Skip to content
70 Hadiths

Encyclopedia of Prophetic Hadiths

Tapis hasil

6 daripada 70 kad

Kosongkan tapisan
«Ketika Allah menciptakan syurga dan neraka, Dia mengutuskan Jibril ‘alaihis salam ke syurga, lalu Dia berfirman: 'Lihatlah kepadanya dan kepada apa yang telah Aku sediakan untuk ahlinya di dalamnya.' Maka Jibril pun melihatnya lalu kembali dan berkata: 'Demi kemuliaan-Mu, tidak ada seorang pun yang mendengarnya melainkan pasti akan memasukinya.' Maka Allah memerintahkan agar syurga diliputi dengan perkara-perkara yang dibenci, lalu Dia berfirman: 'Pergilah kepadanya, lihatlah kepadanya dan kepada apa yang telah Aku sediakan untuk ahlinya di dalamnya.' Maka Jibril melihat kepadanya, dan ternyata ia telah diliputi dengan perkara-perkara yang dibenci. Lalu dia berkata: 'Demi kemuliaan-Mu, sesungguhnya aku bimbang tiada seorang pun yang akan dapat memasukinya.' Dia berfirman: 'Pergilah, lihatlah neraka dan apa yang telah Aku sediakan untuk ahlinya di dalamnya.' Maka Jibril melihat kepadanya, dan ternyata api neraka bergelora sebahagiannya menimpa sebahagian yang lain. Lalu dia kembali dan berkata: 'Demi kemuliaan-Mu, tiada seorang pun yang akan memasukinya.' Maka Allah memerintahkan agar neraka diliputi dengan syahwat, lalu Dia berfirman: 'Kembalilah dan lihatlah kepadanya.' Maka Jibril melihat kepadanya, dan ternyata ia telah diliputi dengan syahwat. Lalu dia kembali dan berkata: 'Demi kemuliaan-Mu, sesungguhnya aku bimbang tiada seorang pun yang akan selamat daripadanya, melainkan dia pasti akan memasukinya».
Hasan Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i
"Sebaik-baik zikir adalah 'La Ilaha Illallah', dan sebaik-baik doa adalah 'Alhamdulillah'."
Hasan Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa'i dalam al-Sunan al-Kubra, dan Ibn Majah
«Amalan-amalan itu ada enam, dan manusia pula ada empat golongan: iaitu dua amalan yang mewajibkan, satu amalan yang dibalas setimpal, satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda, dan satu kebaikan dibalas tujuh ratus kali ganda. Adapun dua amalan yang mewajibkan itu: sesiapa yang mati dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun nescaya dia masuk syurga, dan sesiapa yang mati dalam keadaan menyekutukan Allah dengan sesuatu nescaya dia masuk neraka. Adapun amalan yang dibalas setimpal: sesiapa yang berniat melakukan satu kebaikan sehingga hatinya merasainya dan Allah mengetahui niatnya itu, maka dicatatkan untuknya satu kebaikan. Dan sesiapa yang melakukan satu kejahatan, maka dicatatkan ke atasnya satu kejahatan. Sesiapa yang melakukan satu kebaikan, maka ganjarannya sepuluh kali ganda, dan sesiapa yang menginfakkan sesuatu pada jalan Allah, maka kebaikannya digandakan tujuh ratus kali. Adapun manusia pula, ada yang dilapangkan (rezekinya) di dunia tetapi disempitkan di akhirat, ada yang disempitkan di dunia tetapi dilapangkan di akhirat, ada yang disempitkan di dunia dan di akhirat, dan ada yang dilapangkan di dunia dan di akhirat».
Hasan Riwayat Imam Ahmad
Seseorang dalam kalangan para Sahabat Nabi ﷺ yang mengajar kami al-Quran menyampaikan kepada kami, bahawa mereka biasa belajar sepuluh ayat daripada Rasulullah ﷺ, lalu mereka tidak akan mengambil sepuluh ayat yang lain sehinggalah mereka mempelajari ilmu dan amalan yang terkandung di dalamnya. Mereka berkata: "Maka kami pun mempelajari ilmu dan amalan (secara serentak)."
Hasan Riwayat Imam Ahmad
"Dikatakan kepada sahabat al-Quran: ‘Bacalah dan naiklah, serta bacalah al-Quran dengan tartil sepertimana kamu membacanya dengan tartil di dunia. Sesungguhnya kedudukanmu adalah pada ayat terakhir yang kamu baca."
Hasan Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi, Imam Ahmad dan al-Nasa'i dalam al-Sunan al-Kubra
"Janganlah kamu jadikan rumah kamu seperti kuburan, dan janganlah jadikan kuburku sebagai tempat perayaan. Berselawatlah kepadaku, kerana selawat kamu akan sampai kepadaku di mana sahaja kamu berada."
Hasan Riwayat Abu Dawud