Satu Pesanan Sahaja!
Dr. Naji bin Ibrahim al-'Arfaj
Penghargaan
buat mereka yang mencari kebenaran dengan jujur lagi ikhlas.
Jua kepada mereka yang mempunyai akal yang waras.
Ada beberapa soalan sebelum memulakan pembacaan:
Apakah maksud satu pesanan ini?
Apa kata kitab suci berkenaannya?
Apa pula kata al-Quran pula berkenaannya?
Apa pula pandanganmu terhadapnya selepas ini?
Tajuk Utama:
Menurut sejarah umat manusia, ada satu pesanan murni yang telah disampaikan kepada manusia selepas penciptaan Adam. Disebabkan ingin memperingatkan manusia tentang satu pesanan ini dan memastikan mereka berada di atas jalan yang lurus, Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Benar mengutuskan para nabi dan rasul semisal Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad 'alaihissolatu wa al-salam untuk menyampaikan satu pesanan ini, iaitu:
Sembahan yang sebenar hanyalah satu sahaja, justeru beribadahlah hanya kepada-Nya
Untuk menyampaikan pesanan ini, Dia mengutus
Nabi Nuh, "Tuhan sembahan kamu hanyalah satu. Justeru beribadahlah hanya kepada-Nya sahaja."
Nabi Ibrahim, "Tuhan sembahan kamu hanyalah satu. Justeru beribadahlah hanya kepada-Nya sahaja."
Nabi Musa, "Tuhan sembahan kamu hanyalah satu. Justeru beribadahlah hanya kepada-Nya sahaja."
Nabi 'Isa, "Tuhan sembahan kamu hanyalah satu. Justeru beribadahlah hanya kepada-Nya sahaja."
Nabi Muhammad, "Tuhan sembahan kamu hanyalah satu. Justeru beribadahlah hanya kepada-Nya sahaja."
Allah telah mengutus rasul-rasul ulul azmi dan selain mereka, antara mereka ada yang kita ketahui dan ada juga yang tidak kita ketahui untuk melaksanakan beberapa tugasan. Antaranya:
1) Menerima wahyu ilahi dan menyampaikannya kepada kaum dan pengikut mereka
2) Mengajarkan tauhid dan keikhlasan dalam beribadah hanya kerana Allah kepada manusia
3) Mempamerkan tauladan yang baik dari segi perkataan dan perbuatan supaya manusia mencontohi mereka dalam rangka jalan menuju Allah
4) Menuntun para pengikut mereka bertakwa kepada Allah serta mentaati-Nya dan melaksanakan titah-perintah-Nya
5) Mengajarkan manusia hukum-hakam agama dan budi pekerti yang mulia
6) Mengajak para pelaku maksiat dan penyembah berhala dan lain-lain dalam kalangan mereka yang musyrik kembali kepada petunjuk
7) Memberitahu sekalian manusia bahawa mereka akan dibangkitkan semula selepas kematian mereka kelak, dan amalan mereka juga akan diperhitung pada hari kiamat nanti. Justeru sesiapa yang beriman dengan Allah semata dan beramal soleh, ganjarannya adalah syurga. Sebaliknya sesiapa yang mensyirikkan Allah dan berlaku ingkar, nerakalah tempat tinggalnya kelak.
Sungguh, para nabi dan rasul itu, hanya Tuhan yang satu itulah yang mencipta dan mengutus mereka. Alam semesta yang padanya ada pelbagai makhluk bersaksi akan kewujudan dan keesaan Allah Sang Pencipta. Allahlah pencipta alam semesta ini dan segala makhluk yang ada padanya seperti manusia, haiwan dan serangga-serangga. Dia jugalah yang menciptakan kematian dan kehidupan yang fana ini dan yang abadi kelak.
Kitab-kitab suci, baik di sisi golongan Yahudi, Nasrani dan Islam, kesemuanya turut bersaksi akan kewujudan dan keesaan Allah.
Si pencari kebenaran, jika dia mempelajari makna ilah dengan penuh jujur dan ikhlas di dalam kitab suci dan al-Quran, tentu dia mampu membezakan ciri-ciri khusus buat Allah dan tidak akan menduakan Allah dengan tuhan-tuhan sangkaan yang lain dalam bab ini. Antara ciri tersebut:
Tuhan sembahan yang sebenar iu merupakan pencipta, bukan makhluk.
Tuhan sembahan yang sebenar itu tunggal, tiada sekutu bagi-Nya. Dia juga tidak berbilang. Tidak pula melahirkan mahupun dilahirkan.
Allah jauh daripada gambaran-gambaran makhluk. Tiada penglihatan yang mampu mencerap-Nya di dunia ini.
Allah ada sejak azali dan tidak mati. Dia tidak berada di dalam mana-mana makhluk-Nya, tidak juga terinkarnasi.
Allah itu tempat bergantung dan berdiri dengan sendiri-Nya. Dia tidak memerlukan makhluk-Nya. Tiada bagi-Nya ayah mahupun ibu. Pasangan dan anak juga tiada. Dia tidak memerlukan kepada makanan, minuman atau pertolongan daripada sesiapa pun. Sebaliknya sekalian makhluk ciptaan-Nya itulah yang perlu kepada-Nya.
Allah bersendiri dalam memiliki sifat keagungan, kesempurnaan dan keindahan yang tiada seorang pun berkongsi dan menyerupai-Nya dalam perkara ini. Tiada sesuatu pun yang sama seperti-Nya.
Justeru, kita boleh gunakan indikator-indikator dan sifat-sifat tadi (dan sifat-sifat Allah yang lain yang khusus buat diri-Nya semata) untuk membantah dan menolak mana-mana tuhan palsu.
Sekarang, berikan ruang untuk saya kembali membicarakan tentang satu pesanan yang telah disebutkan di atas. Suka juga untuk saya memetik beberapa teks daripada kitab-kitab suci dan juga al-Quran yang menegaskan tentang keesaan Allah. Cumanya sebelum itu, suka untuk saya berkongsi buah fikiran ini kepada kamu semua:
Sebahagian golongan Nasrani kadang suka bertanya, "Iya, Allah itu satu sudah jelas. Kami pun beriman dengan tuhan yang satu itu. Jadi apa isunya?"
Sebenarnya, dalam pada saya mengkaji dan membaca secara intensif berkaitan Nasrani, dan juga dialog-dialog yang banyak yang saya lalui bersama mereka, saya dapati bahawa istilah Allah di sisi mereka (mengikut apa yang digambarkan oleh sebahagian mereka) mengandungi makna-makna berikut:
Allah ayah
Allah anak
Allah ruhulkudus
Sungguh, akal fikiran dan logik yang mudah lagi waras akan mendorong si pengkaji untuk bertanya kepada sekalian penganut agama Nasrani itu:
Apa makna kenyataan kamu "Allah itu satu" dalam masa yang sama kamu memaksudkan tiga tuhan?
Adakah Allah yang satu itu berada dalam tiga entiti, atau tiga berada dalam satu entiti (1 dalam 3 atau 3 dalam 1)?
Tambahan pula, menurut kepercayaan sebahagian golongan Nasrani ini, tiga-tiga tuhan ini mempunyai tugas, kehidupan dan gambaran yang berbeza seperti berikut:
Allah ayah: Dialah pencipta
Allah anak: Dialah yang menyelamatkan
Allah ruhulkudus: Dialah penasihat (yang memberi bantuan)
Sesungguhnya sangkaan bahawa al-Masih (Isa) itu merupakan anak tuhan, atau dia sendiri tuhan, atau satu bahagian daripada tuhan benar-benar kontradik dengan teks-teks yang dinyatakan dalam Taurat dan Injil; di mana dalam kitab-kitab tersebut dinyatakan bahawa Allah tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun di dunia ini.
"Sungguh kamu tidak dapat mendengar suara-Nya langsung, tidak pula dapat melihat wajah-Nya."
Injil Yohanes 5: 37
"Tiada seorang pun yang pernah melihat-Nya, tiada pula yang mampu melihat-Nya."
1Timotius 6: 16
"Tiada seorang pun yang dapat melihat-Ku dan masih hidup."
Kitab Keluaran 33: 20
Bertitik tolak daripada teks-teks di atas dan juga teks selainnya, saya berasa hairan sambil tertanya-tanya, bagaimana kita boleh harmonikan di antara kenyataan orang yang berkata Isa itu adalah Allah dan juga teks-teks daripada kitab suci yang menegaskan bahawa tiada seorang pun yang dapat melihat Allah, tiada juga yang dapat mendengar suara-Nya?!
Bukankah Yahudi ketika itu, keluarga dan para pengikut Isa; tidakkah mereka dapat melihat Isa al-Masih yang mereka anggap Tuhan Anak dan mendengar suaranya?
Bagaimana Taurat dan Injil boleh menyatakan bahawa Allah itu tidak dapat dilihat oleh sesiapa dan tiada seorang pun yang dapat mendengar suara-Nya, kemudian kita dapati ada orang yang beriktikad bahawa Isa yang mereka dapat lihat fizikalnya dan mendengar suaranya itu adalah Allah, atau anak Allah? Atau sebenarnya ada rahsia tersembunyi berkait dengan hakikat Allah ini?
Taurat sebaliknya menegaskan perkara yang bertentangan, di mana ia menyatakan berkenaan Allah, kata-Nya: "Sesungguhnya Akulah Rab, tiada langsung tuhan sembahan lain (selain-Ku). Aku tidak berkata-kata secara sembunyi dan tidak juga Aku menyembunyikan tujuan-Ku. Sesungguhnya Aku adalah Allah dan sungguh Aku berkata benar. Sesungguhnya Aku mengatakan perkara kebenaran secara terang-terangan. (Yesaya 45: 19)
Jadi, apa yang benar? Sila ulangi pembacaan anda terhadap teks tadi dan fikirkan berkenaannya sejenak.
Sekarang, kita akan masuk perbahasan berkenaan hakikat Allah dalam kitab-kitab suci dan al-Quran sendiri. Mudah-mudahan kamu boleh berikan pandangan kamu kepada saya selepas memerhatikan ayat-ayat dan teks-teks berikut, dan selepas kamu membaca buku kecil ini secara kritis, objektif dan adil.
Demi mencapai objektif yang ingin dikecapi, saya akan bentangkan dalil-dalil tanpa apa-apa komentar. Mudah-mudahan ia dapat diperhatikan dengan baik dan berfokus tanpa bercampur dengan apa-apa tanggapan mahupun pertimbangan sebelum ini.
Allah yang Maha Esa lagi Maha Benar dalam kitab suci (Perjanjian Lama):
"Dengarkanlah wahai Israel, Tuhan pencipta iaitu tuhan sembahan kita itu adalah tuhan yang esa."
Ulangan 6: 4
"Bukankah Allah yang Maha Esa itulah yang menciptakan roh kehidupan buat kita, dan Dia juga yang memberi rezeki kepada kita?"
Maleakhi 2: 15
"Agar kamu mengenali-Ku dan beriman kepada-Ku, dan kamu mengetahui bahawa Aku satu-satunya Allah. Tiada langsung tuhan lain sebelum-Ku mahupun selepas-Ku. Hanya Akulah tuhan, hanya Aku sahaja yang dapat menyelamatkanmu."
Yesaya 43: 10-11
"Akulah yang awal dan akhir. Tiada tuhan sembahan selainku. Siapa yang sepertiku?"
Yesaya 44: 6
"Bukankah hanya Aku sebagai tuhan dan tiada tuhan selain-Ku. Yang Maha Baik dan penyelamat. Tiada yang lain melainkan-Ku."
Yesaya 45: 21
Bolehkah engkau sebut teks-teks lain yang seumpama dengannya?
Allah yang Maha Esa lagi Maha Benar dalam kitab suci (Perjanjian Baru):
"Kehidupan abadi itu adalah ketika mereka mengenali-Mu, satu-satunya Tuhan Yang berhak diibadahi lagi Maha Benar dan (mengenali) al-Masih Jesus yang Engkau utuskan."
Yohanes 17:3
"Beribadahlah hanya kepada Allah; Tuhanmu dan perhambakan diri hanya kepada-Nya sahaja."
Matius 4: 10
"Dengarkanlah wahai Israel, Tuhan pencipta iaitu tuhan sembahan kita itu adalah tuhan yang esa. Sungguh Allah itu Maha Esa, tiada tuhan selain-Nya."
Markus 12: 28-33
"Maka sesungguhnya Allah itu satu. Perantara di antara Allah dan sekalian manusia hanya seorang, iaitu al-Masih Jesus."
1 Timotius 2: 5
"Ada seseorang datang kepadanya (al-Masih) lalu bertanya kepadanya, "Wahai tuanku yang baik, perkara baik apakah yang boleh saya amalkan supaya saya mendapat kehidupan abadi (yang baik)?" Lalu baginda (Isa) bersabda, "Mengapa anda memanggil saya baik? Yang baik itu hanya satu, Allah." Matius 19: 16-17 menurut versi Raja James
Bolehkah engkau menyebut teks-teks lain yang menegaskan bahawa Allah hanya satu dan bukan tiga?!
Allah yang Maha Esa lagi Maha Benar dalam al-Quran
"Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah tempat bergantung sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak, dan tidak pula Dia diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya."
Nombor surah: 113. Ayat 1-4
"Tiada tuhan yang layak diibadahi melainkan Aku; justeru beribadahlah hanya kepada-Ku."
Nombor surah: 21. Ayat 25
"Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak diibadahi sebenar-benarnya) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
Nombor Surah: 5. Ayat 73
"Sungguh, Tuhan sembahan kamu benar-benar hanya satu."
Nombor surah: 37. Ayat 4.
"Adakah tuhan yang lain bersama-sama Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari bukti keterangan kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar." Nombor surah: 27. Ayat 64
Hakikatnya, pesanan ini (mengesakan Allah) merupakan tajuk utama dalam al-Quran al-Karim.
Penutup
Teks-teks yang dibawakan ini dan ratusan dalil dan bukti yang lain daripada kitab suci dan al-Quran al-Karim ini menegaskan sehingga tiada ruang untuk meragui bahawa Allah itu satu dan tiada than yang berhak diibadahi selain-Nya. Hal ini adalah berdasarkan apa yang disebutkan dalam kitab suci: "Dengarkanlah wahai Israel, Tuhan pencipta iaitu tuhan sembahan kita itu adalah tuhan yang esa. Sungguh Allah itu Maha Esa, tiada tuhan selain-Nya." Markus 12: 28-33 Al-Quran al-Karim menyebutkan tentang perkara ini dalam firman-Nya: "Katakanlah (wahai Muhammad), ""(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa." Nombor Surah: 113. Ayat 1
Kitab Suci itu tidak hanya menegaskan bahawa Allah itu satu, bahkan ia menegaskan juga bahawa Allahlah sang pencipta dan satu-satunya penyelamat. "Agar kamu mengenali-Ku dan beriman kepada-Ku, dan kamu mengetahui bahawa Aku satu-satunya Allah. Tiada langsung tuhan lain sebelum-Ku mahupun selepas-Ku. Hanya Akulah tuhan, hanya Aku sahaja yang dapat menyelamatkanmu." Yesaya 43: 10-11
Bertitik tolak daripada perkara ini, jelaslah bahawa pendapat yang mengatakan ketuhanan Isa, atau Ruhulkudus, atau lain-lain tiada langsung sandaran mahupun dalil. Mereka hanyalah makhluk Allah seperti makhluk-makhluk-Nya yang lain. Mereka bukan tuhan, bukan juga jelmaan tuhan. Tiada satu pun yang seumpama dengan-Nya berdasarkan apa yang disebut dalam kitab suci dan al-Quran al-Karim.
Allah benar-benar telah murka kepada golongan Yahudi kerana kesesatan mereka, dan mereka menyembah tuhan-tuhan selain-Nya. "Tuhan sangat murka kepada mereka." Bilangan 25: 3 Musa alaihissalam juga telah menghancurkan anak lembu emas mereka.
Menurut satu sudut yang lain pula, sebahagian kelompok monoteisme dalam kalangan Nasrani juga menanggung seksa dan penganiaan disebabkan mereka beriman dengan Allah yang satu dan menolak penyelewengan ajaran-ajaran Isa yang murni (mentauhidkan Allah) dan mengingkari bidaah triniti yang muncul era Paulus dan para pengikutnya.
Tuntasnya, Allah mengutus Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad serta sekalian rasul dan nabi (moga selawat dan salam dipanjatkan buat mereka semua) untuk mengajak manusia beriman kepada Allah dan mengikhlaskan ibadah hanya kepada-Nya semata-mata tanpa sekutu mahupun lawan bagi-Nya. Inilah dia satu pesanan mereka semua:
Tuhan sebenar itu hanya satu sahaja, justeru beribadahlah hanya kepada-Nya sahaja.
Oleh kerana ajakan dan pesanan para nabi dan rasul itu satu, maka agama mereka juga sama. Apa agama para nabi dan rasul itu?
Sesungguhnya teras risalah mereka berdiri di atas penyerahan diri kepada Allah. Itulah kalimah yang diungkapkan untuk menerangkan makna Islam dan pengertiannya dalam Bahasa Arab.
Al-Quran al-Karim menekankan bahawa hanya Islamlah agama yang benar untuk sekalian nabi dan rasul. Hakikat dalam al-Quran ini juga boleh dipastikan dalam kitab suci juga (Kita akan menelusuri hakikat ini dalam kitab suci di dalam buku yang akan datang insya-Allah)
Akhir sekali, untuk meraih kejayaan, wajiblah kita menerima pesanan ini dengan baik serta beriman dengannya dengan jujur dan ikhlas. Cumanya amalan ini sahaja tidak cukup! Sebaliknya wajib juga untuk kita beriman dengan sekalian nabi dan rasul (termasuklah beriman dengan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam) dan mengikut petunjuk mereka serta beramal dengannya. Inilah dia jalan menuju kehidupan abadi yang bahagia.
Duhai pencari kebenaran dengan ikhlas dan pencinta kejayaan, mudah-mudahan engkau meneliti perkara ini dan merenung sejenak sekarang sebelum tamat tempoh, sebelum ajal menjelma tiba-tiba! Siapa yang tahu bila?
Setelah berfikir dan merenung tentang perkara penting yang menjadi penentu seseorang ini dengan akal yang waras dan hati yang jujur, tentu engkau mampu bersaksi bahawa Allah itu esa, tiada sekutu dan anak bagi-Nya. Lalu engkau beriman dengan-Nya dan beribadah hanya kepada-Nya. ngkau juga beriman bahawa Muhammad itu nabi dan rasul-Nya seperti Nuh, Musa dan juga Isa.
Jadi sekarang, bolehlah engkau melafazkan -jka mahu- kalimah-kalimah ini
Saya bersaksi tiada tuhan yang berhak diibadahi sebenar-benarnya melainkan Allah, dan saya bersaksi bawa Muhammad itu utusan Allah.
Persaksian itu merupakan langkah praktikal yang pertama menuju kehidupan abadi yang bahagia. Ia juga kunci sebenar untuk memasuki syurga.
Apabila engkau sudah mengambil jalan ini dengan serius, bolehlah engkau meminta pertolongan daripada temanmu atau jiranmu yang muslim. Boleh juga di masjid berdekatan atau mana-mana pusat Islam, atau boleh sahaja menghubungi saya secara terus atau menghantar emel (Saya pasti akan gembira jika berbuat demikian)
Katakanlah: "Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa kesemuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi). Dan ikutilah sebaik-baik pentunjuk yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu sebelum datangnya azab kepadamu dengan tiba-tiba, dalam keadaan kamu tidak menyedarinya." Al-Quran al-Karim, nombor surah 39, ayat 53-55
Suatu perkara lagi...
Akhir sekali
Selepas membaca Satu Pesanan ini dengan waras sambil berfikir, boleh jadi pembaca yang jujur bertanya-tanya, "Apa yang benar?" "Yang salah pula apa?" "Apa yang perlu dibuat?"
Saya akan bincangkan pertanyaan-pertanyaan tersebut dalam penulisan saya yang akan datang, insya-Allah
Untuk maklumat tambahan, atau pertanyaan, atau cadangan, saya pohon jangan ragu-ragu untuk menghubungi penulis melalui alamat berikut:
Peti surat 418 - Al-Hufuf - Al-Ahsa', 31982 Kerajaan Arab Saudi [email protected] / [email protected]
atau pejabat...
Sebarang pembetulan amatlah dialu-alukan.