Skip to content
70 Hadiths

Encyclopedia of Prophetic Hadiths

Tapis hasil

32 daripada 70 kad

Kosongkan tapisan

Darjat hadis

«Akan didatangkan kematian dalam rupa seekor kibas yang berwarna putih kehitaman, lalu seorang penyeru berseru: 'Wahai ahli Syurga,' maka mereka pun mendongak dan melihat. Lalu dia bertanya: 'Adakah kamu mengenalinya?' Mereka menjawab: 'Ya, inilah kematian,' dan mereka semua pernah melihatnya. Kemudian dia menyeru: 'Wahai ahli Neraka,' maka mereka pun mendongak dan melihat. Lalu dia bertanya: 'Dan adakah kamu mengenalinya?' Mereka menjawab: 'Ya, inilah kematian,' dan mereka semua pernah melihatnya. Lalu kibas itu disembelih, kemudian (penyeru) berkata: 'Wahai ahli syurga, (kini adalah) keabadian dan tiada lagi kematian. Wahai ahli neraka, (kini adalah) keabadian dan tiada lagi kematian.' Kemudian baginda membaca: {Dan berilah mereka peringatan tentang hari penyesalan, iaitu ketika segala perkara telah diputuskan, sedang mereka dalam kelalaian} [Maryam: 39], dan mereka yang lalai itu ialah ahli dunia {dan mereka tidak beriman} [Maryam: 39]».
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Bahawa Nabi ﷺ apabila pergi ke tempat tidurnya pada setiap malam, baginda merapatkan kedua-dua telapak tangannya, kemudian meniup pada keduanya lalu membaca: {قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ}، وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ}، وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ}, kemudian baginda menyapu bahagian badannya yang dapat dicapai dengan kedua-dua tangannya, bermula dari kepala, muka, dan bahagian hadapan badannya. Baginda melakukan perkara itu sebanyak tiga kali.
Sahih Riwayat al-Bukhari
"Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan." Para sahabat bertanya: "Apakah itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan-perempuan baik yang beriman dan tidak berdosa."
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Wahyu diturunkan kepada Rasulullah ﷺ ketika baginda berusia 40 tahun. Baginda tinggal di Mekah selama 13 tahun, kemudian datang perintah keatasnya untuk berhijrah. Maka baginda berhijrah ke Madinah, tinggal di sana selama sepuluh tahun, dan kemudian wafat ﷺ.
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Aku membonceng di belakang Nabi ﷺ di atas seekor keldai yang bernama 'Ufair. Lalu baginda bersabda: “Wahai Mu'az, tahukah engkau hak Allah ke atas hamba-Nya, dan apa hak hamba ke atas Allah?” Aku menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya hak Allah ke atas hamba-Nya adalah agar mereka menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, dan hak hamba ke atas Allah adalah Dia tidak akan mengazab sesiapa yang tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun” Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, bolehkah aku sampaikan berita gembira ini kepada orang ramai?” Baginda bersabda: “Jangan sampaikan kepada mereka, nanti mereka akan berserah sahaja.”
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Rasulullah ﷺ telah mengimami kami solat Subuh di Hudaibiyah selepas hujan yang turun pada malamnya. Setelah selesai solat, baginda menghadap orang ramai, lalu bersabda: «Adakah kamu tahu apa yang Tuhan kamu firmankan?» Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda bersabda: «Pada pagi ini, ada dalam kalangan hamba-Ku yang beriman kepada-Ku dan ada yang kafir. Adapun sesiapa yang berkata: 'Kami diberi hujan dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya', maka dia beriman kepada-Ku dan kafir terhadap bintang. Dan adapun sesiapa yang berkata: 'Kami diberi hujan disebabkan bintang sekian dan sekian', maka dia kafir kepada-Ku dan beriman kepada bintang».
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kami akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kami lakukan pada zaman Jahiliah?” Baginda bersabda: «Sesiapa yang berbuat baik dalam Islam tidak akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukannya pada zaman Jahiliah, dan sesiapa yang berbuat jahat dalam Islam, dia akan dipertanggungjawabkan atas yang pertama dan yang terakhir».
Sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Telah ditanya: "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling beruntung dengan syafaatmu pada hari kiamat?" Rasulullah ﷺ bersabda: "Sungguh aku telah menyangka, wahai Abu Hurairah, bahawa tiada sesiapa yang akan bertanya kepadaku tentang hadis ini sebelummu, kerana aku melihat kesungguhanmu terhadap hadis. Manusia beruntung yang mendapat syafaatku pada hari kiamat adalah orang yang mengakui tiada yang berhak disembah selain Allah, tulus murni daripada jiwanya."
Sahih Riwayat al-Bukhari