Skip to content
Akidah Yang Sahih dan Pembatalnya

Akidah Yang Sahih dan Pembatalnya

Karangan Dengan nama Allah yang Maha Penyayang, lagi Maha Mengasihani Pengantar Segala puji hanya bagi Allah semata; selawat dan salam ke atas Rasul yang tiada nabi selepasnya, juga ke atas kerabat dan para sahabat baginda.

Language: lang_ms
Prepared by: Samāḥat al-Shaykh al-Imām ʿAbdul ʿAzīz bin Bāz
Version: 1.0

Akidah Yang Sahih dan Pembatalnya

Karangan

Samāḥat al-Shaykh al-Imām ʿAbdul ʿAzīz bin Bāz

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang, lagi Maha Mengasihani

Pengantar

Segala puji hanya bagi Allah semata; selawat dan salam ke atas Rasul yang tiada nabi selepasnya, juga ke atas kerabat dan para sahabat baginda.

Oleh sebab akidah yang benar adalah asas kepada agama Islam dan landasan utama agama, saya melihat bahawa ia wajar dijadikan sebagai topik bagi ceramah ini. Telah diketahui melalui dalil-dalil syarak daripada al-Quran dan sunnah bahawa segala amalan dan perkataan hanya akan sah dan diterima jika berasal daripada akidah yang benar. Sekiranya akidah tidak benar, maka akan terbatal segala amalan dan perkataan yang terbit daripada akidah yang tidak benar tersebut, sebagaimana firman Allah Ta'ala: "Dan sesiapa yang kufur kepada keimanan, maka sesungguhnya amalan-amalannya terbatal, dan dia pada hari akhirat termasuk orang-orang yang rugi." (Surah al-Māʾidah: 5) Allah juga berfirman: "Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada orang-orang sebelummu: Jika engkau mempersekutukan (Allah), nescaya akan terbatal segala amalanmu, dan engkau pasti termasuk orang-orang yang rugi." (Surah al-Zumar: 65) Ayat-ayat mengenai perkara ini sangat banyak. Dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah telah menegaskan bahawa akidah yang benar terlahir daripada: i. keimanan kepada Allah, ii. keimanan dengan malaikat-Nya, iii. keimanan dengan kitab-kitab-Nya, iv. keimanan dengan rasul-rasul-Nya, v. keimanan dengan hari akhirat, vi. keimanan dengan takdir, baik dan buruknya. Enam perkara ini adalah asas-asas akidah yang benar, yang diturunkan dalam Kitab Allah yang mulia dan yang diutuskan kepada Rasul-Nya, Muhammad SAW. Segala perkara ghaib yang wajib dipercayai serta semua yang diberitakan oleh Allah dan Rasul-Nya SAW juga terbit daripada asas-asas ini. Terdapat banyak dalil dalam al-Quran dan al-Sunnah yang menegaskan berkenaan asas-asas ini; antaranya ialah firman Allah SWT: "Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah sesiapa yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab, dan para nabi." (Surah al-Baqarah: 177) Dan firman Allah SWT: "Rasul itu telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya, (mereka berkata), 'Kami tidak membezakan seorang pun antara rasul-rasul-Nya'." (Surah al-Baqarah: 285). Dan firman Allah SWT lagi: "Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah, Rasul-Nya, kitab yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya, dan kitab yang telah diturunkan sebelum itu. Dan sesiapa yang kufur kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari akhirat, maka sesungguhnya dia telah tersesat dengan kesesatan yang jauh." (Surah al-Nisāʾ: 136) Dan firman Allah SWT: "Tidakkah kamu tahu bahawa Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya itu semua tertulis dalam sebuah kitab (Lawh Mahfuz). Sesungguhnya hal itu bagi Allah amatlah mudah." (Surah al-Ḥajj: 70) Terdapat banyak hadis sahih yang menunjukkan asas-asas ini. Antaranya ialah hadis sahih yang terkenal, diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih beliau daripada Amirul Mukminin, ʿUmar bin al-Khaṭṭāb RA, bahawa Jibrail AS bertanya kepada Nabi SAW tentang iman, lalu baginda bersabda: “Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat, dan beriman kepada takdir baik dan buruknya.” [1] Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Bukhārī dan Muslim daripada Abu Hurairah RA. Enam asas ini menjadi akar yang terbit di atasnya segala iktikad yang wajib diimani seorang Muslim berkenaan Allah, hari akhirat, dan perkara-perkara ghaib lain. [1] Ṣaḥīḥ Muslim (8), Jāmiʿ al-Tirmidhī (2610), Sunan al-Nasāʾī (4990), Sunan Abū Dāwud (4695), Sunan Ibn Mājah (63) dan Musnad Aḥmad (1/27).

Beriman Dengan Allah SWT

Iaitu keimanan bahawa hanya Allah sahaja yang berhak disembah.

Termasuk sebahagian daripada keimanan kepada Allah SWT adalah beriman bahawa Dia adalah Tuhan yang hak dan layak disembah, tanpa menyekutukan-Nya dengan apa-apa pun. Ini kerana Allah adalah Pencipta sekalian makhluk, yang memberikan kebaikan kepada mereka, yang menyediakan rezeki mereka, yang mengetahui rahsia dan perkara yang nyata dari mereka, dan Dia berkuasa memberi ganjaran kepada yang taat serta menghukum yang derhaka. Untuk tujuan ibadah ini, Allah menciptakan jin dan manusia serta memerintahkan mereka menyembah-Nya, sebagaimana firman-Nya: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Surah al-Dhāriyāt: 56) Aku tidak menginginkan rezeki daripada mereka dan Aku tidak ingin mereka memberi Aku makan. (Surah al-Dhāriyāt: 57) Sesungguhnya Allah, Dialah Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.” (Surah al-Dhāriyāt: 58) Allah SWT juga berfirman: "Wahai sekalian manusia, sembahlah Tuhan kamu yang menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu menjadi bertakwa. (Surah al-Baqarah: 21) Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu, dan langit sebagai bangunan; dan menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan itu buah-buahan sebagai rezeki untukmu; oleh itu, janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah: 22) Allah mengutus para rasul dan menurunkan kitab-kitab untuk menjelaskan hakikat tauhid ibadah ini dan menyeru kepadanya, serta memperingatkan berkenaan perkara yang menyalahinya, sebagaimana firman-Nya: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus seorang rasul dalam setiap umat (dengan berkata): 'Sembahlah Allah dan jauhilah taghut (syaitan dan segala yang disembah selain Allah)'." (Surah al-Naḥl: 36) Allah SWT juga berfirman: “Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu (Muhammad), melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa tiada tuhan selain Aku; maka sembahlah Aku.” (Surah al-Anbiyāʾ: 25) Allah SWT juga berfirman: "Alif, Lam, Ra'. Ini adalah kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi dan dijelaskan secara terperinci dari sisi (Allah) yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. "Agar kamu tidak menyembah selain Allah. Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira dari-Nya untukmu.” (Surah Hūd: 1-2) Hakikat ibadah ini adalah mengesakan Allah SWT dalam semua bentuk ibadah seperti doa, takut, harapan, solat, puasa, penyembelihan, nazar, dan lain-lain, dengan penuh kerendahan diri kepada-Nya, serta perasaan rindu dan takut kepada-Nya, disertai cinta yang sempurna kepada-Nya. Sebahagian besar al-Quran diturunkan bagi menjelaskan prinsip agung ini, seperti firman-Nya: “Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Ingatlah, hanya hak Allah sahaja segala ibadah yang murni.” (Surah al-Zumar: 2-3). Dan firman Allah SWT lagi: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia.” (Surah al-Isrāʾ: 23) dan firman Allah, “Maka berdoalah kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya, meskipun orang-orang kafir membenci.” (Surah Ghāfir: 14) Dalam Saḥīḥ al-Bukhārī dan Muslim, daripada Muʿādh RA, Nabi SAW bersabda: “Hak Allah ke atas hamba-Nya ialah mereka menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun.” [2] [2] Saḥīḥ al-Bukhārī (2701), Saḥīḥ Muslim (30).

Beriman dengan Semua Lima Rukun Islam yang Diwajibkan Allah

Sebahagian daripada keimanan kepada Allah juga adalah beriman dengan semua kewajipan dan fardu yang telah diperintahkan kepada hamba-Nya, iaitu rukun Islam yang lima: [1] Bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul-Nya, [2] Mendirikan solat, [3] Menunaikan zakat, [4] Berpuasa di bulan Ramadan, [5] Melaksanakan haji bagi yang mampu. Begitu juga kewajipan-kewajipan lain yang ada dalam syariat yang suci ini.

Dalam rukun-rukun ini, yang paling utama dan paling agung ialah bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul-Nya. Persaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah mengandungi makna mengikhlaskan ibadah hanya kepada Allah dan menafikan segala bentuk penyembahan kepada selain-Nya. Inilah makna sebenar “La ilaha illallah”, iaitu “tiada yang berhak disembah melainkan Allah”. Segala sesuatu yang disembah selain Allah, sama ada manusia, malaikat, jin, atau yang lain, adalah penyembahan yang batil, sedangkan Tuhan yang berhak untuk disembah hanyalah Allah, sebagaimana firman-Nya: “Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah, Dialah (Tuhan) yang hak, dan sesungguhnya apa sahaja yang mereka seru selain daripada Allah, itulah yang batil.” (Surah al-Ḥajj: 62) Telah dijelaskan bahawa Allah SWT menciptakan jin dan manusia untuk tujuan ibadah ini, serta memerintahkan mereka untuk menunaikannya. Allah telah mengutus rasul-rasul-Nya dan menurunkan kitab-kitab-Nya dengan tujuan ini. Oleh itu, renungilah hal ini dengan mendalam, agar jelas bagimu betapa sebahagian besar umat Islam berada dalam kejahilan yang besar terhadap prinsip yang agung ini, sehingga mereka menyembah selain Allah dan memberikan hak Allah yang murni kepada selain-Nya. Hanya kepada Allah kita memohon pertolongan.

Keimanan bahawa Allah adalah Pencipta dan Pengatur Alam dengan Ilmu dan Kudrat-Nya

Termasuk sebahagian daripada keimanan kepada Allah SWT ialah beriman bahawa Dia adalah Pencipta alam, Pengatur segala urusan mereka, dan yang Menguasai mereka dengan ilmu dan kekuasaan-Nya sebagaimana yang Dia kehendaki. Allah adalah Pemilik dunia dan akhirat serta Tuhan bagi semua makhluk. Tidak ada pencipta selain-Nya, dan tidak ada Tuhan selain-Nya. Dia mengutus para rasul dan menurunkan kitab-kitab untuk memperbaiki hamba-hamba-Nya serta menyeru mereka kepada perkara yang membawa keselamatan dan kebaikan bagi mereka di dunia dan akhirat. Allah SWT tidak mempunyai sekutu dalam semua perkara tersebut, sebagaimana firman-Nya: “Allah Pencipta segala sesuatu, dan Dia Maha Mengawasi segala sesuatu.” (Surah al-Zumar: 62) Allah juga berfirman: "Sungguh! Tuhan kalian adalah Allah yang menciptakan seluruh langit dan bumi dalam tempoh enam masa; kemudian Dia bersemayam di atas Singgahsana; Dia menirai malam dengan siang, saling berkejaran pantas; matahari, bulan dan bintang semuanya di bawah perintah-Nya. Ketahuilah! Hak-Nya sahaja penciptaan dan perintah; maha berkat Allah, Tuhan sekalian alam." (Surah al-Aʿrāf: 54)

Beriman Dengan Nama-Nama dan Sifat-sifat Allah, Tanpa Taḥrīf, Taʿṭīl, Takyīf dan Tamthīl

Termasuk dalam iman kepada Allah adalah beriman kepada nama-nama-Nya yang indah (al-Asmāʾ al-Ḥusnā) dan sifat-sifat-Nya yang luhur, sebagaimana yang disebutkan dalam Kitab-Nya yang mulia dan melaui Rasul-Nya yang amanah tanpa menyelewengkan (tahrif), menafikan (taʿṭīl), bertanya bagaimana (takyīf), atau menyamakan dengan makhluk (tamthīl). Bahkan, wajib untuk menerima sifat-sifat ini sebagaimana ia datang tanpa bertanya bagaimana. Begitu juga beriman dengan makna-makna agung yang terkandung dalam sifat-sifat ini, yang merupakan sifat-sifat Allah SWT yang wajib disifatkan kepada-Nya dengan cara yang sesuai dengan keagungan-Nya, tanpa menyerupai makhluk-Nya dalam apa jua sifat-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT: "Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya, dan Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.” (Surah al-Shūrā: 11) Allah SWT juga berfirman: “Maka janganlah kamu membuat perumpamaan-perumpamaan bagi Allah. Sesungguhnya Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Naḥl: 74) Inilah akidah Ahlus Sunnah wal-Jamaah dari kalangan para sahabat Rasulullah SAW dan pengikut mereka dengan ihsan. Akidah ini telah dinukilkan oleh Abu al-Ḥasan al-Ashʿari dalam kitabnya Maqālāt al-Islāmiyyīn sebagai akidah ahli hadis dan Sunnah. Ia juga disampaikan oleh ulama lain daripada kalangan ahli ilmu dan iman.

Al-Awzāʿī RA berkata: Imam al-Zuhrī dan Mak-ḥūl pernah ditanya tentang ayat-ayat sifat, lalu mereka berkata: “Akuilah sifat-sifat tersebut sebagaimana ia datang.” Al-Walīd bin Muslim RH berkata: Mālik, al-Awzāʿī, al-Layth bin Saʿd, dan Sufyān al-Thawrī telah ditanya mengenai hadis-hadis berkaitan dengan sifat Allah. Mereka semua menjawab: “Tetapkan ia sebagaimana ia datang, tanpa bertanya 'bagaimana?'.” Al-Awzāʿī RH juga berkata: “Dahulu, ketika para tabiin masih ramai, kami selalu menyebut: Allah SWT berada di atas Singgahsana-Nya; kami beriman dengan segala yang dinyatakan dalam sunnah tentang sifat-sifat Allah.” Apabila Rabīʿah bin Abu ʿAbd al-Raḥman, guru kepada Imam Mālik RH, ditanya tentang istiwa' (bersemayam), beliau menjawab: “Istiwa' itu diketahui maknanya, bagaimana bersemayam itu tidak dapat difikirkan. Allah menyampaikan-Nya kepada Nabi-Nya, Nabi-Nya menyampaikan kepada kita dengan terang. Tugas kita, mengakui kebenarannya.” Apabila Imam Mālik RH ditanya berkenaan sifat bersemayam, beliau berkata: “Makna bersemayam itu sudah diketahui; bagaimana bersemayam Allah itu tidak diketahui; beriman dengan sifat ini adalah wajib; bertanya mengenainya adalah bid’ah.” Kemudian beliau berkata kepada penyoal, “Kamu ini orang berniat jahat,” lalu beliau meminta lelaki tersebut dihalau.

Maksud yang sama juga diriwayatkan daripada bonda kita, Umm Salamah RA. Imam Ibn al-Mubārak RA pula berkata: “Kami mengenali Tuhan kami bahawa Dia berada di atas langit-Nya, di atas Singgahsana-Nya, terpisah daripada makhluk-Nya.” Nukilan para imam dalam bab ini banyak sekali sehingga tidak mungkin disebutkan semuanya dalam kuliah ini. Bagi sesiapa yang ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut, bolehlah merujuk kepada karya-karya yang ditulis oleh para ulama Ahli Sunnah dalam bab ini, seperti Kitab al-Sunnah oleh Abdullah bin Imam Aḥmad, Kitab al-Tawḥīd oleh Imam Ibn Khuzaymah, Kitab al-Sunnah oleh Abū al-Qāsim al-Lālakaʾī, Kitab al-Sunnah oleh Abu Bakr Ibn Abī ʿĀṣim, dan juga jawapan Shaykh al-Islam Ibn Taymiyyah kepada penduduk Ḥamāh, yang merupakan sebuah jawapan yang sangat bermanfaat. Di dalamnya, beliau menerangkan akidah Ahli Sunnah dan memetik banyak pandangan mereka serta dalil-dalil naqli dan aqli yang menunjukkan kebenaran pegangan Ahli Sunnah, serta menolak pandangan pihak yang menyelisih. Begitu juga dengan risalah beliau yang berjudul al-Tadmuriyyah, yang memperincikan permasalahan ini dengan dalil-dalil wahyu dan rasional, serta bantahan terhadap kelompok menyeleweng. Penjelasan beliau begitu terang menunjukkan kebenaran dan menghancurkan kebatilan bagi sesiapa yang mencari kebenaran dengan niat yang baik dan keinginan untuk mengetahui kebenaran. Setiap orang yang menyelisihi Ahli Sunnah dalam perkara akidah ini, terutama dalam bab nama-nama dan sifat-sifat Allah, pasti akan tergelincir dalam kesalahan. Mereka tidak hanya bertentangan dengan dalil-dalil naqli (wahyu), tetapi juga dalil-dalil aqli (logik), dan sering kali jatuh dalam kontradiksi yang jelas dalam apa yang mereka tetapkan dan nafikan.

Sementara Ahli Sunnah wal-Jamaah, mereka menetapkan bagi Allah SWT segala sifat yang Dia tetapkan bagi diri-Nya dalam Kitab-Nya, atau yang ditetapkan oleh Rasul-Nya Muhammad SAW dalam hadis yang sahih. Mereka menetapkan sifat-sifat tersebut tanpa menyerupakan-Nya (tashbīh), mereka menyucikan-Nya daripada penyerupaan dengan makhluk-Nya, tanpa menafikan sifat-sifat-Nya (taʿṭīl). Mereka selamat daripada sebarang kontradiksi, dan menerima keseluruhan dalil. Ini adalah adatnya bagi sesiapa yang berpegang teguh kepada kebenaran yang dibawa oleh para rasul-Nya, serta berusaha dengan sepenuh daya dan ikhlas dalam mencarinya. Allah SWT akan memberi taufik kepada mereka dan menzahirkan hujah mereka. Sebagaimana firman Allah SWT: “Bahkan, Kami lontarkan kebenaran atas kebatilan, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta kebatilan itu lenyap.” (Surah al-Anbiyāʾ: 18) Allah SWT juga berfirman: “Mereka tidak mendatangkan kepadamu sesuatu perumpamaan melainkan Kami mendatangkan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang lebih baik.” (Surah al-Furqān: 33) Imam Ibn Kathir RH dalam karya tafsirnya yang masyhur itu, menyebutkan penjelasan akidah yang bermanfaat ketika menjelaskan firman Allah SWT: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, kemudian Dia bersemayam di atas Singgahsana.” (Surah al-Aʿrāf: 54) Kita akan nukilkan penjelasannya di sini. Beliau berkata: Terdapat sangat banyak pendapat manusia yang diutarakan dalam bab ini; dan ini bukanlah tempat yang sesuai untuk menjelaskannya. Hanya sahaja, dalam bab ini, kita meniti jalanan para Salaf Soleh, seperti Imam Mālik, al-Awzāʿī, Sufyān al-Thawrī, al-Layth bin Saʿd, Imam al-Shāfiʿī, Imam Aḥmad, Isḥāq bin Rāhūyah, dan lain-lain imam kaum Muslimin, yang terdahulu sehingga kini. Manhaj mereka: Mengimani sifat-sifat Allah ini sebagaimana ia datang, tanpa bertanya ‘bagaimana?’, atau menyerupakannya dengan makhluk, atau menafikannya. Tetapi makna zahir yang pertama kali melintas di otak golongan yang menyerupakan Allah adalah dinafikan daripada-Nya, kerana tiada sebarang makhluk yang menyerupai Allah SWT, tiada apa yang seumpama Dia; dan Dia Maha Mendengar, Maha Melihat. Kesimpulan bab ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Imam Nuʿaym bin Ḥammād, guru kepada Imam al-Bukhārī: “Sesiapa yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya, dia jadi kafir. Tetapi sesiapa yang menafikan sifat yang dinyatakan Allah bagi diri-Nya, juga jadi kafir; bukanlah menyifatkan Allah dengan sifat yang dinyatakan Allah dan Rasul-Nya itu dikira penyerupaan.” Sesiapa yang menetapkan bagi Allah Ta’ala apa yang telah disebutkan dalam ayat-ayat yang jelas dan hadis-hadis yang sahih, sesuai dengan keagungan dan kemuliaan Allah, serta menafikan daripada-Nya segala kekurangan, maka sesungguhnya dia telah menempuh jalan yang benar.

Beriman Dengan Malaikat

Berkenaan tentang beriman dengan malaikat, ia merangkumi iman secara umum dan terperinci. Seorang muslim wajib mengimani bahawa Allah memiliki malaikat yang diciptakan untuk mentaati-Nya. Mereka adalah hamba-hamba yang dimuliakan, yang tidak mendahului-Nya dalam pendapat, dan mereka melaksanakan perintah-Nya. “Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, dan mereka tidak memberi syafaat, kecuali kepada sesiapa yang diredai Allah, dan mereka sentiasa takut kepada-Nya.” (Surah al-Anbiyāʾ: 28) Malaikat terdiri daripada banyak jenis; ada yang ditugaskan untuk memikul Singgahsana, ada yang menjaga syurga dan neraka dan ada yang mencatat amalan manusia. Kita juga beriman secara terperinci dengan nama-nama malaikat yang disebutkan oleh Allah dan Rasul-Nya, seperti Jibril, Mikail, Malik penjaga neraka, dan Israfil yang ditugaskan meniup sangkakala. Nama Israfil ada disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih. Daripada ʿĀʾishah RA, Nabi SAW bersabda: “Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyalaan api dan Adam diciptakan daripada apa yang telah dijelaskan kepada kamu – iaitu tanah.” [3] (Riwayat Muslim) [3] Ṣaḥīḥ Muslim (2996) dan Ahmad (6/153)

Beriman Dengan Kitab

Demikian juga, dalam hal iman kepada kitab-kitab Allah. Kita wajib beriman secara umum bahawa Allah SWT telah menurunkan kitab-kitab kepada para nabi dan rasul-Nya untuk menerangkan kebenaran-Nya dan mengajak manusia kepada-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT: “Sungguh, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata, dan Kami turunkan bersama mereka Kitab dan neraca supaya manusia dapat berlaku adil.” (Surah al-Ḥadīd: 25) Allah SWT juga berfirman: “Manusia itu dahulu adalah umat yang satu, lalu mereka berselisih. Maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan, dan Dia menurunkan bersama mereka kitab membawa kebenaran untuk para nabi mengadili antara manusia tentang apa yang mereka perselisihkan.” (Surah al-Baqarah: 213).

Kita juga beriman secara terperinci dengan kitab-kitab yang disebutkan oleh Allah, seperti Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran. Al-Quran adalah yang terbaik dan penutup kitab-kitab tersebut, ia mengawal (memelihara) serta membenarkan kitab-kitab sebelumnya. Al-Quran merupakan kitab yang wajib diikuti dan dijadikan pedoman oleh seluruh umat, bersama dengan sunnah yang sahih daripada Rasulullah SAW, kerana Allah SWT mengutus Rasul-Nya Muhammad SAW sebagai rasul untuk seluruh manusia dan jin, dan Dia menurunkan Al-Quran kepadanya untuk dijadikan hukum antara mereka. Al-Quran juga merupakan penawar bagi hati, penjelasan bagi segala sesuatu, serta petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Sebagaimana firman Allah SWT: “Dan ini adalah kitab yang Kami turunkan, kitab yang diberkati, maka ikutilah ia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.” (Surah al-Anʿām: 155) Allah SWT juga berfirman: “Dan Kami turunkan kepadamu kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu, serta petunjuk, rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” (Surah al-Naḥl: 89) Allah juga berfirman: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kalian semua, yang memiliki langit dan bumi; tiada tuhan selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi, yang beriman kepada Allah dan kata-kata-Nya, dan ikutilah dia agar kalian beroleh petunjuk." (Surah al-Aʿrāf: 158). Ayat-ayat yang berbicara tentang hal ini sangat banyak.

Beriman Dengan Rasul

Begitu juga, dalam hal iman kepada para rasul, kita wajib beriman secara umum dan terperinci. Kita beriman bahawa Allah SWT telah mengutus kepada hamba-hamba-Nya para rasul, yang menjadi pemberi khabar gembira dan peringatan serta sebagai penyeru kepada kebenaran. Sesiapa yang menyahut seruan mereka, dia akan meraih kebahagiaan, dan sesiapa yang menentang mereka, dia akan kecewa dan menyesal. Rasul yang terakhir dan terbaik adalah Nabi kita Muhammad bin Abdullah SAW, sebagaimana firman Allah SWT: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus seorang rasul dalam setiap umat (dengan berkata): 'Sembahlah Allah dan jauhilah taghut (syaitan dan segala yang disembah selain Allah)'." (Surah al-Naḥl: 36) Allah juga berfirman: “Rasul-rasul itu sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar manusia tidak mempunyai alasan untuk membantah Allah setelah rasul-rasul itu diutus.” (Surah al-Nisāʾ: 165). Allah SWT juga berfirman: "Muhammad itu bukanlah bapa kepada sesiapa pun antara lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup nabi-nabi." (Surah al-Aḥzāb: 40). Dalam masa yang sama, kita beriman secara terperinci kepada para rasul yang disebutkan nama mereka oleh Allah, atau yang disebutkan dalam hadis sahih. seperti Nūḥ, Hūd, Ṣāliḥ, Ibrāhīm, dan yang lainnya. Semoga selawat dan salam Allah dilimpahkan kepada mereka, kepada keluarga mereka, dan kepada para pengikut mereka.

Beriman dengan Hari Akhirat

Berkenaan beriman dengan hari Akhirat,

Ia merangkumi kepercayaan kepada segala perkara yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul-Nya SAW yang akan berlaku selepas mati. Ini termasuklah fitnah kubur, azab dan nikmatnya, serta peristiwa-peristiwa pada hari kiamat seperti huru-hara, titian sirat, timbangan mizan, hisab, balasan, dan catatan amalan. Ada yang akan menerima dengan tangan kanan, ada yang menerimanya dengan tangan kiri atau dari belakangnya. Ia juga meliputi kepercayaan kepada telaga (Ḥawḍ) yang dianugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW, syurga dan neraka, orang beriman melihat Allah dan Allah berbicara kepada mereka. Segala perkara ini disebutkan dalam al-Quran dan sunnah yang sahih, maka kita wajib beriman kepadanya serta mengimani kebenarannya dengan penuh yakin, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dan Rasul-Nya SAW.

Beriman dengan Takdir (Ketentuan Allah)

Keimanan dengan takdir merangkumi kepercayaan kepada empat perkara:

1. Ilmu Allah SWT. Kita wajib mempercayai bahawa Allah SWT mengetahui segala yang telah, sedang dan akan berlaku. Allah mengetahui keadaan hamba-hamba-Nya, rezeki mereka, ajal mereka, amalan mereka dan segala urusan mereka. Tiada apa pun yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah SWT. Allah berfirman: "Bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 231). Allah SWT juga berfirman: “Supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan bahawa Allah meliputi segala sesuatu dengan ilmu-Nya” (Surah al-Ṭalāq: 12).

2. Penulisan Takdir. Allah SWT telah menuliskan semua yang telah ditentukan dan ditetapkan-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT: “Kami mengetahui apa yang berkurang dari bumi mereka, dan di sisi Kami ada sebuah kitab yang mencatat (segala yang berlaku).” (Surah Qāf: 4) Allah juga berfirman: "Dan segala sesuatu telah Kami catat dalam sebuah kitab yang nyata." (Surah Yā Sīn: 12). Allah SWT juga berfirman: "Tidakkah kamu tahu bahawa Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya itu semua tertulis dalam sebuah kitab (Luh Mahfuz). Sesungguhnya perkara itu bagi Allah amat mudah." (Surah al-Ḥajj: 70)

3. Kehendak Allah SWT yang terlaksana. Setiap yang Allah kehendaki pasti terjadi, dan apa yang tidak dikehendaki-Nya, tidak akan terjadi. Sebagaimana firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah melakukan setiap apa yang Dia kehendaki." (Surah al-Ḥajj: 18). Allah SWT juga berfirman: “Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: ‘Jadilah!’ maka terjadilah ia.” (Surah Yā Sīn: 82). Allah SWT juga berfirman: “Dan kamu tidak dapat menghendaki kecuali apabila Allah menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Insān: 30).

4. Allah SWT adalah Pencipta segala sesuatu yang wujud. Tiada pencipta selain Allah, dan tiada Tuhan selain Dia. Allah berfirman: “Allah Pencipta segala sesuatu, dan Dia adalah Pemelihara atas setiap sesuatu.” (Surah al-Zumar: 62). Allah SWT juga berfirman: “Wahai manusia, ingatlah nikmat Allah kepadamu! Adakah pencipta selain Allah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi? Tiada Tuhan selain Dia. Maka, mengapa kamu berpaling?” (Surah Fāṭir: 3). Beriman kepada takdir merangkumi kepercayaan kepada keempat-empat perkara ini menurut Ahli Sunnah wal-Jamaah, berbeza dengan golongan bidaah yang menafikan sebahagian daripada perkara-perkara tersebut.

Keimanan adalah Perkataan dan Perbuatan, Bertambah dengan Ketaatan dan Berkurang dengan Maksiat

Termasuk dalam beriman kepada Allah juga, kepercayaan bahawa iman adalah perkataan dan perbuatan, iman bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan maksiat. Tidak dibenarkan mengkafirkan seorang Muslim kerana dosa selain syirik dan kekufuran, seperti zina, mencuri, memakan riba, minum arak, derhaka kepada ibu bapa, dan dosa-dosa besar lain selagi dia tidak menghalalkan perbuatan tersebut. Allah berfirman: “Sungguh, Allah tidak mengampunkan dosa syirik; dan Dia mengampuni dosa selain syirik bagi sesiapa yang Dia kehendaki.” (Surah al-Nisāʾ: 48). Dan dalam hadis-hadis sahih yang mutawatir, Rasulullah SAW menyebut bahawa Allah akan mengeluarkan dari neraka sesiapa yang ada iman walaupun seberat biji sawi.

Cinta dan Benci kerana Allah, Saling Setia dan Bermusuh kerana Allah

Beriman kepada Allah juga melibatkan cinta dan benci kerana Allah, serta saling setia (wala’) dan bermusuh kerana Allah. Orang yang beriman mencintai dan setia kepada sesama Muslim, dan membenci serta memusuhi orang kafir. Yang paling utama untuk dicinta dan disetiakan adalah kepada para sahabat Rasulullah SAW. Ahli Sunnah wal-Jamaah mencintai dan setia kepada mereka, mereka meyakini bahawa para sahabat adalah sebaik-baik manusia selepas para nabi. Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian generasi yang berikutnya, kemudian yang berikutnya.” [4] (Hadis ini disepakati sahih). Mereka juga mempercayai bahawa sahabat yang paling utama ialah Abū Bakar al-Ṣiddīq, diikuti oleh ʿUmar al-Fārūq, kemudian ʿUthmān Dhun-Nūrayn, dan Ali al-Murtaḍā. Kemudian diikut para sahabat lain yang dijamin syurga dan seluruh para sahabat. Mereka juga menahan diri dari membicarakan perselisihan yang berlaku antara para sahabat, serta mempercayai bahawa para sahabat telah berijtihad, dan sesiapa yang betul mendapat dua pahala, manakala yang tersilap tetap mendapat satu pahala. Mereka juga mencintai ahli keluarga Rasulullah SAW yang beriman, setia kepada mereka, serta setia kepada isteri-isteri Rasulullah SAW, iaitu ibu-ibu orang yang beriman, dan mereka meredai semua isteri Rasulullah. Ahli Sunnah juga berlepas diri dari golongan Syiah Rāfiḍah yang membenci para sahabat Rasulullah SAW, mencaci mereka, serta melampaui batas terhadap ahli keluarga Rasulullah dengan mengangkat mereka melebihi kedudukan yang Allah tetapkan. Begitu juga, mereka berlepas diri dari golongan Nawāṣib yang memusuhi ahli keluarga Rasulullah. [4] Saḥīḥ al-Bukhārī (2509) dan Saḥīḥ Muslim (2533).

Segala perkara yang disebutkan dalam penjelasan ringkas ini merupakan sebahagian daripada akidah yang benar, iaitu akidah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Inilah akidah yang dipegang oleh golongan yang selamat, Ahli Sunnah wal-Jamaah, seperti yang disebut oleh Nabi SAW: “Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang menang di atas kebenaran, tidak akan memudaratkan mereka sesiapa yang meninggalkan mereka, sehinggalah datangnya perintah Allah.” [5] Juga sabda Rasulullah SAW: “Kaum Yahudi berpecah kepada 71 golongan, Nasrani berpecah kepada 72 golongan, dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan, semuanya dalam neraka kecuali satu. Para sahabat bertanya: Siapakah mereka wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka yang berada di atas jalan yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” [6] Akidah inilah yang wajib dipegang teguh dan diamalkan serta dijauhi segala yang menyelisihinya. [5] Saḥīḥ Muslim (1920). [6] Sunan Ibn Mājah (3992).

Golongan yang Menyimpang dari Akidah yang Benar

Jenis-jenis Mereka:

Golongan yang menyimpang dari akidah yang benar dan bertentangan dengannya terdiri daripada banyak kelompok. Antara mereka adalah penyembah berhala, malaikat, para wali, jin, pohon, batu dan seumpamanya. Golongan ini tidak mematuhi seruan para rasul, malah menentang mereka, sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Quraisy dan pelbagai suku Arab terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka meminta kepada sembahan mereka untuk memenuhi keperluan, menyembuhkan penyakit dan memberi kemenangan atas musuh. Mereka juga mempersembahkan korban dan bernazar untuk sembahan-sembahan tersebut. Ketika Rasulullah SAW melarang perbuatan tersebut dan memerintahkan mereka agar hanya beribadah kepada Allah SWT, mereka merasa pelik dan menolak seruan itu. Mereka berkata: “Apakah dia hendak menjadikan tuhan-tuhan itu satu Tuhan sahaja? Sesungguhnya ini benar-benar sesuatu yang sangat menghairankan.” (Surah Ṣād: 5) Pun begitu, Rasulullah SAW terus berdakwah kepada mereka dan memperingatkan mereka daripada syirik, serta menjelaskan hakikat apa yang mereka sembah. Hasilnya, Allah memberi petunjuk kepada sebahagian daripada mereka, dan mereka kemudian masuk ke dalam agama Allah dalam kelompok besar. Agama Allah akhirnya tersebar luas setelah dakwah yang berterusan dan perjuangan panjang oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya serta generasi yang mengikuti mereka dengan kebaikan. Namun keadaan kembali berubah apabila kejahilan menguasai kebanyakan manusia. Akhirnya, majoriti manusia kembali kepada agama jahiliah, dengan berlebihan dalam memuja nabi-nabi dan wali-wali, serta menyeru dan meminta pertolongan kepada mereka. Mereka tidak memahami maksud sebenar kalimah “La ilaha illallah”, padahal ia difahami oleh orang-orang kafir Quraisy. Semoga Allah memberikan pertolongan.

Syirik ini terus berkembang dalam kalangan manusia hingga ke zaman kita ini akibat daripada kejahilan yang meluas dan jauhnya zaman mereka daripada masa kenabian.

Syubhat Golongan Terkemudian Sama dengan Syubhat Golongan Terdahulu Dan Senarai Sebahagian Pegangan Yang Kufur

Syubhat golongan yang terkemudian ini serupa dengan syubhat orang-orang terdahulu, iaitu mereka berkata: “Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah.” Mereka juga berkata: “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.” Namun, Allah SWT membatalkan syubhat tersebut dan menjelaskan bahawa sesiapa yang menyembah selain-Nya, sama ada nabi, wali, atau yang lain, telah melakukan syirik dan kufur. Allah SWT berfirman: “Dan mereka menyembah selain Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak pula memberi manfaat, dan mereka berkata: 'Mereka itu pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah’.” (Surah Yūnus: 18) Allah membalas dakwaan mereka dengan firman-Nya: “Katakanlah: Apakah kamu hendak memberitahu Allah sesuatu yang tidak diketahui-Nya, baik di langit mahupun di bumi? Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan.” (Surah Yūnus: 18) Allah SWT menjelaskan dalam ayat ini bahawa menyembah selain-Nya, sama ada menyeru, takut, berharap, dan seumpamanya, adalah syirik besar walaupun pelakunya memberi nama lain kepada perbuatan mereka. Allah juga membantah dakwaan mereka yang mengatakan bahawa sembahan-sembahan mereka akan mendekatkan mereka kepada Allah. Allah berfirman: “Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain-Nya berkata: 'Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya’.” (Surah al-Zumar: 3). Allah membalas dakwaan mereka dengan firman-Nya: “Sesungguhnya Allah akan memutuskan antara mereka tentang apa yang mereka perselisihkan. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang pendusta dan sangat kufur.” (Surah al-Zumar: 3). Dengan itu, Allah SWT menjelaskan bahawa menyembah selain-Nya dengan berdoa, takut, dan berharap kepada mereka adalah kekufuran kepada-Nya. Allah juga menolak dakwaan mereka bahawa sembahan-sembahan mereka akan mendekatkan mereka kepada Allah.

Antara akidah kufur yang bertentangan dengan akidah yang benar dan menyalahi apa yang dibawa oleh para rasul adalah apa yang diyakini oleh para ateis di zaman ini, seperti pengikut Marx, Lenin, dan lain-lain. Sama ada mereka menyebutnya sebagai sosialisme, komunisme, atau seumpamanya, asas kepada akidah ini adalah tiada Tuhan, dan kehidupan hanyalah berdasarkan material semata-mata. Mereka juga menolak adanya kehidupan selepas mati, menolak syurga dan neraka, serta mengingkari semua agama. Sesiapa yang membaca buku-buku mereka dan mengkaji pemikiran mereka akan memahami hal ini dengan yakin. Tidak syak lagi bahawa akidah ini bertentangan dengan semua agama samawi dan membawa pelakunya kepada akibat yang buruk di dunia dan akhirat.

Antara akidah yang bertentangan dengan kebenaran adalah apa yang diyakini oleh sebahagian golongan Bāṭiniyyah dan sebahagian sufi yang percaya bahawa sebahagian yang mereka gelar sebagai wali turut berperanan dalam mengatur urusan dunia. Mereka menyebut para wali ini sebagai “quṭb/ aqṭāb”, “awtād”, “ghawth/ aghwāth”, dan lain-lain gelaran yang mereka cipta. Ini adalah salah satu bentuk syirik yang paling buruk dalam rububiyyah, bahkan lebih buruk daripada syirik kaum jahiliah Arab, kerana orang-orang kafir Arab tidak mensyirikkan Allah dalam rububiyyah, tetapi mereka mensyirikkan-Nya dalam ibadah. Syirik mereka juga hanya berlaku ketika mereka dalam keadaan senang, sedangkan ketika berada dalam kesulitan, mereka mengikhlaskan ibadah hanya kepada Allah SWT. Allah berfirman: “Maka apabila mereka naik kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan doa kepada-Nya; tetapi ketika Allah menyelamatkan mereka sampai ke daratan, tiba-tiba mereka kembali mempersekutukan (Allah).” (Surah al-ʿAnkabūt: 65) Sekadar mengakui bahawa hanya Allah sahaja Tuhan yang mencipta, maka orang-orang musyrikin juga mengakui. Allah SWT berfirman: "Dan jika engkau bertanya kepada mereka: 'Siapa yang menciptakan mereka?' Pasti mereka akan berkata: 'Allah'." (Surah al-Zukhruf: 87) Allah juga berfirman: “Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, serta siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: 'Allah.' Maka katakanlah: 'Mengapa kamu tidak bertakwa?'.” (Surah Yūnus: 31). Banyak lagi ayat yang menunjukkan pengakuan mereka terhadap keesaan Allah dalam hal rububiyyah.

Musyrikin Terkemudian Menambah Perisa Syirik Musyrikin Terdahulu

Musyrikin era terkemudian telah menambah syirik daripada dua aspek berbanding dengan musyrikin terdahulu. Pertama, syirik sebahagian mereka dalam rubūbiyyah (menganggap ada kuasa lain selain Allah dalam mentadbir alam). Kedua, syirik mereka ketika dalam keadaan senang dan juga susah. Hal ini jelas bagi mereka yang bergaul dan mengkaji keadaan mereka. Mereka yang mengamati perbuatan orang-orang di makam al-Husayn dan al-Badawi di Mesir, di makam al-ʿAydrus di Aden, Yaman, di makam al-Hadi di Yaman, di makam Ibn ʿArabi di Syam, dan di makam Shaykh ʿAbdul Qādir al-Jīlanī di Iraq, serta makam-makam lain yang terkenal. Orang awam mengagungkan makam-makam ini secara berlebihan dan mempersembahkan kepada mereka perkara-perkara yang seharusnya hanya diperuntukkan kepada Allah SWT. Malangnya, sangat sedikit orang yang menegur perbuatan ini dan menjelaskan kepada mereka hakikat tauhid, iaitu akidah yang diutuskan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW dan para rasul sebelumnya. Kita hanya boleh mengucapkan, Inna lillahi wa inna ilayhi rajiʿun (Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali). Kami memohon kepada Allah SWT agar mengembalikan mereka kepada jalan yang benar, memperbanyakkan di antara mereka para pendakwah kepada petunjuk yang benar, dan memberikan taufiq kepada para pemimpin dan ulama Muslim untuk memerangi syirik ini dan menghapuskannya serta segala wasilah (jalan) yang mengajak kepadanya. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Dekat.

Antara akidah yang bertentangan dengan akidah yang benar mengenai nama-nama dan sifat-sifat Allah ialah akidah golongan bidʿah seperti Jahmiyyah dan Muʿtazilah, serta mereka yang mengikuti jalan mereka dalam menafikan sifat-sifat Allah dan melucutkan Allah SWT daripada sifat-sifat kesempurnaan. Mereka menggambarkan Allah dengan sifat-sifat yang hanya layak bagi benda yang tidak wujud, benda mati, atau perkara yang mustahil. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka katakan, setinggi-tinggi kesucian. Termasuk dalam golongan ini adalah mereka yang menafikan sebahagian sifat Allah dan hanya mengakui sebahagiannya, seperti golongan Ashāʿirah. Mereka terjerumus dalam kesalahan yang sama pada sifat-sifat yang mereka nafikan dan tafsirkan secara tidak tepat, sebagaimana yang mereka hindari pada sifat-sifat yang mereka akui. Mereka menentang dalil-dalil wahyu dan akal, serta terjerat dalam kontradiksi yang jelas. Adapun Ahli Sunnah wal Jamaah, mereka menetapkan bagi Allah SWT apa yang telah ditetapkan oleh Allah untuk diri-Nya atau apa yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW dalam nama-nama dan sifat-sifat Allah, dengan kesempurnaan yang sepatutnya bagi Allah. Mereka membersihkan Allah dari segala keserupaan dengan makhluk-Nya, tanpa unsur penafian (taʿṭīl) atau penyimpangan (tahrīf). Mereka mengambil semua dalil secara keseluruhan tanpa memutarbelitkan maknanya atau menafikan sebahagiannya, sehingga selamat daripada kontradiksi yang dialami oleh golongan lain, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Inilah jalan keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Inilah jalan yang lurus, jalan yang ditempuh oleh generasi awal umat ini dan para imamnya. Tidak akan ada kejayaan bagi generasi terakhir umat ini kecuali dengan apa yang telah memperbaiki generasi awal mereka, iaitu dengan mengikuti al-Quran dan al-Sunnah, serta meninggalkan segala yang bertentangan dengan keduanya.

Kewajiban Menyembah Allah SWT dan Penjelasan Sebab-Sebab Kemenangan Ke atas Musuh Allah

Kewajipan terbesar yang harus dilakukan oleh setiap orang yang mukallaf dan kewajiban paling agung yang dipertanggungjawabkan ke atasnya adalah menyembah Allah, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, serta Tuhan Arasy yang agung. Allah SWT berfirman dalam Kitab-Nya yang mulia: "Sungguh! Tuhan kalian adalah Allah yang menciptakan seluruh langit dan bumi dalam tempoh enam masa; kemudian Dia bersemayam di atas Singgahsana; Dia menirai malam dengan siang, saling berkejaran pantas; matahari, bulan dan bintang semuanya di bawah perintah-Nya. Ketahuilah! Hak-Nya sahaja penciptaan dan perintah; maha berkat Allah, Tuhan sekalian alam." (Surah al-Aʿrāf: 54) Allah juga memberitahu dalam ayat lain bahawa Dia menciptakan jin dan manusia hanya untuk menyembah-Nya. Allah SWT berfirman: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Surah al-Dhāriyāt: 56) Ibadah yang Allah ciptakan para makhluk kerananya ini adalah tauhid, iaitu mengesakan-Nya dalam segala bentuk ibadah seperti solat, puasa, zakat, haji, rukuk, sujud, tawaf, menyembelih korban, bernazar, takut, berharap, memohon pertolongan, memohon perlindungan, dan segala jenis doa. Ia juga termasuk ketaatan kepada Allah dalam segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya sebagaimana yang ditunjukkan dalam Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya SAW. Allah SWT memerintahkan kepada seluruh manusia dan jin untuk melaksanakan ibadah ini yang menjadi sebab penciptaan mereka. Dia juga mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitab untuk menerangkan, memperincikan dan menyeru manusia kepada ibadah ini, serta memerintahkan agar ikhlas hanya kepada Allah semata-mata. Allah SWT berfirman: "Wahai sekalian manusia, sembahlah Tuhan kamu yang menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu menjadi bertakwa. (Surah al-Baqarah: 21) Allah SWT juga berfirman: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia dan berbuat baik kepada kedua orang tua.” (Surah al-Isrāʾ: 23) Makna “qaḍā” dalam ayat ini ialah memerintah dan mewasiatkan. Allah SWT juga berfirman: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan ikhlas dalam menjalankan agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah: 5) Ayat-ayat yang menyeru kepada hal ini sangat banyak dalam al-Quran. Allah juga berfirman: “Apa sahaja yang dibawa Rasul kepadamu maka terimalah, dan apa sahaja yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” (Surah al-Ḥashr: 7) Allah SWT juga berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisāʾ: 59). Allah SWT juga berfirman: “Sesiapa yang mentaati Rasul, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah.” (Surah al-Nisāʾ: 80)

Allah SWT juga berfirman: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus seorang rasul dalam setiap umat (dengan berkata): 'Sembahlah Allah dan jauhilah taghut (syaitan dan segala yang disembah selain Allah)'." (Surah al-Naḥl: 36) Allah SWT juga berfirman: “Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu (Muhammad), melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa tiada tuhan selain Aku; maka sembahlah Aku.” (Surah al-Anbiyāʾ: 25) Allah juga berfirman: "Alif, Lam, Ra'. Ini adalah kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi dan dijelaskan secara terperinci dari sisi (Allah) yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Janganlah kamu menyembah selain Allah. Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira dari-Nya untukmu.” (Surah Hūd: 1-2)

Ayat-ayat yang jelas dari Kitab Allah ini dan ayat-ayat yang serupa dengannya menunjukkan kewajipan untuk mengikhlaskan ibadah hanya kepada Allah SWT semata. Hal ini adalah dasar agama dan akidah Islam. Ayat-ayat ini juga menjelaskan bahawa tujuan penciptaan jin dan manusia serta pengutusan para rasul dan penurunan kitab-kitab adalah untuk menegakkan ibadah kepada Allah semata-mata. Oleh itu, wajib bagi setiap mukallaf untuk memahami dan memperhatikan perkara ini serta berhati-hati daripada terjerumus ke dalam perbuatan yang banyak dilakukan oleh orang-orang yang mengaku Islam, seperti berlebih-lebihan dalam mengagungkan nabi-nabi dan orang-orang soleh, membuat binaan di atas kubur mereka, serta menjadikan kubur-kubur tersebut sebagai tempat beribadah, dengan mendirikan masjid dan kubah di atasnya. Mereka juga melakukan perbuatan-perbuatan yang mengarah kepada syirik besar, seperti meminta kepada penghuni kubur tersebut, memohon pertolongan, berlindung kepada mereka, serta meminta penyelesaian masalah, kesembuhan dari penyakit, dan kemenangan atas musuh. Semua ini merupakan perbuatan syirik yang jelas bertentangan dengan ajaran tauhid. Dalam hadis sahih daripada Muʿādh bin Jabal RA, Nabi SAW bersabda: “Tahukah engkau apa hak Allah ke atas hamba-Nya dan hak hamba atas Allah?” Muʿādh menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Hak Allah ke atas hamba-Nya adalah agar mereka menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, dan hak hamba ke atas Allah adalah bahawa Dia tidak akan mengazab orang yang tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun.” [7] Dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhārī daripada Ibn Masʿūd RA, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mati dalam keadaan menyekutukan Allah, maka dia akan masuk ke dalam neraka.” [8] Dalam Ṣaḥīḥ Muslim daripada Jābir RA, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang bertemu dengan Allah tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu, maka dia akan masuk syurga; dan sesiapa yang bertemu dengan-Nya dalam keadaan menyekutukan-Nya, maka dia akan masuk ke dalam neraka.” [9] Hadis-hadis ini dan yang serupa dengannya sangat banyak, semuanya menunjukkan bahaya syirik dan keutamaan tauhid. Tauhid adalah perkara yang paling penting dalam agama, dan Allah telah mengutus Nabi Muhammad SAW untuk menyeru kepada tauhid dan melarang syirik. Baginda SAW melaksanakan tugas ini dengan sempurna, meskipun mendapatkan banyak gangguan dan seksaan, namun baginda dan para sahabatnya bersabar dalam menyampaikan risalah ini. Hingga akhirnya Allah membersihkan Jazirah Arab daripada berhala-berhala dan patung-patung penyembahan, dan umat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah. Berhala-berhala di sekitar Kaabah dihancurkan, patung-patung seperti Lattā, ʿUzzā, Manāt, serta semua berhala yang disembah oleh suku-suku Arab dimusnahkan, sehingga tauhid tegak di semenanjung tanah Arab, dan Islam tersebar. Kemudian kaum muslimin meneruskan dakwah dan jihad mereka ke luar tanah Arab. Dengan izin Allah, mereka memberi hidayah kepada banyak orang dan menyebarkan keadilan di seantero dunia. Mereka menjadi imam-imam hidayah, pemimpin kebenaran, serta penyeru kepada keadilan dan pembaikan. Mereka berdakwah kepada umat manusia untuk mentauhidkan Allah, menyeru mereka kepada ajaran Islam, dan berjihad di jalan Allah dengan jiwa dan harta mereka tanpa rasa takut terhadap celaan para pencela dalam melaksanakan perintah Allah. Allah menolong dan memenangkan mereka atas musuh-musuh mereka serta merealisasikan janji-Nya kepada mereka, sebagaimana firman-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muḥammad: 7) dan firman Allah, “Sungguh, Allah pasti menolong sesiapa sahaja yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan kepada Allah segala urusan kembali.” (Surah al-Ḥajj: 40-41) Namun, setelah itu, generasi-generasi yang datang kemudian mulai berubah. Mereka melonggarkan urusan jihad, lebih mengutamakan kesenangan duniawi dan hawa nafsu, dan kemungkaran mula muncul dalam kalangan mereka, kecuali yang diselamatkan oleh Allah. Akibatnya, Allah mengubah keadaan mereka dan membiarkan musuh menguasai mereka sebagai balasan atas apa yang telah mereka lakukan. Allah berfirman: “Yang demikian itu, kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, sehingga kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka.” (Surah al-Anfāl: 53) Oleh itu, wajib bagi semua umat Islam, baik pemerintah mahupun rakyat, untuk kembali kepada Allah, mengikhlaskan ibadah kepada-Nya, bertaubat atas kelalaian dan dosa-dosa yang telah mereka lakukan, segera melaksanakan kewajipan-kewajipan yang Allah perintahkan, serta menjauhi larangan-larangan-Nya. Hendaklah mereka saling menasihati dan bekerjasama dalam kebaikan dan takwa. [7] Saḥīḥ al-Bukhārī (5912) dan Saḥīḥ Muslim (30). [8] Saḥīḥ al-Bukhārī (4227) dan Saḥīḥ Muslim (92). [9] Saḥīḥ al-Bukhārī (129) dan Saḥīḥ Muslim (32).

Antara kewajipan yang paling penting adalah melaksanakan hudud syarak (sistem perundangan syariat) dan menerapkan hukum syariah dalam semua aspek kehidupan manusia. Wajib untuk berhukum kepada syariah Allah dalam setiap perkara dan menolak perundangan buatan manusia yang bertentangan dengan syariat Allah, serta menghindari berhukum dengan hukum selain hukum-Nya. Selain itu, wajib untuk mewajibkan seluruh umat untuk tunduk kepada hukum syariat. Para ulama juga mempunyai tanggungjawab besar untuk mendidik umat dalam agama mereka, menyebarkan kesedaran Islam, menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran, serta menasihati dan memberi galakan kepada para pemimpin agar melaksanakan tanggungjawab mereka ini. Begitu juga, wajib bagi umat Islam untuk memerangi ideologi-ideologi yang merosakkan seperti sosialisme, nasionalisme, serta semangat kebangsaan yang berlebihan, dan lain-lain ideologi serta mazhab yang bertentangan dengan syariat. Dengan cara ini, Allah akan memperbaiki keadaan umat Islam yang telah rosak, mengembalikan apa yang hilang, memulihkan kejayaan mereka yang dahulu, dan memenangkan mereka atas musuh-musuh mereka. Allah akan memberi mereka kekuasaan di bumi, seperti mana Dia telah berjanji dalam firman-Nya yang benar: “Dan Kami telah wajibkan atas diri Kami untuk menolong orang-orang yang beriman.” (Surah al-Rūm: 47) Allah SWT juga berfirman: "Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan beramal soleh bahawa Dia pasti akan menjadikan mereka penguasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka penguasa. Dia akan menguatkan agama mereka yang telah Dia redai untuk mereka, dan Dia akan menggantikan ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka menyembah-Ku tanpa mempersekutukan-Ku dengan sesuatu apa pun. Dan barang siapa yang tetap kafir setelah janji itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik." (Surah al-Nūr: 55) Allah SWT juga berfirman: “Sesungguhnya Kami pasti akan menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari ketika saksi-saksi berdiri, (Surah Ghāfir: 51) iaitu pada hari ketika alasan-alasan orang zalim tidak berguna bagi mereka; bagi mereka kutukan, dan bagi mereka tempat tinggal yang buruk.” (Surah Ghāfir: 52)

Kami berdoa kepada Allah SWT agar memperbaiki keadaan para pemimpin kaum Muslimin dan masyarakat mereka, memberikan mereka pemahaman yang benar dalam agama, menyatukan kata mereka dalam ketakwaan, membimbing mereka kepada jalan yang lurus, serta menolong mereka dalam menegakkan kebenaran dan menghancurkan kebatilan. Semoga Allah memberi taufik kepada mereka semua untuk bekerjasama dalam kebaikan dan ketakwaan, serta saling menasihati dalam kebenaran dan bersabar di atasnya. Sesungguhnya Allah adalah pelindung yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Semoga selawat dan salam sentiasa tercurah kepada hamba dan utusan-Nya yang terbaik, Nabi kita Muhammad SAW, serta kepada keluarganya, para sahabatnya, dan mereka yang mengikuti petunjuknya. Wassalamuʿalaykum warahmatullahi wabarakatuh.