimana pula halnya dengan orang yang menyakiti manusia dan merosakkan kehidupan mereka?
37. Islam berusaha memelihara intelektual dan akal manusia, justeru Islam mengharamkan setiap perkara yang merosakkan akal seperti meneguk alkohol. Islam memuliakan akal, menjadikannya punca taklif, dan membebaskan akal daripada karut marut dan kepercayaan pagan. Islam tidak mengandungi rahsia tersembunyi atau hukum-hakam yang khusus bagi sesuatu peringkat sahaja. Setiap hukum-hakam Islam bersesuaian dengan logik akal yang sejahtera, memenuhi tuntutan keadilan dan kebijaksanaan.
Islam berusaha memelihara intelektual dan akal manusia, serta memuliakan kedudukan akal. Allah Taala berfirman: Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (Surah al-Isrāʾ: 36). Kewajipan bagi manusia ialah memelihara akalnya; justeru Islam mengharamkan alkohol dan dadah — dan larangan alkohol telah disebut pada perenggan (34) — dan banyak ayat al-Quran ditutup dengan firman Allah ﷺ: supaya kamu memahaminya. (Surah al-Baqarah: 242) Firman Allah ﷻ: Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Surah al-Anʿām: 32) Firman Allah ﷻ: Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya. (Surah Yūsuf: 2). Allah ﷻ menjelaskan bahawa petunjuk dan hikmah tidak akan memberi manfaat kecuali kepada orang yang berakal; merekalah Ulul Albab. Firman Allah ﷻ: Allah memberikan hikmath kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. (Surah al-Baqarah: 269).
Justeru, Islam menjadikan akal sebagai asas tanggungjawab syarak. Rasulullah ﷺ bersabda: Pena catatan amal diangkat daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia baligh, dan orang gila sehingga dia kembali berakal. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam sahihnya secara mu‘allaq dengan sighah jazm sebelum hadis no. 5269 dengan lafaz yang hampir sama; juga oleh Abu Dawud (no. 4402) dan lafaznya milik beliau, al-Tirmidhi (no. 1423), al-Nasa'i dalam al-Sunan al-Kubra (no. 7346), Ahmad dalam Musnadnya (no. 956) dengan sedikit perbezaan, dan Ibn Majah (no. 2042) secara ringkas. Allah ﷻ membebaskannya daripada belenggu khurafat dan penyembahan berhala. Allah ﷻ berfirman, memberitakan keadaan umat-umat yang berpegang teguh dengan khurafat mereka serta menolak kebenaran yang datang kepada mereka daripada sisi Allah: Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”. (Surah al-Zukhruf: 23). Dan mengenai Nabi Ibrahim AS, Allah ﷻ berfirman: Apakah patung-patung ini yang kamu tekun menyembahnya? Mereka menjawab: “Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya”. (Surah al-Anbiyāʾ: 52-53). Maka Islam datang dan memerintahkan manusia untuk meninggalkan penyembahan berhala-berhala, menjauhi khurafat yang diwarisi daripada nenek moyang, serta mengikuti jalan para rasul.
Dalam Islam, tiada rahsia atau perundangan Islam yang dikhususkan untuk sesuatu golongan berbanding yang lain. Ali bin Abi Talib RA — sepupu Rasulullah ﷺ dan suami puteri baginda — telah ditanya: “Adakah Rasulullah ﷺ mengkhususkan kamu sekalian dengan sesuatu?” Beliau menjawab: “Baginda tidak mengkhususkan kami dengan sesuatu pun yang tidak turut baginda umumkan kepada seluruh manusia, melainkan apa yang terdapat di dalam sarung pedangku ini.” Lalu beliau mengeluarkan satu lembaran yang tertulis padanya: “Allah melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah; dan Allah melaknat orang yang mencuri tanda sempadan tanah; dan Allah melaknat orang yang melaknat kedua-dua ibu bapanya; dan Allah melaknat orang yang melindungi pelaku kejahatan.” Sahih Muslim (1978). Setiap hukum-hakam Islam bersesuaian dengan logik akal yang sejahtera, memenuhi tuntutan keadilan dan kebijaksanaan.
38. Dalam agama-agama batil, sekiranya pengikutnya tidak mampu menghadam ajaran yang bercanggah dengan akal, para agamawan mereka akan mengelirukan pengikutnya bahawa agama mengatasi akal, dan akal tidak memiliki kemampuan untuk memahami agama. Sedangkan Islam menanggapi agama sebagai cahaya yang menyuluh akal. Agama batil mahu manusia mengabaikan akalnya, sementara Islam mendidik manusia untuk mencelikkan akalnya bagi mengetahui realiti setiap perkara.
Dalam agama-agama batil, sekiranya pengikutnya tidak mampu menghadam ajaran yang bercanggah dengan akal dan perkara-perkara yang ditolak oleh akal, para agamawan mereka akan mengelirukan pengikutnya bahawa agama mengatasi akal, dan akal tidak memiliki kemampuan untuk memahami agama. Sedangkan Islam menanggapi agama sebagai cahaya yang menyuluh jalan bagi akal. Agama batil mahu manusia mengabaikan akalnya dan menuruti mereka, sementara Islam mendidik manusia untuk mencelikkan akalnya agar bertadabbur dan berfikir, serta mengetahui realiti setiap perkara sebagaimana adanya. Firman Allah Ta‘ala: Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, (Surah al-Shūrā: 52) Maka wahyu Ilahi menghimpunkan pelbagai dalil dan hujah yang membimbing akal yang sejahtera kepada hakikat-hakikat yang didambakan untuk diketahui dan diimani; firman Allah ﷻ: Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti daripada Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak). (Surah al-Nisā': 174). Sesungguhnya Allah ﷻ menghendaki manusia hidup dalam cahaya hidayah, ilmu dan kebenaran, sedangkan para syaitan dan thaghut ingin manusia kekal dalam kegelapan kekufuran, kejahilan dan kesesatan. Allah ﷻ berfirman: Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). (Surah al-Baqarah: 257)
39. Islam mengagungkan ilmu yang sahih, menggalakkan kajian ilmiah tanpa sebarang kecenderungan, menyeru untuk mengkaji dan berfikir tentang diri dan alam sekeliling. Dapatan kajian saintifik yang benar tidak akan menyanggahi ajaran Islam.
Islam mengagungkan ilmu yang sahih. Firman Allah ﷻ juga: Agar Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (Surah al-Mujadalah: 11). Allah menggandingkan kesaksian orang-orang berilmu dengan kesaksian-Nya dan kesaksian para malaikat atas perkara yang paling agung untuk dipersaksikan. Firman Allah: Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah Āli ʿImrān: 18) Hal ini menunjukkan kedudukan para ulama dalam Islam, dan bahawa Allah ﷻ tidak memerintahkan Nabi Muhammad ﷺ untuk memohon tambahan sesuatu pun melainkan ilmu. Allah ﷻ berfirman: dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”. (Surah Taha: 114) Rasulullah ﷺ bersabda: Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Sesungguhnya para malaikat merendahkan sayap-sayap mereka kerana reda terhadap penuntut ilmu. Dan sesungguhnya bagi penuntut ilmu, makhluk yang di langit dan di bumi memohonkan ampun untuknya, hingga ikan-ikan di dalam air. Kelebihan seorang alim atas seorang ahli ibadah seperti kelebihan bulan atas sekalian bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham; sebaliknya mereka mewariskan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya, dia telah mengambil bahagian yang besar. Riwayat Abu Dawud (no. 3641), al-Tirmidhi (no. 2682), Ibn Majah (no. 223) dan lafaznya milik Ibn Majah, dan Ahmad (no. 21715).
Islam menggalakkan kajian ilmiah tanpa sebarang kecenderungan, menyeru untuk mengkaji dan berfikir tentang diri dan alam sekeliling. Allah Taala berfirman: Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? (Surah Fussilat: 53) Firman Allah ﷻ: Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah al-Quran) itu mereka mahu beriman? (Surah al-Aʿrāf: 185). Firman Allah ﷻ: Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu daripada mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. (Surah al-Rūm: 9)
Dapatan kajian saintifik yang benar tidak akan menyanggahi ajaran Islam. Kami akan menyebut satu contoh: Al-Quran telah menghuraikan perincian yang halus mengenainya lebih seribu empat ratus tahun dahulu, sedangkan sains moden hanya mengetahuinya kemudian; maka dapatan sains itu selaras dengan apa yang terdapat dalam al-Quran yang agung, iaitu pembentukan janin dalam rahim ibunya. Firman Allah Taala: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; (13) Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (Surah al-Mu’minūn: 12-14).
40. Allah tidak akan menerima amalan melainkan daripada orang yang beriman dengan-Nya, mentaati-Nya, mengakui kebenaran para rasul-Nya. Allah tidak akan menerima ibadah melainkan yang Dia syariatkan sahaja, apatah lagi ibadah daripada orang yang kufur kepada-Nya. Allah juga tidak akan menerima iman seseorang, melainkan sekiranya dia beriman dengan semua para nabi, termasuklah kerasulan Muhammad ﷺ.
Allah Ta'ala tidak akan menerima amalan dan tidak akan memberi ganjaran atasnya di akhirat melainkan daripada orang yang beriman dengan-Nya, mentaati-Nya, mengakui kebenaran para rasul-Nya. Firman Allah Ta'ala: Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, dalam keadaan dia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya. (Surah al-Isrāʾ: 19-18). Firman Allah ﷻ: Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedangkan dia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya. (Surah al-Anbiyāʾ: 94) Allah Ta'ala tidak menerima amalan ibadah melainkan apa yang disyariatkan-Nya. Allah Ta'ala berfirman: Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (Surah al-Kahfi: 110) Allah ﷻ telah menjelaskan bahawa sesuatu amalan tidak akan menjadi salih melainkan yang Allah syariatkan sahaja, dan pelakunya ikhlas kerana Allah dalam amalannya, serta dia beriman kepada Allah dan mengakui kebenaran para nabi dan rasul-Nya. Adapun sesiapa yang amalannya tidak demikian, maka Allah ﷻ berfirman: Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan daripada jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan ia terbuang sebagai debu yang berterbangan. (Surah al-Furqān: 23). Firman Allah ﷻ: Muka (orang-orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina, Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah, Mereka tetap menderita bakaran neraka yang amat panas (membakar), - (Surah al-Ghāshiyah: 2-4) Maka wajah-wajah ini tunduk hina lagi bersusah-payah dengan amalan, namun kerana mereka beramal tanpa petunjuk daripada Allah ﷻ, Allah menjadikan kesudahan mereka neraka; kerana mereka tidak beramal dengan apa yang Allah ﷻ syariatkan, bahkan mereka beribadah dengan ibadah-ibadah yang batil dan mengikuti tokoh-tokoh kesesatan yang mengada-adakan bagi mereka agama-agama yang batil. Maka amalan yang soleh lagi diterima di sisi Allah ialah yang sesuai dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ. Maka bagaimana mungkin seseorang kufur kepada Allah namun mengharapkan bahawa Dia akan mengganjari dirinya?
Allah tidak akan menerima iman seseorang, melainkan sekiranya dia beriman dengan semua para nabi, termasuklah kerasulan Muhammad ﷺ. Sebahagian dalil tentang hal ini telah disebutkan pada perenggan nombor (20). Firman Allah Ta'ala: Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan malaikat-malaikatNya, dan kitab-kitabNya, dan rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”. (Surah al-Baqarah: 285) Firman Allah ﷻ: Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada kitab al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad ﷺ), dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan malaikat-malaikatNya, dan kitab-kitabNya, dan rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh. (Surah al-Nisā': 136). Firman Allah ﷻ: Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada nabi-nabi (dengan firmanNya): “Sesungguhnya apa jua kitab dan hikmah yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.” (Surah Ali ʿImran: 81)
41. Tujuan setiap mesej-mesej Ilahi adalah untuk memuliakan insan dengan agama yang benar, agar dia menjadi hamba yang memurnikan ibadah kepada Allah Tuhan Semesta Alam, untuk membebaskannya daripada menjadi hamba kepada manusia, atau materialistik, atau kepercayaan karut. Islam, seperti yang anda lihat, tidak mengkuduskan individu, mengangkatnya lebih daripada kadarnya, apatah lagi menjadikannya dewa atau sembahan.
Tujuan setiap mesej-mesej Ilahi adalah untuk memuliakan insan dengan agama yang benar, agar dia menjadi hamba yang memurnikan ibadah kepada Allah Tuhan Semesta Alam, dan Islam membebaskannya daripada menjadi hamba kepada materialistik atau kepercayaan karut. Sabda Rasulullah ﷺ: Celakalah hamba dinar, dirham, qatifah (kain mewah) dan khamisah (pakaian mewah). Jika diberi, dia reda. Jika tidak diberi, dia tidak reda. Sahih al-Bukhari (6435). Insan yang lurus tidak tunduk melainkan kepada Allah. Maka dia tidak diperhamba oleh harta, pengaruh, jawatan atau kabilah. Kisah ini mendedahkan kepada pembaca bagaimana keadaan manusia sebelum risalah, dan bagaimana mereka sesudahnya?
Apabila orang-orang Islam yang terawal berhijrah ke Habsyah, Raja Habsyah, Najasyi (Andak), bertanya kepada mereka, lalu beliau berkata: Agama apakah ini yang kerana itu kamu berpisah daripada kaum kamu, sedangkan kamu tidak memeluk agamaku dan tidak pula agama sesiapa pun daripada umat-umat ini? Ja'far bin Abi Talib RA berkata kepadanya: Wahai Raja, kami dahulu suatu kaum yang hidup dalam jahiliah. Kami menyembah berhala, memakan bangkai, melakukan perbuatan keji, memutuskan silaturahim, dan berbuat buruk terhadap jiran; yang kuat dalam kalangan kami menindas yang lemah. Kami tetap demikian sehingga Allah mengutus kepada kami seorang Rasul daripada kalangan kami. Kami mengenal nasabnya, kebenarannya, amanahnya, dan kesucian dirinya. Baginda menyeru kami kepada Allah agar kami mentauhidkan-Nya dan menyembah-Nya, serta meninggalkan apa yang kami dan nenek moyang kami sembah selain daripada-Nya, iaitu batu-batu dan berhala-berhala. Baginda memerintahkan kami berkata benar, menunaikan amanah, menyambung silaturahim, berbuat baik terhadap jiran, serta menahan diri daripada perkara-perkara yang haram dan daripada pertumpahan darah. Baginda melarang kami daripada perbuatan keji, daripada kesaksian palsu, daripada memakan harta anak yatim, dan daripada menuduh wanita yang terpelihara kehormatannya. Baginda memerintahkan kami supaya menyembah Allah sahaja, tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, dan memerintahkan kami mendirikan solat, menunaikan zakat, dan berpuasa. Beliau berkata: lalu baginda menghuraikan perkara-perkara Islam satu persatu, maka kami membenarkannya, beriman kepadanya, dan mengikutinya pada apa yang dibawanya. Maka kami menyembah Allah sahaja, tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun; kami mengharamkan apa yang diharamkan ke atas kami dan menghalalkan apa yang dihalalkan bagi kami... Riwayat Ahmad (1740) dengan sedikit perbezaan, dan Abu Nu'aim dalam Hilyah al-Awliya' (1/115) secara ringkas. Islam, seperti yang anda lihat, tidak mengkuduskan individu, mengangkatnya lebih daripada kadarnya, apatahlagi menjadikannya dewa atau sembahan. Firman Allah ﷻ juga: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”. (Surah Āli `Imrān: 64) Firman Allah ﷻ: Dan dia tidak pula menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah dia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam? (Surah Āli `Imrān: 80) Rasulullah ﷺ bersabda: Janganlah kamu melebih-lebihkanku sebagaimana kaum Nasrani melebih-lebihkan Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah: Hamba Allah dan Rasul-Nya. Sahih al-Bukhari (3445).
42. Allah mensyariatkan taubat dalam Islam. Taubat ialah manusia kembali kepada Tuhannya dan meninggalkan maksiat. Masuknya seseorang ke dalam Islam akan menghapuskan setiap dosanya yang terdahulu, dan taubat menampal dosa-dosa yang lalu. Tiada keperluan untuk melakukan pengakuan dosa di hadapan manusia lain.
Allah mensyariatkan taubat dalam Islam. Taubat ialah kembalinya manusia kepada Tuhannya dan meninggalkan dosa. Firman-Nya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah al-Nūr: 31) Firman Allah ﷻ: Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah, Dia lah yang menerima taubat daripada hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya), dan bahawa sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani? (Surah al-Tawbah: 104) Firman Allah ﷻ: Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan. (Surah al-Shūrā: 25) Rasulullah ﷺ bersabda: Sungguh, Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya yang beriman daripada kegembiraan seorang lelaki di padang pasir yang gersang lagi membinasakan bersamanya tunggangan yang di atasnya makanan dan minumannya. Lalu dia tidur, kemudian terjaga dan ternyata tunggangannya telah hilang. Dia mencarinya hingga kehausan menimpanya, kemudian dia berkata: Aku akan kembali ke tempatku yang dahulu, lalu aku tidur hingga mati. Maka dia meletakkan kepalanya di atas lengannya untuk mati, kemudian dia terjaga dan ternyata tunggangannya berada di sisinya, di atasnya bekalnya, makanannya dan minumannya. Maka Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya yang beriman daripada kegembiraan orang itu dengan tunggangan dan bekalnya. Sahih Muslim (2744).
Islam menghapuskan apa yang sebelumnya, dan taubat menghapuskan apa yang sebelumnya. Allah berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (daripada kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala. (Surah al-Anfāl: 38) Allah menyeru orang Nasrani untuk bertaubat, lalu Allah ﷻ berfirman: Oleh itu, tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Māʾidah: 74) Allah menggalakkan semua orang yang derhaka dan berdosa untuk bertaubat. Firman Allah Ta'ala: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Zumar: 53). Tatkala 'Amr bin al-As berazam untuk memeluk Islam, beliau khuatir bahawa dosa-dosanya yang telah dilakukannya sebelum memeluk Islam tidak akan diampuni. 'Amr pun berkata, meriwayatkan peristiwa ini: Ketika Allah menanamkan Islam ke dalam hatiku, aku datang kepada Nabi ﷺ untuk baginda menerima bai'ahku. Baginda pun menghulurkan tangannya kepadaku, lalu aku berkata: '"Aku tidak akan berbai'ah kepadamu, wahai Rasulullah, sehingga engkau mengampunkan dosaku yang telah lalu." Maka Rasulullah ﷺ bersabda kepadaku: "Wahai Amru, tidakkah engkau tahu bahawa hijrah menghapuskan dosa-dosa yang sebelumnya? Wahai Amru, tidakkah engkau tahu bahawa Islam menghapuskan dosa-dosa yang sebelumnya?" Riwayat Muslim (121) secara panjang dengan lafaz yang seumpamanya, dan Ahmad (17827); dan lafaznya milik Ahmad.
43. Dalam Islam, hubungan antara manusia dan Allah adalah secara langsung. Tiada orang tengah yang diperlukan untuk menghubungkan anda dengan Allah. Sebaliknya, Islam melarang keras kita daripada menjadikan manusia sebagai sembahan, atau sekutu Allah dalam ketuhanan dan hak sembahan.
Dalam Islam, tiada keperluan untuk melakukan pengakuan dosa di hadapan manusia lain. Dalam Islam, hubungan antara manusia dan Allah adalah secara langsung. Tiada orang tengah yang diperlukan untuk menghubungkan anda dengan Allah. Sebagaimana telah disebut pada perenggan (36), Allah telah menyeru seluruh manusia supaya bertaubat dan kembali kepada-Nya. Demikian juga, Dia melarang manusia daripada menjadikan nabi-nabi atau malaikat sebagai perantara antara Dia dan hamba-hamba-Nya, sebagaimana firman Allah: Dan dia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah dia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam? (Surah Āli ʿImrān: 80) Maka Islam — seperti yang anda lihat — melarang keras kita daripada menjadikan manusia sebagai sembahan, atau sekutu Allah dalam ketuhanan dan hak sembahan. Firman Allah ﷻ tentang orang-orang Nasrani: Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan. (Surah al-Tawbah: 31) Allah ﷻ mengingkari orang-orang kafir yang menjadikan perantara antara mereka dengan-Nya, maka Allah ﷻ berfirman: Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, - sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar: 3). Maka Allah ﷻ menjelaskan bahawa orang-orang musyrik (ahli Jahiliah) menjadikan perantara-perantara antara mereka dengan Allah, dan mereka mendakwa bahawa perantara-perantara itu dapat mendekatkan mereka kepada Allah.
Apabila Allah melarang manusia daripada menjadikan para nabi atau malaikat sebagai perantara antara-Nya dengan para hamba-Nya, maka apatah lagi selain mereka; sedangkan para nabi dan rasul (moga selawat dan salam dipanjatkan buat mereka semua) sendiri berlumba-lumba untuk mendekatkan diri kepada Allah. Allah Ta'ala berfirman, mengkhabarkan tentang keadaan para nabi dan rasul (moga selawat dan salam dipanjatkan buat mereka semua): Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami. (Surah al-Anbiyāʾ: 90) Firman Allah ﷻ: Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti. (Surah al-Isrā': 57) Sesungguhnya orang-orang yang kamu seru selain-Nya – dalam kalangan para nabi dan orang-orang soleh – mereka sendiri mendekatkan diri kepada Allah, mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya; maka bagaimana mereka boleh diseru selain-Nya?
44. Di akhir risalah ini, kita mengingatkan bahawa setiap manusia tanpa mengira tempat, usul bangsa dan geografi, bahkan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira pola pemikiran, pola tujuan, latar hidup dan kerja bahawa mereka sangat memerlukan petunjuk yang meluruskan jalannya, peraturan yang mengaturnya, hakim yang mengawalnya. Semua tugas ini telah dikendalikan para rasul menerusi wahyu daripada Allah. Para rasul membimbing manusia ke jalan kebaikan dan petunjuk, menyatukan mereka atas syariat Allah, memutuskan dengan hak. Kebahagiaan hidup manusia tersusun kemas mengikut kadar penerimaannya kepada mesej rasul dan tempoh jarak zaman mereka dengan nabi. Allah telah menetapkan kerasulan dengan pengutusan Rasul Muhammad ﷺ, Dia mentakdirkan syariat Rasul Muhammad ﷺ untuk terus kekal, menjadi pedoman, manifestasi sifat kasihan, cahaya dan petunjuk membimbing manusia kepada-Nya.
Di akhir risalah ini, kita mengingatkan bahawa setiap manusia tanpa mengira tempat, usul bangsa dan geografi, bahkan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira pola pemikiran, pola tujuan, latar hidup dan kerja bahawa mereka sangat memerlukan petunjuk yang meluruskan jalannya, peraturan yang mengaturnya, hakim yang mengawalnya. Semua tugas ini telah dikendalikan para rasul menerusi wahyu daripada Allah. Para rasul membimbing manusia ke jalan kebaikan dan petunjuk, menyatukan mereka atas syariat Allah, memutuskan dengan hak. Kebahagiaan hidup manusia tersusun kemas mengikut kadar penerimaannya kepada mesej rasul dan tempoh jarak zaman mereka dengan nabi. Tatkala kesesatan berleluasa, kejahilan merata dan berhala-berhala disembah, Allah mengutuskan Rasul-Nya, Muhammad ﷺ, dengan petunjuk (ilmu sahih) dan agama yang benar (amal soleh), untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kekufuran, kejahilan dan paganisme kepada keimanan dan petunjuk.
45. Justeru, saya mengajak anda, wahai sekalian manusia, untuk bangkit menyembah Allah secara telus, tanpa sebarang pengaruh taklid buta dan adat. Ingatlah, selepas matimu, anda akan kembali kepada Sang Pencipta; hendaklah kamu memerhatikan dirimu dan segenap horizon alam; lalu anutilah Islam, nescaya kamu akan bahagia di dunia dan di akhirat. Sekiranya kamu mahu memeluk Islam, kamu hanya perlu menyatakan kesaksian bahawa kamu bersaksi tiada yang berhak disembah selain Allah, dan Muhammad itu utusan Allah, dan kamu berlepas diri daripada setiap sembahan selain Allah, kamu beriman dengan kebangkitan dalam kubur, hari perhitungan dan pembalasan itu benar. Sekiranya kamu menyatakan semua kesaksian ini, kamu telah menjadi Muslim. Berbaki lagi, untuk kamu menyembah Allah dengan syariat yang Dia aturkan, seperti solat, zakat, puasa dan haji bagi yang berkemampuan.
Justeru, saya mengajak anda, wahai teman sebangsaku, untuk bangkit menyembah Allah secara telus, tanpa sebarang pengaruh taklid buta dan adat, sebagaimana Allah menyerumu dalam firman-Nya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri. Kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya”. Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); dia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat). (Surah Saba': 46). Ketahuilah bahawa selepas kematianmu, kamu akan kembali kepada Tuhanmu. Allah ﷻ berfirman: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak); Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna; (41) Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara); (42) (Surah al-Najm: 39-42). Hendaklah engkau merenungi dirimu dan ufuk-ufuk di sekelilingmu. Firman Allah ﷻ: Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah al-Quran) itu mereka mahu beriman? (Surah al-Aʿrāf: 185).
Anutilah Islam, nescaya kamu akan bahagia di dunia dan di akhirat. Sekiranya kamu mahu memeluk Islam, kamu hanya perlu bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah, dan Muhammad adalah utusan Allah. Apabila Nabi ﷺ mengutus Mu'az ke Yaman sebagai pendakwah kepada Islam, baginda berkata kepadanya: Sesungguhnya kamu akan menemui sekelompok kaum ahli kitab; maka serulah mereka kepada syahadah tiada yang berhak disembah selain Allah dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah. Jika mereka mentaatinya, maka beritahukan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu pada setiap hari dan malam. Jika mereka mentaatinya, maka beritahukan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka zakat yang diambil daripada orang-orang kaya mereka lalu disalurkan kepada orang-orang fakir mereka. Jika mereka mentaatinya, maka janganlah engkau mengambil harta-harta pilihan mereka. Sahih Muslim 19. Berlepas dirilah daripada segala sesuatu yang disembah selain Allah; dan sikap berlepas diri daripada segala sesuatu yang disembah selain Allah itulah al-Hanifiyyah, agama Nabi Ibrahim. Firman Allah Ta'ala: Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain daripada Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata”. (Surah al-Mumtahanah: 4) Engkau beriman bahawa Allah akan membangkitkan orang-orang yang berada di dalam kubur. Allah ﷻ berfirman: (Kedua-dua kenyataan) yang tersebut membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan sesungguhnya Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur. (Surah al-Ḥajj: 6-7). Dan bahawa hisab dan balasan itu benar; Firman Allah ﷻ juga: Dan (ingatlah), Allah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat (untuk membuktikan keesaanNya dan keadilanNya), dan supaya tiap-tiap diri diberi balasan dengan apa yang mereka telah kerjakan (baik atau jahat), sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun. (Surah al-Jātsiyah: 22).
Sekiranya kamu menyatakan kesaksian ini, kamu telah menjadi Muslim. Berbaki lagi, untuk kamu menyembah Allah dengan syariat yang Dia aturkan, seperti solat, zakat, puasa dan haji bagi yang berkemampuan, dan selainnya.
Edisi 19 Zulkaedah 1441H
Ditulis oleh: Prof. Dr. Muhammad bin Abdullah al-Suhaym
Mantan Profesor Aqidah di Fakulti Pengajian Islam
Fakulti Pendidikan, Universiti Raja Sa’ud
Riyadh, Kerajaan Arab Saudi.
Related books
All books
Risalah Ringkas Berkenaan Islam Menurut Quran dan Sunnah59 bahasaRisalah Ringkas Berkenaan Islam Menurut Quran dan Sunnah
Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Mengasihani Islam (Edisi ringkas tanpa rincian dalil.) [1] [1] Terdapat edisi lain bagi risalah ini yang disertakan dengan rincian dalil Quran dan Sunnah bagi setiap fakta yang dinyatakan; dapatkan di pautan: https://islamhouse.com/ar/books/2830071 Risalah penting ini memuatkan pengenalan ringkas berkenaan agama Islam, menyerlahkan secara ringkas prinsip, ajaran dan keindahan agama ini, berdasarkan sumber utama, iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi ﷺ. Risalah ini ditujukan kepada setiap individu, sama ada beragama Islam atau tidak, dengan bahasa masing-masing,…
Risalah Ringkas Buat Golongan Ateis31 bahasaRisalah Ringkas Buat Golongan Ateis
Sebuah risalah ringkas kepada penganut ateis, yang berbicara kepada akal bahawa ketelitian dan keteraturan alam semesta menafikan kebetulan serta menunjukkan adanya Pencipta Yang Maha Bijaksana. Maka, adakah masuk akal semua ini terjadi daripada ketiadaan? Oleh itu, bukalah hatimu untuk berfikir dan merenung, serta carilah kebenaran; mungkin engkau akan menemui di dalamnya cahaya yang memberi petunjuk kepadamu.
Islam Agama Para Rasul85 bahasaIslam Agama Para Rasul
Islam bermaksud penyerahan diri dan patuh kepada kepada pencipta dan pentadbir alam ini, iaitu Allah; yang didasari kecintaan dan pengagungan terhadap-Nya. Asas bagi agama Islam adalah beriman kepada Allah. Kita beriman bahawa Allah-lah pencipta, dan semua yang selain-Nya adalah makhluk yang diciptakan. Allah sahajalah yang berhak disembah secara tunggal tanpa sekutu. Allah mempunyai nama-nama yang baik dan sifat-sifat yang agung. Milik Allah sahajalah kesempurnaan mutlak tanpa sebarang kekurangan. Allah tidak melahirkan, tidak dilahirkan. Tiada apa yang setara dan sebanding dengan-Nya. Allah…
الإسلام دين رب العالمين