Skip to content
70 Hadiths

Encyclopedia of Prophetic Hadiths

Tapis hasil

2 daripada 70 kad

Kosongkan tapisan
«Amalan-amalan itu ada enam, dan manusia pula ada empat golongan: iaitu dua amalan yang mewajibkan, satu amalan yang dibalas setimpal, satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda, dan satu kebaikan dibalas tujuh ratus kali ganda. Adapun dua amalan yang mewajibkan itu: sesiapa yang mati dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun nescaya dia masuk syurga, dan sesiapa yang mati dalam keadaan menyekutukan Allah dengan sesuatu nescaya dia masuk neraka. Adapun amalan yang dibalas setimpal: sesiapa yang berniat melakukan satu kebaikan sehingga hatinya merasainya dan Allah mengetahui niatnya itu, maka dicatatkan untuknya satu kebaikan. Dan sesiapa yang melakukan satu kejahatan, maka dicatatkan ke atasnya satu kejahatan. Sesiapa yang melakukan satu kebaikan, maka ganjarannya sepuluh kali ganda, dan sesiapa yang menginfakkan sesuatu pada jalan Allah, maka kebaikannya digandakan tujuh ratus kali. Adapun manusia pula, ada yang dilapangkan (rezekinya) di dunia tetapi disempitkan di akhirat, ada yang disempitkan di dunia tetapi dilapangkan di akhirat, ada yang disempitkan di dunia dan di akhirat, dan ada yang dilapangkan di dunia dan di akhirat».
Hasan Riwayat Imam Ahmad
Ketika kami sedang duduk bersama Nabi ﷺ di masjid, masuklah seorang lelaki menaiki seekor unta. Dia menyuruh unta itu duduk di dalam masjid lalu menambatkannya. Kemudian dia berkata kepada orang-orang di situ: "Siapakah antara kamu Muhammad?" Pada ketika itu Nabi ﷺ sedang bersandar di tengah-tengah kami. Kami pun berkata: "Itulah lelaki berkulit putih yang sedang bersandar." Lelaki itu berkata kepada baginda: "Wahai anak Abdul Muttalib!" Lalu Nabi ﷺ bersabda: "Aku telah menjawabmu." Lelaki itu berkata kepada Nabi ﷺ: "Aku akan bertanya kepadamu, dan aku akan bersikap tegas dalam pertanyaanku; maka janganlah engkau menyimpan rasa terhadapku." Baginda bersabda: "Tanyalah apa sahaja yang terlintas bagimu." Dia berkata: "Aku bertanya kepadamu demi Tuhanmu dan Tuhan orang-orang sebelummu, adakah Allah yang mengutuskanmu kepada seluruh manusia?" Baginda bersabda: "Ya Allah, benar." Dia berkata: "Aku memohon kepadamu demi Allah, adakah Allah memerintahkanmu agar kami mendirikan solat lima waktu sehari semalam?" Baginda bersabda: "Ya Allah, benar." Dia berkata: "Aku memohon kepadamu demi Allah, adakah Allah memerintahkanmu agar kami berpuasa pada bulan ini dalam setahun?" Baginda bersabda: "Ya Allah, benar." Dia berkata: "Aku memohon kepadamu demi Allah, adakah Allah memerintahkanmu untuk mengambil sedekah ini daripada orang-orang kaya dalam kalangan kami lalu membahagikannya kepada orang-orang miskin dalam kalangan kami?" Lalu Nabi ﷺ bersabda: "Ya Allah, benar." Lelaki itu berkata: "Aku beriman dengan apa yang engkau bawa, dan aku adalah utusan bagi pihak kaumku yang berada di belakangku. Aku ialah Dhimam bin Tha'labah, saudara dari Bani Saad bin Bakr."
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.