Skip to content
Utusan agama Islam: Nabi Muhammad ﷺ

Utusan agama Islam: Nabi Muhammad ﷺ

Buku kecil "Rasul agama Islam: Nabi Muhammad SAW" mengisahkan secara ringkas perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW; bermula dari susur galur keturunannya dan zaman kecilnya, sehinggalah ke perkahwinan baginda, turunnya wahyu pertama, dan permulaan risalah terakhir yang dibawanya kepada umat manusia. Buku ini turut menjelaskan tanda-tanda kenabian dan bukti-bukti kebenaran baginda, serta memperincikan syariat yang dibawa olehnya dan bagaimana ia berperanan dalam menjaga hak dan maruah manusia. Ia juga menyoroti reaksi para penentang baginda serta pengakuan mereka terhadap kejujuran dan…

Language: lang_ms
Prepared by: Jawatankuasa Ilmiah Pentadbiran Hal Ehwal Agama Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi
Version: 1.0

Rasul agama Islam: Nabi Muhammad ﷺ

Jawatankuasa Ilmiah Pentadbiran Hal Ehwal Agama Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani Latar belakang ringkas berkenaan Nabi Muhammad SAW. Dalam tajuk ini, saya akan menjelaskan tentang nama baginda, keturunan, negara, keluarga, risalah yang dibawanya, bukti-bukti kenabian dan syariat baginda serta pendirian musuh terhadap baginda.

1. Nama, Keturunan dan Tanah Tumpah Darah Baginda

Rasul agama Islam adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim, daripada keturunan Nabi Ismail bin Ibrahim alayhimussalam

Kisahnya, apabila Nabi Ibrahim dari Syam membawa isteri baginda bernama Hajar dan puteranya bernama Ismail yang masih bayi, baginda menempatkan mereka di Mekah atas perintah Allah. Apabila Ismail menginjak usia remaja, Nabi Ibrahim datang kembali ke Mekah, lalu membina Kaabah, Rumah Allah. Oleh sebab itu, ramai orang datang berhijrah di sekeliling Kaabah, menjadi pusat spiritual bagi orang-orang yang menyembah Allah dan melaksanakan haji. Penduduk Mekah kekal di atas agama yang mengesakan Allah menurut ajaran Nabi Ibrahim (as.) selama beberapa kurun.

Kemudian berlaku penyelewengan akidah di sana, sehingga seluruh Tanah Arab menjadi sama seperti kota-kota lain, tersebarnya paganisme, seperti menyembah berhala, pembunuhan anak perempuan, penzaliman wanita, mabuk alkohol, zina, penyelewengan harta anak yatim dan faedah hutang.

Dalam situasi ini, Nabi Muhammad (SAW) dilahirkan dari susur galur paling mulia di kota Mekah, dari keturunan Ismail bin Ibrahim, pada tahun 571 Masihi. Bapa baginda meninggal dunia ketika baginda masih dalam kandungan. Ibu baginda pula meninggal dunia ketika baginda berusia 6 tahun. Kemudian baginda ditanggung oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Walaupun baginda membesar sebagai anak yatim yang fakir, tetapi baginda hanya makan dari titik peluh sendiri sahaja, tidak meminta-minta.

2. Perkahwinan Bersama Wanita Yang Diberkati

Apabila usia baginda menginjak 25 tahun, baginda mengahwini seorang wanita bangsawan Mekah, iaitu Khadijah binti Khuwaylid (rha.). Baginda direzekikan 4 orang puteri dan 2 orang putera, tetapi semua puteranya wafat ketika masih kecil. Baginda melayani isteri dan keluarga baginda dengan penuh mesra dan cinta, kerana itulah Khadijah mencintai baginda sepenuh jiwa raga. Meskipun Khadijah telah wafat bertahun lamanya, baginda tidak pernah melupakannya, sebaliknya baginda selalu memberi hadiah kepada kawan-kawan Khadijah sebagai bentuk penghormatan dan kesetiaan kepada Khadijah.

3. Permulaan Wahyu

Nabi Muhammad (SAW) seorang yang berpekerti baik semenjak lahir. Dalam kalangan masyarakat, baginda terkenal dengan gelaran al-Sadiq (Yang Telus) dan al-Amin (Yang Amanah). Baginda sering melibatkan diri dalam tugasan kebajikan masyarakat, dalam masa yang sama menjauhi dan membenci amalan paganisme yang tersebar dalam masyarakat Mekah.

Apabila baginda mencapai usia 40 tahun, Allah memilih baginda untuk menjadi utusan-Nya. Malaikat Jibrail telah diutuskan untuk datang kepada baginda, membawa permulaan surah al-Quran pertama yang diturunkan, iaitu firman Allah:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),

Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;

Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -

Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -

Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

[Surah al-'Alaq, ayat 1-5]

Kedatangan Jibrail ini menjadikan baginda ketakutan, lalu baginda segera mendapatkan isterinya, Khadijah dan menceritakan apa yang berlaku. Khadijah menenangkan baginda dan membawa baginda bertemu sepupunya, Waraqah bin Nawfal. Waraqah telah menganut agama Nasrani dan mengkaji kitab Taurat dan Injil. Khadijah berkata, "Wahai sepupuku, dengarlah khabar anak saudaramu ini." Waraqah pun bertanya kepada baginda, "Apakah yang kamu lihat?" Rasulullah ﷺ pun menceritakan pengalamannya. Mendengar itu, Waraqah berkata,

"Ini adalah Namus (Penyimpan Rahsia Ilahi; Jibrail) yang pernah turun kepada Musa. Alangkah baik andai aku masih muda. Alangkah baiknya sekiranya aku berumur panjang tatkala kaummu menghalaumu." Rasulullah (SAW) bertanya, "Mereka akan menghalauku?!" Waraqah menjawab, "Benar; tiada orang yang membawa mesej yang engkau bawa, melainkan dia pasti dimusuhi. Alangkah baiknya andai aku berpeluang membelamu sepenuh jiwa ragaku."

Di Mekah, wahyu berterusan turun kepada baginda, dibawa oleh Jibrail (as.), dari Tuhan Sekalian Alam. Malaikat Jibrail juga mengajarkan baginda perincian mesej-mesej kerasulan.

Baginda terus menyeru kaumnya kepada Islam. Namun kebanyakan kaumnya menolak dan memusuhinya. Mereka cuba menawarkan harta dan tahta agar baginda meninggalkan tugas kerasulan, tetapi baginda menolak semua itu. Natijahnya, mereka melemparkan tuduhan nista kepada baginda, seperti yang dilemparkan kepada para rasul sebelum baginda, seperti gelaran, "Ahli sihir," "Penipu," "Kaki Kencing." Mereka cuba menyukarkan kehidupan Nabi Muhammad, mereka tidak segan silu menyakiti fizikal baginda yang mulia dan membunuh para pengikutnya yang lemah.

Pun begitu, baginda tetap meneruskan usaha dakwah baginda di Mekah. Baginda menyasarkan musim haji dan pasar-pasar Arab, di sana baginda bertemu dengan orang ramai, mendidik berkenaan Islam kepada mereka. Baginda tidak inginkan habuan dunia atau kedudukan, baginda tidak melakukan keganasan; baginda tidak memiliki sebarang kuasa mahupun kerajaan. Hanya sahaja, sedari awal dakwah, baginda mencabar musuhnya untuk meniru al-Quran. Menerusi usaha ini, beberapa orang para sahabat baginda RA memeluk agama Islam.

Semasa di Mekah, Allah memuliakan baginda dengan sebuah petanda yang agung, iaitu Israk (Perjalanan Malam) ke Baitul Maqdis, Palestin, kemudian baginda naik ke langit. Diketahui bahawa Allah pernah mengangkat Nabi Ilyas dan al-Masih Isa ke langit juga.

Semasa di atas langit, Nabi (SAW) menerima perintah solat. Itulah ibadah solat yang dilaksanakan orang-orang Islam lima kali sehari. Di Mekah juga, berlaku sebuah petanda lain, iaitu terbelahnya bulan dan disaksikan orang-orang musyrik di sana.

Orang-orang kafir Quraisy cuba menggunakan segala jalan untuk menghalang dakwah baginda. Mereka meneliti setiap tipu helah untuk menjauhkan manusia daripada baginda, antaranya adalah dengan berlebih-lebihan meminta ditunjukkan keajaiban. Mereka juga sanggup menagih pertolongan Yahudi agar membekalkan hujah kepada mereka bagi membantah dakwah baginda.

Dek kerana tekanan terus menerus dikenakan kepada orang-orang beriman, Nabi (SAW) mengizinkan mereka untuk berhijrah ke Habsyah kerana di sana terdapat raja beragama Nasrani yang adil, tiada kezaliman di bawah pemerintahannya. Apabila para sahabat tiba di Habsyah, mereka menerangkan berkenaan agama Islam kepada Najasyi, maka beliau memeluk Islam. Beliau berkata, "Demi Allah, ajaran ini dan ajaran Musa keluar daripada sumber yang sama." Sementara di Mekah, Nabi dan para sahabat baginda yang terus-terusan diganggu dan diseksa.

Antara kumpulan yang datang ke Mekah pada musim haji, lalu beriman dengan baginda adalah sekumpulan orang dari Madinah. Mereka memberi sumpah setia untuk membela Islam sekiranya baginda berpindah ke lokasi mereka yang dahulu dikenali dengan nama 'Yathrib'. Justeru baginda membenarkan para sahabat baginda yang masih berada di Mekah untuk berhijrah terlebih dahulu ke Madinah. Mereka pun berhijrah dan menyebarkan Islam di sana, sehingga setiap keluarga di Madinah memeluk Islam.

Selepas 13 tahun Nabi Muhammad (SAW) meluangkan masa untuk berdakwah di Mekah, barulah Allah mengizinkan baginda untuk berhijrah ke Madinah. Maka baginda berhijrah ke Madinah, menyambung tugasan dakwah di sana. Di sana, syariat Islam mula diwahyukan secara lebih terperinci sedikit demi sedikit. Baginda turut mengutus surat kepada para petinggi kabilah dan kerajaan, mengajak mereka memeluk Islam. Antara mereka, Raja Empayar Rom, Raja Empayar Parsi dan Raja Mesir.

Semasa berada di Madinah, berlaku peristiwa gerhana matahari berbetulan pada hari kewafatan putera Nabi yang bernama Ibrahim. Orang-orang Madinah menyangka bahawa gerhana berlaku dek kewafatan Ibrahim, tetapi Nabi menyangkal sangkaan mereka,

"Sesungguhya matahari dan bulan tidak menjadi gerhana kerana kematian atau kelahiran sesiapa, ia hanyalah salah satu petanda keagungan Allah untuk menimbulkan rasa gerun kepada para hamba-Nya." [1]

Sekiranya Nabi seseorang penipu, pasti baginda akan terus mendakwa bahawa gerhana itu berlaku kerana kematian anaknya, demi menunjukkan kehebatannya. Tetapi baginda tidak mendakwa sedemikian.

[1] Sahih Muslim (901)

Allah telah memperindahkan Nabi Muhammad dengan akhlak yang sempurna, sebagaimana yang disifatkan dalam Quran:

"Sungguh, kamu sentiasa berperibadi agung."

[Surah al-Qalam: 4]

Justeru baginda sentiasa mengamalkan segala akhlak dan moral yang mulia; seperti sifat telus, ikhlas, berani, adil, memenuhi hak setiap orang termasuk musuh, pemurah, membantu fakir miskin dan ibu tunggal yang memerlukan, berusaha menyebarkan hidayah untuk mereka, mengasihani mereka. Baginda juga sangat merendah diri. Pernah suatu ketika seorang dari luar Madinah datang mencari Nabi Muhammad, maka dia pergi ke sekumpulan para sahabat dan bertanya, "Mana satu Muhammad?" Nabi Muhammad ada di situ, tanpa sebarang ciri istimewa berbanding manusia lain.

Perjalanan hidup baginda sendiri adalah sebuah bukti kukuh menunjukkan kesempurnaan dan kemuliaannya dalam berinteraksi dengan semua pihak, baik lawan mahupun kawan, yang dekat mahupun jauh, yang tua mahupun kanak-kanak, lelaki dan wanita, haiwan melata mahupun burung yang berterbangan.

Apabila Allah telah menyempurnakan agama ini, dan Nabi Muhammad telah menyelesaikan tugas baginda dengan penuh sempurna, Allah mematikan baginda pada usia 63 tahun. 40 tahun awal sebagai manusia biasa, 23 tahun sebagai seorang nabi dan utusan Tuhan.

Baginda dikebumikan di Madinah tanpa meninggalkan sebarang harta warisan, melainkan seekor baghal putih yang menjadi kenderaannya, dan sebidang tanah yang beliau pajakkan sebagai sedekah untuk orang yang datang dari jauh. [2]

[2] Sahih al-Bukhari (4461) 6/15.

Bilangan pengikut baginda yang memeluk Islam begitu ramai. Ketika baginda mengerjakan Haji Perpisahan 3 bulan sebelum kewafatan baginda, lebih 100 000 para sahabat yang menyertai haji bersama. Inilah rahsia mengapa agama Islam ini begitu tersebar di alam ini, kerana generasi para sahabat yang baginda bina dengan nilai-nilai Islam, telah menyumbangkan sepenuh jiwa raga mereka untuk menyebarkan agama yang mulia ini ke serata alam.

Sahabat baginda yang paling hebat adalah Abu Bakar al-Siddiq, beliau mengungguli setiap sifat keimanan, keilmuan, amalan, keikhlasan, ketelusan, usaha teguh dan keberanian. Kemudian 'Umar bin al-Khattab, 'Uthman bin 'Affan dan 'Ali bin Abu Thalib. Semoga Allah meredai mereka semua. Mereka adalah antara manusia terawal yang beriman dan mempercayai baginda, kemudian bergilir menjadi pengganti baginda selepas ketiadaan mereka dalam memacu panji agama. Tetapi mereka tiada keistimewaan seperti Nabi, atau keajaiban khusus berbanding para sahabat yang lain.

Allah telah memelihara al-Quran yang baginda sampaikan, menjaga Sunnah yang baginda ajarkan. Bahkan Allah juga menjaga garis masa kehidupan baginda, tutur kata dan tingkah laku baginda. Tiada biografi yang terjaga rapi sepanjang sejarah seperti terpeliharanya biografi baginda; sehingga setiap rincian tatacara tidur, makan dan bagaimana baginda ketawa.

begitu juga interaksi baginda bersama ahli keluarga, semua ini tidak terlepas daripada direkodkan.

Setiap sudut kehidupan baginda tercatat rapi dalam buku-buku Sirah (Biografi). Baginda adalah seorang manusia yang menjadi utusan Tuhan. Baginda tidak memiliki sebarang ciri Ketuhanan, tidak mampu menjamin manfaat dan mudarat meskipun untuk diri baginda sendiri.

4. Mesej Yang Baginda Bawa

Allah mengutus Nabi Muhammad pada era tersebarnya syirik dan kekufuran di seluruh ceruk dunia. Tiada di atas muka bumi ketika itu yang menyembah Allah tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain, kecuali saki-baki ahli Kitab yang sangat sedikit. Oleh sebab itu Allah mengutuskan Rasul-Nya, Muhammad, sebagai penutup sekalian para nabi dan rasul, untuk mengajarkan petunjuk (ilmu sahih) dan agama yang benar (amal soleh) kepada seluruh alam. Semua ini untuk memenangkan agama ini dan menyelamatkan manusia daripada kegelapan paganisme dan kejahilan, ke arah cahaya tauhid dan keimanan. Mesej yang dibawa baginda menyempurnakan mesej-mesej terdahulu yang dibawa para nabi yang lain.

Baginda membawa seruan sama yang diserukan oleh para nabi dan rasul sebelum baginda, seperti Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Sulayman, Dawud dan Isa. Iaitu seruan untuk beriman bahawa Tuhan yang sebenar adalah Allah yang menciptakan, memberi rezeki, menghidupkan dan mematikan. Dialah yang mengaturkan segala-galanya. Dia menciptakan segala isi semesta yang fizik dan metafizik. Setiap yang selain Allah adalah makhluk ciptaan-Nya.

Baginda juga menyeru untuk hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan sebarang sembahan kepada selain Allah. Baginda menjelaskan seterang-terangnya, bahawa Allah adalah esa, Dia tidak memiliki sekutu dalam kerajaan-Nya dan pentadbiran-Nya. Tiada yang sekufu mahu pun yang seperti dengan-Nya. Dia tidak bersatu dengan makhluk-Nya, tidak juga terinkarnasi di alam ini.

Baginda menyeru untuk beriman dengan segala Kitab Tuhan, seperti Suhuf Ibrahim, Suhuf Musa, Taurat, Zabur dan Injil. Baginda juga menyeru untuk beriman dengan segala utusan yang pernah dihantar kepada umat manusia. Baginda menganggap sesiapa yang menafikan seorang nabi, dia telah kafir dengan semua nabi yang lain.

Baginda memberi khabar gembira kepada semua manusia tentang rahmat Allah, dan bahawa Dia-lah akan menjaga mereka di dunia ini, Dia Tuhan Maha Penyayang. Dia sahaja yang akan menghitung makhluk-Nya pada hari Kiamat kelak setelah Dia membangkitkan mereka dari kubur. Allah jualah yang akan memberi ganjaran kepada orang-orang mukmin atas kebaikan mereka, satu kebaikan digandakan sepuluh, tetapi satu kebaikan dibalas satu juga. Sesiapa yang beriman layak mendapat nikmat syurga yang kekal di akhirat, dan sesiapa yang kafir akan mendapat balasannya di dunia dan di akhirat.

Nabi Muhammad (SAW) tidak menyeru untuk manusia memuliakan sukunya, negaranya, atau dirinya sendiri. Bahkan dalam al-Quran, nama-nama nabi Nuh, Ibrahim, Musa, dan Isa lebih banyak disebut daripada nama baginda sendiri. Tiada sebutan tentang ibu Nabi Muhammad atau nama isterinya dalam al-Qur'an, sebaliknya lebih banyak menyebut tentang ibu Musa dan nama Maryam disebut 35 kali.

Nabi Muhammad terpelihara dari sebarang perkara yang bertentangan syariat, akal, fitrah, atau moral yang murni kerana semua para nabi adalah terpelihara daripada melakukan kesilapan tentang mesej yang mereka sampaikan daripada Allah, mereka bertanggungjawab menyampaikan perintah Allah kepada hamba-hamba-Nya. Para nabi tidak mempunyai ciri-ciri ketuhanan yang melayakkan mereka untuk disembah. Sebaliknya, mereka adalah manusia seperti semua manusia lain. Bezanya, Allah memberi wahyu kepada mereka untuk mereka sampaikan kepada umat manusia.

Antara bukti teragung menunjukkan kebenaran mesej Nabi Muhammad, ajaran baginda kekal segar sehingga hari ini tanpa sebarang perubahan, dianuti lebih daripada 1 billion manusia yang melaksanakan segala tuntutan agama seperti solat, zakat, puasa, dan haji. Semuanya kekal sama tanpa tokok tambah.

5. Bukti-bukti Kenabian

Allah mengukuhkan dakwah para nabi-Nya dengan keajaiban dan bukti yang menunjukkan kebenaran kenabian mereka. Setiap nabi telah dikurniakan beberapa keajaiban dan petanda yang mencukupi untuk meyakinkan manusia untuk beriman. Bukti yang teragung yang pernah diberikan kepada para nabi adalah petanda Nabi Muhammad, iaitu al-Quran. Itulah satu-satunya petanda yang masih kekal dan akan kekal sehingga hari Kiamat. Allah juga memberikan beberapa keajaiban lain, antaranya:

- Perjalanan malam ke Syam (Isra') - Perjalanan ke Langit Ketujuh (Mikraj) - Terbelahnya bulan - Turunnya hujan setiap kali baginda berdoa ketika musim kemarau

- Makanan dan minuman menjadi banyak sehingga cukup untuk menjamu ribuan manusia.

- Baginda mengetahui kisah-kisah lampau yang tidak diketahui orang lain. Baginda mengetahuinya kerana Allah yang memberitahunya, seperti kisah-kisah para nabi dan Pemuda al-Kahfi.

- Baginda mengetahui peristiwa-peristiwa yang bakal terjadi, menunjukkan bahawa baginda mendapat wahyu dari Allah, seperti baginda memberitahu tentang kemunculan api yang akan menjulang di Hijaz sehingga boleh dilihat dari Syam, dan manusia berlumba-lumba membina bangunan tinggi.

- Baginda sentiasa dipelihara Allah daripada diserang atau dibunuh oleh para musuhnya sejak awal dakwah,

- Semua janji baginda kepada para sahabat terbukti dan terealisasi meskipun selepas kewafatan baginda, seperti janji baginda,

"Persia dan Rom akan dibebaskan oleh kalian; segala kemewahannya akan digunakan di Jalan Allah."

- Malaikat membantu baginda dalam banyak situasi dan peperangan,

- Para nabi terdahulu telah menyampaikan berita gembira (gospel) tentang kenabian Nabi Muhammad (SAW), sebagaimana yang disampaikan oleh Musa, Dawud, Sulayman, Isa dan lain-lain nabi bani Israel.

- Baginda selalu membawakan dalil-dalil logik dan alegori yang menundukkan akal yang masih belum tercemar[3].

[3] Seperti firman Allah, "Wahai manusia; ini sebuah alegori, dengarlah! Sungguh, semua sembahan kalian selain Allah tidak mampu mencipta walau seekor lalat meskipun mereka bekerjasama. Sekiranya lalat mencuri milik mereka, mereka tidak mampu mendapatkannya semula. Yang meminta tidak dapat permintaannya, yang diminta tidak mampu menunaikannya." [Surah al-Hajj: 73]

Bukti-bukti kenabian baginda ini berserakan banyaknya dalam al-Quran dan Sunnah. Ia agak banyak dan sukar untuk dihimpunkan. Sesiapa yang mahu membacanya, dia hanya perlu membuka al-Quran, buku-buku hadis dan biografi Nabi Muhammad. Rujukan-rujukan ini akan memberikan khabar yang meyakinkan tentang bukti-bukti tersebut.

Bukti-bukti kenabian ini, sekiranya ia dusta dan tidak berlaku, pastilah musuh-musuh dakwah baginda, seperti orang-orang kafir Quraisy, orang-orang Yahudi dan Nasrani yang tinggal di Tanah Arab, akan mengambil peluang untuk menuduh baginda berdusta dan memberi peringatan kepada orang lain daripada mengikuti baginda.

al-Quran al-Karim adalah kitab yang Allah wahyukan kepada Nabi Muhammad, ia adalah Perkataan Tuhan Semesta Alam. Allah telah mencabar manusia dan jin untuk mendatangkan sesuatu yang seumpama al-Quran, atau hanya satu surah saja. Cabaran ini masih berjalan sehingga hari ini. Al-Quran telah menjawab banyak persoalan-persoalan kewujudan yang menjadi kekeliruan jutaan manusia. Al-Quran kekal terpelihara sehingga hari ini dengan bahasa aslinya, bahasa Arab, tanpa pengurangan walau satu huruf pun. Kitab ini telah diterbitkan dan diedarkan secara meluas. Ia kitab yang agung lagi mencabar minda. Ia adalah kitab Tuhan yang paling agung kepada manusia; sangat wajar dibaca teks asal atau terjemahan maknanya. Sesiapa yang terlepas dari membaca dan beriman dengannya, dia terlepas daripada semua kebaikan.

Sunnah Nabi Muhammad, petunjuk dan perjalanan hidup baginda juga tersimpan rapi melalui rantaian perawi yang boleh dipercayai. Ia telah dicetak dalam bahasa Arab dan diterjemah ke banyak bahasa. Ia penjelasan yang rapi tentang baginda, seolah baginda masih hidup di antara kita. Al-Quran dan Sunnah adalah dua sumber yang menjadi autoriti tunggal bagi Syariat Islam.`

6. Syariat Yang Dibawa Nabi Muhammad (SAW)

Ajaran yang Nabi Muhammad (SAW) sampaikan adalah syariat Islam. Ia adalah syariat Tuhan terakhir yang diturunkan kepada manusia, penutup dan penyempurna bagi segala syariat yang terdahulu. Semua syariat para nabi berdiri di atas prinsip dan asas yang sama, meskipun perinciannya berbeza.

Syariat ini adalah sistem yang sempurna, sesuai untuk setiap tempat dan masa. Sistem ini memelihara kemandirian agama dan dunia manusia. Ia mengandungi setiap ibadah yang wajib didirikan hamba kepada Tuhan Sekalian Alam, seperti solat dan zakat. Syariat ini juga menggariskan panduan merentasi transaksi kewangan, ekonomi, sosial, politik, peperangan dan alam, yang menjadi asas kelestarian hidup manusia.

Syariat ini memelihara agama, nyawa, maruah, harta, akal dan zuriat manusia. Ia mengandungi segala moral dan budi, melarang daripada segala keji dan jahat, menyeru kepada kemuliaan manusia, kesederhanaan, keadilan, keikhlasan, kebersihan, ketekunan, cinta dan kebaikan kepada semua manusia. Syariat ini memelihara nyawa insan, kestabilan negara, melarang daripada tindakan terorisme tanpa hak. Nabi Muhammad (SAW) sentiasa memerangi segala jenis pelampauan dan kerosakan, melawan khurafat, uzlah dan keakuan.

Nabi Muhammad (SAW) menjelaskan kepada kita bahawa Allah (SWT) telah memuliakan manusia tanpa mengira lelaki dan perempuan. Allah juga menjamin segala hak manusia, Dia menggalas tanggungjawab kepada setiap individu atas setiap pilihan dan tindakannya. Allah akan mempertanggungjawabkan seseorang atas mudarat yang dilakukan pada diri sendiri atau pada orang lain. Dia menyamaratakan lelaki dan wanita dari sudut keimanan, tanggungjawab, balasan dan ganjaran. Syariat Islam juga memberi perhatian khusus berkaitan wanita, sama ada sebagai isteri, anak perempuan mahupun saudari.

Syariah yang dibawa Nabi Muhammad (SAW) menjamin kesejahteraan akal dan mengharamkan segala bentuk kerosakannya, seperti alkohol. Islam dianggap sebagai cahaya yang menyuluh jalan bagi akal, agar manusia menyembah Tuhannya menurut ilmu dan kebenaran. Islam telah memuliakan kedudukan akal, menjadikannya punca taklif. Islam datang untuk membebaskan akal daripada kepercayaan karut-marut dan paganisme.

Syariat Islam juga mengagungkan ilmu yang benar, menggalakkan kajian saintifik yang bebas daripada kecenderungan, menyeru kepada berfikir dan mengkaji diri dan alam. Dapatan kajian yang jujur dan telus tidak akan bercanggah dengan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad (SAW).

Islam tidak berat sebelah terhadap sesuatu kumpulan manusia berbanding yang lain. Islam tidak mengutamakan sesuatu bangsa berbanding bangsa yang lain. Sebaliknya, semua manusia sama rata berkaitan dengan perundangan Islam, kerana asal-usul mereka satu. Justeru tiada kemuliaan khusus bagi suatu kumpulan berbanding kumpulan lain, melainkan berdasarkan ketakwaan. Nabi Muhammad (SAW) telah mengkhabarkan bahawa setiap anak yang lahir, dilahirkan di atas fitrah; mereka semua suci tanpa dosa warisan daripada orang terdahulu.

Dalam syariat Islam, Allah telah mensyariatkan taubat. Taubat ialah kembalinya manusia kepada Tuhannya dan meninggalkan dosa. Islam membatalkan segala dosa yang terdahulu. Apabila seseorang bertaubat, dia tidak perlu membuat pengakuan dosa terhadap manusia lain. Dalam Islam, hubungan seorang manusia kepada Tuhannya adalah secara langsung, Islam melarang sebarang perantaraan antara hubungan ini dan melarang sebarang persekutuan dengan Allah.

Syariah yang dibawa Nabi Muhammad (SAW) memansuhkan segala syariat para nabi yang terdahulu kerana syariat ini adalah syariat terakhir yang Allah turunkan kepada seluruh manusia. Syariat para nabi terdahulu juga memansuhkan syariat yang lain. Allah tidak menerima sebarang syariat selain syariat Islam. Alllah tidak menerima agama selain agama yang dibawa Nabi Muhammad (SAW). Sesiapa yang menganut agama selain Islam, Allah tidak akan menerima agamanya tersebut. Jika ada yang mahu mengetahui perincian hukum-hakam agama ini, rujuklah dari buku-buku yang dipercayai yang menjelaskan agama Islam.

Sebagaimana syariat para nabi yang terdahulu, tujuan syariat Islam adalah untuk mendidik manusia menjadi hamba yang telus kepada Tuhan Semesta Alam, sekaligus membebaskannya dari perhambaan sesama manusia, menjadi hamba kepada material atau kepercayaan tahyul.

Syariat Islam sentiasa sesuai dan praktikal di setiap tempat, pada setiap masa. Islam tidak pernah bercanggah dengan kepentingan manusia, kerana ia diturunkan dari Pihak yang mengetahui setiap keperluan manusia. Manusia sangat memerlukan syariat yang benar, syariat yang tidak saling bercanggah antara kandungan, syariat yang memperbaiki bangsa manusia, yang bukan rekaan manusia, sebaliknya diterima daripada Allah, yang memberi petunjuk kepada manusia ke arah jalan kebaikan. Syariat yang apabila dijadikan pemutus hukum, keadaan menjadi harmonis dan selamat daripada sebarang kezaliman.

7. Pendirian dan Pengakuan Musuh Nabi Muhammad (SAW)

Seperti yang diketahui, setiap nabi akan ada yang musuh yang menjadi onak bagi seruan dakwahnya, menghalang manusia daripada beriman dengannya. Nabi Muhammad (SAW) juga menghadapi musuh yang banyak ketika baginda hidup, dan juga selepas kewafatan baginda, tetapi Allah (SWT) telah membela baginda dalam setiap keadaan. Sudah begitu banyak pengakuan daripada orang bukan Islam, dahulu dan kini, yang mempersaksikan kenabian baginda. Yang menghalang mereka beriman adalah faktor luaran, seperti mencintai tahta, atau takut dengan serangan masyarakat, atau hilang harta yang dicapai dengan jawatannya.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.