Skip to content
70 Hadiths

Encyclopedia of Prophetic Hadiths

Tapis hasil

10 daripada 70 kad

Kosongkan tapisan

Darjat hadis

"Sesungguhnya aku berada di telaga untuk melihat siapa di antara kalian yang datang kepadaku, dan sebahagian orang akan diambil menjauh daripadaku. Aku akan berkata, "Ya Rabb, (mereka adalah) sebahagian daripadaku dan daripada umatku", maka akan dikatakan, "Tahukah engkau apa yang telah mereka lakukan setelahmu? Demi Allah, mereka sentiasa berpaling ke belakang."
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Anas bin Malik رَضِيَ اللهُ عَنْهُ menyampaikan kepada kami bahawa seorang lelaki bertanya: "Wahai Nabi Allah, bagaimana orang kafir akan dihimpunkan di atas mukanya?" Baginda bersabda: "Bukankah Tuhan yang telah menjalankannya di atas kedua-dua kakinya di dunia mampu untuk menjalankannya di atas mukanya pada hari kiamat?" Qatadah berkata: "Tentu sekali, demi kemuliaan Tuhan kami."
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Aku bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana keadaan bekas-bekas minuman al-Haudh? Baginda bersabda: «Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya bekas-bekas minumannya lebih banyak daripada bilangan bintang dan planet-planet di langit pada malam yang gelap gelita lagi cerah tanpa awan, ia adalah bekas-bekas minuman dari syurga; sesiapa yang minum daripadanya tidak akan dahaga selama-lamanya. Terpancar ke dalamnya dua saluran air dari syurga, sesiapa yang minum daripadanya tidak akan dahaga. Lebarnya sama seperti panjangnya, antara Amman hingga Ailah. Airnya lebih putih daripada susu, dan lebih manis daripada madu».
Sahih Riwayat Muslim
«Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seorang mukmin akan kebaikannya; dia diberi ganjaran kerananya di dunia dan dibalas di akhirat. Adapun orang kafir, maka dia diberi ganjaran dengan kebaikan-kebaikan yang dilakukannya di dunia, sehinggalah apabila dia tiba di akhirat, tidak ada lagi baginya satu kebaikan pun yang akan dibalas».
Sahih Riwayat Muslim
"Api kamu adalah satu bahagian daripada 70 bahagian dari api neraka Jahannam.” Lalu ditanyakan: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia (api dunia) sudah pun mencukupi.” Baginda bersabda: “Ia telah dilebihkan ke atasnya dengan 69 bahagian, yang mana kesemuanya adalah sama panasnya.”"
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
"Sesungguhnya antara tanda-tanda kiamat ialah diangkatnya ilmu, banyaknya kejahilan, banyaknya perzinaan, banyaknya amalan meminum arak, sedikitnya kaum lelaki dan ramainya kaum wanita, sehinggakan bagi lima puluh orang wanita, penjaganya hanyalah seorang lelaki."
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
«Kiamat tidak akan berlaku sehingga matahari terbit dari barat. Maka apabila ia terbit dan manusia melihatnya, mereka semua beriman, maka pada waktu itulah: {Tidak lagi bermanfaat iman seseorang kepada dirinya yang belum beriman sebelum itu, atau (belum) mengusahakan kebaikan dalam masa imannya} [al-An'am: 158]. Dan sungguh, kiamat akan berlaku ketika dua orang lelaki sedang membentangkan kain antara mereka, lalu mereka tidak sempat berjual beli dan tidak pula sempat melipatnya. Dan sungguh, kiamat akan berlaku ketika seorang lelaki pulang membawa susu untanya yang baru diperah, lalu dia tidak sempat meminumnya. Dan sungguh, kiamat akan berlaku ketika seseorang sedang memperbaiki kolam airnya, lalu dia tidak sempat memberi minum (ternakannya) daripadanya. Dan sungguh, kiamat akan berlaku sedang salah seorang daripada kamu telah mengangkat suapan makanannya ke mulutnya, lalu dia tidak sempat memakannya».
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
«Akan didatangkan kematian dalam rupa seekor kibas yang berwarna putih kehitaman, lalu seorang penyeru berseru: 'Wahai ahli Syurga,' maka mereka pun mendongak dan melihat. Lalu dia bertanya: 'Adakah kamu mengenalinya?' Mereka menjawab: 'Ya, inilah kematian,' dan mereka semua pernah melihatnya. Kemudian dia menyeru: 'Wahai ahli Neraka,' maka mereka pun mendongak dan melihat. Lalu dia bertanya: 'Dan adakah kamu mengenalinya?' Mereka menjawab: 'Ya, inilah kematian,' dan mereka semua pernah melihatnya. Lalu kibas itu disembelih, kemudian (penyeru) berkata: 'Wahai ahli syurga, (kini adalah) keabadian dan tiada lagi kematian. Wahai ahli neraka, (kini adalah) keabadian dan tiada lagi kematian.' Kemudian baginda membaca: {Dan berilah mereka peringatan tentang hari penyesalan, iaitu ketika segala perkara telah diputuskan, sedang mereka dalam kelalaian} [Maryam: 39], dan mereka yang lalai itu ialah ahli dunia {dan mereka tidak beriman} [Maryam: 39]».
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.