Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Mengasihani Islam Risalah Ringkas Berkenaan Islam Menurut Quran dan Sunnah (Edisi ringkas tanpa rincian dalil.) [1] [1] Terdapat edisi lain bagi risalah ini yang disertakan dengan rincian dalil Quran dan Sunnah bagi setiap fakta yang dinyatakan; dapatkan di pautan: https://islamhouse.com/ar/books/2830071 Risalah penting ini memuatkan pengenalan ringkas berkenaan agama Islam, menyerlahkan secara ringkas prinsip, ajaran dan keindahan agama ini, berdasarkan sumber utama, iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi ﷺ. Risalah ini ditujukan kepada setiap individu, sama ada…
Risalah Ringkas Berkenaan Islam Menurut Quran dan Sunnah
(Edisi ringkas tanpa rincian dalil.) [1][1] Terdapat edisi lain bagi risalah ini yang disertakan dengan rincian dalil Quran dan Sunnah bagi setiap fakta yang dinyatakan; dapatkan di pautan: https://islamhouse.com/ar/books/2830071
Risalah penting ini memuatkan pengenalan ringkas berkenaan agama Islam, menyerlahkan secara ringkas prinsip, ajaran dan keindahan agama ini, berdasarkan sumber utama, iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi ﷺ. Risalah ini ditujukan kepada setiap individu, sama ada beragama Islam atau tidak, dengan bahasa masing-masing, pada setiap masa, di setiap tempat, tanpa mengira keadaan.
1. Islam adalah mesej Allah kepada semua manusia, yang kekal merentasi masa.
2. Islam tidak hanya terhad kepada golongan, atau kaum tertentu. Sebaliknya ia adalah agama Allah buat seluruh manusia.
3. Islam adalah mesej dari Tuhan yang menyempurnakan mesej-mesej yang dibawa nabi dan rasul yang terdahulu kepada para umat mereka.
4. Para nabi, kesejahteraan buat mereka, agama mereka satu, meskipun syariat perundangan mereka berbeza-beza.
5. Ajaran Islam sama dengan ajaran setiap nabi terdahulu, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Sulayman, Nabi Dawud, Nabi 'Isa, mereka mengajar untuk beriman bahawa Tuhan adalah Allah, Dia yang menciptakan alam ini, membahagikan rezeki, menghidupkan, mematikan, Raja Sekalian Jagat; Dia yang mentadbir segala ketentuan, Dia Maha Baik, Maha Mengasihani.
6. Allah adalah Maha Pencipta; hanya Dia sahaja yang berhak untuk disembah. Justeru Islam menyeru untuk meninggalkan setiap sembahan selain Allah.
7. Allah adalah Pencipta, yang mewujudkan segala isi alam raya yang kita saksikan dan alam semesta yang tidak mampu kita saksikan. Selain daripada Allah adalah makhluk ciptaan-Nya. Allah menciptakan setiap lapis langit dan bumi dalam tempoh enam masa.
8. Allah tidak memiliki sebarang sekutu dalam Kerajaan-Nya, atau dalam proses penciptaan atau pentadbiran alam; maka tiada yang layak menjadi sekutu-Nya untuk disembah.
9. Allah tidak mempunyai anak, tidak juga Dia dilahirkan, tiada yang setara atau seumpama dengan-Nya.
10. Allah tidak bersatu di dalam mana-mana makhluk-Nya, atau mengambil bentuk fizikal pada ciptaan-Nya.
11. Allah itu Maha Baik, Maha mengasihani setiap hamba-Nya. Kerana sifat-Nya ini, Dia mengutuskan para rasul dan menurunkan Kitab-kitab.
12. Allah adalah Tuhan yang Mengasihani, Dia sahaja yang akan melakukan perhitungan ciptaan-Nya pada hari Kiamat tatkala Dia membangkitkan mereka daripada kubur, kemudian Dia akan memberi ganjaran atau balasan setimpal kepada mereka.
Sesiapa yang melakukan kebaikan dan beriman dengan-Nya, dia akan mendapat nikmat yang berkekalan. Sesiapa mengingkari-Nya dan melakukan amalan buruk, dia berhak mendapat azab yang perit di akhirat kelak.
13. Allah menciptakan Adam daripada tanah, Dia menjadikan zuriat Adam berkembang-biak selepas itu. Justeru asal-usul setiap manusia sama sahaja, tiada golongan yang lebih mulia dari golongan lain, atau kaum yang lebih hebat dari kaum lain; melainkan pada sudut ketakwaan.
14. Setiap bayi yang lahir, dia dilahirkan suci dengan fitrahnya.
15. Tiada manusia yang lahir dalam keadaan berdosa, atau mewarisi dosa orang lain.
16. Tujuan teragung Allah menciptakan manusia adalah untuk menyembah-Nya semata-mata.
17. Islam memuliakan setiap manusia, tanpa mengira jantina, dan menjamin setiap hak-hak mereka. Islam menggalaskan tanggungjawab untuk mereka tanggung semua pilihan dan tindakan mereka. Islam juga menggalaskan tanggungjawab kepada individu yang memudaratkan diri sendiri atau orang lain.
18. Islam memandang lelaki dan wanita sama rata dari sudut tanggungjawab, ganjaran dan balasan.
19. Islam memuliakan wanita, menganggap wanita sebagai saudara kandung lelaki, bahkan mewajibkan lelaki untuk menanggung wanita semampunya; bapa wajib menanggung anak perempuan, anak lelaki wajib menanggung ibunya selepas dia baligh dan mampu, suami wajib menanggung isterinya.
20. Kematian bukanlah kebinasaan abadi. Sebaliknya ia adalah perpindahan daripada alam ujian, kepada alam keputusan. Diri manusia terdiri daripada jasad dan roh, kematian berlaku apabila roh meninggalkan jasad, kemudian roh akan kembali kepada jasad pada hari Kebangkitan. Selepas mati, roh tidak akan berpindah ke jasad yang lain, atau reinkarnasi ke tubuh lain.
21. Islam menyeru untuk beriman dengan prinsip-prinsip Iman terbesar, iaitu:
1. Beriman dengan Allah,
2. Beriman dengan malaikat-Nya,
3. Beriman dengan Kitab-Kitab Tuhan seperti Taurat, Injil, Zabur - sebelum diselewengkan, dan al-Quran,
4. Beriman dengan semua para nabi dan rasul, terutamanya Nabi Terakhir, Muhammad ﷺ,
5. Beriman dengan Kehidupan Selepas Kematian. Kita yakini, sekiranya kehidupan dunia adalah pengakhiran, maka kewujudan kita hanya sia-sia.
6. Beriman dengan ketentuan dan ketetapan Ilahi.
22. Para nabi terpelihara daripada sebarang kesilapan berkenaan mesej yang sampaikan dari Allah, mereka terpelihara daripada sebarang perkara yang menyalahi logik, atau sikap yang ditolak moral yang sejahtera.
Para nabi adalah orang-orang yang bertanggungjawab untuk menyampaikan perintah Allah kepada para hamba-Nya. Para nabi tidak memiliki sebarang keistimewaan untuk didewakan atau disembah, sebaliknya mereka adalah manusia seperti manusia lain, hanya sahaja Allah memberikan wahyu kepada mereka.
23. Islam menyeru untuk menyembah Allah sahaja, dengan bentuk-bentuk ibadah yang teragung, iaitu:
1. Solat, yang terdiri daripada berdiri, rukuk, sujud, zikir, memuji Allah dan berdoa. Ia dilaksanakan 5 kali sehari. Tiada beza dalam kewajipan ini antara kaya dan miskin, pemimpin dan rakyat, semua solat di satu baris yang sama.
2. Zakat, iaitu sedikit harta yang ditentukan menurut ketetapan syariah Allah yang dibelanjakan dari harta orang-orang kaya untuk dibahagikan kepada orang-orang fakir dan lain-lain, setiap tahun sekali.
3. Puasa, iaitu menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa pada pagi bulan Ramadan. Amalan ini mendidik diri untuk menguruskan masa dan bersabar.
4. Haji, iaitu pergi ke Rumah Allah di Mekah, sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan. Dalam perhimpunan haji ini, setiap manusia menghadapkan jiwa mereka kepada Allah, mengabaikan sebarang perbezaan dan kecenderungan politik.
24. ِAntara keistimewaan ibadah dalam Islam adalah tatacara, waktu dan syariatnya disusun oleh Allah sendiri, dan disampaikan oleh Rasul-Nya. Manusia tidak masuk campur menokok tambah ibadah tersebut, daripada dahulu sehingga kini. Kesemua bentuk ibadah-ibadah agung ini diajarkan oleh semua para nabi.
25. Rasul Islam, iaitu Muhammad bin Abdullah, keturunan Ismail bin Ibrahim. Baginda dilahirkan di Mekah pada tahun 571M, kemudian baginda berhijrah ke Madinah. Baginda tidak pernah menyertai sebarang upacara syirik kaumnya, tetapi baginda sering menyertai aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan bersama.
Sejak belum menjadi nabi, baginda memiliki akhlak yang hebat sehingga digelar al-Amin (Yang Dipercayai).
Allah melantik baginda sebagai nabi pada usia 40 tahun, memberikan petanda-petanda keajaiban buat baginda. Keajaiban baginda yang teragung adalah al-Quran, bahkan ia paling agung dalam sejarah para nabi. Ia adalah ayat-ayat yang kekal sehingga hari ini. Apabila Allah telah menyempurnakan agama-Nya, dan Rasul-Nya telah menyelesaikan tugasnya dengan sempurna, Allah mewafatkan baginda pada usia 63 tahun. Baginda dikebumikan di Madinah.
Rasul Muhammad adalah penutup sekalian nabi dan rasul, Allah mengutus baginda membawa petunjuk (ilmu yang benar) dan agama yang benar (amal yang baik), untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan syirik, kufur dan kejahilan, kepada cahaya tauhid dan Iman.
26. Syariat Islam yang dibawa Rasulullah ﷺ adalah syariat Ilahi yang terakhir, yang telah disempurnakan oleh Allah. Syariat ini memberi penekanan terhadap maslahat ukhrawi dan duniawi setiap insan, memelihara kemandirian agama, nyawa, harta, akal dan zuriat manusia. Syariat ini memansuhkan segala syariat terdahulu, sebagaimana syariat sebelum ini memansuhkan syariat yang lebih sebelum.
27. Allah tidak menerima agama lain, selain Islam yang dibawa oleh Rasul Muhammad ﷺ. Sesiapa yang menganut agama selain agama Islam, Allah tidak akan menerimanya.
28. Al-Quran yang wahyukan kepada Rasul Muhammad ﷺ adalah Kata-kata Tuhan Semesta Alam. Allah telah mencabar jin dan manusia untuk mendatangkan satu surah seperti surah al-Quran. Cabaran ini masih belum disahut sehingga hari ini. Al-Quran menjawab banyak persoalan eksistensial yang penting, yang menjadi tanda tanya umat manusia.
Al-Quran masih terpelihara sehingga hari ini dengan bahasa aslinya, bahasa Arab, tanpa berkurang satu huruf pun. Al-Quran telah diterbitkan dan diedar serata dunia. Ia Kitab yang agung, sangat patut dibaca, atau dibaca terjemahannya. Begitu juga sunnah Rasulullah ﷺ, ajaran dan perjalanan hidup baginda dipelihara rapi menerusi rantai perawi yang dipercayai. Ia telah diterbitkan dalam bahasa asal baginda, dan diterjemahkan ke banyak bahasa lain.
Al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah ﷺ adalah satu-satunya sumber perundangan syariah Islam. Justeru agama Islam bukanlah pendapat peribadi umatnya, sebaliknya diambil daripada wahyu Ilahi yang berbentuk al-Quran dan Sunnah.
29. Islam mengajarkan untuk berbuat baik kepada ibu bapa, meskipun mereka tidak menganut agama Islam, dan menekankan untuk mendidik anak dengan penuh kasih sayang.
30. Islam mengajarkan untuk berlaku adil dalam memberi pendapat dan mengambil tindakan, sekalipun dengan musuh.
31. Islam mengajarkan untuk berbuat baik kepada setiap jenis makhluk, menyeru kepada akhlak yang sempurna dan amalan yang baik.
32. Islam mengajarkan akhlak-akhlak terpuji, seperti telus, amanah, menjaga maruah diri, malu, berani, berkorban, murah hati, ringan tulang membantu orang yang memerlukan, memberi makan kepada orang lapar, berbuat baik sesama tetangga, menyambung talian persaudaraan dan berbaik kepada haiwan.
33. Islam menghalalkan makanan dan minuman yang baik, dan mendidik untuk menjaga kesucian hati, badan dan rumah. Kerana konsep inilah Islam menggalakkan perkahwinan. Para nabi terdahulu juga mendidik umat mereka untuk memastikan kesucian dalam setiap perkara.
34. Islam melarang keras beberapa dosa terbesar; seperti mensyirikkan Allah, kufur, menyembah berhala, mendakwa tentang Allah tanpa dalil, membunuh anak, menumpahkan darah, melakukan kerosakan, sihir, kekejian luaran dan dalaman, zina, homoseksual, faedah pinjaman, makan bangkai, makan korban kepada syirik, makan babi dan najis, makan harta anak yatim, menipu dalam sukatan dan timbangan, dan memutuskan hubungan silaturahim. Kesemua para nabi sepakat mengharamkan perkara ini kepada umat mereka.
35. Islam melarang daripada akhlak yang tercela, seperti berdusta, menipu helah, tikam belakang, khianat, dengki, membuat rencana jahat, mencuri, merompak, menzalimi orang lain, dan segala akhlak keji yang lain.
36. Islam melarang daripada transaksi yang menandungi unsur riba, mudarat, ketidakjelasan, kezaliman, penipuan, atau sebarang jenis urus niaga yang boleh memberi bahaya kepada masyarakat, bangsa atau individu.
37. Islam berusaha memelihara intelektual dan akal manusia, justeri Islam mengharamkan setiap perkara yang merosakkan akal seperti meneguk alkohol. Islam memuliakan akal, bahkan meletakkan akal sebagai faktor seseorang diterima kira amalannya.
Islam membebaskan akal daripada karut marut dan kepercayaan pagan. Islam tidak mengandungi rahsia tersembunyi atau hukum-hakam yang khusus bagi sesuatu peringkat sahaja. Setiap hukum-hakam Islam bersesuaian dengan logik akal yang sejahtera, memenuhi tuntutan keadilan dan kebijaksanaan.
38. Dalam agama-agama batil, sekiranya pengikutnya tidak mampu menghadam ajaran yang bercanggah dengan akal, petinggi agama akan mendakwa bahawa agama mengatasi akal, dan akal tidak memiliki kemampuan untuk memahami agama. Sedangkan Islam menanggapi agama sebagai cahaya yang menyuluh akal. Agama batil mahu manusia mengabaikan akalnya, sementara Islam mendidik manusia untuk mencelikkan akalnya bagi mengetahui realiti setiap perkara.
39. Islam mengagungkan ilmu yang sahih, menggalakkan kajian ilmiah tanpa sebarang kecenderungan, menyeru untuk mengkaji dan berfikir tentang diri dan alam sekeliling. Dapatan kajian saintifik yang benar tidak akan menyanggahi ajaran Islam.
40. Allah tidak akan menerima amalan melainkan daripada orang yang beriman dengan-Nya, mentaati-Nya, mengakui kebenaran para rasul-Nya. Allah tidak akan menerima ibadah melainkan yang Dia syariatkan sahaja, apatah lagi ibadah daripada orang yang kufur kepada-Nya. Allah juga tidak akan menerima Iman seseorang, melainkan sekiranya dia beriman dengan semua para nabi, termasuklah kerasulan Muhammad ﷺ.
41. Tujuan setiap mesej-mesej Ilahi adalah untuk memuliakan insan dengan agama yang benar, agar dia menjadi hamba yang memurnikan ibadah kepada Allah Tuhan Semesta Alam, untuk membebaskannya daripada menjadi hamba kepada manusia, atau materialistik, atau kepercayaan karut. Islam, seperti yang anda lihat, tidak mengkuduskan individu, mengangkatnya lebih dari kadarnya, apatahlahi menjadikannya dewa atau sembahan.
42. Allah mensyariatkan taubat dalam Islam. Taubat ialah manusia kembali kepada Tuhannya dan meninggalkan maksiat. Masuknya seseorang ke dalam Islam akan menghapuskan setiap dosanya yang terdahulu, dan taubat menampal dosa-dosa yang berlalu. Tiada keperluan untuk melakukan pengakuan dosa di hadapan manusia lain.
43. Dalam Islam, hubung antara manusia dan Allah adalah secara langsung. Tiada orang tengah yang diperlukan untuk menghubungkan anda dengan Allah. Sebaliknya, Islam melarang keras kita daripada menjadikan manusia sebagai sembahan, atau sekutu Allah dalam ketuhanan dan hak sembahan.
44. Di akhir Risalah ini, kita mengingatkan bahawa setiap manusia tanpa mengira tempat, usul bangsa dan geografi, bahkan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira pola pemikiran, pola tujuan, latar hidup dan kerja; bahawa mereka sangat, sangat memerlukan petunjuk yang meluruskan jalannya, peraturan yang mengaturnya, hakim yang mengawalnya.
Semua tugas ini telah dikendalikan para rasul menerusi wahyu daripada Allah. Para rasul membimbing manusia ke jalan kebaikan dan petunjuk, menyatukan mereka atas syariat Allah, memutuskan dengan hak. Kebahagiaan hidup manusia tersusun kemas mengikut kadar penerimaannya kepada mesej rasul dan tempoh jarak zaman mereka dengan nabi.
Allah telah menetapkan kerasulan dengan pengutusan Rasul Muhammad ﷺ, Dia mentakdirkan syariat Rasul Muhammad ﷺ untuk terus kekal, menjadi pedoman, manifestasi sifat kasihan, cahaya dan petunjuk membimbing manusia kepada-Nya.
45. Justeru itu, saya mengajak anda, wahai teman sebangsaku, untuk bangkit menyembah Allah secara telus, tanpa sebarang pengaruh taklid buta dan adat istiadat. Ingatlah, selepas matimu, anda akan kembali kepada Sang Pencipta; hendaklah kamu memerhatikan dirimu dan segenap horizon alam; lalu anutilah Islam, nescaya kamu akan bahagia di dunia dan di akhirat.
Sekiranya kamu mahu memeluk Islam, kamu hanya perlu menyatakan kesaksian bahawa kamu bersaksi tiada yang berhak disembah selain Allah, dan Muhammad itu utusan Allah, dan kamu berlepas diri daripada setiap sembahan selain Allah, kamu beriman dengan kebangkitan dalam kubur, hari perhitungan dan pembalasan itu benar.
Sekiranya kamu menyatakan semua kesaksian ini, kamu telah menjadi Muslim. Berbaki lagi, untuk kamu menyembah Allah dengan syariat yang Dia aturkan, seperti solat, zakat, puasa dan haji bagi yang berkemampuan.
Edisi 19 Zulkaedah 1441H
Dipenakan: Prof. Dr. Muhammad bin Abdullah al-Suhaym
Mantan Professor Akidah di Jabatan Pengajian Islam
Latar Belakang Ringkas Berkenaan Islam Menurut al-Quran dan al-Sunnah
71 bahasa
Latar Belakang Ringkas Berkenaan Islam Menurut al-Quran dan al-Sunnah
Islam Buku penting ini memuatkan pengenalan ringkas berkenaan agama Islam, menyerlahkan secara ringkas prinsip, ajaran dan keindahan agama ini, berdasarkan sumber utama, iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi ﷺ. Buku ini ditujukan kepada setiap individu, sama ada beragama Islam atau tidak, dengan bahasa masing-masing, pada setiap masa, di setiap tempat, tanpa mengira keadaan. (Edisi Disertakan Dengan Perincian Dalil Daripada al-Quran dan al-Sunnah.) 1. Islam adalah mesej Allah kepada semua manusia, yang kekal merentasi masa dan merupakan yang terakhir daripada segala mesej Ilahi. Islam adalah mesej…
Sebuah risalah ringkas kepada penganut ateis, yang berbicara kepada akal bahawa ketelitian dan keteraturan alam semesta menafikan kebetulan serta menunjukkan adanya Pencipta Yang Maha Bijaksana. Maka, adakah masuk akal semua ini terjadi daripada ketiadaan? Oleh itu, bukalah hatimu untuk berfikir dan merenung, serta carilah kebenaran; mungkin engkau akan menemui di dalamnya cahaya yang memberi petunjuk kepadamu.
Islam bermaksud penyerahan diri dan patuh kepada kepada pencipta dan pentadbir alam ini, iaitu Allah; yang didasari kecintaan dan pengagungan terhadap-Nya. Asas bagi agama Islam adalah beriman kepada Allah. Kita beriman bahawa Allah-lah pencipta, dan semua yang selain-Nya adalah makhluk yang diciptakan. Allah sahajalah yang berhak disembah secara tunggal tanpa sekutu. Allah mempunyai nama-nama yang baik dan sifat-sifat yang agung. Milik Allah sahajalah kesempurnaan mutlak tanpa sebarang kekurangan. Allah tidak melahirkan, tidak dilahirkan. Tiada apa yang setara dan sebanding dengan-Nya. Allah…