Ringkasan Tatacara Haji dan Umrah
Kitab “Al-Mukhtaṣar fī Ṣifat al-Ḥajj wa al-‘Umrah” memberikan penjelasan yang ringkas dan jelas mengenai hukum-hakam dan manasik haji dan umrah, bermula daripada miqat ihram dan jenis-jenisnya, diikuti dengan tatacara ihram dan larangan-larangannya, sehinggalah kepada perincian tawaf dan sa'i, serta manasik pada hari Arafah dan hari-hari Tasyriq, dan diakhiri dengan tawaf wada'. Kitab ini bertujuan untuk memudahkan pemahaman manasik haji serta membantu jemaah haji dan umrah untuk menunaikan ibadah mereka dengan betul dan sempurna, dengan memberikan penekanan kepada Sunnah dan ketetapan syarak.
Ringkasan Tatacara Haji dan Umrah
Jawatankuasa Ilmiah Pentadbiran Hal Ehwal Agama Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi
Pertama: Hukum Mawāqīt:
1. Mawaqit: Ialah tempat-tempat yang telah ditetapkan oleh Nabi ﷺ sebagai tempat berihram bagi sesiapa yang ingin menunaikan haji atau umrah.
2. Maka sesiapa yang melalui salah satu miqat tersebut dengan niat haji atau umrah, wajib ke atasnya untuk berihram di situ dan haram melepasinya tanpa ihram.
3. Sesiapa yang berada lebih dekat dengan Mekah daripada mawaqit ini, maka dia berihram untuk haji dan umrah dari tempatnya.
4. Bagi penduduk Mekah dan mereka yang bermukim di dalamnya, untuk menunaikan haji, mereka berihram dari Mekah. Adapun untuk umrah, mereka hendaklah keluar ke tanah halal dan berihram dari sana, seperti Tan'im dan seumpamanya.
5. Sesiapa yang berada di dalam kapal terbang, maka dia hendaklah berihram apabila sejajar dengan miqat. Dia perlu bersiap sedia dan memakai pakaian ihram sebelum berada sejajar dengan miqat. Apabila telah sejajar dengannya, dia hendaklah berniat ihram serta-merta. Tidak dibenarkan menangguhkannya sehingga mendarat di lapangan terbang. Dia juga boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan bertalbiah kerana bimbang terlepas waktunya, disebabkan kelajuan kapal terbang.
Kedua: Jenis-jenis haji, dan hukum-hakamnya:
1. Tiga jenis amalan ibadah haji adalah: Tamattu', Ifrad, dan Qiran.
2. Tamattu‘ adalah yang paling afdal bagi sesiapa yang tidak membawa haiwan hadyu, iaitu: seseorang berniat ihram untuk umrah pada bulan-bulan haji, melakukan tawaf, sa‘i, dan bertahallul, kemudian berniat ihram untuk haji pada tahun yang sama.
3. Ifrad: Berihram dengan niat haji sahaja. Apabila tiba di Makkah, disunatkan baginya untuk melakukan tawaf qudum, kemudian melakukan sa‘i untuk haji. Dia tidak bercukur atau bergunting, dan tidak bertahallul daripada ihramnya, sebaliknya kekal dalam ihram sehinggalah bertahallul selepas melontar Jamrah Aqabah pada hari raya. Jika sa‘i haji ditangguhkan sehingga selepas tawaf haji, maka tidak mengapa.
4. Qiran ialah seseorang yang berniat ihram untuk umrah dan haji sekali gus, dengan melafazkan: (لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ عُمْرَةً وَحَجًّا).
5. Amalan orang yang melakukan qiran adalah sama sahaja dengan amalan orang yang melakukan ifrad, melainkan orang yang melakukan qiran dikenakan hady, manakala orang yang melakukan ifrad tidak dikenakan hady.
Ketiga: Sifat dan Hukum-Hakam Ihram:
Perkara-perkara yang disyariatkan bagi orang yang hendak berihram:
1. Mandi, iaitu sunnah muakkad bagi lelaki dan wanita, termasuklah wanita haid dan nifas.
2. Memakai wangi-wangian terbaik yang ada, seperti minyak gaharu atau seumpamanya, pada kepala dan janggutnya. Tidak mengapa jika baunya masih kekal selepas masuk ihram. Bagi wanita pula, tidak dibenarkan memakai wangian yang baunya boleh dihidu oleh lelaki bukan mahram.
3. Memakai pakaian ihram, iaitu kain sarung (izar) dan kain penutup bahu (rida’). Disunnahkan agar kedua-duanya berwarna putih dan bersih, atau baharu. Wanita pula berihram dengan apa sahaja pakaian yang dikehendakinya, selagi tidak berhias secara berlebihan atau bertabarruj. Namun, dia hendaklah mengelakkan pemakaian niqab dan sarung tangan, atau menutup wajah serta tangannya dengan kain lain.
4. Berihram selepas solat, sama ada solat fardu atau solat sunat, namun ia tidaklah wajib.
Maka, dia mengucapkan: "Labbayka Allahumma ‘umratan" jika mengerjakan umrah, atau "Labbayka Allahumma hajjan" jika mengerjakan haji Ifrad, atau "Labbayka Allahumma ‘umratan wa hajjan" jika mengerjakan haji Qiran.
6. Sekiranya seseorang yang ingin berihram bimbang akan ada halangan yang menghalangnya daripada menyempurnakan ibadahnya, maka dibolehkan baginya untuk membuat syarat semasa ihram dengan mengatakan: (...Jika aku dihalang oleh sebarang sebab, maka tempat tahallulku ialah di tempat aku terhalang.) Maka, apabila dia telah membuat syarat ini dan kemudian berlaku sesuatu yang menghalangnya daripada menyempurnakan ibadahnya, dia boleh bertahallul tanpa perlu membayar dam (denda).
7. Memperbanyakkan talbiah: Labbaika Allahumma labbaika, labbaika laa syariika laka labbaika, innal-hamda wan-ni‘mata laka wal-mulk, laa syariika lak." [1] (Aku penuhi panggilan-Mu ya Allah, aku penuhi panggilan-Mu, aku penuhi panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu, aku penuhi panggilan-Mu, sesungguhnya segala puji, kenikmatan, dan kerajaan milik-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu). Lelaki disunatkan menguatkan suaranya, demikian juga wanita, selagi mana tidak berada di hadapan lelaki ajnabi. Disunatkan bagi orang yang berihram untuk memperbanyakkan talbiyah, khususnya ketika berlaku perubahan keadaan dan waktu, seperti ketika mendaki tempat yang tinggi, atau menuruni tempat yang rendah, atau ketika datangnya malam atau siang. [1] Makna ucapan seseorang: (Labbaik) ialah menyahut seruan-Mu wahai Tuhanku, secara berulang kali, dan maknanya ialah: Sahutan seorang hamba kepada Tuhannya dan ketetapannya untuk sentiasa taat kepada-Nya. "Sesungguhnya segala puji, kenikmatan, dan kerajaan adalah milik-Mu". Al-Hamd: Ialah menyifati Zat Yang Maha Terpuji dengan kesempurnaan beserta rasa cinta dan pengagungan. Apabila ia diulang-ulang, maka ia menjadi sanjungan (al-Thana'). Al-Ni'mah: Ialah kurniaan yang Allah berikan kepada hamba-hamba-Nya, sama ada dengan memperoleh apa yang diingini atau dihindarkan daripada apa yang dibenci. Dan ucapan (Al-Mulk) bermaksud: Dan kerajaan juga adalah milik-Mu, maka Allah Tabaraka wa Ta'ala Dialah Pemilik yang tunggal. Dan ucapan (Laa syariika lak) bermaksud: Tiada sesiapa pun yang menyekutui-Mu dalam perkara yang khusus bagi Allah 'Azza wa Jalla, iaitu sifat-sifat-Nya yang sempurna, termasuk ketunggalan-Nya dalam kerajaan, penciptaan, pentadbiran dan uluhiyyah. Majmu' Fatawa wa Rasail al-'Uthaimin (22/96) secara ringkas.
8. Talbiyah disyariatkan dalam ibadah umrah bermula dari ihram sehingga seseorang itu memulakan tawaf, dan dalam ibadah haji pula, ia bermula dari ihram sehinggalah permulaan melontar di Jamrah Aqabah pada hari raya.
9. Wajib ke atas orang yang berihram untuk berwaspada daripada melakukan sebarang larangan semasa dalam keadaan ihram sehinggalah dia bertahallul daripada ihramnya.
Larangan-larangan Semasa Ihram
Ia merupakan larangan-larangan yang wajib dijauhi oleh orang yang berihram, disebabkan oleh keadaan ihramnya dan kemasukannya ke dalam ibadah nusuk.
1. Mencukur, memotong atau mencabut rambut dari mana-mana bahagian badan.
2. Memotong semua atau sebahagian kuku kaki atau tangan.
3. Menutup kepala dengan sesuatu yang bersentuhan langsung padanya, seperti kopiah, ghutrah, dan serban, atau meletakkan kain rida', sapu tangan, selimut, atau kadbod di atas kepala, atau seumpamanya yang bertujuan untuk menutupinya. Larangan ini khusus untuk lelaki, bukan wanita.
4. Memakai pakaian biasa yang disesuaikan dengan bentuk badan, seperti baju, seluar, stokin dan sarung tangan. Larangan ini khusus bagi lelaki, bukan wanita kerana bagi wanita, mereka hanya dilarang daripada:
a. Memakai niqab atau purdah, atau penutup muka lain yang seumpamanya. Wajib ke atasnya menutup wajahnya di hadapan lelaki ajnabi dengan menggunakan kain penutup yang biasa, sekalipun kain itu menyentuh wajahnya. Tidak disyariatkan baginya meletakkan pengikat kepala – atau seumpamanya – di atas kepala bagi tujuan mengelakkan kain penutup daripada menyentuh wajah, kerana tiada dalil yang menunjukkan pensyariatannya.
b. Memakai sarung tangan (al-quffāzayn), dan wajib menutup tangannya di hadapan lelaki ajnabi dengan memasukkannya ke dalam jubahnya.
5. Menggunakan wangian pada badan, atau pakaian ihram.
6. Membunuh binatang buruan darat, atau menangkapnya walaupun tidak membunuhnya.
7. Meminang seseoran, untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain.
8. Akad nikah.
9. Bersentuhan pada selain faraj, seperti mencium dan menyentuh dengan syahwat.
10. Jimak, iaitu persetubuhan melalui faraj.
Keempat: Tatacara Umrah.
1- Sifat Tawaf:
1. Apabila orang yang berihram masuk ke Masjid al-Haram, disunatkan untuk mendahulukan kaki kanannya dan membaca lafaz doa yang paling sahih diriwayatkan, iaitu: Allāhumma iftaḥ lī abwāba raḥmatika. (“Ya Allah, bukakan untukku pintu-pintu rahmat-Mu.”) [2] Doa ini diucapkan ketika masuk mana-mana masjid, dan bukan khusus ketika masuk ke Masjid al-Haram semata. [2] Riwayat Muslim (713) dan Abu Dawud (465).
2. Apabila hendak memulakan tawaf, maka hendaklah melakukan idtiba'. Cara melakukan idtiba' adalah dengan meletakkan pertengahan kain rida' di bawah ketiak kanan dan kedua-dua hujungnya di atas bahu kiri. Selepas selesai tawaf, kain rida' hendaklah dipakai semula seperti biasa kerana idtiba' hanya dilakukan semasa tawaf sahaja.
Kemudian, dia maju ke arah Hajar Aswad lalu menyentuhnya dengan tangan kanan dan menciumnya. Jika tidak dapat menciumnya, dia menyentuhnya dengan tangan, lalu mencium tangannya. Jika tidak dapat menyentuhnya dengan tangan, dia menyentuhnya dengan sesuatu yang ada bersamanya seperti tongkat atau seumpamanya, dan mencium benda yang digunakan untuk menyentuh itu. Jika itu juga tidak dapat dilakukan, dia cukup menghadap Hajar Aswad dan memberi isyarat kepadanya dengan tangan, tanpa mencium tangannya. Apa yang terbaik adalah tidak berebut-rebut sehingga menyakiti orang lain atau disakiti oleh mereka.
4. Ketika menyentuh Hajar Aswad atau menunjuk ke arahnya, dia mengucapkan: "Allahu Akbar".
5. Setelah itu, dia bergerak ke kanan dan menjadikan Kaabah di sebelah kirinya. Apabila sampai di Rukun Yamani, dia menyentuhnya tanpa menciumnya. Jika tidak dapat dilakukan, dia tidak seharusnya berebut-rebut atau memberi isyarat ke arahnya.
6. Dia membaca antara Rukun Yamani dan Hajar Aswad: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah al-Baqarah: 201)
7. Setiap kali melewati Hajar Aswad, dia mengisyaratkan kepadanya dengan tangannya sambil mengucapkan: “Allahu Akbar”
8. Membaca apa-apa yang disukainya daripada zikir, doa dan bacaan al-Quran pada baki tawafnya.
9. Disunnahkan untuk melakukan ramal pada tiga pusingan pertama sahaja. Ramal bermaksud berjalan laju dengan langkah yang pendek dan rapat. Adapun bagi empat pusingan yang berbaki, tiada ramal, sebaliknya berjalan seperti biasa.
10. Apabila selesai tawaf, dia maju ke arah Maqam Ibrahim, lalu membaca: ...dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang... (Surah al-Baqarah: 125) Kemudian menunaikan solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim jika boleh dilakukan. Jika tidak, dia boleh solat di mana-mana tempat dalam Masjid al-Haram. Pada rakaat pertama, membaca selepas Surah Al-Fatihah: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai orang-orang kafir! (Surah al-Kafirun: 1) Dan dibaca pada rakaat kedua selepas al-Fatihah: Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; (Surah al-Ikhlas, 1)
2- Sifat Sa‘i:
1. Apabila selesai daripada tawaf dan solat dua rakaatnya, dia keluar menuju ke tempat sa’i. Apabila dia menghampiri bukit Safa, dia membaca: Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah... (Surah al-Baqarah: 158) Kemudian mengucapkan: “Aku memulakan dengan apa yang Allah mulakan.” [3] [3] Riwayat Muslim (1218)
2. Kemudian, dia naik ke atas Safa sehingga melihat Kaabah atau arahnya, lalu menghadap ke arahnya, mentauhidkan Allah, bertakbir, dan berkata: Tiada tuhan selain Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nyalah kerajaan dan bagi-Nyalah segala puji, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tiada tuhan selain Allah Yang Maha Esa, yang telah menunaikan janji-Nya, memenangkan hamba-Nya, dan mengalahkan tentera-tentera bersekutu dengan sendiri-Nya. Dia mengulanginya sebanyak tiga kali, dan berdoa di sela-sela itu. Riwayat Muslim (1218)
3. Kemudian, turun dari Safa menuju ke Marwa sambil berjalan. Apabila sampai di tanda hijau yang pertama, dia berlari anak sehingga sampai ke tanda hijau yang kedua, kemudian berjalan seperti biasa. Wanita tidak disyariatkan untuk berlari anak.
4. Apabila dia sampai ke Marwah, disyariatkan baginya untuk melakukan apa yang dilakukannya di Safa (perenggan nombor 2).
5. Kemudian dia turun dari Marwah dan berjalan menuju ke Safa. Apabila tiba di tanda hijau, dia melakukan sa'i dengan cepat, dan apabila tiba di tanda hijau yang kedua, dia berjalan seperti biasa.
6. Begitulah seterusnya sehingga cukup tujuh pusingan. Perjalanan dari Safa ke Marwah dikira satu pusingan, dan perjalanan kembali dari Marwah ke Safa dikira satu pusingan yang lain.
7. Membaca zikir, doa dan bacaan yang disukainya ketika sa‘i.
3- Sifat Bercukur dan Bergunting Rambut
1. Setelah menyempurnakan tawaf dan sa'i, jemaah lelaki diwajibkan mencukur kepalanya atau memendekkan rambutnya. Disunnahkan agar perbuatan mencukur atau memendekkan rambut ini merangkumi seluruh bahagian kepala.
2. Mencukur rambut adalah lebih afdal daripada memotongnya, kecuali jika waktu haji sudah hampir sehingga tiada masa untuk rambut tumbuh semula, maka yang lebih afdal ketika itu adalah dengan hanya memotong rambut.
3. Adapun wanita, dia memendekkan daripada hujung rambutnya sekadar satu ruas jari.
4. Adapun bagi orang yang berihram untuk haji, sama ada secara Ifrad atau Qiran, dia tidak boleh memotong rambutnya kecuali pada hari raya Aidiladha selepas melontar Jamrah al-Aqabah.
Dengan itu, selesailah umrah seorang jemaah, dan demikian juga manasik umrah bagi jemaah haji Tamattu‘.
Tatacara Haji
Pertama: Ihram Haji:
1. Disunatkan bagi orang yang ingin menunaikan haji untuk berihram pada waktu dhuha hari Tarwiyah - iaitu hari kelapan Zulhijjah - dari tempatnya, jika dia berada di Mekah atau di dalam kawasan miqat. Jika tidak, maka dari miqat yang dilaluinya.
2. Ketika berihram untuk haji, dia melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukannya ketika berihram untuk umrah; iaitu mandi, memakai wangi-wangian, dan solat. Kemudian, dia berniat ihram untuk haji dan bertalbiah. Sifat talbiah bagi haji adalah sama seperti sifat talbiah bagi umrah, melainkan dia mengucapkan di sini: (Labbaika hajjan) sebagai ganti daripada (Labbaika ‘umratan).
3. Jika dia bimbang ada halangan yang menghalangnya daripada menyempurnakan ibadahnya, maka dia dibolehkan untuk membuat syarat semasa ihram dengan mengatakan: “Jika aku dihalang oleh sebarang sebab, maka tempat tahallulku ialah di tempat aku terhalang.” Maka, apabila dia telah membuat syarat dan berlaku sesuatu yang menghalangnya daripada menyempurnakan ibadahnya, dia boleh bertahallul dan tidak dikenakan apa-apa ke atasnya.
4. Kemudian, dia memperbanyakkan Talbiyah: لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالمُلْكَ لَا شَرِيكَ لَكَ ("Aku sahut seruan-Mu, ya Allah, aku sahut seruan-Mu. Aku sahut seruan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, aku sahut seruan-Mu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kerajaan adalah milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu."). Lelaki mengangkat suaranya dengan ucapan tersebut, dan begitu juga wanita; selagi tidak berada di hadapan lelaki-lelaki ajnabi. Hendaklah orang yang berihram memperbanyakkan talbiyah terutamanya ketika berlaku perubahan keadaan dan waktu, seperti ketika mendaki tempat yang tinggi, atau menuruni tempat yang rendah, atau apabila malam menjelang atau siang tiba.
5. Talbiyah disyariatkan bermula dari ihram sehingga mula melontar Jamrah al-‘Aqabah pada hari raya.
6. Wajib ke atas orang yang berihram untuk berwaspada daripada melakukan sebarang larangan semasa dalam keadaan ihram sehinggalah dia bertahallul daripada ihramnya.
Kedua: Bermalam di Mina:
Kemudian, disunatkan baginya untuk bergerak ke Mina pada hari kelapan; lalu menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh di sana secara qasar tanpa jamak kerana Nabi ﷺ menunaikan solat secara qasar di Mina, dan tidak melakukan jamak.
Ketiga: Wukuf di Arafah dan Bermalam di Muzdalifah:
1. Apabila matahari terbit pada hari kesembilan, iaitu hari Arafah, dia bergerak dari Mina menuju ke Arafah, lalu singgah di Namirah sehingga masuk waktu Zohor, jika berpeluang. Jika tidak, maka tidak mengapa; kerana singgah di Namirah adalah sunnah.
2. Apabila matahari tergelincir, dia mengerjakan solat Zohor dan Asar dua rakaat-dua rakaat, dengan menggabungkannya secara jamak taqdim sepertimana yang dilakukan oleh Nabi ﷺ.
3. Kemudian selepas solat, hendaklah dia menumpukan perhatian untuk berzikir, berdoa dan merendah diri kepada Allah 'Azza wa Jalla, dan berdoa dengan apa-apa sahaja doa sambil mengangkat kedua-dua tangan dan menghadap kiblat.
4. Doa Nabi ﷺ yang paling kerap dibaca pada saat yang agung itu: Lā ilāha illā Allāh waḥdahu lā sharīka lahu, lahu al-mulku walahu al-ḥamdu wa huwa ‘alā kulli shay'in qadīr. Tiada Tuhan selain Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya kerajaan dan segala pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. [5] Riwayat Malik (1312).
5. Sekiranya dia berasa letih dan ingin berehat dengan berbual bersama sahabat-sahabatnya tentang perkara-perkara yang bermanfaat atau membaca buku-buku yang berguna, khususnya yang berkaitan dengan keagungan Allah dan limpah kurnia-Nya bagi menguatkan lagi rasa pengharapan pada hari tersebut, maka hal itu adalah baik. Kemudian, hendaklah dia kembali merendahkan diri dan berdoa kepada Allah, serta bersungguh-sungguh memanfaatkan penghujung hari dengan berdoa, kerana sesungguhnya sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah.
6. Apabila matahari terbenam pada hari Arafah, dia bergerak menuju ke Muzdalifah.
7. Apabila dia tiba di sana, dia solat Maghrib tiga rakaat dan Isyak dua rakaat secara jamak.
8. Sekiranya dia bimbang tidak akan tiba di Muzdalifah melainkan selepas tengah malam, maka dia hendaklah solat sebelum tiba di Muzdalifah, dan tidak dibenarkan menangguhkan solatnya sehingga selepas tengah malam.
9. Dia bermalam di Muzdalifah, dan apabila terbit fajar, dia menunaikan solat Subuh di awal waktu.
10. Kemudian dia menuju ke al-Mash‘ar al-Haram (di Muzdalifah), lalu mentauhidkan Allah, bertakbir dan berdoa dengan apa-apa doa yang disukainya sehingga waktu fajar menjadi sangat terang (isfar). Sekiranya tidak berkesempatan untuk pergi ke al-Mash‘ar al-Haram, dia boleh berdoa di tempat dia berada. Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ: Saya memilih untuk berwukuf di sini, tetapi seluruh kawasan Jam‘ (Muzdalifah) adalah tempat wukuf." [6] Ketika berzikir dan berdoa, hendaklah menghadap ke arah kiblat dan mengangkat tangan. [6] Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud (1936).
Keempat: Amalan-amalan pada Hari Raya:
1. Apabila cahaya fajar sangat terang, dia bergerak dari Muzdalifah - sebelum matahari terbit - ke Mina, dan mempercepat langkah di wadi Muḥassir.
2. Apabila sampai di Mina, dia melontar Jamrah Aqabah, iaitu jamrah terakhir yang paling hampir dengan Mekah, dengan tujuh biji batu secara berturut-turut, dengan dilemparkan satu demi satu. Setiap batu adalah kira-kira sebesar biji kurma, dan dia bertakbir pada setiap lontaran.
3. Kemudian dia menyembelih haiwan korbannya jika berkemapuan.
4. Kemudian, bagi lelaki, dia mencukur atau memendekkan rambutnya, dan lebih afdhal untuk mencukurnya. Adapun bagi wanita, disyariatkan untuk memendekkan rambut sahaja, bukan mencukurnya.
5. Apabila dia telah melontar dan bercukur, maka dia telah melakukan tahallul awal, dan dihalalkan baginya semua perkara kecuali wanita.
6. Kemudian dia turun ke Mekah, lalu melakukan Tawaf Ifadah. Jika dia melaksanakan haji Tamattu’, maka dia perlu melakukan sa‘i haji. Jika dia melaksanakan haji Ifrad atau Qiran dan belum melakukan sa‘i selepas Tawaf Qudum, maka dia boleh menangguhkan Tawaf dan Sa‘i sehingga malam atau hari kedua, mengikut kemudahannya.
Kelima: Amalan-Amalan Pada Hari-Hari Tasyriq
1. Apabila seseorang telah melontar, bercukur, melakukan tawaf dan sa'i, maka dia sudah melakukan tahallul sepenuhnya, dan halal baginya semua perkara, termasuk hubungan suami isteri.
2. Dia kembali ke Mina, lalu bermalam di sana pada malam hari ke-11, ke-12, dan ke-13 jika dia melewatkan (kepulangannya).
3. Melontar ketiga-tiga jamrah apabila matahari telah gelincir.
4. Pada hari ke-11, dia melontar Jamrah Pertama – iaitu yang paling jauh dari Makkah dan paling hampir dengan Masjid al-Khaif – dengan tujuh batu kecil secara berturut-turut, satu demi satu, dan bertakbir pada setiap lontaran. Kemudian, dia bergerak sedikit ke hadapan dan berdoa panjang mengikut apa yang dia kehendaki. Sekiranya dia berasa sukar untuk berdiri lama dan berdoa, maka dia berdoa sekadar yang mudah baginya walaupun sebentar, bagi mengamalkan sunnah tersebut.
5. Kemudian Jamrah Wusta dilontar begitu juga, dan berdoa selepasnya.
6. Kemudian dia melontar Jamrah Aqabah seperti sebelumnya, tetapi tidak disunatkan untuk berdoa selepasnya.
7. Kemudian, dia melontar jamrah pada hari ke-12 seperti pada hari ke-11. Selepas selesai melontar jamrah, dia boleh memilih untuk bersegera dan meninggalkan Mina.
8. Jika dia mahu melewatkannya, maka dia bermalam pada malam ketiga belas dan melontar ketiga-tiga jamrah selepas tergelincir matahari sebagaimana sebelumnya, dan ini adalah lebih utama.
9. Tidak diwajibkan untuk melewatkan kepulangan sehingga hari ke-13, melainkan jika matahari terbenam pada hari kedua belas sedangkan dia masih berada di Mina. Maka, dia diwajibkan untuk menetap sehingga melontar ketiga-tiga jamrah selepas tergelincir matahari.
10. Akan tetapi, jika matahari terbenam semasa dia masih berada di Mina pada hari kedua belas bukan atas kehendaknya – contohnya dia telah berangkat dan menaiki kenderaan, tetapi terlewat disebabkan kesesakan lalu lintas dan seumpamanya – maka dia tidak diwajibkan untuk melewatkan (keberangkatannya). Ini kerana kelewatannya sehingga waktu matahari terbenam itu berlaku di luar kehendaknya.
Keenam: Tawaf Wada‘:
1. Apabila dia berhasrat untuk keluar dari Makkah untuk pulang ke negerinya, dia tidak dibenarkan keluar sebelum melakukan Tawaf Wadaʿ.
2. Kecuali wanita haid dan nifas, maka mereka tidak diwajibkan melakukan wada', dan tidak disunatkan bagi mereka untuk berada di pintu Masjidil Haram untuk wada' kerana perkara tersebut tidak diriwayatkan daripada Nabi ﷺ.
3. Hendaklah dia menjadikan Tawaf Wada' sebagai amalan terakhirnya dengan Baitullah apabila ingin berangkat untuk bermusafir.
4. Sekiranya seseorang masih tinggal selepas Tawaf Wada' untuk menunggu teman ,menyusun beg-begnya, atau membeli keperluan dalam perjalanannya, maka tiada halangan baginya, dan dia tidak perlu mengulang Tawaf melainkan jika dia berniat menangguhkan perjalanannya. Contohnya, jika dia ingin berangkat pada waktu pagi lalu melakukan Tawaf Wada', kemudian menangguhkan perjalanannya sehingga ke petang hari, maka dia wajib mengulang tawaf tersebut agar ia menjadi amalan terakhirnya di Baitullah.