Fiqh Darah Wanita
Buku Fiqh Darah Wanita karya al-Syaikh al-‘Allamah Muhammad bin Salih al-‘Utsaimin RH merupakan sebuah risalah ilmiah yang kukuh. Ia membahaskan dengan teliti persoalan darah semula jadi wanita seperti haid, istihadhah, dan nifas, berlandaskan al-Quran al-Karim dan Sunnah Nabi SAW. Risalah ini turut diperkukuhkan dengan kefahaman yang mendalam terhadap pandangan para ulama dalam isu-isu tersebut. Di dalamnya dihimpunkan hukum-hakam berkaitan darah wanita, menjelaskan perbezaan halus antara setiap keadaan, serta mengemukakan panduan syarie untuk memberikan bimbingan dan ketenangan kepada…
These files are generated automatically from the book's text; their layout may differ from the printed edition.
Fiqh Darah Wanita
Pena al-Imām al-ʿAllāmah
Muḥammad bin Ṣāliḥ al-ʿUthaymīn
(semoga Allah mengampuninya, ibu bapanya dan seluruh kaum Muslimin)
Dengan nama Allah, Maha Pengasih, Maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, kita memuji-Nya, memohon bantuan-Nya, mengharap ampunan-Nya, dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan Allah daripada kejahatan diri kita dan amalan buruk kita. Sesiapa yang Allah bimbing, tiada sesiapa yang boleh menyesatkannya, dan sesiapa yang Allah biarkan tersesat, tiada sesiapa yang boleh membimbingnya. Saya bersaksi bahawa tidak ada yang berhak disembah kecuali Allah semata, tidak ada sekutu bagi-Nya. Saya juga bersaksi bahawa Muhammad itu hamba Allah dan utusan-Nya. Semoga selawat dan salam Allah tercurah ke atas baginda, juga ke atas keluarga dan para sahabatnya, serta mereka yang mengikuti jejak langkahnya dengan penuh kebaikan hingga ke hari akhirat.
Sesungguhnya darah yang dialami oleh wanita—iaitu haid, istihadhah, dan nifas—merupakan perkara penting yang sangat memerlukan penjelasan. Umat Islam perlu mengetahui hukum-hakam yang berkaitan dengannya, serta dapat membezakan antara pandangan yang benar dengan yang salah dalam kalangan pendapat para ulama mengenai isu ini. Hendaklah sandaran dan piawaian dalam menentukan pendapat yang kuat atau lemah itu berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.
1. Kerana al-Quran dan al-Sunnah adalah sumber utama yang menjadi asas kepada hukum Allah SWT, yang wajib dipatuhi dan ditunaikan oleh para hamba-Nya.
2. Kerana bersandar kepada al-Quran dan al-Sunnah akan menenangkan hati, melapangkan dada, mendamaikan jiwa, serta melepaskan tanggungjawabnya di hadapan Allah.
3. Kerana pendapat selain daripada al-Quran dan al-Sunnah bukanlah hujah, sebaliknya perlu disokong dengan hujah.
Kerana yang menjadi hujah hanyalah firman Allah SWT dan sabda Rasul-Nya SAW. Begitu juga pendapat para Sahabat Nabi, mengikut pandangan yang lebih kuat layak dijadikan hujah jika tidak menyalahi al-Quran dan al-Sunnah. Disyaratkan juga tidak bercanggahan dengan pendapat sahabat lain. Jika al-Quran atau al-Sunnah sesuatu yang menyalahi pendapat itu, wajiblah diutamakan al-Quran dan al-Sunnah. Jika pendapat seorang sahabat bercanggah dengan pendapat sahabat yang lain, maka perlu dilakukan tarjih (penilaian) antara kedua-duanya, lalu diambil pendapat yang lebih kuat. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “…Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu lebih baik dan lebih elok kesudahannya.” [Surah al-Nisa’ 4:59].
Risalah ringkas ini ditulis bagi menjelaskan perkara-perkara penting yang diperlukan berkaitan darah-darah wanita dan hukum-hukumnya. Ia mengandungi bab-bab berikut:
Fasal Pertama: Definisi dan Hikmah Haid
Fasal Kedua: Waktu dan Tempoh Haid
Fasal Ketiga: Perubahan Tidak Normal pada Haid
Fasal Keempat: Beberapa Hukum-Hakam Haid
Fasal Kelima: Istiḥāḍah dan Hukum-Hakamnya
Fasal Keenam: Nifas dan Hukum-Hakamnya
Fasal Ketujuh: Ubat Perancang Haid dan Kehamilan
Fasal Pertama: Definisi dan Hikmah Haid
Haid dari segi bahasa bererti mengalir dan bergeraknya sesuatu.
Dari segi syarak, haid ialah darah semula jadi yang keluar pada faraj wanita pada waktu-waktu tertentu. Ia berlaku secara fitrah, bukan kerana penyakit, luka, keguguran, atau kelahiran. Darah haid berbeza mengikut keadaan wanita, persekitaran, dan cuaca.
Hikmahnya: Ketika janin berada dalam rahim ibunya, ia tidak mampu mendapat makanan seperti manusia biasa. Maka Allah SWT mewujudkan sistem saluran darah khas untuk menyalurkan nutrisi kepada janin. Nutrisi itu dihantar melalui plasenta dan masuk ke tubuh janin melalui tali pusat, lalu mengalir dalam urat-uratnya sebagai sumber makanan dan pertumbuhan. Maha Suci Allah, sebaik-baik Pencipta.
Inilah hikmah di sebalik kewujudan haid. Sebab itu apabila seorang wanita hamil, biasanya dia akan berhenti datang bulan. Begitu juga dengan wanita yang menyusukan anak, kebanyakannya tidak mengalami haid, khususnya pada peringkat awal penyusuan.
Fasal Kedua: Waktu dan Tempoh Haid
Terdapat dua perbincangan dalam fasal ini, iaitu:
Perbincangan pertama berkenaan umur minimum keluar haid.
Perbincangan kedua berkenaan tempoh keluar haid.
[Umur Minimum Keluar Haid] Kebiasaannya, kaum Hawa datang haid pertama pada usia 12 sehingga 15 tahun. Kadangkala, mungkin lebih awal atau lebih lewat, mengikut keadaan kesihatannya, suasana dan cuaca di tempatnya.
Para ulama telah mengemukakan beberapa pandangan mengenai had umur minimum bagi seorang perempuan didatangi haid buat pertama kali. Jika ada darah yang keluar sebelum mencapai umur tersebut, maka ia dihukumkan sebagai darah fasad (darah penyakit) dan bukan darah haid.
Para ulama berbeza pendapat dalam hal ini. Namun Imam al-Darimi (w. 448H), setelah menyebut pelbagai pandangan, berkata: “Semua pendapat ini menurutku adalah tidak tepat. Hakikatnya, ukuran dalam isu ini ialah kewujudan darah itu sendiri. Selagi darah itu keluar, pada apa jua keadaan dan usia sekalipun, maka ia wajib dihukumkan sebagai haid. Wallahu a‘lam.” [1] [1] Ahkam al-Mutahayyirah fi al-Hayd, al-Darimi, hlm. 17.
Pendapat yang dikemukakan oleh Imam al-Darimi inilah yang benar, dan ia juga merupakan wacana Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah.[2] Justeru apabila seorang wanita melihat darah haid, ia dianggap haid—sekalipun usianya kurang daripada 9 tahun atau melebihi 50 tahun. Kerana hukum-hakam berkaitan haid ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya berdasarkan kewujudan darah haid itu sendiri, bukan pada umur tertentu. Oleh itu, keluarnya darah menjadi ukuran hukum. Menetapkan had umur tertentu memerlukan dalil daripada al-Quran atau al-Sunnah, sedangkan tiada dalil yang menyebut tentangnya.
[Tempoh Keluar Haid]
Dalam isu ini, para ulama turut mengemukakan pelbagai pandangan, bahkan ada sehingga tujuh pendapat. Imam Ibnul Mundzir menyatakan: “Sebahagian ulama berpendapat bahawa haid tidak mempunyai tempoh minimum atau maksimum.” [3]
Pendapat ini sama seperti pandangan Imam al-Darimi disebut sebelum ini, dan dipilih oleh Shaykh al-Islam Ibn Taimiyyah. Inilah pendapat yang benar, kerana ia didokong oleh al-Quran, al-Sunnah dan juga pertimbangan akal.
Dalil pertama, firman Allah SWT: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Nabi) tentang haid. Katakanlah: Haid adalah kekotoran. Maka jauhilah melakukan hubungan dengan wanita ketika haid, dan janganlah kamu mendekati mereka untuk berjimak sehingga mereka suci...” [Surah al-Baqarah 2:222] Maka Allah menjadikan batas larangan itu ialah suci daripada haid, bukan dengan menetapkan had sehari semalam, tiga hari, atau lima belas hari. Ini menunjukkan bahawa sebab hukum itu ialah kewujudan atau ketiadaan haid itu sendiri. Maka, selama mana haid itu ada, hukum-hakamnya tetap berlaku. Apabila wanita suci daripadanya, hukum-hakam itu pun terhenti.
Dalil kedua: Dalam Sahih Muslim, bahawa Nabi SAW bersabda kepada Aisyah RA ketika beliau didatangi haid ketika sedang berihram: Baginda SAW bersabda: “Lakukanlah semua amalan haji, cuma janganlah kamu tawaf di Kaabah sehingga kamu suci.” Aisyah RA berkata: “Apabila tiba 10 Zulhijjah, saya telah suci, maka saya melakukan tawaf ifadah.” daripada hadis panjang.[4] [4] Riwayat al-Bukhari (305) dan Muslim (1211).
Dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, Nabi SAW telah bersabda kepada Aisyah RA: “Tunggulah, dan apabila kamu telah suci, maka keluarlah menuju Tan‘im.” [5] Nabi SAW meletakkan had haid adalah apabila darah tidak lagi kelihatan. Baginda tidak meletakkan had tempoh waktu tertentu, sekali gus menunjukkan bahawa haid adalah haid, tanpa mengira tempoh waktu. [5] Riwayat al-Bukhari (1662) dan Muslim (1211).
Dalil ketiga: Segala bentuk anggaran dan perincian yang disebut oleh sebahagian fuqaha dalam isu ini sebenarnya tidak terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah. Padahal perkara ini sangat penting untuk syariat jelaskan. Sekiranya perincian yang mereka sebutkan itu wajib diketahui dan diamalkan, pastilah Allah dan Rasul-Nya sudah menjelaskannya dengan terang. Hal ini kerana ia berkait rapat dengan isu-isu penting seperti solat, puasa, nikah, talak, perwarisan dan lain-lain. Sebagaimana Allah dan Rasul-Nya telah memerincikan hukum-hakam solat, Hukum-hakam zakat, kiraan dan jenisnya, hukum-hakam puasa, tempoh dan waktunya, hukum-hakam haji, dan sebagainya. Malah Allah dan Rasul-Nya juga menjelaskan adab-adab seharian, seperti makan, minum, tidur, hubungan suami isteri, duduk, masuk dan keluar rumah, serta adab ketika menunaikan hajat. Bahkan hingga kepada bilangan batu istinjak pun dijelaskan! Semua itu adalah sebahagian daripada kesempurnaan agama ini dan nikmat Allah yang disempurnakan ke atas orang-orang beriman. Sebagaimana firman-Nya: “Dan Kami telah menurunkan kepadamu al-Quran sebagai penjelasan bagi segala sesuatu...” [Surah al-Nahl 16:89] Allah berfirman: “al-Quran bukanlah perkataan yang direka-reka, tetapi ia adalah pengesahan terhadap kitab sebelumnya, dan sebagai perincian bagi setiap sesuatu…” [Surah Yusuf 12:111]
Apabila tempoh kiraan haid tidak disebutkan dalam al-Quran dan al-Sunnah, maka jelaslah bahawa haid memang tiada tempoh yang mengikatnya. Yang mendefinisikan haid bukanlah tempoh, tetapi darah itu sendiri. Konsep ini, iaitu jika tiada dalam al-Quran dan al-Sunnah, maka ia tidak diambil kira, sangat berguna untuk isu ini dan juga isu-isu fiqh yang lain. Hal ini kerana hukum-hakam syarak tidak boleh ditetapkan kecuali dengan dalil syarak, sama ada daripada Kitab Allah, Sunnah Rasul-Nya SAW, ijmak yang diketahui, atau qiyas yang sahih. Shaykh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata dalam salah satu kaedahnya: "Antaranya ialah istilah ‘haid’. Allah mengaitkan banyak hukum dengan haid. Namun Allah tidak menetapkan had minimum atau maksimum haid, dan tidak juga tempoh suci antara dua haid, meskipun seluruh umat berdepan dengan perkara ini dan sangat memerlukannya. Bahasa Arab sendiri tidak membezakan antara jumlah yang sedikit atau banyak. Maka sesiapa yang menetapkan suatu had dalam hal ini, bererti dia telah menyalahi al-Quran dan al-Sunnah." [6] [6] Risālah al-Asmā’ allatī ‘allaqa al-Shāri‘ al-Aḥkām bihā (hlm: 35).
Dalil keempat: Qiyas yang konsisten. Allah SWT menjelaskan sebab hukum-hakam haid adalah kerana ia suatu kotoran. Maka setiap kali wujudnya haid, bererti wujud juga kotoran itu, tanpa mengambil kira bilangan hari. Tidak ada beza darah haid yang keluar 5 jam, dengan darah yang keluar 16 hari, semuanya kotoran. Maka hukum-hakam terkait dengannya. Haid adalah haid, dan kotoran adalah kotoran. Selagi mana faktor hukum wujud, maka hukumnya wujud juga. Bagaimana boleh untuk membezakan hukum antara darah haid keluar 20 jam dan keluar 24 jam kerana faktor hukumnya ada pada kedua-dua situasi, iaitu kotoran? Membezakan antara kedua-duanya menyelisihi qiyas yang benar kerana qiyas yang benar sepatutnya konsisten menatijahkan hukum yang sama pada kedua-dua situasi.
Dalil kelima: Perbezaan pendapat dan kekacauan pandangan dalam kalangan mereka yang menetapkan had tertentu menunjukkan bahawa tidak ada dalil yang jelas dan wajib diikuti dalam isu ini. Sebaliknya ia hanyalah ijtihad yang terdedah kepada kemungkinan benar atau salah, tanpa ada satu pendapat pun yang lebih layak diikuti berbanding yang lain. Apabila berlaku perselisihan, rujukan yang sebenar ialah kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Setelah jelas bahawa pendapat yang kuat ialah tiada had minimum dan maksimum bagi haid, maka ketahuilah bahawa setiap darah semulajadi yang dilihat oleh seorang wanita, jika bukan disebabkan oleh faktor lain, maka ia adalah darah haid, tanpa mengambil kira tempoh waktu. Kecuali jika darah tersebut keluar berterusan tanpa henti sepanjang tahun, maka keadaan itu dikira sebagai istihāḍah. Hukum-hakam istihāḍah akan dijelaskan kemudian, insya-Allah.
Shaykh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Hukum asal bagi setiap darah yang keluar dari rahim ialah ia dianggap haid, sehinggalah ada dalil yang menunjukkan ia adalah istihāḍah.” [7] [7] Risālah al-Asmā’ allatī ‘allaqa al-Shāri‘ al-Aḥkām bihā, hlm. 36.
Ibn Taimiyyah juga berkata: “Setiap darah yang keluar dari faraj dianggap haid selagi tidak dipastikan ia darah penyakit atau darah luka.” [8] [8] Risālah al-Asmā’ allatī ‘allaqa al-Shāri‘ al-Aḥkām bihā, hlm. 38.
Pendapat ini bukan sahaja lebih kuat dari sudut dalil, tetapi juga lebih mudah difahami, lebih jelas, dan lebih senang diamalkan berbanding pandangan yang menetapkan had tertentu. Segala sesuatu yang lebih mudah difahami dan diamalkan lebih utama untuk diterima, kerana ia selaras dengan roh agama Islam serta prinsip utamanya, iaitu kemudahan dan tidak menyusahkan. Allah SWT berfirman: "Allah tidak menjadikan sebarang kesukaran untuk kamu dalam agama." [Surah al-Hajj 22:78] Nabi SAW juga bersabda: “Sesungguhnya agama ini mudah. Tidak ada seorang pun yang memberatkan dirinya dengan agama melainkan agama akan mengalahkannya. Maka luruskanlah amalan kamu, dekatilah kesempurnaan semampu mungkin, dan bergembiralah dengan ganjaran dari Allah.” Riwayat al-Bukhari [9]. [9] Riwayat al-Bukhari (39) daripada Abu Hurairah RA.
Antara sikap Nabi SAW: “Jika baginda diberi dua pilihan, baginda akan memilih yang lebih mudah selama ia bukan dosa.” [10] [10] Riwayat al-Bukhari (3560) dan Muslim (2327). [2] Majmū‘ al-Fatāwā (19/238–239).
Isu Haid Ketika Kehamilan: [3] al-Awsaṭ (2/356).
Secara umumnya, kebanyakan wanita apabila hamil akan terhenti haidnya. Imam Ahmad RH berkata: “Wanita biasanya mengetahui dirinya hamil apabila haidnya terhenti.” [11] [11] Lihat: al-Mughnī (1/405).
Apabila seorang wanita hamil melihat darah, maka jika ia keluar dalam tempoh yang dekat dengan kelahiran, seperti dua atau tiga hari sebelum kelahiran, serta disertai dengan rasa sakit melahirkan (kontraksi), maka darah itu dihukumkan sebagai nifas. Jika darah itu keluar dalam tempoh yang lama sebelum kelahiran, atau dalam tempoh yang dekat tetapi tanpa disertai kontraksi, maka ia tidak dihukumkan sebagai nifas. Persoalannya, adakah ia dianggap sebagai darah haid, atau ia hanyalah darah fasad (darah penyakit)?
Dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Pendapat yang tepat ialah darah itu dihukumkan sebagai haid jika ia keluar mengikut kebiasaan haid wanita tersebut. Kerana asalnya, setiap darah yang keluar daripada wanita dianggap haid, selagi tidak ada sebab yang menafikan ia haid. Tambahan pula, tidak ada dalil daripada al-Quran atau al-Sunnah yang memustahilkan haid bagi wanita hamil.
Inilah juga mazhab Imam Malik [12] dan Imam al-Syafi‘i [13], serta merupakan pilihan Shaykh al-Islam Ibn Taimiyyah. Beliau berkata dalam al-Ikhtiyārāt (hlm. 30): "al-Bayhaqi juga meriwayatkannya sebagai salah satu pendapat Imam Ahmad, bahkan beliau menyebut bahawa Imam Ahmad kembali kepada pendapat ini." [12] al-Mudawwanah (1/155); al-Nawādir wa al-Ziyādāt (1/136). [13] Ikhtilāf al-Fuqahā’ li al-Marwazī (hlm. 193); al-Awsaṭ (2/239).
Kesimpulannya, wanita hamil juga mengalami haid seperti wanita lain, kecuali pada dua isu:
Isu pertama: Talak. Wanita yang tidak hamil tidak boleh ditalak ketika haid, tetapi dibenarkan talak wanita hamil yang sedang haid. Kerana talak wanita tidak hamil dalam keadaan haid menyalahi firman Allah: "Ceraikanlah mereka pada waktu mereka dapat menghadapi idahnya." [Surah al-Talaq 65:1], Sedangkan talak terhadap wanita hamil ketika haid tidak bercanggah dengan ayat tersebut. Kerana apabila seorang lelaki menceraikan isterinya yang hamil, dia tetap menceraikannya sesuai dengan idahnya, sama ada dia dalam keadaan haid ataupun suci, kerana idah wanita hamil dikira dengan kandungan. Oleh itu, tidak haram bagi seorang suami menceraikan isterinya yang hamil selepas jimak, berbeza dengan wanita selainnya.
Isu kedua: Haid wanita hamil tidak menjadikan idahnya tamat, berbeza dengan wanita yang tidak hamil. Ini kerana idah wanita hamil tidak akan tamat kecuali dengan melahirkan kandungannya, sama ada dia mengalami haid ataupun tidak. Allah SWT berfirman: “Dan wanita-wanita yang hamil, tempoh idah mereka ialah sehingga mereka melahirkan kandungannya.” [Surah al-Talaq 65:4]
Fasal Ketiga: Perubahan Tidak Normal pada Haid
Perubahan tidak normal pada haid terbahagi kepada beberapa jenis:
Jenis Pertama: Pertambahan atau Pengurangan. Contohnya, seorang wanita kebiasaannya haid selama enam hari, tetapi kali ini darahnya berterusan hingga tujuh hari. Atau kebiasaannya tujuh hari, tetapi kali ini dia sudah suci selepas enam hari.
Jenis Kedua: Datang Awal atau Lewat. Contohnya, kebiasaan seorang wanita datang haid pada akhir bulan, tetapi kali ini ia keluar pada awal bulan. Atau biasanya datang pada awal bulan, tetapi kali ini ia keluar pada akhir bulan.
Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum bagi dua jenis perubahan ini. Pendapat yang tepat ialah: selama wanita melihat darah, dia dikira haid; dan apabila dia suci daripadanya, dia dikira suci. Sama ada tempohnya lebih panjang daripada kebiasaannya atau lebih pendek, sama ada datang lebih awal atau lebih lewat daripada biasanya. Dalil tentang hal ini telah disebut dalam fasal sebelumnya, iaitu bahawa syarak menggantungkan hukum-hukum haid pada kewujudan haid itu sendiri.
Inilah mazhab al-Syafi‘i [14], juga wacana pilihan Shaykh al-Islam Ibn Taimiyyah [15], dan dikuatkan oleh Ibn Qudamah. Beliau berkata: “Sekiranya adat kebiasaan itu benar-benar diambil kira sebagaimana disebut dalam mazhab, nescaya Nabi SAW telah menjelaskannya kepada umatnya. Tidak mungkin Baginda menangguhkan penjelasan dalam hal yang sangat diperlukan. Hal ini kerana tidak harus menangguhkan penjelasan sesuatu hukum daripada waktunya. Sedangkan para isteri Baginda dan wanita lain sangat memerlukan penjelasan mengenai perkara ini pada setiap masa. Maka tidak mungkin Baginda SAW mengabaikan penjelasannya. Tidak terdapat daripada Nabi SAW sebarang keterangan mengenai adat kebiasaan haid, melainkan hanya berkaitan wanita istihadhah sahaja, tidak selain itu." [16] [14] al-Umm, jld. 1, hlm. 82. [15] Majmū‘ al-Fatāwā (19/238–239). [16] al-Mughnī (1/396).
Jenis Ketiga: Warna Kuning atau Keruh. Iaitu apabila seorang wanita melihat darah berwarna kuning seperti air luka, atau keruh antara warna kuning dan hitam. Jika ia keluar semasa haid atau bersambung dengan haid sebelum suci, maka ia dikira sebagai haid dan terpakai padanya hukum-hukum haid. Namun, jika ia keluar selepas suci, maka ia bukan haid. Hal ini berdasarkan kata-kata Ummu ‘Atiyyah RA: “Kami dahulu tidak mengira warna kuning atau keruh selepas suci sebagai apa-apa (yakni bukan haid).” Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan sanad yang sahih[17], Ia juga diriwayatkan oleh al-Bukhari, namun tanpa lafaz “selepas suci”. Akan tetapi, beliau memberi tajuk bab: “Bab Warna Kuning dan Keruh di Luar Waktu Haid.” [18] [17] Riwayat Abu Dawud (307). [18] Riwayat al-Bukhari (326).
Ibn Hajar berkata dalam Fath al-Bari: “Beliau (al-Bukhari) memberi isyarat menggabungkan hadis Aisyah RA yang telah disebut terdahulu, iaitu kata-katanya: ‘Sehinggalah kamu melihat cecair putih (tanda suci).’ dan juga hadis Ummu ‘Atiyyah RA yang disebut dalam bab ini. Maka hadis Aisyah RA itu difahami sebagai merujuk kepada keadaan apabila wanita melihat warna kuning atau keruh dalam waktu haid. Adapun jika ia muncul di luar waktu haid, maka hukumnya sebagaimana kata-kata Ummu ‘Atiyyah RA.” [19] [19] Fatḥ al-Bārī (1/426).
Hadis Aisyah RA yang dimaksudkan ialah nukilan al-Bukhari sebelum bab ini [20], bahawa para wanita biasa menghantar kepadanya al-darajah (iaitu sejenis kain atau kapas yang digunakan oleh wanita untuk mengetahui sama ada masih ada kesan haid), lalu didapati padanya kapas yang terkena warna kuning. Maka Aisyah RA berkata kepada mereka: “Janganlah kamu tergesa-gesa sehingga kamu melihat cecair putih (tanda suci).” [21] [20] Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, jld. 1, hlm. 71. [21] al-Bukhari (320).
Cecair putih ialah cairan tidak berwarna yang keluar dari rahim sebagai tanda berakhirnya haid.
Jenis Keempat: Haid yang Terputus-Putus Iaitu apabila seorang wanita melihat darah sehari, kemudian suci sehari, lalu berulang seperti itu. Keadaan ini ada dua situasi:
Situasi Pertama: Jika keadaan ini berlaku kepada wanita secara berterusan sepanjang masanya, maka itu adalah darah istihadhah. Hukum yang terpakai baginya ialah hukum wanita istihadhah.
Situasi Kedua: Jika darah itu tidak berterusan, sebaliknya hanya keluar pada waktu tertentu, dan wanita itu masih mempunyai tempoh suci yang sebenar. Maka para ulama rahimahumullah berbeza pendapat tentang tempoh suci (naqā’) ini: adakah ia dikira sebagai suci, atau adakah ia masih dianggap berada dalam hukum haid?
Menurut mazhab al-Syafi‘i, dalam pendapat yang paling sahih, tempoh bersih (naqā’) di tengah-tengah haid tetap dikira sebagai haid [22]. Pandangan ini juga dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan penulis al-Fā’iq [23], serta merupakan pendapat mazhab Abu Hanifah [24]. Ini kerana tanda suci sebenar, iaitu cecair putih (al-qassah al-bayda’), tidak muncul dalam tempoh bersih tersebut. Kalau tempoh itu dianggap suci, maka darah sebelum dan selepasnya akan dikira sebagai dua haid yang berasingan. Tidak ada ulama yang mengatakan begitu. Jika dianggap begitu, seorang wanita boleh tamat idah hanya dengan lima hari haid, dan ini jelas tidak masuk akal. Selain itu, jika tempoh bersih itu dianggap sebagai suci, ia akan menyusahkan wanita kerana terpaksa mandi wajib berulang kali, mungkin setiap dua hari. Sedangkan Islam menolak kesukaran dan kesempitan dalam agama. Segala puji bagi Allah. [22] al-Umm, jld. 1, hlm. 83–84. [23] Dinukilkan daripada mereka dalam al-Insaf. [24] al-Asl, jld. 2, hlm. 19–20.
Pandangan masyhur dalam mazhab Hanbali ialah darah itu dikira sebagai haid, manakala tempoh bersih (naqā’) dianggap suci. Namun, jika jumlah keseluruhannya melebihi tempoh maksimum haid, maka darah yang melebihi had itu dihukumkan sebagai istihadhah [25]. [25] al-Mughni, jld. 1, hlm. 226.
Dalam al-Mughni disebut: “Ada pandangan yang menyatakan bahawa jika darah terhenti kurang daripada sehari, maka itu tidak dianggap sebagai suci. Pandangan ini berdasarkan riwayat tentang nifas yang tidak diambil kira jika kurang daripada sehari. Inilah pendapat yang lebih sahih kerana darah boleh saja mengalir sekali-sekala lalu berhenti. Jika diwajibkan mandi setiap kali darah terhenti seketika, ia akan menimbulkan kesulitan, sedangkan Allah SWT berfirman:” “…Dan Dia tidak menjadikan untuk kamu sebarang kesukaran dalam agama…” [Surah al-Hajj 22:78] Beliau (Ibn Qudamah) berkata: “Berdasarkan hal ini, darah yang terhenti kurang daripada sehari tidak dianggap sebagai suci, kecuali jika ada tanda yang menunjukkan suci, seperti berhentinya darah pada akhir kebiasaan haidnya, atau keluarnya cecair putih (al-qassah al-bayda’).” [26] [26] al-Mughni, jld. 1, hlm. 257.
Maka pendapat penulis al-Mughni ini berada di pertengahan antara dua pandangan yang berbeza dan Allah jualah yang lebih mengetahui kebenaran.
Jenis Kelima: Kekeringan pada Darah. Apabila seorang wanita hanya melihat kelembapan semata-mata tanpa ada darah. Jika keadaan ini berlaku ketika haid masih berjalan, atau bersambung sebelum benar-benar suci, maka ia masih dikira haid. Tetapi jika berlaku selepas suci, maka ia bukan haid. Apabila seorang wanita hanya melihat kelembapan tanpa darah, keadaannya dianggap sama seperti warna kuning (ṣufrah) atau keruh (kudrah).
Fasal Keempat: Beberapa Hukum-Hakam Haid
Haid berkaitan dengan banyak hukum, lebih daripada dua puluh. Di sini akan disebut hanya sebahagian daripadanya, iaitu yang paling diperlukan.
Pertama: Solat. Haram bagi wanita yang haid menunaikan solat, sama ada solat fardu atau solat sunat, dan solat itu juga tidak sah daripadanya. Wanita haid juga tidak wajib qada solat, kecuali jika dia sempat mendapati waktu solat sebanyak satu rakaat penuh. Maka dalam keadaan itu, solat tersebut wajib ke atasnya, sama ada rakaat itu didapati pada awal waktu atau pada akhirnya.
Contoh dari awal waktu: Seorang wanita didatangi haid selepas masuk waktu Maghrib, sedangkan sebelum itu dia masih sempat menunaikan kadar satu rakaat. Maka apabila dia suci, wajib ke atasnya qada solat Maghrib, kerana dia telah mendapati kadar satu rakaat daripada waktunya sebelum didatangi haid.
Contoh dari akhir waktu: Seorang wanita suci daripada haid sebelum terbit matahari dengan sempat mendapati kadar satu rakaat. Maka apabila dia mandi wajib, wajib ke atasnya qada solat Subuh kerana dia telah mendapati sebahagian waktu yang mencukupi untuk satu rakaat.
Namun, jika wanita haid hanya sempat mendapati sebahagian kecil daripada waktu solat yang tidak mencukupi untuk satu rakaat penuh, contohnya dia didatangi haid sejurus selepas matahari terbenam (dalam contoh pertama), atau dia suci sejurus sebelum terbit matahari (dalam contoh kedua), maka solat itu tidak wajib ke atasnya. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang sempat mendapat satu rakaat daripada solat, maka dia dianggap telah mendapat solat itu.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.[27] Mafhum hadis ini ialah: sesiapa yang sempat mendapati kurang daripada satu rakaat, maka dia tidak dianggap sempat mendapati solat tersebut. [27] Riwayat al-Bukhari (580) dan Muslim (607) daripada Abu Hurairah RA.
[27] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (580) dan Muslim (607) daripada Abu Hurairah RA.
Dalam hal ini terdapat khilaf (perbezaan pendapat) dalam kalangan ulama. Namun, pendapat yang tepat ialah: wanita haid tidak wajib qada solat kecuali solat yang sempat dia dapati waktunya, iaitu solat Asar dan solat Isyak sahaja. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang sempat melakukan satu rakaat solat asar sebelum matahari terbenam, dia dikira melakukan semua solat asar pada waktunya." Riwayat Bukhari dan Muslim.[28] Nabi SAW tidak pula bersabda: “…maka dia dianggap sempat mendapat solat Zohor dan Asar sekaligus.” [28] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (579) dan Muslim (608) daripada Abu Hurairah RA.
Baginda SAW juga tidak menyebut kewajipan menunaikan solat Zohor. Hukum asal ialah seseorang itu bebas daripada tanggungan kewajipan sehingga ada dalil yang mewajibkannya. Inilah pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, sebagaimana dinukilkan dalam Syarh al-Muhazzab [29]. [29] al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, jld. 3, hlm. 70.
Adapun zikir, takbir, tasbih, tahmid, membaca bismillah ketika makan dan perkara seumpamanya, membaca hadis, mempelajari fiqh, berdoa, mengaminkan doa, serta mendengar bacaan al-Quran — semua itu tidak haram bagi wanita haid. “Nabi SAW pernah bersandar di pangkuan Aisyah RA ketika beliau sedang haid, lalu Baginda membaca al-Quran.” [30] [30] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (297) dan Muslim (301) daripada Aisyah RA.
Dalam Riwayat al-Bukhari dan Muslim juga, Ummu ‘Atiyyah RA meriwayatkan bahawa beliau pernah mendengar Nabi SAW bersabda: “Hendaklah keluar juga para gadis, wanita yang tinggal di rumah, dan wanita-wanita yang sedang haid — yakni ke tempat solat hari raya. Mereka menyaksikan kebaikan dan doa kaum Muslimin, tetapi wanita haid hendaklah menjauhi tempat solat.” [31] [31] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (324) dan Muslim (890).
Adapun bacaan al-Quran oleh wanita haid, jika sekadar melihat dengan mata atau membaca dengan hati tanpa melafazkan dengan lidah, maka tidak mengapa. Contohnya, apabila mushaf atau papan tulis diletakkan di hadapannya, lalu dia melihat ayat-ayat al-Quran dan membacanya dalam hati. Al-Nawawi berkata dalam Syarh al-Muhazzab: “Hal itu harus tanpa sebarang khilaf (perselisihan pendapat).” [32] [32] al-Majmu‘, jld. 2, hlm. 357.
Adapun jika wanita haid membaca al-Quran dengan melafazkannya menggunakan lidah, maka jumhur ulama berpendapat hal itu dilarang dan tidak dibolehkan. Namun, al-Bukhari [33], Ibn Jarir al-Tabari [34], dan Ibn al-Mundzir [35] berpendapat bahawa ia harus (dibenarkan). [33] Lihat Sahih al-Bukhari, Kitab al-Haid, Bab Wanita Haid Menunaikan Semua Manasik Haji Kecuali Tawaf di Baitullah; dan Fath al-Bari, jld. 1, hlm. 407–408. [34] Fath al-Bari, jld. 1, hlm. 408. [35] al-Awsat, jld. 2, hlm. 223.
Pendapat harusnya bacaan al-Quran bagi wanita haid juga dinukilkan daripada Imam Malik, dan daripada Imam al-Syafi‘i dalam qaul qadim (pendapat lamanya) [36], sebagaimana disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari [37]. [36] al-Majmu‘, jld. 2, hlm. 356. [37] Fath al-Bari, jld. 1, hlm. 408.
Al-Bukhari juga meriwayatkan secara ta‘liq daripada Ibrahim al-Nakha‘i: “Tidak mengapa seorang wanita haid membaca satu ayat.” [38] [38] Diriwayatkan secara ta‘liq oleh al-Bukhari dalam Kitab al-Haid, Bab Wanita Haid Menunaikan Semua Manasik Haji Kecuali Tawaf di Baitullah, sebelum hadis no. 305.
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata dalam al-Fatawa yang dihimpunkan oleh Ibn Qasim: “Tidak ada satu pun sunnah yang melarang wanita haid daripada membaca al-Quran. Sesungguhnya sabda Baginda:” “Wanita haid dan orang yang berjunub tidak boleh membaca sedikit pun daripada al-Quran.” [39] Hadis ini adalah dhaif (lemah) menurut kesepakatan ahli ilmu hadis [40]. [39] Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dalam Abwab al-Taharah, Bab Orang Junub dan Wanita Haid Tidak Membaca al-Quran, no. 131. [40] Lihat: al-‘Ilal oleh al-Tirmizi, hlm. 69 (tertibnya); al-Sunan al-Kubra oleh al-Bayhaqi, jld. 1, hlm. 309; al-Ahkam al-Shar‘iyyah oleh Ibn ‘Abd al-Haqq, jld. 1, hlm. 504; dan Nasb al-Rayah oleh al-Zayla‘i, jld. 1, hlm. 195.
Wanita pada zaman Nabi SAW juga mengalami haid. Jika benar bacaan al-Quran diharamkan ke atas mereka sebagaimana solat, nescaya Nabi SAW telah menjelaskan perkara itu kepada umatnya. Para isteri Baginda (Ummahat al-Mu’minin) tentu mengetahuinya, dan mereka pasti akan menyampaikan hukum tersebut kepada masyarakat. Maka apabila tidak ada seorang pun yang meriwayatkan daripada Nabi SAW larangan dalam hal ini, kita tidak boleh menganggapnya sebagai sesuatu yang haram. Lebih-lebih lagi jika kita tahu Baginda tidak pernah melarangnya. Dan jika benar ia dilarang, tentu Baginda sudah melarangnya pada zamannya kerana ramai wanita yang mengalami haid ketika itu. Oleh sebab tiada larangan, maka jelaslah bahawa ia bukan perkara yang haram. [41] [41] Majmu‘ al-Fatawa, jld. 26, hlm. 191.
Setelah kita mengetahui adanya perbezaan pendapat dalam kalangan ulama, maka yang lebih utama ialah wanita haid tidak membaca al-Quran dengan melafazkannya, kecuali jika ada keperluan. Contohnya, apabila dia seorang guru yang perlu membimbing para pelajar, atau seorang pelajar yang perlu membaca ketika ujian, atau keadaan lain yang seumpamanya.
Kedua: Puasa. Haram bagi wanita haid berpuasa, sama ada puasa wajib atau sunat, dan puasanya juga tidak sah. Namun, dia wajib menggantikan (qada) puasa wajib yang ditinggalkan. Hal ini berdasarkan hadis Aisyah RA: “Kami dahulu juga mengalami haid. Maka kami diperintahkan untuk menggantikan puasa, tetapi tidak diperintahkan untuk menggantikan solat.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim[42]. [42] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Kitab al-Haid, Bab Wanita Haid Tidak Wajib Mengqada Solat, no. 321; dan Muslim dalam Kitab al-Haid, Bab Kewajipan Mengqada Puasa ke atas Wanita Haid dan Tidak Solat, no. 335. Lafaz ini adalah daripada riwayat Muslim.
Jika seorang wanita didatangi haid ketika sedang berpuasa, maka puasanya terbatal, sekalipun haid itu datang hanya sesaat sebelum matahari terbenam. Dia wajib menggantikan puasa hari tersebut jika ia adalah puasa wajib. Namun, jika seorang wanita merasa darah haid telah bergerak sebelum matahari terbenam, tetapi darah itu hanya keluar selepas matahari terbenam, maka puasanya tetap sah dan tidak batal menurut pendapat yang sahih. Ini kerana darah yang masih berada di dalam tubuh tidak memberi sebarang hukum.
Selain itu, ketika Nabi SAW ditanya tentang seorang wanita yang bermimpi sebagaimana mimpi seorang lelaki (mimpi basah), adakah dia wajib mandi junub? Baginda SAW menjawab: “Ya, jika dia melihat air (mani).” [43] Maka hukum itu dikaitkan dengan kelihatan mani, bukan dengan pergerakannya sahaja. Begitu juga dengan haid, hukum-hukumnya hanya terpakai apabila darah itu keluar, bukan sekadar apabila ia bergerak di dalam tubuh. [43] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (130) dan Muslim (313).
Jika seorang wanita didatangi haid ketika masuk waktu Subuh, maka puasanya pada hari itu tidak sah, sekalipun dia suci sejurus selepas terbit fajar.
Jika seorang wanita suci daripada haid sejurus sebelum terbit fajar lalu dia berpuasa, maka puasanya sah — walaupun dia hanya mandi wajib selepas masuk Subuh. Hukumnya sama seperti orang yang berjunub: Jika dia berniat puasa ketika masih berjunub dan hanya mandi selepas terbit fajar, maka puasanya tetap sah. Berdasarkan hadis Aisyah RA, beliau berkata: “Nabi SAW pernah memasuki waktu Subuh dalam keadaan junub kerana jima‘, bukan kerana mimpi, lalu Baginda tetap berpuasa pada bulan Ramadan.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim [44]. [44] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (1931) dan Muslim (1109).
Ketiga: Tawaf di Kaabah. Haram bagi wanita haid melakukan tawaf di Kaabah, sama ada tawaf wajib mahupun tawaf sunat. Tawafnya juga tidak sah jika dilakukan dalam keadaan haid. Adapun amalan-amalan haji dan umrah yang lain — seperti sa‘i antara Safa dan Marwah, wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan Mina, melontar jamrah, serta manasik yang lain — semua itu tidak haram dilakukan oleh wanita yang sedang haid. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Aisyah ketika beliau didatangi haid: “Lakukanlah segala yang dilakukan oleh orang yang menunaikan haji, kecuali janganlah engkau bertawaf di Kaabah sehingga engkau suci.” [45] [45] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (305) dan Muslim (1211).
Berdasarkan hal ini, jika seorang wanita selesai bertawaf dalam keadaan suci, kemudian darah haid keluar sejurus selepas tawaf, atau ketika dia sedang melakukan sa‘i, maka tidak ada masalah baginya.
Keempat: Gugurnya Tawaf Wada‘ bagi Wanita Haid. Jika seorang wanita telah menyempurnakan semua manasik haji atau umrah, kemudian didatangi haid sebelum dia berangkat pulang ke negerinya, dan haid itu berterusan sehingga waktu keluar, maka dia boleh keluar tanpa melakukan tawaf wada‘. Berdasarkan hadis Ibn Abbas RA, beliau berkata: "Manusia diperintahkan agar akhir ibadah mereka di Kaabah adalah tawaf, kecuali wanita yang sedang haid." Riwayat al-Bukhari dan Muslim[46]. [46] Riwayat oleh al-Bukhari (1755) dan Muslim (1328).
Tidak disunatkan bagi wanita haid ketika hendak pulang (dari Makkah) untuk datang ke pintu Masjidil Haram lalu berdoa. Hal ini kerana perkara tersebut tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW, sedangkan ibadah itu dibina atas dasar dalil yang sahih. Bahkan riwayat daripada Nabi SAW menunjukkan sebaliknya. Dalam kisah Safiyyah RA, ketika beliau didatangi haid selepas selesai melakukan tawaf ifadah, Nabi SAW bersabda kepadanya: “Kalau begitu, bolehlah dia berangkat pulang.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim[47] . [47] Riwayat al-Bukhari (1757) dan Muslim (1211).
Baginda SAW tidak memerintahkan Safiyyah untuk hadir ke pintu masjid. Jika perkara itu disyariatkan, tentu baginda telah menjelaskannya. Adapun tawaf haji dan tawaf umrah, ia tidak gugur daripada wanita haid. Sebaliknya, dia mesti melaksanakannya selepas dia suci.
Hukum Kelima: Duduk di dalam masjid Haram bagi wanita haid untuk duduk atau berlama-lama di dalam masjid. Bahkan di tempat solat hari raya sekalipun, haram baginya untuk menetap di situ. Berdasarkan hadis Ummu ‘Atiyyah RA: beliau mendengar Nabi SAW bersabda: “Para gadis, wanita yang dipingit, dan juga wanita haid hendaklah keluar (ke tempat solat hari raya).” Dan dalam hadis itu juga disebutkan: “Wanita yang haid hendaklah menjauhi tempat solat.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim[48]. [48] Riwayat al-Bukhari (324) dan Muslim (890).
Hukum Keenam: Persetubuhan Haram bagi suami menyetubuhi isterinya yang sedang haid, dan haram juga bagi si isteri membiarkan suaminya melakukan perkara itu. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: itu adalah suatu kotoran, maka jauhilah wanita ketika haid. Janganlah kamu dekati mereka sehingga mereka suci…” [Surah al-Baqarah 2:222] Yang dimaksudkan dengan “al-mahīdh” ialah masa haid dan tempat keluarnya haid, iaitu faraj. Dan juga berdasarkan sabda Nabi SAW: “Lakukanlah semua perkara (dengan isteri yang haid) kecuali persetubuhan.” Maksudnya ialah persetubuhan. Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim [49]. Hal ini kerana kaum Muslimin telah bersepakat (ijmak) tentang haramnya menyetubuhi wanita haid pada farajnya. [49] Riwayat Muslim (302).
Maka tidak halal bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berani melakukan perkara mungkar ini, yang telah jelas dilarang oleh Kitab Allah SWT, sunnah Rasul-Nya SAW, serta ijmak kaum Muslimin. Jika dia melakukannya, maka dia termasuk golongan yang menentang Allah dan Rasul-Nya, dan mengikuti jalan selain jalan orang-orang yang beriman. Disebut dalam al-Majmū‘ Syarh al-Muhadhdhab (jilid 2, hlm. 374): Imam al-Syafi‘i RA berkata: “Sesiapa yang melakukan perbuatan itu (menyetubuhi wanita haid), maka dia telah melakukan dosa besar.” Para ulama mazhab kami (Syafi‘iyyah) dan juga selain mereka berkata: “Sesiapa yang menghalalkan persetubuhan dengan wanita haid, maka dia dihukum kafir.” — Tamat nukilan.
Dan telah diharuskan baginya — alhamdulillah — perkara yang boleh meredakan syahwatnya selain daripada persetubuhan, seperti mencium, memeluk, dan bersentuhan pada selain faraj. Namun yang lebih utama ialah tidak melakukan sentuhan di bahagian antara pusat hingga lutut, kecuali dengan berlapik. Berdasarkan perkataan Aisyah RA: “Nabi SAW biasa memerintahkanku untuk memakai kain sarung, lalu Baginda bermesra denganku sementara aku sedang haid.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim[50]. [50] Riwayat al-Bukhari (301) dan Muslim (293).
Hukum Ketujuh: Talak Haram bagi seorang suami menceraikan isterinya ketika dia sedang haid. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “Wahai Nabi! Apabila kamu menceraikan para wanita, maka ceraikanlah mereka pada waktu idah mereka (yang sesuai dengan ketentuan syarak)…” [Surah al-Talaq, 65:1] Maksudnya: Talak hanya boleh dijatuhkan ketika isteri berada dalam keadaan yang membolehkannya memulakan idah yang jelas. Kerana apabila seorang wanita diceraikan ketika sedang haid, maka dia tidak memulakan idahnya. Hal ini kerana haid yang berlaku ketika dia diceraikan itu tidak dikira sebagai sebahagian daripada idah. Dan apabila dia diceraikan dalam keadaan suci tetapi selepas disetubuhi, idah yang akan dihadapinya juga tidak jelas. Ini kerana tidak diketahui sama ada dia hamil daripada persetubuhan itu — maka idahnya ialah dengan kelahiran anak — atau jika dia tidak hamil, maka idahnya dikira dengan bilangan haid. Oleh itu, apabila tidak wujud kepastian tentang jenis idah yang akan dijalani, maka haramlah suami menjatuhkan talak sehingga perkara itu menjadi jelas.
Maka menceraikan wanita ketika haid adalah haram, berdasarkan ayat yang telah disebutkan sebelum ini. Dan juga berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim serta selainnya, daripada Ibn ‘Umar RA: “Sesungguhnya dia telah menceraikan isterinya ketika haid." Lalu Umar RA memberitahu hal itu kepada Nabi SAW. Maka Rasulullah SAW pun marah kerana perkara tersebut, lalu Baginda bersabda: “Perintahkan dia supaya merujuk kembali isterinya. Kemudian biarkanlah dia menahannya (tidak menceraikan) sehingga dia suci, lalu datang haid semula, kemudian suci kembali. Setelah itu, jika dia mahu, dia boleh terus menahannya, dan jika dia mahu, dia boleh menceraikannya sebelum menyetubuhinya. Itulah idah yang Allah perintahkan supaya wanita diceraikan menurutnya.” [51]
Maka, jika seorang lelaki menceraikan isterinya ketika haid, dia berdosa. Dia wajib bertaubat kepada Allah SWT dan mengembalikan isterinya ke dalam pernikahannya. Kemudian, jika mahu menceraikannya lagi, hendaklah dia menceraikannya dengan cara yang sah menurut syariat, sesuai dengan perintah Allah dan Rasul-Nya. Caranya ialah: setelah dia merujuk isterinya, biarkan isterinya sehingga suci daripada haid yang sedang dialami ketika talak itu dijatuhkan. Kemudian, biarkan dia melalui satu kali haid lagi. Setelah itu, apabila dia suci, suami diberi pilihan sama ada mahu terus mengekalkan perkahwinan atau mahu menceraikannya, dengan syarat talak itu dilakukan sebelum dia menyetubuhi isterinya semula. [51] Riwayat al-Bukhari (5251) dan Muslim (1471) daripada Ibn ‘Umar RA.
Terdapat tiga keadaan yang dikecualikan daripada larangan menceraikan isteri ketika haid:
Pertama: Jika talak dijatuhkan sebelum suami berdua-duaan dengan isterinya atau sebelum menyetubuhinya, maka tidak mengapa menceraikannya ketika dia sedang haid. Kerana dalam keadaan itu isteri tidak mempunyai idah, maka talaknya tidak dianggap bercanggah dengan syariat. “…maka ceraikanlah mereka pada waktu idah mereka (yang sesuai dengan ketentuan syarak)…” [Surah al-Talaq, 65:1]
Kedua: Jika haid berlaku ketika wanita itu sedang hamil, maka dibolehkan menceraikannya. Sebab hal ini telah dijelaskan sebelumnya.
Ketiga: Jika talak itu berlaku dengan bayaran tebus cerai (khulu‘), maka tidak mengapa suami menceraikannya ketika isteri sedang haid.
Contohnya: apabila berlaku pertengkaran dan hubungan yang buruk antara suami isteri, lalu suami menerima bayaran tebusan untuk menceraikannya. Dalam keadaan ini, talak tetap dibolehkan walaupun si isteri sedang haid. Berdasarkan hadis Ibn ‘Abbas RA: Isteri Thabit bin Qais bin Syammas datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak mencelanya dari segi akhlak dan agamanya. Tetapi aku tidak suka berlaku kufur dalam Islam (iaitu enggan menunaikan kewajipan sebagai isteri kerana tidak sanggup lagi hidup bersamanya).” “Adakah kamu akan mengembalikan kebunnya kepadanya?” Wanita itu menjawab: “Ya.” “Terimalah kebunnya itu, dan ceraikanlah dia dengan satu talak.” Riwayat al-Bukhari[52].
Dan Nabi SAW tidak bertanya sama ada wanita itu sedang haid atau dalam keadaan suci. Ini kerana talak dalam bentuk khulu‘ ialah tebusan yang dilakukan oleh wanita untuk melepaskan dirinya. Maka ia dibolehkan ketika ada keperluan, tanpa mengira dalam keadaan apa sekalipun (sama ada haid atau suci). [52] Riwayat al-Bukhari (5273), daripada Ibn ‘Abbas RA.
Ibn Qudamah berkata dalam al-Mughni ketika memberikan alasan tentang keharusan khulu‘ pada waktu haid (jilid 7, hlm. 52, cetakan Mesir): “Larangan menceraikan isteri ketika haid adalah kerana mudarat yang menimpanya akibat idah yang lebih panjang. Adapun khulu‘ dibolehkan kerana bertujuan menghilangkan mudarat yang lebih besar, iaitu buruknya hubungan rumah tangga dan keberadaan isteri bersama orang yang dia benci dan tidak sukai. Keadaan ini lebih berat mudaratnya daripada sekadar idah yang panjang. Oleh itu, dibolehkan menolak mudarat yang lebih besar dengan menanggung mudarat yang lebih kecil. Inilah sebabnya Nabi SAW tidak bertanya tentang keadaan wanita yang melakukan khulu‘, sama ada dia sedang haid atau suci.” — Tamat nukilan.
Adapun akad nikah dengan seorang wanita ketika dia sedang haid, hukumnya tidak mengapa. Ini kerana hukum asalnya adalah harus, dan tidak ada dalil yang melarangnya. Namun, berhubung dengan suami bergaul dengan isterinya yang sedang haid, perkara ini perlu diperhatikan: Jika diyakini suami dapat menahan diri daripada menyetubuhinya, maka tidak mengapa dia masuk menemui isterinya. Jika tidak diyakini, maka sebaiknya suami tidak masuk menemuinya sehingga isterinya suci, kerana dikhuatiri terjerumus kepada perkara yang dilarang.
Hukum Kelapan: Menjadikan haid sebagai asas kiraan idah talak. Apabila seorang suami menceraikan isterinya selepas menyetubuhinya atau selepas berdua-duaan dengannya, maka isterinya wajib menjalani idah dengan tiga kali haid yang sempurna, sekiranya dia termasuk wanita yang mengalami haid dan tidak hamil. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan para wanita yang diceraikan hendaklah menunggu (menjalani idah) selama tiga kali suci/haid...” [Surah al-Baqarah, 2:228] Maksudnya ialah tiga kali haid. Jika wanita itu hamil, maka idahnya ialah sehingga dia melahirkan kandungannya, sama ada tempohnya panjang atau singkat. “…Dan wanita-wanita yang hamil, masa idah mereka ialah sehingga mereka melahirkan kandungannya…” [Surah al-Talaq, 65:4] Dan jika wanita itu termasuk golongan yang tidak mengalami haid, seperti: - anak kecil yang belum mula datang haid, - wanita yang sudah putus haid kerana usia tua, - wanita yang rahimnya telah dibuang melalui pembedahan, - sebab lain yang menyebabkan dia tidak lagi berpeluang untuk kembali haid, maka idahnya ialah tiga bulan. “Dan wanita-wanita dalam kalanganmu yang telah putus haid, jika kamu ragu (tentang idah mereka), maka idah mereka ialah tiga bulan. Begitu juga dengan wanita-wanita yang belum datang haid…” [Surah al-Talaq, 65:4] Dan jika wanita itu termasuk golongan yang asalnya mempunyai haid, tetapi haidnya terhenti kerana sebab yang diketahui seperti sakit atau menyusukan anak, maka dia tetap berada dalam tempoh idah, walaupun tempohnya panjang, sehingga haidnya kembali semula. Setelah haid datang, barulah dia menyempurnakan idahnya dengan kiraan haid tersebut. Jika sebab ketiadaan haid itu telah hilang, tetapi haid tetap tidak kembali — contohnya apabila dia telah sembuh daripada sakit atau selesai menyusukan anak, namun darah haid masih tidak muncul — maka idahnya ialah satu tahun penuh bermula dari waktu hilangnya sebab tersebut. Dan inilah pendapat yang sahih, yang selaras dengan kaedah-kaedah syariat. Kerana apabila sebab ketiadaan haid itu telah hilang tetapi haid tetap tidak kembali, kedudukannya sama seperti wanita yang haidnya terhenti tanpa sebab yang diketahui. Dan jika haid seorang wanita terhenti tanpa sebab yang jelas, maka idahnya ialah satu tahun penuh: - Sembilan bulan dikira sebagai tempoh mengandung (sebagai langkah berjaga-jaga kerana itu kebiasaan tempoh kehamilan), - Tiga bulan dikira sebagai tempoh idah.
Adapun jika talak dijatuhkan selepas akad nikah tetapi sebelum berlaku persetubuhan atau berdua-duaan, maka tidak ada idah sama sekali — tidak dengan haid dan tidak juga dengan cara lain. “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menikahi wanita-wanita beriman kemudian kamu menceraikan mereka sebelum kamu menyentuh mereka, maka sekali-kali tidak ada idah atas mereka yang perlu kamu hitung...” [Surah al-Ahzab, 33:49]
Hukum Kesembilan: Hukum berkaitan dengan memastikan rahim bebas daripada kandungan. Maksudnya ialah memastikan bahawa rahim wanita itu tidak mengandung. Perkara ini diperlukan setiap kali timbul keperluan untuk memastikan rahim kosong, dan ia mempunyai beberapa keadaan (perbincangan khusus).
Antara keadaannya ialah: jika seseorang meninggal dunia meninggalkan seorang wanita yang mungkin sedang hamil daripadanya, dan wanita itu sudah bersuami, maka suaminya (yang sekarang) tidak boleh menyetubuhinya sehingga jelas keadaannya — sama ada dia datang haid atau nyata tanda kehamilan. - Jika terbukti dia hamil, maka janin itu berhak mendapat pusaka, kerana dihukumkan wujud pada saat kematian pewaris. - Jika dia datang haid, maka dihukumkan rahimnya kosong, dan janin tidak wujud, maka tiada hak pusaka untuknya.
Hukum Kesepuluh: Kewajipan mandi hadas besar. Apabila wanita haid telah suci, wajib ke atasnya untuk mandi dengan menyucikan seluruh tubuh badan. Berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Fatimah binti Abi Hubaysh: “Apabila datang haid, tinggalkanlah solat. Dan apabila haid telah berhenti, maka mandilah dan kerjakanlah solat.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari[53].
Sekurang-kurangnya yang wajib dalam mandi hadas besar ialah meratakan air ke seluruh tubuh, termasuk bahagian bawah rambut. Adapun yang paling sempurna ialah melakukannya sebagaimana sifat mandi yang disebutkan dalam hadis. Daripada Nabi SAW, ketika Asma’ binti Syakal bertanya kepada Baginda tentang cara mandi haid, maka Nabi SAW bersabda: “Hendaklah salah seorang daripada kamu mengambil airnya dan daun bidara (sidr), lalu dia bersuci dengan sebaik-baiknya. Kemudian dia menuangkan air ke atas kepalanya dan menggosok rambutnya dengan kuat sehingga sampai ke pangkal rambut. Setelah itu dia menuangkan air ke seluruh tubuhnya. Kemudian dia mengambil sepotong kain yang diberi minyak wangi kasturi (misk) lalu dia bersuci dengannya.” Asma’ pun bertanya: “Bagaimana cara bersuci dengan kain itu?” Baginda SAW menjawab: “Subhanallah!” (Maha Suci Allah). Lalu Aisyah RA berkata kepadanya: “Engkau membersihkan kesan darah itu (dengan kain berwangian tersebut).” Diriwayatkan oleh Muslim[54]. [53] Riwayat al-Bukhari (320) dan Muslim (333), daripada Aisyah RA.
Tidak wajib meleraikan ikatan rambut ketika mandi wajib, kecuali jika rambut itu diikat dengan kuat sehingga dikhuatiri air tidak sampai ke pangkalnya. Sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim daripada Ummu Salamah RA: Beliau bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, aku seorang wanita yang mengikat rambutku dengan kuat. Adakah aku perlu meleraikannya ketika mandi junub?” Dalam satu riwayat lain: “…untuk mandi haid dan junub?” Maka Baginda SAW menjawab: “Tidak. Sesungguhnya cukuplah bagimu menuangkan tiga cedokan air ke atas kepalamu, kemudian engkau meratakan air ke seluruh tubuhmu, maka engkau pun menjadi suci.” [55] [54] Riwayat al-Bukhari (315) dan Muslim (332), daripada Aisyah RA.
Apabila seorang wanita haid telah suci dalam waktu solat, wajib baginya segera mandi supaya dapat menunaikan solat dalam waktunya. Jika dia dalam perjalanan dan tidak ada air, atau ada air tetapi dia khuatir akan mudarat jika menggunakannya, atau dia sakit sehingga penggunaan air memudaratkannya, maka dia boleh bertayammum sebagai ganti daripada mandi wajib. Apabila halangan itu hilang, maka dia wajib mandi seperti biasa. [55] Riwayat Muslim (330) daripada Ummu Salamah RA.
Ada sebahagian wanita yang suci daripada haid ketika masih dalam waktu solat, tetapi mereka menangguhkan mandi hingga waktu lain. Mereka berdalih bahawa pada waktu itu mereka tidak sempat untuk bersuci dengan sempurna. Namun, alasan ini bukanlah hujah yang sah dan tidak boleh dijadikan alasan. Kerana sebenarnya dia boleh mencukupkan dirinya dengan mandi sekadar yang paling minimum yang wajib, lalu menunaikan solat dalam waktunya. Kemudian apabila ada kelapangan masa, barulah dia menyempurnakan mandi dengan cara yang lengkap.
Fasal Kelima: Istiḥāḍah dan Hukum-Hakamnya
Istihadhah ialah darah yang terus-menerus keluar daripada seorang wanita, sama ada ia tidak berhenti sama sekali atau hanya berhenti untuk tempoh yang sangat singkat, seperti sehari atau dua hari dalam sebulan.
Dalil bagi keadaan pertama — iaitu apabila darah tidak berhenti langsung — ialah sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari daripada Aisyah RA, beliau berkata: Fatimah binti Abi Hubaysh berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah suci (daripada darah).” Dalam sebuah riwayat, “Aku mengalami istihadhah, sehingga aku tidak pernah suci (darah tidak berhenti).” [56]
Dalil bagi keadaan kedua — iaitu apabila darah hanya berhenti sebentar — ialah daripada Hamnah binti Jahsy. “Wahai Rasulullah, aku mengalami istihadhah dengan darah yang sangat banyak dan kuat.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, dan al-Tirmizi [57]. Al-Tirmizi mensahihkannya dan beliau juga menukilkan bahawa Imam Ahmad mensahihkannya, manakala al-Bukhari menilainya sebagai hadis hasan [58]. [56] Riwayat al-Bukhari (228) dan Muslim (333) daripada Aisyah RA.
Keadaan-keadaan istihadhah:
[57] Riwayat Ahmad (6/349), Abu Dawud (287) dan al-Tirmizi (128) daripada Hamnah binti Jahsh RA. [58] Sunan al-Tirmizi (128).
Terdapat tiga keadaan bagi wanita istihadhah:
Keadaan pertama: Jika seorang wanita mempunyai tempoh haid yang sudah tetap dan diketahui sebelum dia mengalami istihadhah, maka dia kembali kepada tempoh haidnya yang asal itu. - Dalam tempoh tersebut, dia dianggap haid: tidak solat, tidak puasa, dan semua hukum haid dikenakan ke atasnya. - Manakala darah yang keluar selepas tempoh haid asal itu dikira sebagai istihadhah, dan hukum-hukum wanita istihadhah berlaku ke atasnya (dia wajib solat, puasa, dan boleh disentuh suami).
Contohnya: Seorang wanita biasanya didatangi haid selama enam hari pada awal setiap bulan. Kemudian dia mengalami istihadhah sehingga darah keluar berterusan tanpa berhenti. - Maka, haidnya tetap dikira enam hari pada awal setiap bulan, manakala darah yang keluar selepas itu dihukum sebagai istihadhah. Berdasarkan hadis Aisyah RA: Fatimah binti Abi Hubaysh berkata, “Wahai Rasulullah, aku mengalami istihadhah dan tidak pernah suci. Apakah aku harus meninggalkan solat?” Baginda SAW bersabda: “Tidak, itu hanyalah darah urat. Tetapi tinggalkanlah solat selama hari-hari yang engkau alami haid, kemudian mandilah dan tunaikanlah solat.” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari [59].
Dan dalam Sahih Muslim disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda kepada Ummu Habibah binti Jahsh: “Berhentilah (daripada solat) selama tempoh yang biasanya menahanmu ketika haid, kemudian mandilah dan tunaikanlah solat.” [60] [59] Riwayat al-Bukhari (325) daripada Aisyah RA.
Berdasarkan hal ini, wanita istihadhah yang mempunyai tempoh haid yang tetap tidak perlu menunaikan solat selama hari-hari haidnya sahaja. Selepas itu, dia mandi, menunaikan solat, dan tidak lagi mempedulikan darah yang keluar selepasnya. [60] Riwayat Muslim (334) daripada Aisyah RA.
Keadaan kedua: Wanita yang tidak mempunyai tempoh haid yang tetap sebelum mengalami istihadhah, iaitu sejak kali pertama dia melihat darah, darah itu terus keluar berpanjangan tanpa teratur.
Contohnya: Seorang wanita mula melihat darah sejak kali pertama, dan darah itu berterusan keluar. - Dalam sepuluh hari pertama, darahnya berwarna hitam, manakala sepanjang bulan selepas itu darahnya berwarna merah. - atau dalam sepuluh hari pertama, darahnya pekat/kental, kemudian sepanjang bulan selepas itu menjadi cair. - atau dalam sepuluh hari pertama, darahnya mempunyai bau khas haid, kemudian sepanjang bulan selepas itu tidak berbau. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Fatimah binti Abi Hubaysh: “Apabila darah haid, maka ia berwarna hitam yang dikenali. Apabila itu berlaku, tinggalkanlah solat. Tetapi apabila darah yang lain (tidak berwarna hitam), maka berwuduklah dan tunaikanlah solat, kerana itu hanyalah darah urat.” [61] Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al-Nasai. Dinilai sahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim.
Hadis ini, walaupun pada sanad dan matannya terdapat perbincangan, namun para ulama tetap beramal dengannya dan ia lebih utama daripada mengembalikan (penentuan haid) kepada kebiasaan majoriti wanita. [61] Riwayat Abu Dawud (286), al-Nasai (211), Ibn Majah (620),Ibn Hibban (1348), dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (618) daripada Aisyah RA.
Keadaan ketiga: Seorang wanita yang tidak mempunyai haid yang tetap, dan juga tidak ada tanda yang boleh membezakan antara haid dan istihadhah, Maka wanita dalam keadaan ini beramal dengan kebiasaan majoriti wanita. Haidnya ditetapkan selama enam atau tujuh hari pada setiap bulan, bermula dari hari pertama dia melihat darah. Selepas itu, dikira istihadah.
Contohnya: Seorang wanita pertama kali melihat darah pada hari kelima bulan tersebut, kemudian darah itu berterusan keluar tanpa ada tanda yang jelas boleh membezakannya sebagai haid — tidak dari segi warna dan tidak juga dari segi sifat lain. Berdasarkan hadis Hamnah binti Jahsh RA: Beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku mengalami istihadhah dengan darah yang banyak dan kuat. Apa pandanganmu tentang hal ini? Sesungguhnya ia telah menghalangku daripada solat dan puasa.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Aku sarankan kepadamu untuk menggunakan kapas. Letakkanlah ia pada farajmu, kerana ia dapat menghentikan darah.” Hamnah berkata: “(Darah) itu lebih banyak daripada itu.” Lalu Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya ini hanyalah satu gangguan daripada gangguan syaitan. Maka anggaplah dirimu haid selama enam atau tujuh hari (dalam ilmu Allah SWT), kemudian mandilah. Setelah engkau melihat dirimu telah suci dan bersih, maka tunaikanlah solat selama dua puluh empat atau dua puluh tiga malam beserta siangnya, dan berpuasalah.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmizi. Al-Tirmizi mensahihkannya [62]. Diriwayatkan juga bahawa Imam Ahmad menilainya sahih, manakala al-Bukhari menilainya hasan [63].
Sabda Nabi SAW: “Enam hari atau tujuh hari” bukanlah untuk pilihan bebas, tetapi ia bermaksud ijtihad. Maksudnya: wanita istihadhah perlu menilai dengan teliti keadaan dirinya - mana yang lebih hampir dengan kebiasaan haid wanita yang serupa dengannya dari segi ciptaan tubuh, usia, dan keadaan rahim, - serta melihat mana yang lebih menyerupai sifat darah haid pada dirinya, - dan pertimbangan lain yang seumpamanya. Maka jika yang lebih dekat ialah enam hari, dia tetapkan haidnya enam hari. Dan jika yang lebih dekat ialah tujuh hari, dia tetapkan haidnya tujuh hari. [62] Riwayat Ahmad (6/439), Abu Dawud 287, dan al-Tirmizi (128) daripada Hamnah binti Jahsh RA. [63] Sunan al-Tirmizi (128).
Keadaan wanita yang serupa dengan wanita istihadhah:
Kadangkala seorang wanita mengalami sebab tertentu yang menyebabkan pendarahan dari farajnya, seperti pembedahan pada rahim atau di bawahnya. Wanita dalam keadaan ini terbahagi kepada dua jenis:
Jenis pertama: Jika diketahui bahawa seorang wanita tidak mungkin lagi mengalami haid selepas pembedahan, seperti pembedahan membuang rahim sepenuhnya, atau menutup rahim sehingga tidak keluar darah lagi, maka wanita ini tidak dihukumkan sebagai wanita istihadhah. Hukumnya sama seperti wanita yang melihat cairan kekuningan (sufrah), kekeruhan (kudrah), atau kelembapan selepas suci: - Dia tidak meninggalkan solat atau puasa. - Hubungan suami isteri tidak dilarang. - Tidak wajib mandi hadas besar kerana darah tersebut. Tetapi dia wajib: - Mencuci darah sebelum solat, - Membalut faraj dengan kain atau seumpamanya supaya darah tidak terus keluar, - Berwudu’ untuk setiap solat fardu (dan tidak sah wudu’ sebelum masuk waktunya). -Jika solat sunat mutlak (yang tidak terikat waktu), maka dia berwudu’ ketika hendak menunaikannya.
Jenis kedua: Jika tidak pasti bahawa haidnya akan berhenti selepas pembedahan, bahkan masih mungkin dia mengalami haid, maka hukumnya adalah sama seperti wanita istihadhah. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW kepada Fatimah binti Abi Hubaysh: “Sesungguhnya itu hanyalah darah urat, bukan haid. Apabila datang haid, maka tinggalkanlah solat.” [64]
Sesungguhnya sabdanya: “Apabila datang haid…” (Sabda Nabi SAW “Apabila datang haid…”) menunjukkan bahawa hukum wanita istihadhah berlaku bagi wanita yang masih berkemungkinan mengalami haid, yang ada permulaan dan pengakhirannya. Adapun wanita yang tidak mungkin lagi mengalami haid, maka darah yang keluar daripadanya adalah darah urat semata-mata dalam semua keadaan. [64] Riwayat al-Bukhari (228) dan Muslim dalam (333) daripada Aisyah RA.
Hukum-Hakam Istihadhah
Daripada penjelasan yang telah lalu, kita mengetahui bila darah itu dihukumkan sebagai haid dan bila ia dianggap istihadhah. - Apabila ia haid, maka berlaku ke atasnya semua hukum haid. - Apabila ia istihadhah, maka berlaku ke atasnya hukum-hukum istihadhah.
Dan telah pun disebutkan sebelum ini perkara-perkara penting daripada hukum-hukum haid.
Adapun hukum-hukum istihadhah sama seperti hukum wanita suci. Maka tidak ada perbezaan antara wanita istihadhah dengan wanita yang suci, kecuali dalam perkara-perkara yang akan disebutkan selepas ini.
Pertama: Wajib bagi wanita istihadhah berwudu’ untuk setiap solat. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Fatimah binti Abi Hubaysh: “Kemudian berwudulah untuk setiap solat.” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam bab Mencuci darah. Maksudnya ialah, wudu’ yang dilakukan sebelum masuk waktu solat fardu tidak sah baginya kerana ia perlu diperbaharui selepas masuk waktu. Adapun jika solat itu bukan solat yang ditentukan waktunya (seperti solat sunat mutlak), maka wanita istihadhah berwudu’ ketika dia mahu menunaikannya.
Kedua: Apabila wanita istihadhah hendak berwudu’, dia perlu mencuci kesan darah, kemudian membalut farajnya dengan kain atau kapas supaya darah dapat ditahan. "Aku sarankan engkau menggunakan kapas kerana ia dapat menahan darah." Hamnāh berkata: "Tapi darah itu lebih banyak daripada itu." Baginda bersabda: "Maka gunakanlah kain." Dia berkata: "Namun ia tetap lebih banyak daripada itu." Baginda bersabda: "Kalau begitu, ikatlah ia dengan ketat (seperti bertali kekang)." - Dan tidaklah memudaratkannya apa yang keluar selepas itu; sabda Nabi SAW kepada Fatimah binti Abi Hubaysh: "Tinggalkanlah solat pada hari-hari haidmu. Kemudian mandilah, dan berwuduklah untuk setiap solat. Setelah itu, solatlah, sekalipun darah itu menitik ke atas hamparan tikar." Riwayat Ahmad dan Ibn Majah[65].
Ketiga: Hubungan suami isteri (jima‘). Para ulama berbeza pendapat tentang hukum bersetubuh dengan wanita yang mengalami istihadhah, khususnya jika tidak ada kebimbangan mudarat atau kesulitan besar jika ditinggalkan. Namun, pendapat yang lebih tepat ialah ia dibolehkan secara mutlak. Ini kerana, pada zaman Nabi SAW terdapat ramai wanita — lebih daripada sepuluh orang — yang mengalami istihadhah. Walaupun begitu, Allah SWT dan Rasul-Nya tidak pernah melarang suami mereka daripada menggauli mereka. Bahkan Allah SAW berfirman: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang haid. Katakanlah: Ia adalah sesuatu yang menyakitkan. Oleh itu, jauhilah isteri-isteri kamu (daripada jima‘) ketika haid, dan janganlah kamu mendekati mereka sehingga mereka suci...” (Surah al-Baqarah: 222) Ini menjadi dalil bahawa tidak wajib menjauhi wanita istihadhah dalam perkara selain jima‘. Tambahan pula, solat tetap sah dilakukan oleh wanita istihadhah, maka hubungan suami isteri (jima‘) adalah lebih ringan (tidak sepatutnya diharamkan). Mengqiaskan (menyamakan hukum) jima‘ wanita istihadhah dengan jima‘ wanita haid juga tidak tepat. Hal ini kerana kedua-duanya tidak sama, bahkan menurut mereka yang berpendapat ia haram sekalipun, perbezaannya tetap jelas. Maka, qiyas tidak sah apabila terdapat perbezaan yang ketara. [65] Riwayat Ahmad (6/204) dan Ibn Majah ( 624), daripada Aisyah RA.
Fasal Keenam: Nifas dan Hukum-Hakamnya
Nifas ialah darah yang keluar kerana melahirkan, sama ada ketika, selepas, atau dua hingga tiga hari sebelumnya jika disertai kontraksi.
Shaykh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Apa sahaja darah yang dilihat ketika bermulanya kontraksi adalah nifas." Beliau tidak mengehadkannya dengan dua atau tiga hari. Maksudnya ialah kontraksi yang tidak diikuti dengan kelahiran maka ia bukan nifas. Para ulama berbeza pendapat: adakah nifas mempunyai had minimum dan maksimum? Beliau juga berkata dalam sebuah risalahnya: "Nifas tidak mempunyai had minimum atau maksimum. Jika seorang wanita didapati keluar darah lebih daripada 40, atau 60, atau 70 hari, kemudian berhenti, maka itu tetap dianggap sebagai nifas. Tetapi jika darah itu berterusan tanpa henti, maka ia adalah darah fasad (penyakit). Dalam keadaan ini, hadnya ialah empat puluh hari kerana itu adalah tempoh maksimum yang lazim, sebagaimana datang dalam atsar." Tamat nukilan.
Jika darah nifas sudah melebihi 40 hari, tetapi wanita tersebut berpengalaman mengalami nifas lebih daripada itu, maka nifasnya sehingga tempoh itu. Jika tiada kebiasaan, maka nifasnya tamat pada 40 hari. Jika darah hanya putus selepas 40 hari, maka tempoh terbaru itu akan dianggap sebagai tempoh nifasnya untuk kelahiran akan datang. Jika darahnya tidak putus-putus keluar, maka dia ditimpa istihadah, tempoh nifasnya seperti yang dijelaskan sebelum ini. Jika darah nifas berhenti, maka wanita itu dianggap suci walaupun sebelum 40 hari. Dia wajib mandi, boleh solat, berpuasa, dan suaminya boleh menggaulinya. Namun, jika darah berhenti kurang dari sehari maka ia tidak dikira suci. Demikian disebut dalam al-Mughnī [66].
Nifas hanya sah jika wanita melahirkan sesuatu yang sudah ada rupa manusia. Jika dia melahirkan janin yang masih terlalu kecil dan belum jelas rupa manusia, maka darah yang keluar bukan darah nifas, tetapi darah urat, dan hukumnya sama seperti wanita istihadhah. Tempoh paling awal janin dapat dikenali sebagai manusia ialah 80 hari dari mula kehamilan, dan kebiasaannya selepas 90 hari. [66] al-Mughnī (1/252–253).
Majduddin, datuk Ibn Taimiyyah berkata: "Jika seorang wanita melihat darah keluar sebelum kelahiran (ketika rasa sakit bersalin/kontraksi), maka darah itu tidak diambil kira sebagai nifas, jadi dia tidak perlu berhenti solat atau puasa. Tetapi jika darah keluar selepas bayi lahir, maka ia dianggap darah nifas, dan dia perlu meninggalkan solat dan puasa. Kemudian, jika selepas melahirkan ternyata keadaan sebenar berbeza daripada apa yang disangka (misalnya disangkanya darah keluar selepas bersalin padahal sebelum), maka dia perlu membetulkan (qada’) ibadah yang ditinggalkan. Namun, jika tidak jelas atau tidak ada bukti untuk menafikan apa yang disangka pada awalnya, maka hukum yang dipegang berdasarkan keadaan zahir (nampak) itu terus kekal – kerana tiada bukti nyata yang menunjukkan ia salah.” Tamat nukilan dari Syarh al-Iqnā‘ [67].
Hukum-Hakam Nifas:
[67] Kashshāf al-Qinā‘ (1/219).
Hukum nifas sama seperti hukum haid sepenuhnya, kecuali beberapa perkara:
Pertama: ‘Iddah Iddah dikira berdasarkan talak, bukan berdasarkan nifas. Jika talak berlaku sebelum melahirkan, maka idahnya tamat dengan kelahiran, bukan dengan nifas. Jika talak berlaku selepas melahirkan, maka dia perlu menunggu sehingga kembali datangnya haid, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.
Kedua: Tempoh ila’ (sumpah suami tidak menggauli isterinya) dihitung termasuk tempoh haid, tetapi tidak dihitung tempoh nifas.
Ila’ ialah sumpah suami untuk tidak menggauli isterinya lebih daripada empat bulan. Jika isteri menuntut jimak, suami diberi tempoh empat bulan dari tarikh sumpah. Apabila cukup tempoh, suami mesti memilih sama ada bersama isteri atau menceraikannya. Dalam tempoh ini, hari nifas tidak dikira dalam empat bulan itu, sebaliknya ditambah mengikut panjang nifas. Adapun hari haid tetap dikira dalam tempoh empat bulan.
Ketiga: Baligh Baligh berlaku dengan kedatangan haid, tetapi tidak berlaku dengan nifas. Ini kerana seorang wanita tidak mungkin hamil melainkan setelah mengalami keluar darah (haid) terlebih dahulu, maka baligh dikira dengan haid yang mendahului kehamilan.
Keempat: Jika darah haid terhenti kemudian kembali semula dalam tempoh kebiasaan haid, maka ia dihukumkan sebagai haid secara yakin. Contohnya, jika kebiasaan haid seorang wanita ialah lapan hari: dia melihat haid selama empat hari, kemudian berhenti selama dua hari, lalu ia kembali lagi pada hari ketujuh dan kelapan, maka darah yang kembali itu adalah haid secara pasti, dan dikenakan semua hukum haid. Jika darah nifas berhenti sebelum 40 hari lalu keluar semula dalam tempoh 40 hari, hukumnya meragukan. Wanita itu mesti tetap solat dan puasa fardu pada waktunya, tetapi haram melakukan perkara yang dilarang bagi wanita haid selain kewajipan tersebut. Setelah suci, dia wajib qada’ amalan yang perlu diqada’ seperti wanita haid. Itulah pendapat masyhur dalam mazhab Hanbali [68].
Pendapat yang benar ialah: jika darah itu kembali dalam tempoh yang masih boleh dianggap nifas, maka ia adalah nifas. Jika tidak, maka ia adalah haid, kecuali jika berterusan tanpa henti, maka ia dihukumkan sebagai istihadhah. [68] al-Mughnī (1/253).
Ini hampir sama dengan apa yang dinukilkan dalam al-Mughnī [69] daripada Imam Malik rahimahullah, di mana beliau berkata: "Jika seorang wanita melihat darah selepas dua atau tiga hari daripada berhentinya darah nifas, maka itu masih dianggap nifas. Jika tidak, maka ia adalah haid." Tamat. Ini juga adalah kesimpulan pendapat peribadi Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
Sebenarnya tidak ada darah yang benar-benar meragukan. Keraguan itu hanya bergantung pada ilmu dan kefahaman manusia. Al-Quran dan Sunnah telah menjelaskan segala perkara. Allah SWT tidak mewajibkan seseorang mengulangi puasa atau tawaf, kecuali jika yang pertama rosak dan perlu diganti. Jika seseorang sudah berusaha menunaikan kewajipan mengikut kemampuannya, maka dia sudah bebas daripada tuntutan. “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…” (Surah al-Baqarah: 286) Allah berfirman: “Maka bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu…” (Surah al-Taghabun: 16) [69] al-Mughnī (1/253).
Perbezaan kelima antara haid dan nifas: Dalam haid, jika seorang wanita suci sebelum tamat kebiasaannya, maka suaminya boleh menggaulinya tanpa sebarang makruh. Adapun dalam nifas, jika seorang wanita suci sebelum 40 hari, maka menurut pendapat masyhur dalam mazhab, suaminya makruh menggaulinya. Namun pendapat yang benar ialah tidak makruh bagi suaminya menggaulinya. Dan inilah pendapat jumhur ulama; kerana hukum makruh adalah hukum syarak yang memerlukan dalil syarak. Dan tiada dalam masalah ini melainkan apa yang disebut oleh Imam Ahmad daripada ‘Uthman bin Abi al-‘As, bahawa isterinya datang kepadanya sebelum 40 hari, lalu beliau berkata: “Jangan engkau mendekatiku.” [70]
Dan hal ini tidak semestinya menunjukkan hukum makruh. Boleh jadi ia dilakukan sebagai langkah berhati-hati, kerana bimbang wanita itu belum benar-benar yakin suci, atau khuatir darah akan kembali keluar disebabkan jimak, atau kerana sebab-sebab lain. Dan Allah SWT lebih mengetahui. [70] al-Mughnī (2/252); athar ‘Uthmān bin Abī al-‘Āṣ diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzāq dalam al-Muṣannaf (1202), Ibn Abī Shaybah dalam al-Muṣannaf (17450), al-Dārimī dalam al-Sunan (990), dan Ibn al-Jārūd dalam al-Muntaqā (118).
Fasal Ketujuh: Ubat Perancang Haid dan Kehamilan
Penggunaan sesuatu (ubat, pil, rawatan) oleh seorang wanita untuk menghalang datangnya haid adalah harus/dibenarkan dengan dua syarat:
Pertama: Tidak mendatangkan mudarat kepada dirinya. Jika dikhuatiri ada mudarat padanya, maka tidak boleh digunakan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: "dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan…” (Surah al-Baqarah, 2:195) “…dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Maha Penyayang kepada kamu.” (Surah al-Nisa’, 4:29)
Kedua: Hendaklah dengan izin suami jika perkara itu ada kaitan dengannya. Contohnya, seorang wanita yang sedang beriddah daripada suaminya dalam keadaan suami masih wajib menanggung nafkahnya. Jika dia menggunakan sesuatu untuk menghalang haid agar tempoh idah menjadi lebih panjang dan nafkah yang ditanggung suami bertambah, maka tidak harus dia melakukannya melainkan dengan izin suami. Begitu juga, jika terbukti bahawa menghalang haid boleh menghalang kehamilan, maka ia tetap memerlukan izin suami. Namun, sekalipun hukumnya harus, yang lebih utama ialah tidak menggunakannya kecuali kerana keperluan, kerana membiarkan fitrah tubuh berjalan secara semula jadi dapat menjaga kesihatan dan keselamatan.
Penggunaan ubat untuk merangsang datangnya haid, hukumnya dibenarkan juga dengan dua syarat:
Pertama: Tidak bertujuan untuk mengelak daripada menunaikan kewajipan. Contohnya, menggunakan sesuatu untuk mendatangkan haid menjelang Ramadan dengan tujuan agar dapat berbuka puasa, atau untuk menggugurkan kewajipan solat, dan seumpamanya.
Kedua: Hendaklah dengan izin suami. Ini kerana datangnya haid akan menghalang suami daripada memperoleh sepenuhnya haknya untuk bersama. Maka tidak boleh digunakan sesuatu yang mendatangkan haid kecuali dengan izinnya. Jika wanita itu dalam keadaan diceraikan talak raj‘i, maka hal ini juga mempercepatkan gugurnya hak suami untuk merujuknya.
Penggunaan pil pencegah kehamilan terbahagi kepada dua jenis:
Pertama: Menghalang kehamilan secara berterusan dan kekal. Hukumnya haram, kerana ia memutuskan zuriat lalu mengurangkan keturunan, sedangkan tujuan syariat ialah memperbanyakkan umat Islam. Selain itu, tidak mustahil anak-anak yang ada meninggal dunia, lalu wanita tersebut tinggal sebagai janda tanpa mempunyai anak.
Kedua: Menghalang kehamilan secara sementara. Contohnya, seorang wanita yang terlalu kerap hamil dan kehamilan itu sangat memberatkannya, lalu dia ingin mengatur jarak kehamilan setiap dua tahun sekali atau seumpamanya. Hukumnya harus, dengan dua syarat iaitu mendapat izin suami dan tindakan itu tidak mendatangkan mudarat kepada dirinya. Dalilnya ialah para sahabat melakukan ‘azl (menumpahkan mani di luar faraj) terhadap isteri-isteri mereka pada zaman Nabi SAW untuk mengelakkan kehamilan, dan Baginda tidak melarang mereka [71]. ‘Azl ialah seorang suami menggauli isterinya, kemudian mencabut sebelum keluar mani, lalu memancutkan di luar faraj.
Adapun penggunaan sesuatu untuk menggugurkan kandungan, maka ia terbahagi kepada dua jenis: [71] Riwayat al-Bukhārī (5209) dan Muslim (1440) daripada Jābir RA.
Pertama: Jika tujuan menggugurkannya adalah untuk membinasakan janin. Apabila ia dilakukan selepas ditiupkan roh, maka hukumnya haram tanpa ragu, kerana ia termasuk membunuh jiwa yang diharamkan tanpa hak. Membunuh jiwa yang diharamkan itu ditegah oleh al-Quran, al-Sunnah, dan ijmak kaum Muslimin. Jika ia dilakukan sebelum ditiupkan roh, para ulama berbeza pendapat tentang keharusannya: Ada yang membenarkan namun ada juga yang melarang. Ada yang berkata: harus selagi janin belum menjadi ‘alaqah (darah beku), iaitu belum genap 40 hari. Ada pula yang berkata: harus selagi belum jelas ciri-ciri penciptaan manusia pada janin.
Sikap lebih berhati-hati ialah tidak menggugurkan janin kecuali kerana keperluan, seperti apabila si ibu sakit dan tidak mampu menanggung kehamilan atau keadaan seumpamanya. Dalam hal ini, mengugurkan kandungan dibolehkan, selagi belum sampai tempoh janin sudah boleh kelihatan ciri-ciri manusia. Jika sudah sampai tempoh itu, maka ia tidak dibenarkan. Dan Allah SWT lebih mengetahui.
Kedua: Jika tujuan menggugurkannya bukan untuk membinasakan janin, tetapi hanya sekadar mempercepatkan kelahiran ketika hampir tamat tempoh kehamilan, maka hukumnya harus, dengan syarat: Tidak memudaratkan si ibu atau si anak dan tidak memerlukan pembedahan. Jika ia memerlukan pembedahan, maka hukumnya terbahagi kepada empat keadaan:
Pertama: Jika si ibu masih hidup dan janin juga hidup. Dalam keadaan ini, pembedahan tidak dibenarkan kecuali kerana darurat, contohnya apabila kelahiran menjadi sukar sehingga memerlukan pembedahan. Ini kerana, tubuh badan adalah amanah, maka tidak boleh dilakukan sesuatu yang berisiko kecuali demi maslahat yang besar. Selain itu, kemungkinan disangka tiada mudarat pada pembedahan, namun akhirnya boleh berlaku mudarat.
Kedua: Jika si ibu telah meninggal dunia dan janin juga sudah meninggal dunia, maka tidak dibolehkan melakukan pembedahan untuk mengeluarkannya kerana tiada sebarang manfaat.
Ketiga: Jika si ibu masih hidup tetapi janin telah meninggal dunia, maka dibenarkan melakukan pembedahan untuk mengeluarkannya, kecuali jika dikhuatiri mendatangkan mudarat kepada ibu. Hal ini kerana, pada zahirnya janin yang sudah mati hampir mustahil keluar tanpa pembedahan. Jika ia terus kekal dalam rahim, ia akan menghalang dan menyulitkan ibu daripada hamil lagi pada masa depan, bahkan mungkin menyebabkan dia kekal tidak bersuami jika sedang dalam idah daripada suami sebelumnya.
Keempat: Jika si ibu telah meninggal dunia sedangkan janin masih hidup, jika tidak ada harapan untuk janin hidup, tidak dibolehkan melakukan pembedahan untuk mengeluarkannya.
Jika ada harapan untuk janin hidup dan sebahagiannya sudah keluar, maka perut si ibu perlu dibedah untuk mengeluarkan selebihnya. Jika belum ada bahagian yang keluar, sebahagian ulama mengatakan tidak boleh dibedah kerana dianggap mencacatkan mayat. Namun pendapat yang lebih tepat ialah perut si ibu boleh dibedah jika tidak ada cara lain untuk mengeluarkannya. Inilah pilihan Ibn Hubayrah. Beliau berkata dalam al-Insāf [72]: “Dan itulah yang lebih utama.”
Aku berkata: Pada masa kini, pembedahan tidak dianggap mencacatkan mayat kerana perut hanya dibelah lalu dijahit semula. Kehormatan orang hidup lebih utama daripada kehormatan orang mati, dan menyelamatkan jiwa yang terpelihara adalah wajib. Janin juga manusia yang terpelihara, maka wajib diselamatkan. Dan Allah SWT lebih mengetahui. [72] al-Insāf (2/556).
Peringatan: Dalam keadaan-keadaan yang dibolehkan menggugurkan kandungan sebagaimana disebut sebelum ini, mestilah dengan izin pihak yang berhak terhadap kandungan itu, iaitu suami.
Sampai di sini berakhirlah apa yang ingin saya tulis dalam topik penting ini. Saya hanya menumpukan kepada asas-asas perbahasan dan kaedah-kaedahnya. Adapun cabang-cabang, perincian, dan perkara-perkara yang dialami oleh para wanita dalam hal ini bagaikan lautan yang tiada bertepi. Namun, orang yang berilmu boleh merujukkan masalah cabang kepada asasnya, perkara kecil kepada kaedah umum, dan membandingkan sesuatu dengan yang seumpamanya.
Hendaklah seorang mufti sedar bahawa dia adalah perantara antara Allah dengan hamba-hamba-Nya dalam menyampaikan apa yang dibawa oleh para rasul dan menjelaskannya kepada manusia. Dia juga bertanggungjawab terhadap apa yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah, kerana kedua-duanya adalah sumber yang diwajibkan atas setiap hamba untuk difahami dan diamalkan. Segala yang bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah adalah salah, wajib dikembalikan kepada yang mengucapkannya, dan tidak boleh diamalkan. Adapun orang yang mengucapkannya mungkin dimaafkan kerana berijtihad, dan dia mendapat pahala atas ijtihadnya. Namun orang lain yang mengetahui kesalahannya tidak boleh menerima pendapat itu.
Seorang mufti wajib mengikhlaskan niatnya kerana Allah SWT, memohon pertolongan-Nya dalam setiap permasalahan yang dihadapi, serta berdoa kepada-Nya agar diberi keteguhan dan taufik untuk mencapai kebenaran.
Dia juga wajib menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan utama. Maka hendaklah dia meneliti dan mengkajinya, atau merujuk kepada pandangan para ulama yang dapat membantunya memahami kedua-duanya.
Sering kali berlaku satu-satu masalah baru, lalu seseorang menelitinya dalam karya para ulama setakat yang mampu, namun dia tidak menemui jawapan yang meyakinkan tentang hukumnya, bahkan mungkin tidak menemui sebarang jawapan langsung mengenainya. Namun apabila dia kembali merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, jelaslah baginya hukum perkara itu dengan mudah dan terang, sesuai dengan kadar keikhlasan, ilmu dan kefahamannya.
Seorang mufti wajib berhati-hati dalam memberi hukum ketika berdepan kesamaran, dan jangan tergesa-gesa. Berapa banyak hukum yang diputuskan secara terburu-buru, kemudian setelah diteliti ternyata salah, sehingga dia menyesalinya, bahkan mungkin tidak lagi mampu menarik balik fatwa yang telah dikeluarkannya.
Apabila orang ramai melihat seorang mufti bersikap tenang dan berhati-hati, mereka akan percaya kepada fatwanya dan menjadikannya rujukan. Sebaliknya, jika mereka melihatnya tergesa-gesa — sedangkan orang yang tergesa-gesa banyak melakukan kesilapan — maka hilanglah kepercayaan mereka terhadap fatwanya. Dengan sikap gopoh dan kesalahannya itu, mufti tersebut bukan sahaja merugikan dirinya, bahkan juga menghalang orang lain daripada mendapat manfaat ilmu dan kebenaran yang ada padanya.
Kami memohon kepada Allah SWT agar Dia memberi petunjuk kepada kami dan saudara-saudara Muslim kami ke jalan-Nya yang lurus, melindungi kami dengan penjagaan-Nya, serta memelihara kami daripada tergelincir dengan rahmat-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah lagi Maha Mulia. Selawat dan salam ke atas Nabi kita Muhammad, serta ke atas keluarga dan para sahabat baginda seluruhnya. Segala puji bagi Allah, dengan nikmat-Nya segala amal soleh disempurnakan.
Selesai ditulis dengan tangan hamba yang faqir kepada Allah.
Muḥammad al-Ṣāliḥ al-‘Uthaymīn
Waktu Dhuha di hari Jumaat
14 Sya‘bān tahun 1392H
-
Related books
All books
Risalah Ringkas Buat Golongan Ateis61 bahasaRisalah Ringkas Buat Golongan Ateis
Sebuah risalah ringkas kepada penganut ateis, yang berbicara kepada akal bahawa ketelitian dan keteraturan alam semesta menafikan kebetulan serta menunjukkan adanya Pencipta Yang Maha Bijaksana. Maka, adakah masuk akal semua ini terjadi daripada ketiadaan? Oleh itu, bukalah hatimu untuk berfikir dan merenung, serta carilah kebenaran; mungkin engkau akan menemui di dalamnya cahaya yang memberi petunjuk kepadamu.
رسالة واحدة فقط!14 bahasaرسالةرسالة واحدة فقط!
Satu Pesanan Sahaja! Dr. Naji bin Ibrahim al-'Arfaj Penghargaan buat mereka yang mencari kebenaran dengan jujur lagi ikhlas. Jua kepada mereka yang mempunyai akal yang waras.
نبذة في العقيدة الإسلامية (شرح أصول الإيمان)76 bahasaنبذة في العقيدة الإسلامية (شرح أصول الإيمان)
رسالة لطيفة تتناول أصول العقيدة الإسلامية بأسلوب مبسط وميسر. تبدأ بمقدمة حول أهمية علم التوحيد، كونه أشرف العلوم وأجلّها، ثم تتناول مفهوم الدين الإسلامي وأركانه الخمسة: الشهادتان، والصلاة، والزكاة، والصوم، والحج. كما يشرح الإيمان بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، واليوم الآخر، ويؤكد على أهمية التوحيد في بناء دين المسلم بشكل سليم. الكتاب يهدف إلى تعزيز الفهم الصحيح للعقيدة الإسلامية وتطبيقها في حياة المسلم اليومية.
أخطاء يرتكبها بعض الحجاج21 bahasaأخطاء يرتكبها بعض الحجاج
رسالة لطيفة لتسليط الضوء على الأخطاء الشائعة التي يقع فيها بعض الحجاج أثناء أداء مناسك الحج. من إحرام وطواف وسعي ووقوف بعرفة ورمي للجمرات وغيرها، مع تصحيحها بما ورد في القرآن والسنة، مع الضرورة على اتباع هدي النبي صلى الله عليه وسلم في كل الشعائر لتحقيق القبول عند الله والصحة في عبادته.