Islam Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani Adakah kamu pernah bertanya kepada diri sendiri Siapakah yang menciptakan langit, bumi dan makhluk-makhluk besar yang berada di antara keduanya? Siapakah yang menciptakan sistem yang sangat teratur dan teliti ini? Bagaimanakah alam semesta yang agung ini berjalan dengan sangat tersusun dan konsisten dengan sistem-sistemnya yang sangat teliti zaman berzaman? Adakah alam semesta ini tercipta sendiri? Atau ia bermula daripada tiada? Atau ia wujud secara tiba-tiba?
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani
Adakah kamu pernah bertanya kepada diri sendiri
Siapakah yang menciptakan langit, bumi dan makhluk-makhluk besar yang berada di antara keduanya? Siapakah yang menciptakan sistem yang sangat teratur dan teliti ini?
Bagaimanakah alam semesta yang agung ini berjalan dengan sangat tersusun dan konsisten dengan sistem-sistemnya yang sangat teliti zaman berzaman?
Adakah alam semesta ini tercipta sendiri? Atau ia bermula daripada tiada? Atau ia wujud secara tiba-tiba?
Siapakah yang mencipta kamu?
Siapakah yang menetapkan sistem yang penuh teliti ini pada komponen tubuh badan kamu dan segala makhluk yang hidup ini?
Tiada seorang pun dapat menerima jika dikatakan kepadanya bahawa ada rumah yang tersergam tanpa ada yang pembinanya! Atau dikatakan kepadanya bahawa ketiadaanlah yang menyebabkan rumah ini wujud! Lalu bagaimana sebahagian orang membenarkan mereka yang berpendapat bahawa alam semesta yang agung ini wujud tanpa ada yang menciptanya? Bagaimana seorang yang berakal boleh menerima apabila dikatakan kepadanya alam semesta yang lengkap bersistem ini muncul secara tiba-tiba?
Pastinya ada tuhan agung yang mencipta dan mentadbir alam semesta ini dan segala isinya iaitu Allah Subhanahu Wa Taʿala.
Dan Tuhan Yang Maha Suci mengutuskan kepada kita para Rasul dan menurunkan kepada mereka kitab-kitab ilahi iaitu wahyu yang diakhiri dengan al-Quran al-Karim. Ia diturunkan kepada Muhammad, utusan yang terakhir. Melalui kitab-kitab dan para Rasul-Nya:
Kita dapat mengenal diri, sifat-sifat dan hak-Nya terhadap kita dan hak kita terhadap-Nya.
Dia memberi petunjuk kepada kita bahawa Dialah yang menciptakan sekalian makhluk, Dialah Yang Maha Hidup dan tidak mati. Semua makhluk dalam genggaman-Nya dan di bawah kekuasaan dan pengawasan-Nya.
Dia mengkhabarkan kepada kita bahawa antara sifat-Nya adalah Maha Mengetahui. Pengetahuan-Nya meliputi segala sesuatu. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat, tidak tersembunyi daripada-Nya sesuatu pun sama ada di bumi mahupun di langit.
Tuhan, Dialah Yang Maha Hidup, Yang Maha Kekal Selama-lamanya yang mana kehidupan itu berpunca daripada-Nya. Dialah yang Maha Kekal selama-lamanya yang mana hidup semua makhluk bergantung kepada-Nya. Allah berfirman:Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk apatah lagi tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya)[Surah al-Baqarah, ayat 255]
Dia mengkhabarkan kepada kita bahawa Dialah Rabb yang bersifat dengan sifat kesempurnaan, Dia mengurniakan kepada kita akal dan pancaindera untuk menggapai keajaiban penciptaan-Nya dan kudrat-Nya yang menunjukkan keagungan, kekuatan dan kesempurnaan sifat-Nya. Dia juga yang menyemai fitrah yang menunjukkan kepada kesempurnaan-Nya dan tidak mungkin sama sekali bagi-Nya untuk mempunyai kekurangan.
Dia mengajarkan kita bahawa Rabb di atas langit-Nya, tidak di dalam alam dan tidak pula alam bersatu dengan-Nya.
Dia juga mengkhabarkan kepada kita bahawa wajib ke atas kita menyerahkan diri kepada-Nya dan Dialah yang menciptakan kita, alam semesta dan yang mentadbirnya.
Sang Pencipta mempunyai sifat keagungan dan tidak mungkin selama-lamanya untuk bersifat dengan kekurangan dan memerlukan (kepada sesuatu). Rabb tidak pernah lupa, tidur atau makan. Tidak mungkin bagi-Nya memiliki isteri atau anak. Setiap nas yang menyalahi keagungan pencipta bukanlah daripada wahyu yang sahih, yang datang daripada para Rasul ʿalayhimussalam.
Seandainya kamu beriman dengan Rabb Yang Menciptakan, pernahkah engkau tertanya apakah tujuan engkau diciptakan? Apakah yang Allah mahukan daripada kita? Apakah tujuan kewujudan kita?
Adakah mungkin Allah menciptakan kita kemudian membiarkan kita sia-sia? Adakah mungkin Allah menciptakan segala makhluk ini tanpa ada matlamat atau tujuan?
Hakikatnya, sesungguhnya Rabb Yang Maha Mencipta dan Maha Agung iaitu Allah mengkhabarkan tentang tujuan penciptaan kita iaitu menyembahnya semata-mata dan apakah yang Allah mahukan daripada kita.
Dia mengkhabarkan kepada kita bahawa Dialah yang paling berhak untuk disembah. Dia juga menerangkan kepada kita melaui perantaraan para Rasul-Nya bagaimana hendak menyembah-Nya. Bagaimana mendekatkan diri kepada-Nya dengan melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Bagaimana kita mencapai keredaan-Nya. Bagaimana berwaspada terhadap balasan buruk dan mengkhabarkan kepada kita apakah tempat kembali kita setelah kematian kelak.
Dia mengkhabarkan kepada kita bahawa kehidupan dunia hanyalah sekadar ujian. Kehidupan yang sebenar dan sempurna adalah di akhirat kelak setelah mati.
Dia juga mengkhabarkan kepada kita bahawa sesiapa yang menyembah-Nya sebagaimana yang diperintahkan dan berhenti pada larangan-larangan-Nya, maka buatnya kehidupan yang baik di dunia dan kenikmatan yang berterusan di akhirat.
Sesiapa yang melakukan maksiat dan kufur terhadapnya, maka buatnya kesengsaraan di dunia dan azab yang berterusan di akhirat.
Sesiapa yang melihat apa yang disembah oleh manusia hari ini, dia akan mendapati bahawa ada yang menyembah manusia, ada yang menyembah patung, ada yang menyembah bintang dan seumpamanya. Tidak sepatutnya manusia yang berakal menyembah melainkan Tuhan sekalian alam, yang sempurna segala sifat-Nya. Bagaimana dia boleh menyembah makhluk sepertinya atau yang lebih rendah daripadanya! Tidak patut yang disembah itu manusia, patung, pokok ataupun haiwan!
Semua agama yang dianuti oleh manusia hari ini melainkan Islam, tidak diterima oleh Allah kerana ia merupakan agama rekaan manusia, atau agama yang diturunkan Allah kemudian diperkotak-katikkan oleh tangan manusia. Adapun agama Islam, maka ia merupakan agama Tuhan sekalian alam, tidak berubah dan tidak diganti.
Kitab agama ini adalah al-Quran al-Karim yang merupakan kitab yang terpelihara sebagaimana yang diturunkan oleh Allah dan masih berterusan berada di tangan para muslimin sehingga hari ini dengan bahasa yang diturunkan kepada Rasululah, penutup sekalian nabi.
Antara dasar agama Islam ialah beriman dengan semua Rasul yang diutuskan oleh Allah. Kesemua mereka dalam kalangan manusia yang dibantu oleh Allah dengan ayat-ayat dan mukjizat-mukjizat. Mereka juga diutuskan untuk mengajak kepada beribadah kepada Allah semata-mata dengan tidak menyekutukan-Nya.
Rasul yang terakhir adalah Muhammad ﷺ, Allah mengutuskannya dengan syariat ilahi terakhir yang memansuhkan syariat-syariat Rasul yang sebelumnya, membantunya dengan ayat-ayat yang agung, yang teragung adalah al-Quran al-Karim, kalam Tuhan sekalian alam.
Kitab yang paling agung dikenali manusia, yang bermukjizat dalam kandungan, lafaz dan susunan dan hukum-hakamnya. Terdapat di dalamnya hidayah kebenaran yang membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat, ia turun dalam bahasa Arab.
Terdapat banyak bukti-bukti secara aqli dan saintifik yang membuktikan bahawa al-Quran adalah kalam Allah Sang Pencipta Subhanahu wa Taʿala tanpa ragu lagi dan tidak mungkin ia rekaan manusia.
Antara dasar utama Islam adalah beriman dengan malaikat, beriman dengan hari kiamat di mana Allah membangkitkan manusia dari kubur mereka untuk menghitung amalan mereka. Sesiapa yang melakukan amal soleh, maka dia seorang mukmin, baginya kenikmatan yang kekal di syurga. Sesiapa yang kufur dan melakukan amalan keburukan, maka baginya azab yang pedih di neraka kelak. Antara dasar utama Islam juga adalah beriman dengan apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sama ada baik atau buruk.
Oleh sebab kita mengetahui bahawa tidak mungkin kehidupan ini dilalui tanpa setiap orang menerima balasan daripada apa yang dilakukan sama ada baik atau buruk, maka adakah di sana tiada balasan buruk buat orang yang zalim dan tiada balasan baik buat orang yang melakukan kebaikan?
Agama Islam merupakan cara hidup yang sempurna, bertepatan dengan fitrah dan akal, diterima oleh jiwa yang sejahtera. Ia disyariatkan oleh Sang Pencipta Yang Maha Agung buat para makhluk-Nya. Ia merupakan agama kebaikan dan kebahagiaan buat sekalian manusia di dunia dan di akhirat, tidak membezakan antara bangsa mahupun warna kulit. Manusia sama sahaja, tidak ada yang membezakan mereka antara satu sama lain melainkan kadar pelaksanaan amal solehnya.
Antara perkara yang ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran al-Karim adalah beriman bahawa Allah sebagai Tuhan dan sembahan, Islam sebagai agama, Muhammad sebagai Rasul dan menganut agama Islam adalah suatu perkara yang mesti dan tiada padanya pilihan.
Pada hari kiamat kelak, terdapat perhitungan dan balasan. Sesiapa yang beriman dan jujur, maka dia mendapat kejayaan yang besar. Sesiapa yang kufur, maka dia mendapat kerugian yang nyata.
Buku Islam: Agama Para Rasul Allah merangkumkan Islam dalam intipatinya sebagai agama tauhid yang murni, beriman kepada Allah Yang Maha Esa, serta kepada Nabi Muhammad SAW sebagai penutup para nabi. Ia mengukuhkan nilai keadilan dan kesaksamaan, beriman kepada para malaikat dan hari kiamat. Islam adalah agama fitrah dan rasional yang menyeru kepada penyerahan sepenuhnya kepada Allah, demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Segala sesuatu menunjukkan kewujudan Pencipta. Siapakah yang menciptakan langit dan bumi serta segala makhluk agung yang terdapat di dalamnya yang tidak dapat dijangkau? Siapakah yang mencipta sistem yang begitu teratur dan sempurna di langit dan bumi? Siapakah yang menciptakan manusia dan memberikan pendengaran, penglihatan, dan akal, serta menjadikannya mampu memperoleh pengetahuan dan memahami kebenaran? Bagaimana anda menerangkan ciptaan yang begitu teliti dalam organ tubuh anda dan tubuh makhluk hidup lain? Siapakah yang menciptanya? Bagaimana alam semesta yang besar ini dapat teratur…
Sebuah risalah ringkas kepada penganut ateis, yang berbicara kepada akal bahawa ketelitian dan keteraturan alam semesta menafikan kebetulan serta menunjukkan adanya Pencipta Yang Maha Bijaksana. Maka, adakah masuk akal semua ini terjadi daripada ketiadaan? Oleh itu, bukalah hatimu untuk berfikir dan merenung, serta carilah kebenaran; mungkin engkau akan menemui di dalamnya cahaya yang memberi petunjuk kepadamu.