الدروس المهمة لعامة الأمة
Pelajaran Terpenting Buat Setiap Muslim Karya Shaykh al-ʿAllāmah Dengan nama Allah, Maha Pengasih, Maha Mengasihani Mukadimah Pengarang Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Kejayaan milik orang-orang yang bertakwa. Selawat dan salam semoga tercurah kepada hamba dan Rasul-Nya, Nabi kita Muhammad, serta kaum kerabat dan seluruh sahabat baginda.
These files are generated automatically from the book's text; their layout may differ from the printed edition.
Pelajaran Terpenting Buat Setiap Muslim
Karya Shaykh al-ʿAllāmah
Imam Abdul ʿAzīz bin Abdullah Ibn Bāz
Mukadimah Pengarang
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Kejayaan milik orang-orang yang bertakwa. Selawat dan salam semoga tercurah kepada hamba dan Rasul-Nya, Nabi kita Muhammad, serta kaum kerabat dan seluruh sahabat baginda.
Ammā baʿd:
Ini adalah beberapa titipan ringkas yang menerangkan sebahagian kewajipan yang perlu diketahui oleh orang awam mengenai agama Islam. Saya menamakannya: (Pelajaran Terpenting Buat Setiap Muslim).
Saya memohon kepada Allah agar menjadikannya bermanfaat buat kaum Muslimin, dan menerima penulisan ini sebagai amalan baikku. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah lagi Maha Mulia.
Abdul ʿAzīz bin Abdullah bin Bāz Pelajaran Terpenting Buat Setiap Muslim [1] [1] Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi’ah oleh Ibn Baz (3/288- 298).
Pelajaran Pertama: Surah al-Fātiḥah dan Surah-Surah Pendek
Guru mengajarkan Surah al-Fātiḥah dan surah-surah pendek, bermula dari Surah al-Zalzalah hingga Surah al-Nās. Meliputi kaedah membaca, pembetulan bacaan, hafalan serta penerangan mengenai perkara-perkara yang wajib difahami daripada surah-surah ini.
Pelajaran Kedua: Rukun Islam
Penjelasan 5 Rukun Islam. Rukun yang pertama dan paling penting adalah: Penyaksian bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah, dan bahawa Muhammad adalah Rasul Allah, disertai syarahan maknanya, serta penjelasan syarat-syarat "Lā ilāha illa Allāh", dan maksudnya: · “Lā ilāha” — menafikan hak segala yang disembah selain Allah, ·“illa Allāh” — menetapkan bahawa hanya Allah yang berhak disembah, tiada sekutu bagi-Nya. Syarat-syarat "Lā ilāha illa Allāh" ialah: (1) ilmu yang menafikan kejahilan, (2) keyakinan yang menafikan keraguan, (3) keikhlasan yang menafikan syirik, (4) kejujuran yang menafikan dusta, (5) kecintaan yang menafikan kebencian, (6) ketundukan yang menafikan pengabaian, (7) penerimaan yang menafikan penolakan, (8) kufur terhadap segala sembahan selain Allah. Syarat-syarat ini diringkaskan dalam dua rangkap berikut:
ʿIlmu, yakin, ikhlas dan jujurlah kamu, cinta dan tunduk serta menerimanya selalu, Tambahkan yang kelapan: engkau mengingkari, segala yang disembah selain sembahan sejati.
Kemudian guru menjelaskan pula syahadah kedua bermaksud mengakui Muhammad adalah utusan Allah. Tuntutan syahadah ini adalah: • mempercayai setiap yang baginda sampaikan, • mentaati setiap perintah baginda, • menjauhi setiap larangan baginda, • dan beribadah kepada Allah hanya dengan cara yang diajarkan baginda. Seterusnya, pelajar akan diajar rukun-rukun Islam yang lain, iaitu: - Solat, - Zakat, - Puasa Ramadan, - Haji bagi yang berkemampuan.
Pelajaran Ketiga: Rukun Iman
Terdapat enam rukun iman, iaitu: [1] Beriman dengan Allah, [2] Beriman dengan Malaikat-Nya, [3] Beriman dengan Kitab-kitab-Nya, [4] Beriman dengan Rasul-rasul-Nya, [5] Beriman dengan Hari Akhirat, [6] Beriman dengan takdir, bahawa yang baik dan yang buruk adalah dari Allah SWT.
Pelajaran Keempat: Bahagian Tawḥīd dan Jenis Syirik
Guru menjelaskan berkenaan aspek-aspek Tawḥīd, terbahagi kepada tiga: [1] Tawḥīd Rubūbiyyah [2] Tawḥīd Ulūhiyyah [3] Tawḥīd al-Asmāʾ wa al-Ṣifāt
1. Tauhid Rubūbiyyah: Beriman bahawa Allah SWT adalah Pencipta segala sesuatu dan Pengatur segala urusan tanpa sekutu bagi-Nya.
2. Tauhid Ulūhiyyah: Beriman bahawa Allah SWT adalah satu-satunya yang berhak disembah, tiada sekutu bagi-Nya. Inilah makna "Lā ilāha illa Allāh", iaitu: Tiada yang berhak disembah dengan benar melainkan Allah. Maka semua ibadah seperti solat, puasa dan lain-lain hendaklah diikhlaskan hanya kepada Allah. Tidak boleh mempersembahkan sebarang ibadah kepada selain Allah.
3. Tauhid al-Asmāʾ wa al-Ṣifāt: Beriman dengan semua nama dan sifat Allah yang disebut dalam al-Quran dan hadis sahih, serta menetapkannya hanya untuk Allah SWT dengan cara yang layak bagi-Nya, tanpa tahrīf (penyelewengan), taʿṭīl (penafian), takyīf (membayangkan bentuk), atau tamthīl (penyerupaan). Ini sesuai dengan firman Allah: Katakanlah, “Dialah Allah Yang Satu.” (1) Allah jua yang menjadi tumpuan untuk memohon sebarang hajat. (2) Dia tidak beranak, tidak pula diperanakkan. (3) Dan tiada sesuatu yang setara dengan-Nya. (Surah al-Ikhlas: 1-4) dan firman Allah, (Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.) [Surah al-Shūrā: 11] Sebahagian ulama mengkelaskan Tawḥīd al-Asmāʾ wa al-Ṣifāt dalam Tawḥīd Rububiyyah. Perbezaan ini tidak menjadi masalah kerana tujuan asal pembahagian ini tetap tercapai.
Syirik pula terbahagi kepada tiga: [1] Syirik Akbar (besar) [2] Syirik Aṣghar (kecil) [3] Syirik Khafī (tersembunyi)
Syirik ini membatalkan semua amal dan menyebabkan pelakunya kekal di neraka jika mati dalam keadaan tersebut. Allah SWT berfirman: (Sekiranya para nabi tersebut melakukan syirik, nescaya akan terhapuslah setiap amalan baik yang mereka lakukan.) [Surah al-Anʿām: 88] Allah SWT juga berfirman: (Kaum Musyrikin tidak layak untuk mengimarahkan masjid-masjid Allah, padahal mereka mengakui bahawa mereka adalah kafir. Mereka itu sia-sia amalan mereka, di dalam neraka mereka kekal.) [Surah al-Tawbah: 17] Sesiapa yang mati dalam syirik ini, Allah tidak akan mengampuninya, dan syurga diharamkan bagi mereka, sebagaimana Allah firmankan: “Sungguh, Allah tidak mengampunkan dosa syirik dan Dia mengampuni dosa selain syirik bagi sesiapa yang Dia kehendaki.” (Surah al-Nisāʾ: 48). Allah SWT juga berfirman: “Sesiapa yang menyekutukan Allah, maka Allah telah mengharamkan syurga ke atasnya, dan kesudahannya adalah di neraka, tiada sebarang pembela buat orang-orang yang zalim.” [Surah al-Māʾidah: 72]
Antara bentuk syirik besar: Berdoa dan memohon bantuan kepada orang yang sudah mati dan kepada berhala, bernazar kepada mereka, menyembelih kepada mereka dan seumpamanya.
Syirik Kecil, iaitu setiap yang dinyatakan oleh nas al-Qurʾān atau hadis sebagai syirik, tetapi bukan daripada jenis syirik besar. Contohnya: riak dalam sebahagian amalan, bersumpah dengan selain nama Allah, atau berkata: "Atas kehendak Allah dan kehendak si fulan", dan seumpamanya. Ini berdasarkan sabda Nabi (ﷺ): “Perkara yang paling aku takuti adalah kamu terjerumus ke dalam syirik kecil.” Apabila ditanya tentang syirik kecil tersebut, baginda menjawab, “Ia adalah riyak.” [2] [Riwayat Aḥmad, al-Ṭabarānī dan al-Bayhaqī, dengan sanad-sanad yang baik, daripada Maḥmūd bin Labīd, daripada Rāfiʿ bin Khadīj, daripada Nabi SAW] 2] Direkodkan oleh Imam Aḥmad (5/428), al-Ṭabarānī dalam al-Kabīr (4/338), dan al-Bayhaqī dalam Shuʿab al-Īmān (14/355). Dalam Majmaʿ al-Zawāʾid (1/121), disebut: "Direkodkan oleh Aḥmad dan para perawinya adalah perawi sahih."
Nabi ﷺ juga bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, bererti dia telah melakukan syirik.” [3] Riwayat Aḥmad, dengan sanad yang sahih daripada ʿUmar bin al-Khaṭṭāb r.a. Juga riwayat Abū Dāwud dan al-Tirmidhī, dengan sanad yang sahih daripada Ibn ʿUmar r.a., daripada Nabi SAW, baginda bersabda, "Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah melakukan kufur atau syirik." [4] Nabi ﷺ juga bersabda: “Janganlah kamu berkata: “Apa yang dikehendaki Allah dan si fulan,” tetapi katakanlah: “Apa yang dikehendaki Allah, kemudian apa yang dikehendaki si fulan.” [5] Riwayat Abū Dāwud, dengan sanad yang sahih daripada Hudhayfah bin al-Yamān RA. [3] Direkodkan oleh Imam Aḥmad (1/47) [4] Direkodkan oleh Abū Dāwūd (no. 3251) dan al-Tirmidhī (no. 1535) [5] Direkodkan oleh Abū Dāwūd (no. 4980) dan Aḥmad (5/384)
Syirik jenis ini tidak menyebabkan pelakunya murtad dan kekal di neraka. Akan tetapi, ia menunjukkan kecelaan pada kesempurnaan tawḥīd seseorang.
Jenis ketiga: syirik tersembunyi (khafī); dalilnya ialah sabda Nabi (ﷺ): “Adakah kalian mahu tahu sesuatu yang saya paling takut menimpa kamu, lebih daripada bahaya Dajal?” Para sahabat mengiakan. Baginda bersabda, “Itulah syirik tersembunyi; apabila seseorang yang sedang solat memperelokkan solatnya kerana perasan ada mata-mata yang memerhatikannya.” [6] [Riwayat Aḥmad, daripada Abū Saʿīd al-Khudrī RA] [6] Direkodkan oleh Ibn Mājah (no. 4204) dan Imam Aḥmad (3/30)
Syirik juga boleh dibahagikan kepada dua jenis sahaja;
[1] Syirik Akbar dan [2] Syirik Aṣghar, dan Syirik Khafī boleh termasuk dalam jenis pertama atau kedua. Justeru, syirik Khafī boleh tergolong dalam Syirik Akbar, seperti syiriknya golongan Munafik. Mereka menyembunyikan akidah-akidah kufur mereka, dalam masa yang sama menzahirkan diri seolah-olah mereka adalah Muslim, kerana kepentingan peribadi.
Syirik Khafī juga boleh termasuk dalam Syirik Aṣghar, seperti mana yang diriwayatkan dalam hadis Maḥmūd bin Labīd dan Abū Saʿīd al-Khudrī yang sudah disebutkan sebelum ini. Allah jualah yang membimbing kita.
Pelajaran Kelima: Iḥsān
Guru menjelaskan rukun Iḥsān, iaitu: “Menyembah Allah seperti melihat-Nya; jika tidak melihat-Nya, maka Dia melihatmu.”
Pelajaran Keenam: Syarat-Syarat Sah Solat
Terdapat sembilan syarat solat:
[1] Islam, [2] Berakal, [3] Mampu membezakan (mumayyiz), [4] Suci dari hadas, [5] Menghilangkan najis, [6] Menutup aurat, [7] Masuk waktu solat, [8] Menghadap kiblat, [9] Berniat
Pelajaran Ketujuh: Rukun-rukun Solat
Rukun solat ada empat belas:
[1] Berdiri jika mampu, [2] Takbiratul ihram, [3] Membaca al-Fātiḥah, [4] Rukuk, [5] Iktidal (bangkit dari rukuk), [6] Sujud, di atas tujuh anggota, [7] Bangkit dari sujud, [8] Duduk antara dua sujud, [9] Tenang seketika pada setiap rukun, [10] Tertib (mengikut aturan) antara setiap ruku, [11] Tasyahud akhir, [12] Duduk untuk tasyahud akhir, [13] Selawat ke atas Nabi ﷺ, [14] Dua salam.
Pelajaran Kelapan: Amalan Wajib Dalam Solat
Terdapat lapan kewajipan dalam solat:
[1] Semua takbir, selain takbiratul ihram, [2] Mengucapkan سمع الله لمن حمده (Samiʿallāh li-man ḥamidah; Allah menerima orang yang memuji-Nya) bagi imam dan orang solat sendirian, [3] Mengucapkan ربنا ولك الحمد (Rabbanā walakal-Ḥamd; wahai Tuhan kami, buat-Mu segala pujian). [4] Mengucapkan سبحان ربي العظيم (Subḥāna Rabbiyal-ʿAẓīm; Maha Suci-Mu, wahai Tuhanku yang Maha Agung) ketika rukuk, [5] Mengucapkan سبحان ربي الأعلى (Subḥāna Rabbiyal-Aʿlā; Maha Suci-Mu, Tuhanku yang Maha Tinggi) ketika sujud, [6] Mengucapkan رب اغفر لي (Rabbighfir-lī; Oh Tuhanku, ampunkan daku) antara dua sujud, [7] Membaca Tasyahud Awal, [8] Duduk untuk Tasyahud Awal.
Pelajaran Kesembilan: Tasyahud
Bacaan tasyahud adalah:
“At-taḥiyyātu lillāh, waṣ-ṣalawātu waṭ-ṭayyibāt, as-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu wa raḥmatullāhi wa barakātuh, as-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhiṣ-ṣāliḥīn. Ashhadu allā ilāha illallāh, wa ashhadu anna Muḥammadan ‘abduhu wa rasūluh.” "Segala penghormatan, solat, dan kebaikan adalah milik Allah. Salam sejahtera bagimu, wahai Nabi, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya."
Kemudian dalam Tasyahud Akhir, dibaca selawat ke atas Nabi SAW: “Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammad, wa ‘alā āli Muḥammad, kamā ṣallaita ‘alā Ibrāhīm wa ‘alā āli Ibrāhīm, innaka ḥamīdum-majīd. Wa bārik ‘alā Muḥammad wa ‘alā āli Muḥammad, kamā bārakta ‘alā Ibrāhīm wa ‘alā āli Ibrāhīm, innaka ḥamīdum-majīd.” "Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah melimpahkan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkatilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia."
Selepas membaca tasyahud dan selawat ketika tahiyat akhir, seseorang digalakkan memohon perlindungan Allah daripada azab neraka, azab kubur, ujian ketika hidup dan selepas mati, serta fitnah Dajal. Kemudian dia digalakkan mengungkapkan sebarang doa, terutamanya doa-doa yang diriwayatkan daripada Nabi ﷺ seperti:
“Allāhumma a‘innī ‘alā dhikrika wa shukrika wa ḥusni ‘ibādatik.” "Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah dengan baik kepada-Mu." “Allāhumma innī ẓalamtu nafsī ẓulman kathīran wa lā yaghfirudh-dhunūba illā anta, faghfir lī maghfiratan min ‘indika, warḥamnī innaka anta l-ghafūru r-raḥīm.” "Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak, dan tiada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." Ini semua ketika Tasyahud Akhir.
Untuk solat-solat selain Subuh yang terdapat Tasyahud Awal, selepas mengucapkan syahadah, dia dibenarkan untuk bangkit ke rakaat ketiga. Jika dia mahu menyebut selawat ke atas Nabi dahulu, itu lebih baik berdasarkan keumuman hadis, selepas itu barulah dia bangkit.
Pelajaran Kesepuluh: Amalan Sunat Dalam Solat
Terdapat banyak amalan sunat dalam solat, antaranya:
1. Membaca doa istiftāḥ.
2. Meletakkan tapak tangan kanan di atas tapak tangan kiri di atas dada ketika berdiri, sama ada sebelum rukuk mahupun selepasnya.
3. Mengangkat tangan dengan jari-jari rapat dan diluruskan setentang dengan bahu atau telinga semasa takbir pertama (takbirat al-ihram), semasa rukuk, bangun dari rukuk, dan ketika bangun dari Tasyahud Awal ke rakaat ketiga.
4. Membaca tasbih sujud dan rukuk lebih daripada sekali.
5. Membaca sambungan ‘Rabbanā walakal-Ḥamd’ ketika iktidal, dan ‘Rabbighfir-lī’ lebih daripada sekali ketika duduk antara dua sujud.
6. Meratakan kepala dan punggung ketika rukuk.
7. Merenggangkan lengan daripada lambung badan, perut daripada paha, paha daripada betis – semasa sujud.
8. Mengangkat lengan dari lantai semasa sujud.
9. Duduk di atas kaki kiri dan menegakkan kaki kanan dalam Tasyahud Awal dan duduk antara dua sujud.
10. Duduk tawarruk ketika Tasyahud Akhir. Iaitu dengan duduk di atas punggung, sementara kaki kiri dijulurkan bawah kaki kanan, dan kaki kanan ditegakkan.
11. Mengisyaratkan jari telunjuk semasa tasyahud, daripada awal sehingga habis bacaan tasyahud; dan menggerakkannya ketika berdoa.
12. Membaca selawat dan doa keberkatan buat Nabi, keluarga Nabi, Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim ketika Tasyahud Awal.
13. Berdoa selepas Tasyahud Akhir.
14. Membaca al-Quran dengan suara lantang dalam solat Subuh, Jumaat, solat sunat raya, dan solat sunat minta hujan (istisqāʾ), dan pada dua rakaat pertama solat Maghrib dan Isyak.
15. Membaca al-Quran dengan suara perlahan dalam solat Zuhur, Asar, rakaat ketiga Maghrib, dan dua rakaat terakhir Isyak.
16. Membaca ayat-ayat tambahan selain daripada surah al-Fatihah, dengan mematuhi amalan-amalan sunat lain dalam solat yang tidak disebutkan di sini. Antaranya: menambah bacaan “Rabbana wa lakal ḥamd” setelah rukuk untuk imam, makmum, dan orang yang solat bersendirian, serta meletakkan tangan di atas lutut dengan jari yang direnggangkan ketika rukuk.
Pelajaran Kesebelas: Perkara yang Membatalkan Solat
Solat terbatal dengan salah satu dari lapan perkara berikut:
1. Berbicara dalam keadaan sedar dan mengetahui larangan tersebut. Jika dia terlupa atau tidak tahu, maka tidak terbatal.
2. Ketawa.
3. Makan.
4. Minum.
5. Terbuka aurat.
6. Berpaling jauh dari arah kiblat.
7. Pergerakan banyak yang tidak perlu secara berturut-turut.
8. Turun hadas (terbatalnya wuduk, dsb).
Pelajaran Kedua Belas: Syarat-Syarat Sah Wuduk
Terdapat sepuluh syarat sah wuduk:
[1] Islam, [2] Berakal, [3] Mumayyiz, [4] Niat, [5] Tidak memutuskan niat hingga selesai wuduk, [6] Terhentinya perkara yang membatalkan wuduk, [7] Istinjak sebelum wuduk, [8] Menggunakan air yang suci dan halal, [9] Menghilangkan penghalang air sampai ke kulit, [10] Masuknya waktu solat bagi orang yang sentiasa berhadas (tidak lawas, istihadah).
Pelajaran Ketiga Belas: Rukun-rukun Wuduk
Terdapat enam rukun wuduk:
Membasuh muka, termasuk berkumur dan menyedut air ke hidung, membasuh tangan hingga ke siku, menyapu seluruh kepala termasuk telinga, membasuh kaki hingga ke buku lali, serta tertib dan berturut-turut (muwālāt). Disunatkan mengulangi basuhan muka, tangan dan kaki sebanyak tiga kali. Begitu juga berkumur dan menyedut air ke hidung. Namun, yang wajib hanyalah sekali sahaja. Berkenaan menyapu kepala, tidak disunatkan untuk diulang tiga kali, seperti yang dibuktikan oleh hadis-hadis sahih.
Pelajaran Keempat Belas: Perkara yang Membatalkan Wuduk
Terdapat enam perkara yang menyebabkan wuduk terbatal, iaitu:
[1] Keluar sesuatu daripada kemaluan; iaitu qubul atau dubur, [2] Keluar najis yang banyak daripada badan, [3] Hilang akal, sama ada dengan tidur atau selainnya, [4] Memegang kemaluan tanpa lapik, [5] Makan daging unta, [6] Murtad – semoga Allah lindungi kita dan kaum Muslimin daripadanya.
Nota penting: Memandikan mayat tidak membatalkan wuduk menurut pendapat yang benar, ia adalah pegangan majoriti ulama. Kerana tiada dalil yang menunjukkan perkara ini. Tetapi sekiranya tukang mandi mayat tersentuh kemaluan si mati tanpa lapik, maka terbatal jua wuduknya.
Tetapi yang sewajibnya, tukang mandi tidak menyentuh kemaluan si mati melainkan dengan berlapik. Demikian juga, menyentuh wanita tidak membatalkan wuduk secara mutlak, baik bersyahwat mahupun tanpa syahwat. Inilah pendapat ulama yang paling tepat. Ini selagi mana tidak keluar mazi. Dalilnya, Nabi SAW pernah mengucup isterinya, kemudian bersolat tanpa berwuduk semula.
Berkenaan dengan firman Allah dalam Surah al-Nisāʾ dan Surah al-Māʾidah, "atau kamu 'menyentuh' perempuan..." [Surah al-Nisāʾ: 43] [Surah al-Māʾidah: 6] maksudnya adalah jimak. Ini adalah tafsiran ulama yang paling tepat, ia merupakan pandangan Ibn ʿAbbās RA, dan sekumpulan besar ulama Salaf dan Khalaf. Allah jua yang membimbing kita.
Pelajaran Kelima Belas: Berhias Dengan Akhlak Yang Dituntut Bagi Setiap Orang Islam
[1] Jujur, [2] Amanah, [3] Menjaga maruah, [4] Bersikap malu, [5] Bersikap berani, [6] Bersikap pemurah, [7] Menyucikan diri daripada perkara haram, [8] Berjiran dengan baik, [9] Membantu orang yang memerlukan semampunya, dan lain-lain akhlak yang diajarkan melalui al-Quran dan al-Sunnah.
Pelajaran Keenam Belas: Beradab Dengan Adab-Adab Islami
Antara adab-adab yang diajarkan Islam: [1] Memberi salam, [2] Bermanis wajah, [3] Makan dan minum dengan tangan kanan, [4] Menyebut nama Allah ketika mahu makan atau minum, [5] Memuji Allah seusai makan atau minum, [6] Memuji Allah apabila bersin, [7] Mendoakan orang yang memuji Allah apabila bersin, [8] Menziarahi orang sakit, [9] Mengiringi dan menyertai solat jenazah serta pengebumian, [10] Melaksanakan adab-adab ketika keluar masuk masjid atau rumah, [11] Melaksanakan adab-adab ketika bermusafir, [12] Melaksanakan adab-adab dengan ibu bapa, saudara-mara, jiran tetangga, warga emas, kanak-kanak, [13] Mengucapkan tahniah apabila seseorang dikurniakan cahaya mata, [14] Mendoakan keberkatan apabila seseorang berkahwin, [15] Menabahkan seseorang yang ditimpa musibah, dan lain-lain tingkah laku adab Islam ketika memakai pakaian, menanggalkan pakaian dan menyarung kasut.
Pelajaran Ketujuh Belas: Peringatan Berkenaan Syirik dan Jenis-Jenis Maksiat
Sebahagian maksiat adalah dosa-dosa besar; antara tujuh pemusnah: 1. Syirik kepada Allah, 2. Sihir. 3. Membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak. 4. Memakan riba. 5. Menyalah guna harta anak yatim. 6. Lari dari medan perang. 7. Menuduh zina wanita-wanita yang suci dan beriman.
Selain ini, termasuk juga: 8. Derhaka kepada orang tua. 9. Memutus tali silaturahmi. 10. Memberi kesaksian palsu. 11. Bersumpah palsu. 12. Menyakiti jiran tetangga. 13. Menzalimi orang lain dalam urusan darah, harta, dan kehormatan. 14. Meminum minuman yang memabukkan. 15. Berjudi. 16. Mengumpat. 17. Mengadu domba. dan lain-lain maksiat yang Allah dan Rasul-Nya larang.
Pelajaran Kelapan Belas: Pengurusan Jenazah
Perinciannya adalah seperti berikut:
Pertama: Disyariatkan untuk membimbing orang yang sedang nazak mengucapkan "La ilaha illallah", berdasarkan sabda Nabi SAW: “Ajarkanlah kepada orang-orang sedang mati dalam kalangan kamu Lā ilaha Illallah.” [7] [Riwayat Muslim] Yang dimaksudkan orang sedang mati dalam hadis ini adalah orang-orang yang berada di ambang kematian, yang tampak tanda-tanda penghujung nyawanya. [7] Diriwayatkan oleh Muslim, (no. 916-917).
Kedua: Apabila telah pasti kematiannya, maka hendaklah ditutup matanya dan diikat rahangnya, kerana sunnah berkenaan ini.
Ketiga: Wajib memandikan jenazah orang Islam, kecuali jika dia mati syahid dalam pertempuran. Justeru jenazah syahid tidak dimandikan dan tidak disolatkan, sebaliknya dikuburkan dengan pakaian yang dipakainya, berdasarkan perbuatan Nabi SAW yang tidak memandikan atau mensolatkan para syuhada Uhud.
Hendaklah menutup aurat jenazah, kemudian dinaikkan sedikit badannya dan perutnya ditekan secara lembut. Kemudian tukang mandi membalut tangannya dengan kain atau seumpamanya dan membersihkan najis, lalu mengambil wuduk seperti wuduk untuk solat. Setelah itu, kepala dan janggutnya dibasuh dengan air dan daun bidara atau seumpamanya, kemudian dibasuh bahagian kanan tubuh, diikuti bahagian kiri. Proses ini diulang untuk kali kedua dan ketiga. Setiap ulangan, tukang mandi melalukan tangan ke perutnya. Jika keluar sesuatu, ia dibersihkan dan tempatnya disumbat dengan kapas atau seumpamanya. Jika masih tidak tersumbat, gunakan tanah liat khas atau kaedah moden seperti pelekat perubatan dan seumpamanya.
Keempat: Tatacara Mandi Jenazah.
Selepas itu, wuduk diulangi lagi. Jika dengan tiga kali basuhan belum bersih, maka ditambah menjadi lima kali atau tujuh kali. Kemudian jenazah dikeringkan dengan kain. Wangian diletakkan di bahagian lipatan tubuh dan tempat sujudnya. Jika seluruh tubuhnya dilumuri dengan wangian, itu lebih baik. Kain kafan juga dibalutkan dengan asap gaharu. Jika si mati mempunyai misai atau kuku yang panjang, ia dipotong, tetapi jika dibiarkan, tidak mengapa. Rambut jenazah tidak disikat, auratnya tidak dicukur, dan ia juga tidak dikhitan kerana tiada dalil yang menyuruh berbuat demikian. Bagi jenazah perempuan, rambutnya dijalin menjadi tiga kepang dan diletakkan ke belakang.
Kelima: Tatacara Mengkafankan Jenazah
Yang terbaik, dikafankan jenazah lelaki dalam tiga helai kain putih tanpa ada baju atau serban, sebagaimana yang dilakukan kepada Nabi SAW. Jenazah dililit dengan kain tersebut. Jika jenazah dikafankan dengan baju, kain sarung, dan satu lagi kain pembalut, itu juga dibolehkan.
Bagi jenazah perempuan, disunatkan dikafankan dengan lima helai kain: baju, tudung, kain sarung, dan dua helai kain pembalut. Jenazah anak lelaki boleh dikafankan dengan satu hingga tiga helai kain, manakala anak perempuan dikafankan dengan baju dan dua helai kain pembalut.
Yang wajib bagi semua jenazah adalah sekurang-kurangnya sehelai kain yang menutupi seluruh tubuh jenazah. Namun, jika si mati adalah seorang yang sedang dalam keadaan iḥrām (berniat haji atau umrah), jenazahnya hendaklah dimandikan dengan air dan daun bidara, dan dikafankan dengan kain sarung dan selendangnya atau yang seumpamanya. Kepala dan wajahnya tidak ditutupi, dan tidak diberi wangian kerana pada hari kiamat dia akan dibangkitkan dalam keadaan bertalbiah, sebagaimana disebutkan dalam hadis Nabi SAW. Jika si mati adalah perempuan yang sedang dalam keadaan iḥrām, dia dikafankan seperti jenazah perempuan yang lain, tetapi tidak diberi wangian, dan wajahnya tidak ditutup dengan niqab, begitu juga dengan tangannya tidak ditutupi dengan sarung tangan. Namun, wajah dan tangannya akan ditutup dengan kain kafan yang membalut tubuhnya, sebagaimana telah dijelaskan dalam tatacara mengkafankan jenazah perempuan.
Keenam: Yang Paling Berhak Memandikan dan Mengimamkan Solat Jenazah
Hak memandikan jenazah adalah kepada wasi (jika ada), kemudian bapa, kemudian datuk, diikuti oleh saudara terdekat yang terdiri daripada waris lelaki.
Bagi jenazah perempuan, yang paling berhak memandikannya adalah orang yang telah diwasiatkan olehnya. Jika tiada, maka ibunya, kemudian neneknya, dan seterusnya ahli keluarga perempuan terdekat. Suami dan isteri juga boleh memandikan jenazah pasangannya, kerana Sayyidina Abu Bakr RA dimandikan oleh isterinya, dan Sayyidina Ali RA memandikan isterinya, Fatimah RA.
Ketujuh: Tatacara Solat Jenazah
Dalam solat jenazah, dilakukan empat kali takbir. Setelah takbir pertama, dibacakan surah al-Fatihah. Jika disertakan dengan surah pendek atau satu atau dua ayat, itu lebih baik, berdasarkan hadis sahih daripada Ibnu Abbas RA. Kemudian, takbir kedua diikuti dengan selawat kepada Nabi SAW, seperti bacaan dalam tasyahud. Setelah itu, takbir ketiga, lalu dibacakan doa seperti: "Allāhumma ighfir li-ḥayyinā wa mayyitinā, wa shāhidinā wa ghā'ibinā, wa ṣaghīrinā wa kabīrinā, wa dhakarinā wa unthānā. Allāhumma man aḥyaytahu minnā fa-aḥyihi ʿala al-Islām, wa man tawaffaytahu minnā fa-tawaffahu ʿala al-Īmān. Allāhumma ighfir lahu, warḥamhu, wa ʿāfihi, waʿfu ʿanhu, wa akrim nuzulahu, wa wassiʿ mudkhalahu, waghhsilhu bil-mā'i wath-thalji wal-barad, wa naqqihi minal-khaṭāyā kamā yunaqqa ath-thawbu al-abyaḍ min ad-danas. Wa abdilhu dāran khayran min dārihi, wa ahlan khayran min ahlihi, wa adkhilhu al-jannata, wa a'idhhu min ʿadhāb al-qabri wa ʿadhāb an-nār, wafsah lahu fī qabrihi, wa nawwir lahu fīhi. Allāhumma lā taḥrimnā ajrahu wa lā tuḍillanā baʿdahu." Maksudnya: Ya Allah, ampunilah orang yang masih hidup di kalangan kami, juga yang telah mati, yang hadir atau yang tidak hadir, yang kecil atau yang besar, yang lelaki atau yang perempuan. Ya Allah, sesiapa yang Engkau panjangkan usianya dari kalangan kami, maka hidupkanlah dia dalam keadaan beragama Islam, dan sesiapa yang Engkau wafatkan dari kalangan kami, maka wafatkanlah dia dalam keadaan beriman. Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, selamatkanlah dia, maafkanlah kesalahannya, muliakan tempat kembalinya, lapangkan kuburnya, basuhlah dia dengan air, salju, dan embun, bersihkanlah dia dari dosa-dosanya sebagaimana pakaian putih dibersihkan dari kotoran. Gantikanlah untuknya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, dan masukkanlah dia ke dalam syurga. Lindungilah dia daripada azab kubur dan azab neraka. Luaskanlah kuburnya dan berikanlah cahaya di dalamnya. Ya Allah, janganlah Engkau haramkan kami daripada pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami setelah kepergiannya. Kemudian, setelah takbir keempat, salam diucapkan sekali ke arah kanan.
Disunatkan mengangkat tangan setiap kali takbir. Jika itu jenazah wanita, dikatakan: "Allāhumma’ghfir lahā..." Jika dua orang, dikatakan: "Allāhumma’ghfir lahumā..." Jika lebih ramai, dikatakan: "Allāhumma’ghfir lahum...". Jika jenazah itu bayi yang belum baligh, tidak perlu dimohonkan keampunan, tetapi dibaca doa khusus untuk anak kecil. “Allāhumma ajʿalhu farṭan wa dhukhra li-wālidayhi, wa shafīʿan mujāban. Allāhumma thaqqil bihī mawāzīnahumā, wa aʿẓim bihī ujūrahumā, wa alḥiqhu bi-ṣāliḥ salafil-muʾminīn, wajʿalhu fī kafālati Ibrāhīm, wa qihi bi-raḥmatika ʿadhābal-jaḥīm.” Maksudnya: Ya Allah, jadikanlah dia sebagai pendahulu (pemberi syafaat) dan pahala simpanan bagi kedua ibu bapanya, jadikanlah dia sebagai pemberi syafaat yang diterima. Ya Allah, beratkanlah timbangan kebaikan kedua ibu bapanya, besarkanlah pahala mereka, dan gabungkanlah dia dengan orang-orang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman. Jadikanlah dia dalam penjagaan Ibrahim AS, dan lindungilah dia dengan rahmat-Mu daripada azab neraka jahanam.
Sunnahnya, imam berdiri di hadapan kepala jenazah lelaki dan di hadapan pertengahan tubuh jenazah perempuan. Jika terdapat beberapa jenazah sekaligus, jenazah lelaki diletakkan lebih dekat kepada imam, diikuti oleh jenazah perempuan yang lebih dekat ke arah kiblat. Jika terdapat anak kecil, jenazah lelaki kecil diletakkan lebih dekat kepada imam, diikuti perempuan kecil. Posisi kepala anak lelaki sejajar dengan kepala lelaki dewasa, dan pertengahan tubuh perempuan sejajar dengan kepala lelaki dewasa. Semua makmum berdiri di belakang imam, kecuali jika terdapat seorang sahaja yang tidak menemukan tempat di belakang imam, dia boleh berdiri di sebelah kanan imam.
Kelapan: Tatacara Pengebumian Jenazah
Disyariatkan untuk menggali kubur sedalam separuh tubuh manusia, dan disediakan ruang lahad (ceruk dalam kubur yang menghadap kiblat). Mayat diletakkan di dalam lahad di atas sisi kanannya, dan ikatan kain kafannya dilonggarkan tetapi tidak ditanggalkan. Wajahnya tidak dibuka, sama ada jenazah itu lelaki atau perempuan. Kemudian, jenazah ditutup dengan batu bata (labin) dan ditutupi dengan tanah liat supaya tetap dan terlindung dari tanah. Jika tidak ada batu bata, boleh menggunakan papan, batu, atau kayu untuk melindungi jenazah daripada tanah. Setelah itu, tanah ditaburkan ke atas kubur. Disunatkan ketika menaburkan tanah untuk mengucapkan: Bismillāh wa 'alā millati Rasūlillāh (Dengan nama Allah, dan di atas agama Rasulullah). Kubur dinaikkan setinggi satu jengkal, dan jika boleh, ditaburi batu kerikil serta disiram dengan air.
Disunatkan juga bagi para pengiring jenazah untuk berdiri di sisi kubur dan mendoakan jenazah, kerana Nabi SAW apabila selesai mengebumikan jenazah, baginda berdiri di sisi kubur dan berkata: "Mohonkanlah ampunan untuk saudara kamu, dan mintalah kepada Allah agar dia diberi keteguhan, kerana sekarang dia sedang disoal." [8] [8] Riwayat Abū Dāwūd (no. 3221) dan al-Ḥākim (3/399).
Kesembilan: Dibolehkan bagi sesiapa yang belum sempat solat jenazah sebelum pengebumian untuk menunaikan solat jenazah di atas kubur dalam tempoh sebulan atau kurang,
berdasarkan amalan Nabi SAW. Namun, jika lebih dari sebulan, tidak disyariatkan solat di atas kubur kerana tidak pernah diriwayatkan Nabi SAW menunaikan solat jenazah di atas kubur setelah sebulan.
Kesepuluh: Tidak dibenarkan bagi keluarga si mati untuk menyediakan makanan bagi orang ramai setelah pengebumian. Dalilnya adalah perkataan sahabat yang mulia, Jarīr bin Abdullah al-Bajali RA: "Kami menganggap berkumpul di rumah keluarga si mati dan penyediaan makanan setelah pengebumian sebagai sebahagian daripada perbuatan meratapi kematian." [9] [Riwayat Aḥmad dengan sanad ḥasan] [9] Riwayat Ibn Mājah (no. 1612) dan al-Imām Aḥmad (2/204).
Namun, tidak mengapa jika keluarga menyediakan makanan untuk mereka sendiri atau tetamu yang datang. Disyariatkan juga bagi saudara-mara dan jiran tetangga untuk menyediakan makanan kepada keluarga si mati, kerana Nabi SAW ketika menerima berita kematian Jaafar bin Abi Talib RA, baginda memerintahkan keluarganya untuk menyediakan makanan bagi keluarga Jaafar, dengan berkata: "Sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang menyibukkan mereka." [10] [10] Riwayat Muslim (no. 976), al-Nasā’ī (no. 2034), Abū Dāwūd (no. 3234), Ibn Mājah (no. 1569), dan Imām Aḥmad (2/441).
Tidak menjadi kesalahan juga jika keluarga si mati menjemput jiran tetangga atau orang lain untuk makan makanan yang dihadiahkan kepada mereka, dan hal ini tidak mempunyai batasan waktu tertentu berdasarkan syariat yang kita ketahui.
Kesebelas: Tidak dibenarkan bagi wanita berkabung atas kematian sesiapa selain suaminya lebih daripada tiga hari.
Kerana wanita wajib berkabung atas kematian suaminya selama 4 bulan 10 hari. Kecuali jika dia hamil, maka tempoh berkabung sehingga melahirkan anaknya; berdasarkan hadis sahih daripada Nabi SAW.
Bagi lelaki pula, tidak dibolehkan berkabung atas kematian ahli keluarga atau orang lain.
Kedua Belas: Disyariatkan Bagi Lelaki untuk Ziarah Kubur dari Masa ke Masa Untuk Mendoakan Kebaikan Dan Kerahmatan Serta Mengingati Kematian
Nabi SAW bersabda: "Ziarahilah kubur, kerana ia mengingatkan kalian kepada akhirat." [11] (Riwayat Muslim) [11] Riwayat Ibn Mājah (no. 1569) dan dinilai sahih oleh al-Albānī.
Nabi SAW juga mengajarkan kepada para sahabat untuk mengucapkan doa ini ketika menziarahi kubur: Nabi SAW juga mengajarkan kepada para sahabat untuk mengucapkan doa ini ketika menziarahi kubur: "Assalāmu ʿalaykum ahla-d-diyāri min al-muʾminīna wal-muslimīn, wa innā in shāʾallāhu bikum lāḥiqūn, nasʾalullāha lanā walakumu-l-ʿāfiyah, yarḥamu-llāhu-l-mutaqaddimīna minnā wal-mustaʾkhirīn." [19] Maksudnya: Salam sejahtera atas kamu wahai penghuni-penghuni perkampungan ini daripada kalangan orang-orang beriman dan muslimin. Dan kami, insya Allah, akan menyusul kalian. Kami memohon kepada Allah keselamatan untuk kami dan kalian. Semoga Allah merahmati mereka yang telah mendahului kami dan yang datang kemudian. [12] Riwayat Muslim (no. 975).
Wanita tidak dibenarkan menziarahi kubur kerana Rasulullah SAW melaknat para wanita yang menziarahi kubur. Ini kerana dikhuatiri timbul fitnah dan kurangnya kesabaran. Begitu juga, mereka tidak dibenarkan mengikuti jenazah ke tanah perkuburan kerana Rasulullah SAW melarang mereka daripada berbuat demikian. Tetapi solat jenazah di masjid atau di tempat solat (musolla) adalah disyariatkan kepada semua jantina, lelaki dan wanita.
Ini adalah akhir daripada apa yang dapat dikumpulkan. Selawat dan salam dipanjatkan kepada Nabi kita Muhammad, kaum kerabat baginda dan sahabat handai baginda.
Related books
All books
نبذة في العقيدة الإسلامية (شرح أصول الإيمان)75 bahasaالإسلاميةالإيماننبذة في العقيدة الإسلامية (شرح أصول الإيمان)
رسالة لطيفة تتناول أصول العقيدة الإسلامية بأسلوب مبسط وميسر. تبدأ بمقدمة حول أهمية علم التوحيد، كونه أشرف العلوم وأجلّها، ثم تتناول مفهوم الدين الإسلامي وأركانه الخمسة: الشهادتان، والصلاة، والزكاة، والصوم، والحج. كما يشرح الإيمان بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، واليوم الآخر، ويؤكد على أهمية التوحيد في بناء دين المسلم بشكل سليم. الكتاب يهدف إلى تعزيز الفهم الصحيح للعقيدة الإسلامية وتطبيقها في حياة المسلم اليومية.
Latar Belakang Ringkas Berkenaan Islam Menurut al-Quran dan al-Sunnah71 bahasaLatar Belakang Ringkas Berkenaan Islam Menurut al-Quran dan al-Sunnah
Islam Buku penting ini memuatkan pengenalan ringkas berkenaan agama Islam, menyerlahkan secara ringkas prinsip, ajaran dan keindahan agama ini, berdasarkan sumber utama, iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi ﷺ. Buku ini ditujukan kepada setiap individu, sama ada beragama Islam atau tidak, dengan bahasa masing-masing, pada setiap masa, di setiap tempat, tanpa mengira keadaan. (Edisi Disertakan Dengan Perincian Dalil Daripada al-Quran dan al-Sunnah.) 1. Islam adalah mesej Allah kepada semua manusia, yang kekal merentasi masa dan merupakan yang terakhir daripada segala mesej Ilahi. Islam adalah mesej…
Risalah Ringkas Berkenaan Islam Menurut Quran dan Sunnah61 bahasaRisalah Ringkas Berkenaan Islam Menurut Quran dan Sunnah
Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Mengasihani Islam (Edisi ringkas tanpa rincian dalil.) [1] [1] Terdapat edisi lain bagi risalah ini yang disertakan dengan rincian dalil Quran dan Sunnah bagi setiap fakta yang dinyatakan; dapatkan di pautan: https://islamhouse.com/ar/books/2830071 Risalah penting ini memuatkan pengenalan ringkas berkenaan agama Islam, menyerlahkan secara ringkas prinsip, ajaran dan keindahan agama ini, berdasarkan sumber utama, iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi ﷺ. Risalah ini ditujukan kepada setiap individu, sama ada beragama Islam atau tidak, dengan bahasa masing-masing,…
Tiga Dasar Utama dan Dalil-Dalilnya73 bahasaTiga Dasar Utama dan Dalil-Dalilnya
Buku ini membahaskan prinsip-prinsip asas yang wajib dipelajari oleh seorang Muslim: Ilmu berkaitan Allah, agama Islam dan Nabi Muhammad ﷺ, serta menekankan kepentingan prinsip-prinsip ini dalam membina iman dan amal soleh berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan alSunnah.